Wednesday 3 November 2021

JJCP UK V.2: Day 13 (Part #1)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..


HARI/TARIKH:
@ ISNIN, 9 DISEMBER 2019

LOKASI KEJADIAN:
@ BIBURY
@ BURFORD


Seawal jam 5.00 pagi saya dah bangun tanpa bantuan alarm. Maklumlah, malam tadi kan tidur awal. Sebab tu senang je bangun sendiri. Hihi.. Sebelum mandi saya susun dulu intinerary untuk hari ni. Saya kena setting masa sebaiknya sebab nak kena hantar kereta sebelum jam 6.00 petang. Lebih dari tu nanti kena extra charge. Lepas mandi dan solat saya kejutkan anak-anak. Diorang pun mudah je bangun. Sekali kejut je dah terjaga. Lepas semuanya dah segar dan solat, kami breakfast bersama-sama. Alhamdulillah, makin surut ration yang dibawa. Barulah ringan sikit beg yang nak dibawa ke London nanti.



Selesai breakfast, kami berkemas dan bersiap-siap untuk check-out. Jam 7.40 pagi kami dah keluar dari bilik menuju ke lobi hotel. Saya pulangkan kunci bilik kepada staf yang bertugas di kaunter. Baik je staf tu tanya macam mana experience kami menginap di sini. Of course saya jawab amat selesa dan berbaloi dengan harganya. Saya cakap kat dia dah banyak travelodge saya pergi hingga ke Scotland dan Wales. Tapi ini yang paling selesa setakat ni. Bagilah kredit sikit sebab hotel ni baru. Hehe.. Setelah mengucapkan terima kasih, kami keluar dari hotel dan menuju ke kereta.

Good morning Swindon!

Anak-anak menjalankan rutin harian mereka di sini, iaitu masukkan beg ke dalam kereta. Tepat jam 8.00 pagi setelah doa perjalanan dibacakan oleh Abang Fikri, kami mulakan perjalanan hari ni menuju ke destinasi pertama di mana saya dan wife dah pernah sampai sebelum ni. Tapi disebabkan Fa dan Abang Fikri pertama kali menjejakkan kaki di bumi UK ni, kami tetap juga nak bawa kerana tempat ni antara lokasi yang paling cantik di UK. Diorang berdua dah la suka bergambar. Memang wajib lah kena datang lagi sekali.

Hari terakhir memandu di sini..


@ BIBURY

Sejam memandu, akhirnya jam 9.00 pagi kami sampai di Bibury. Masih kekal cantik tempat ni. Langsung tak berubah sejak kami datang ke sini 7 tahun yang lalu. Benda yang cantik dan indah perlu dikekalkan selamanya. Dulu saya hanya berjalan di sekitar Bibury Trout Farm. Masa tu tak tau ada tempat yang lagi cantik berhampiran kami. Bila dah study dan cari info, barulah jumpa. Dulu memang buat itinerary simple je. Kali ni agak detail. Practice makes perfect bak kata orang Bota Kanan. Belum orang Bota Kiri cakap lagi. Hahah..


Driving route: From Travelodge Swindon West to Bibury

Road trip: From Swindon to Bibury

Saya parking kereta di bahu jalan. Tak perlu risau sebab memang ada petak parking khas untuk orang ramai yang ingin melawat Arlington Row. Jika buka website mengenai Cotswold, pasti akan ada gambar deretan rumah di Arlington Row ni. Tengok dalam gambar pun dah nampak cantik, inikan pula dapat merasai suasana sebenarnya di sini. Arlington Row terletak di dalam kawasan Bibury, salah satu pekan yang cantik di Cotswold. Rugi kepada yang datang ke UK tapi tak singgah di sini. Kalau datang semata-mata untuk shopping tu tak payah keluar dari London pun takpe. Hehe..

Allahu, indahnya suasana kat sini..

Bibury adalah antara kampung di Cotswold yang paling cantik di UK. Deretan rumah di Arlington Row ni adalah the most photographed row of cottages in the country. Tak dapat bayangkan macam mana perasaan tuan yang mendiami deretan rumah ni apabila seluruh dunia datang untuk ambil gambar. Yang pastinya penduduk di sini veteran belaka. Yang muda dah lari ke London dan bandar-bandar besar yang lain. Hihi.. Apa-apa pun jika berada kat sini janganlah buat hal atau bising sebab tempat ni dikira private property. Ambil gambar kenangan sudah cukup.

