Wednesday 2 February 2022

JJCP UK V2: Day 14 (Part #3)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..


HARI / TARIKH:
@ SELASA, 10 DISEMBER 2019

LOKASI KEJADIAN:
@ HARD ROCK CAFE OXFORD STREET
@ HARD ROCK HOTEL LONDON
@ HARD ROCK CAFE LONDON
@ HARRODS


Malam ni kami nak cuci mata di Hard Rock sambil membeli pesanan kawan-kawan. Ada dua lokasi Hard Rock yang baru dibuka di London. Makin bertambah la koleksi simpanan t-shirt Hard Rock saya. Selepas melalui Hyde Park, kami lintas jalan di persimpangan antara Marble Arch dan Oxford Street. Keadaan di Oxford Street amat meriah dengan lampu jalan berwarna-warni yang menerangi suasana sekeliling sempena nak menyambut Krismas. Tapi untuk malam ni kami taknak jalan-jalan di Oxford Street lagi. Esok baru kami cadang nak explore di sini.

Walking route @ London Central


@ HARD ROCK CAFE OXFORD STREET

Kedua-dua hard rock yang baru dibuka ini terletak sebelah-menyebelah je. Kami ke Hard Rock Cafe Oxford Street dulu. Rockshop dibuka tapi tulisan pada baju hanya London, bukan Oxford Street. Tak jadilah nak beli buat koleksi sebab saya dah ada koleksi London. Kalau nak beli pun lebih baik kami ke Hard Rock Cafe London yang kami akan singgah kejap lagi. Dah tentu lagi banyak pilihan. Kenapalah Hard Rock tak keluarkan t-shirt yang bertulisan Oxford Street. Barulah peminat dan pengumpul tegar Hard Rock boleh buat koleksi. Jadi kami hanya bergambar je la kat signboard di luar. Maka tiada penambahan koleksi Hard Rock buat masa ni. Huhu..

Bergambar dengan sign Hard Rock Cafe Oxford Street aje lah..


@ HARD ROCK HOTEL LONDON

Kami kemudiannya ke sebelah dan masuk ke dalam Rockshop di Hard Rock Hotel London. Banyak pilihan design yang terkini. Cuma saya tak tahu kenapa tak berkenan nak beli. Mungkin kerana namanya Hard Rock Hotel, bukan Cafe. Nama lokasi tetap London. Jadi macam sama la jugak dengan t-shirt HRC London yang saya dah ada dalam koleksi. Beza cuma Hotel dan Cafe je. Apa-apa pun kami tetap belikan pesanan dari kawan-kawan. Itu lebih penting sebab dapat menjana sedikit pendapatan bisnes kami. Hihi..

Antara design t-shirt Hard Rock Hotel London

Masa saya tengah nak ambil gambar di depan hotel, kami diberikan beberapa kuntum bunga dari seorang perempuan. Nampak rupa perempuan ni seperti orang luar. Lepas saya ambil gambar, dia minta duit. Katanya sekuntum bunga tu harganya GBP1.00. Aik? Kami tak teringin pun nak beli bunga ni. Dia yang tiba-tiba datang ke arah kami dan bagi. Ingatkan percuma, rupanya kena bayar. Maaf ye puan, kami taknak beli bunga ni. Perempuan tu pun ambil semua bunga-bunga tu dengan muka masam. Lain macam modus operandi perniagaan perempuan ni. Teknik paksa rela ala scam namanya ni. Hahah..

Design t-shirt dan merchandise yang dipesan oleh kawan-kawan

Selesai membeli di Rockshop, kami teruskan berjalan menuju ke Hard Rock yang terakhir untuk malam ni. Cuaca amat sejuk dan angin betiup dengan kencang. Sampaikan topi yang wife saya pakai terbang ke tengah jalan. Nasib baik Abanng Fikri yang berada di belakang sempat lintas dan ambil sebelum dilanggar oleh kereta. Titisan hujan juga mula terasa. Harap-harap tak lebat la hujan yang bakal turun. Jauh lagi nak berjalan kaki ni. Huhu.. Kami berhenti kejap di satu kedai souvenir. Ada barang yang dijual menarik perhatian saya. Selamba je diorang jual biskut canabis dan alat hisap ganja kat sini. Siap display kat cermin kedai pulak tu. Hihi..

Nak layan stim boleh ke kedai ni. Hahah..

Kami menyusuri jalan di kawasan Mayfair. Siapa yang pernah main Monopoly mesti tau nama tempat ni. Mayfair adalah kawasan untuk orang kayangan di London. Kira sama level macam di Bangsar la tempat ni. Dalam Monopoly hartanah paling mahal kot nak beli. Kalau kawan dah beli hotel, asal nak lalu je siap tiup dadu mintak jangan singgah di Mayfair. Boleh bangkrap terus kalau tersinggah dua kali. Hahah.. Kedai-kedai yang ada kat sini pun aras tinggi punya kemampuan baru boleh masuk. Huhu.. Kami golongan marhaen tumpang lalu je la.

Kejiranan dan kedai di Mayfair. Berapalah agaknya harga rumah kat sini..