Eirfan cuba menahan diri dari bermain air..

Kami lintas jambatan kecil dan melalui deretan rumah yang masih mengekalkan sejarahnya. Tenang sungguh kehidupan di sini. Saya teringin sangat nak tengok keadaan dalam rumah di sini, tapi mana boleh. Suka hati je nak tengok rumah orang. Hehe.. Kalau la salah satu rumah kat sini dijadikan Airbnb boleh juga kami try booking. Tapi mesti fully booked sepanjang tahun. Kalau ada tarikh kosong pun mesti harganya akan menjadi sejarah dalam hidup kami. Huhu.. Dengan rekaan rumah yang klasik, ditambah pula dengan sungai kecil yang mengalir jernih amat menenangkan jiwa dan terapi minda.

3 perkataan untuk tempat ni: Cantik, indah dan tenang..

Semua view kami ambil gambar sebagai kenangan. Fa dan Abang Fikri lagilah banyak. Diorang berdua memang suka sangat bergambar. Punyalah seronok dan leka bergambar sampai diorang tak sedar dah berjauhan dari kami. Ini cerita masa trip Western Europe dulu, kat Amsterdam. Jenuh mencari balik jejak diorang. Hehe.. Apa pun sebagai ketua trip takkan tinggalkan ahlinya. Paling teruk kalau tak jumpa pun report kat balai polis berhampiran je. Trip Scandinavia pun masih segar dalam ingatan, masa Fa dan Abang Fikri hampir terlepas flight ke Helsinki. Masa tu kami semua dah macam dalam cerita The Amazing Race, berlari dalam airport. Kenangan semua tu. Hihi..

Mengabadikan kenangan di Arlington Row, Bibury

Setelah puas bergambar, kami kembali semula ke kereta. Eimran dan Elysha tak keluar pun dari kereta sejak sampai tadi. Saya perasan Eimran jenis yang tak suka sangat pemandangan. Dia lebih cenderung kepada shopping. Asal masuk butik je adalah yang dia berkenan nak beli. Berbeza dengan adik-adiknya. Mungkin yang lain kecil lagi, jadi belum berminat untuk shopping seperti pakaian dan kasut. Tunggu la setahun dua lagi, baru boleh tau cenderung ke arah mana bila travel. Elysha pulak tak keluar sebab sakit perut rupanya. Nasib baik kat seberang jalan ni ada public toilet. Kena bayar 20pence untuk guna toilet. Duit syiling banyak sebab semalam tak pergi car boot. Hehe..

Dinding toilet kat sini pun bersejarah. Hihi..

Jam 9.25 pagi kami teruskan perjalanan ke depan sikit dalam 300 meter menuju ke Bibury Trout Farm. Dulu kami ke sini hanya bergambar di kawasan sekitar. Kali ni kami nak masuk ke dalam kedai. Boleh la cari souvenir tentang Bibury. Bibury Trout Farm adalah tempat penternakan dan jualan ikan trout yang tertua di UK dan masih lagi beroperasi sejak tahun 1902. Ikan trout adalah sejenis ikan air tawar yang hidup aktif dalam sungai yang bersuhu sejuk. Amat sesuai la ikan ni hidup kat sini. Ikan ni juga adalah ikan air tawar yang terpantas dan boleh berenang antara 10 hingga 20 kilometer sejam. Memang laju sungguh tu.

Wow, boleh try rasa aiskrim kat sini.

Kami masuk ke dalam kedai. Ingatkan untuk masuk ke dalam Bibury Trout Farm ni percuma. Kena bayar rupanya. Huhu.. Bayaran untuk seorang dewasa GBP5.00 pulak tu. Kalau GBP2.00 boleh digagahkan lagi. Jadi kami hanya masuk ke dalam kedai je. Banyak juga souvenir dijual di sini. Harga pun boleh tahan murah. Dapatlah kami beli magnet dan beg kain bertulisan Bibury sebagai kenangan. Ikan trout segar juga ada dijual, tapi kat mana kami nak masak pun tak tau. Nak pinjam guna microwave kat travelodge pun tak dapat. Hihi.. Kalau kami tidur di homestay atau airbnb mungkin kami akan beli. Teringin juga nak tau macam mana rasa ikan trout ni. Takpe, nanti boleh cari kat Village Grocer atau supermarket yang seangkatan dengannya. Masa makan nanti boleh la feeling macam kat UK. Hahah..

Ikan dah siap siang. Balik boleh masak terus.

Masa buat bayaran, saya bertanyakan tentang ais krim homemade yang dikatakan terbaik di dunia seperti iklan kat luar kedai tu. Staf kedai tunjuk ke arah peti ais di belakang kami. Gambar kat luar aiskrim kon, tapi dalam peti ais dalam tub. Dia kata aiskrim kon ada dijual kat cafe di sebelah. Tapi cafe buka jam 10.00 pagi. Sekarang dah pukul 9.35 pagi. Cafe buka nanti pun bukannya boleh beli terus. Mesti pekedai nak setup semua barang dan cari kat mana diorang letak kon aiskrim tu. Macam-macam alasan. Padahal sebenarnya saya yang malas nak tunggu. Hehe.. Takpelah, dalam tub pun ok je. Janji aiskrim yang sama. Untuk merasai kali pertama, saya beli yang paling kecil. Kalau tak sedap nanti takdelah menyesal sangat. Alasan lagi. Hahah.. Sebenarnya mahal harga aiskrim ni. Selesai buat bayaran kami keluar dari kedai. Jom rasa aiskrim ni sorang sikit dan bagi review masing-masing.

Aiskrim besar ni pun harga GBP5.00. Nak cuba punya pasal.

Dapatlah sorang dua suap rasa aiskrim ni. Semua cakap sedap. Tapi takdelah best in the world. Saya rasa aiskrim Tillamook yang beli kat Village Grocer lagi sedap. Harga pun kayangan juga tu. Sebulan sekali beli masa dapat gaji. Jadi takdelah penyesalan saya beli tub kecik je. Ingatkan bila masuk mulut je terus feel seperti berada di puncak gunung. Maka tak perlulah beli lagi. Cukup la buat syarat dapat makan dua suap aiskrim homemade dari Bibury Trout Farm. Jom le kita ke destinasi seterusnya. Wife saya suka tu. Lagi cepat bergerak, lagi awal la dia dapat bershopping. Hihi..

Gambar bersama beg Bibury berlatarbelakangkan The Swan Hotel

Jam 9.45 pagi kami teruskan perjalanan meninggalkan Bibury dan menuju ke destinasi berikutnya iaitu Burford. Dulu kami juga pernah sampai di Burford tapi hanya berhenti di parking kerana agak jauh nak berjalan ke deretan kedai di jalan utama. Masa tu hanya duduk di parking sambil melihat seorang ibu dan anak memberikan itik dan angsa makan di tepi sungai. Kali ni mungkin kami akan tabahkan hati untuk berjalan. Takkan la datang kali kedua nak lepak kat parking lagi. Hehe..

Road trip: From Bibury to Burford


@ BURFORD

Tepat jam 10.00 pagi kami sampai di Burford. Kami parking di tempat yang sama seperti tahun 2012 kerana inilah satu-satunya kawasan parking yang free di Burford. Walaupun free, tapi jauh ke dalam. Sungai yang mengalir di sebelah kawasan parking masih wujud, cuma sekarang ni diletakkan batu penghadang tebing dan pagar kayu. Mungkin kerana banjir baru-baru ni di UK membuatkan sungai ni diperbaiki semula.

Driving route: From Bibury to Burford

Turun je dari kereta, Eirfan terus melulu ke tepi sungai. Walaupun ada pagar kayu, boleh je dia tunduk dan terus masuk ke dalam sungai. Tapi dia agak takut-takut juga bila melibatkan air ni. Bukan macam Eiman masa kecik dulu. Pernah sekali kat kolam mandi hotel, dia nampak je terus terjun. Dah la tak tau berenang. Nasib baik la sempat selamatkan dia. Saya pun tak pandai berenang. Tapi kolam tu tak dalam. Eiman memang tenggelam terus la. Huhu.. Sekarang dia dah pandai berenang. Mungkin ikut genetik maknya. Ayahnya pandai jerit minta tolong je. Hehe..

Jinak pulak itik kat sini. Tapi takde makanan nak bagi kat dia..