@ HARD ROCK CAFE LONDON

Alhamdulillah, hujan tak jadi turun tapi angin masih betiup kencang. Jam 5.50 petang kami sampai di Hard Rock Cafe London. Kali kedua saya ke sini dan masih tak berubah keadaannya. Kepada peminat tegar kena datang ke sini sebab HRC London adalah Hard Rock pertama yang dibuka di dunia pada 1971 dan masih mengekalkan lokasinya. Selepas 7 tahun ia beroperasi, barulah Hard Rock kedua dibuka di Toronto, Canada pada 1978. Lokasi Cafe dan Rockshop terletak di bangunan yang lain tapi seberang lorong je. Kami terus masuk ke dalam Rockshop untuk melihat design baru dan juga merchandise yang dijual.

Lokasi Rockshop yang terletak di seberang Cafe

Banyak juga design t-shirt yang menarik perhatian kami. Kawan-kawan dalam group whatsapp yang masih belum tidur mula memesan design t-shirt yang kami share. Kebetulan t-shirt HRC London yang saya beli masa 2012 dulu sudah lusuh dan tulisan London dah makin pudar. Sedang elok kami datang pada hari ni sebab banyak design t-shirt dan merchandise yang ada diskaun sehingga 50%. Jarang Hard Rock bagi diskaun sampai separuh harga. Mungkin kerana nak habiskan stok lama kot sebab design baru nak masuk atau kerana ia adalah Hard Rock pertama di dunia. Tak kisah lah, janji kami dapat buat banyak pilihan terhadap t-shirt dan merchandise yang berkenan di hati.

Design 1971 adalah simbolik HRC pertama di dunia, iaitu di sini..

Setengah jam kami di sini membelek design t-shirt dan merchandise sementara menunggu update pesanan dari kawan-kawan. Nak tunggu lama-lama pun tak boleh sebab ada satu lagi tempat yang kami nak pergi lepas ni. Cukup setengah jam dan pesanan pun ditutup. Wife terus ambil semua pesanan dan selesaikan urusan belian di kaunter. Staff yang bertugas amat baik melayan daripada kami masuk hinggalah selesai pembelian. Patutnya staff yang jaga kaunter kat Malaysia Hall kena belajar dengan dia ni. Hehe.. Bukan setakat t-shirt je, tapi beg, fridge magnet dan shotglass pun ada yang order. Kami layankan aje. Pesanan dari kawan-kawan kena dilunaskan dengan penuh tanggungjawab. Hihi..

Selesai urusan di Hard Rock Cafe London. Terbaiklah..

Jam 6.30 petang kami keluar dari Rockshop. Lokasi terakhir kami pada malam ni adalah ke Harrods. Untuk ke sana kami boleh naik train Piccadilly Line di Hyde Park Corner. Tapi kami akan turun di stesen berikutnya. Memandangkan Piccadilly Line antara line yang paling sibuk dan kebarangkalian train delay akan berlaku, daripada naik train lebih baik kami jalan kaki je. Anak-anak masih ok untuk berjalan. Takde rasa penat katanya. Fuhh, hebat anak-anakku bila bab berjalan di oversea ye. Kalau kat 1Utama, baru jalan satu level dari hujung ke hujung dah mengeluh kepenatan. Hihi..


Walking route @ London Central


@ HARRODS

20 minit berjalan, akhirnya jam 6.50 petang kami sampai di Harrods. Kat sini lagilah ramai kawan-kawan yang memesan. Harrods adalah antara department store yang terbesar di Eropah, mempunyai 7 tingkat dan lebih 330 departments serta berpuluh restoran. Tapi kami bukan nak explore keseluruhan tingkat pun. Level kami hanya di barangan keluaran Harrods je. Yang lain tak mampu kami nak ronda sebab agak ekslusif barangan yang dijual kat sini. Anak-anak kena selalu dipantau dan bergerak dalam satu kumpulan kerana jumlah pengunjung yang ramai dan keluasan Harrods boleh menyebabkan tersesat jalan. Artis pun selalu datang ke sini. Kalau la dapat jumpa Adele kan best, boleh mintak bergambar. Jangan harap la.. Hahah..

Antara tempat kesukaan wife saya selain Bicester Village. Hehe..

Masuk ke dalam Harrods, kami terus mencari bahagian produk Harrods yang terletak di Lower Ground Floor. Masa 2012 dulu rasanya ia terletak kat tingkat paling atas sekali. Sampai di tingkat bawah, saya menjaga anak-anak sementera wife mencari barang pesanan dan untuk diri sendiri. Antara barang yang menjadi perhatian adalah tote bag dan juga beberapa barang yang lain. Saya satu benda pun takde nak dibeli kat sini. Sebab tu kena jaga anak-anak. Hehe.. Boleh tahan ramai juga orang kat floor ni. Bila sorang anak nak pergi tandas, semuanya kena pergi sekali. Takut diorang terlepas dari pandangan.

Dalam ni bukan kepakaran saya. So duduk jaga anak-anak je..