Kami berjalan menuju ke jalan besar. Ada la dalam 400 meter untuk ke sana. Tak jauh pun sebenarnya. Hihi.. Kami menyusuri lorong dan deretan bangunan yang cantik. Baru separuh perjalanan, tiba-tiba hujan turun beserta angin yang agak kencang. Takde tempat untuk kami berteduh. Nak buat macam mana, terpaksalah redah juga. Belum sempat sampai ke jalan besar hujan dah berhenti. Lain macam cuaca hari ni. Langit yang pada mulanya cerah bertukar menjadi mendung. Mesti hujan akan turun lagi. Kami meronda di sepanjang jalan besar yang berbukit sambil melihat kedai-kedai yang ada. Belum sempat sampai ke deretan kedai yang hujung, hujan turun lagi sekali. Dah agak, mesti hujan punya.

Mula-mula cerah, lepas tu bertukar mendung. Tapi pemandangan tetap indah..

Kami pun masuk berteduh di satu kedai souvenir yang bernama Three French Hens. Dalam kedai ni penuh dengan barang souvenir. Barang Harry Potter pun ada. Sampai pening saya nak pilih magnet dan souvenir yang berkenan di hati. Boleh dikatakan semua magnet dan souvenir pekan yang ada di Cotswold dijual di sini. Saya taknak beli semuanya sebab banyak lagi pekan yang saya tak pernah sampai atau melaluinya. Saya cuma beli magnet untuk Burford, Chipping Campden yang kami dah lalu haritu dan Burton-on-the-Water yang kami dah sampai pada 2012. Magnet Castle Combe saya tak jumpa sebab kami dah lalu semalam semasa mencari car boot. Kira dah sampai juga la walaupun tak berhenti. Hihi.. Mungkin ada tapi saya tak nampak sebab terlalu banyak barang dalam kedai ni.

Selamat memeningkan kepala dalam membuat pilihan..

Selesai membuat pilihan hati dan bayar di kaunter, kami keluar dari kedai. Hujan berhenti sekali lagi tapi cuaca tetap mendung. Adalah lebih baik kami beredar dari sini menuju terus ke parking kereta. Takut kalau hujan lagi nanti berpanjangan. Dalam perjalanan hujan turun lagi, tapi kali ni bukan hujan biasa tapi hujan batu. Hujan batu atau hujan ais? Nampak jelas ketulan ais kecil jatuh dari langit. Terasa pedih juga bila jatuh atas kepala. Nasib baik dalam 2-3 minit je hujan batu turun. Pertama kali dalam hidup saya mengalami hujan batu macam ni. Bayangkan la kalau ketulan ais besar yang jatuh. Boleh bocor kepala. Huhu..

Jom balik. Memang betul la kat sini kena banjir.

Pertama kali merasai hujan batu

Sampai di kereta, kami cepat-cepat bersiap untuk sambung perjalanan. Takut hujan batu turun lagi kejap lagi. Jam 10.35 pagi kami meninggalkan Burford dan menuju ke destinasi berikutnya yang menjadi igauan kaki shopping apabila berada di UK. Sambil mencari barang pesanan kawan-kawan, boleh cari untuk diri sendiri juga. Kill two birds with one stone bak kata orang Bota Kiri pulak. Hehe.. Wife saya dah mula tersenyum panjang. Siap tengok kat Here Maps pukul berapa jangkaan sampai kat sana. Nak bagitau dalam group suruh standby katanya. Hihi.. Moga masing-masing bermuhasabah diri apabila sampai di sana nanti.


Wallahu 'alam..

6 comments:

  1. Ikan trout bakar gitu pun sedap ... dia tak hanyir dan rasa manis ... tulang dia pun lembut !

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ye ke tuan? Badan dia berminyak kan? Next time kalau sewa Airbnb boleh la try beli dan masak. Hehe..

      Delete
  2. tak ramai org kat situ ye bang., atau mmg musim pkp dorg semua tak kuar rumah agaknyer., ;p

    ReplyDelete
    Replies
    1. Memang macam ni la keadaannya tak kira musim covid atau tidak. Kita je yang suka kuar rumah jalan-jalan. Hehe..

      Delete
  3. Dari map atas tu, awak ada lalu Cricklade. Perasan tak di situ, lane kita driving tu, tengah² jln kita ada signpost "Give way to oncoming vehicles" & juga milestone. Jika bawa laju, nahas Ooo... Awat tak msk pekan Castle Combe yg famous tu?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Saya tak perasan signpost tu. Saya lalu tepi pekan Castle Combe je. Tujuan nak cari carboot tapi tak beroperasi rupanya. Takde rezeki nak habiskan duit pence yang ada. Hehe..

      Delete