Sejam menunggu wife saya membeli-belah. Dah selesai kena beratur pulak kat kaunter VAT untuk claim tax. Selesai semua urusan, tepat jam 8.00 malam kami keluar dari Harrods. Hujan renyai mula turun, kemudian terus lebat dan berangin. Kami terpaksa berteduh kat bawah bangunan dan di hentian bas. Nasib baik hujan tak lama. 10 minit lepas tu hujan dah mula berhenti. Sebelum ia turun balik, kami cepat-cepat jalan dan masuk ke dalam Knightsbridge Station.

Berteduh kat mana yang sempat. Janji tak basah.

Sampai di dalam Knightsbridge Station, terkejutnya kami sebab terlalu ramai orang yang menunggu di platform. Kemudian kami dengar announcement bahawa train akan delay agak lama dan beberapa option diberikan untuk naik di stesen yang lain. Ramai juga yang keluar semula tapi kami tetap tunggu di platform. Malas nak jalan kaki. Dibuatnya hujan turun lagi masa kami jalan, jenuh pulak nak berlari. Takpelah, kami tunggu je lah kat sini hingga train sampai. Lepas ni takde nak kemana lagi. Dalam announcement takde pulak kata train cancel malam ni. Bermakna akan ada juga train yang sampai kejap lagi. Bersabarlah..

Ramai yang menunggu di platform. Ada yang keluar semula.

Setengah jam menunggu, akhirnya jam 8.40 malam berulah train Piccadilly Line sampai. Kami naik bersesak dengan penumpang yang lain dan turun di Piccadillly Circus Station. Kemudian kami tunggu train Bakerloo Line yang tiba 10 minit kemudian dan bawa kami terus ke Wembley Central Station. Jam 9.45 malam baru kami sampai di Wembley Central Station. Satu perjalanan yang agak lama untuk menaiki tube underground yang dikatakan antara perkhidmatan terbaik di dunia. Ini semua salah staff yang mogok tu. Habis semua orang terlibat sama. Huhu..

Tube route: From Knightsbridge Station to Wembley Central Station

Ingatkan dah boleh terus naik ke bilik. Anak-anak kata ayah dah janji nak pergi Tesco Express. Aduhai, bab beli jajan ni memang diorang takkan lupa ya. Hihi.. Tesco Express betul-betul kat depan travelodge, memang diroang tak lupa la. Kami pun masuk la ke dalam mencari jajan untuk diorang. Kena perhatikan betul-betul makanan yang diorang pilih. Takut ada ingredients yang tak boleh dimakan. Saya pilih roti plain untuk dimakan masa breakfast esok pagi. Boleh pulak ada maggi halal dijual di sini. Import dari Malaysia pulak tu. Budak-budak ni pantang nampak mee segera. Ration yang dibawa memang mee segera la yang habis dulu berbanding makanan yang lain. Beli juga lah. Produk dari Malaysia kot. Hihi.. Masa nak bayar, saya gunakan self-service lane. Saje je nak try walaupun ada lorong yang dijaga oleh cashier. Senang juga rupanya guna self-service ni. Hihi..

Maggi 50p. Kalau beli dua, convert harga boleh beli satu pack kat Malaysia. Huhu..

Seronok la anak-anak dapat jajan. Confirm malam ni semuanya habis. Suka betul diorang makan junk food. Sekali sekala apa salahnya. Kat Malaysia memang saya strict bab beli junk food. Mee segera saya amat jarang beli sebab bila beli, lepas 2 hari saya ke dapur nak makan, semuanya dah habis. Huhu.. Bila teringin nak makan barulah beli dan terus masak. Impian nak simpan maggi lama dalam almari takkan menjadi kenyataan. Hahah.. Jam 10.20 malam kami dah berada di bilik. Setelah bersihkan diri dan solat, saya dah bersiap-siap untuk tidur. Anak-anak masih leka melayan jajan sambil menonton tv. Kaki korang tak penat ke? Hari ni boleh dikatakan perjalanan menggunakan kaki yang paling jauh pernah direkodkan. Nasib korang la nak stay up malam ni. Jangan tak tidur langsung sudah la. Esok cadangan aktiviti agak santai, mungkin mulakan perjalanan agak lewat. Jadi boleh la tidur sepuasnya. Solat Subuh jangan lupa ya anak-anak. Jam 11.00 malam saya dah mula baring. Moga dipermudahkan urusan kami pada esok hari.


Wallahu 'alam..






Tuesday 1 February 2022

JJCP UK V2: Day 14 (Part #2)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..


HARI / TARIKH:
@ SELASA, 10 DISEMBER 2019

LOKASI KEJADIAN:
@ BOROUGH MARKET
@ BIG BEN
@ MALAYSIA HALL


Jam 12.35 tengahari kami keluar dari Chicken Cottage dan berjalan menuju ke destinasi berikutnya. Dalam perjalanan kami singgah di beberapa kedai souvenir untuk membeli kenangan buat kenalan rapat di Malaysia. Kepada yang order barang kat kami boleh la bagi souvenir sekali sebab bagi bisnes kat kami sebagai personal shopper tak bertauliah. Hihi.. Untuk keychain memang mahal juga harganya bila convert kepada RM. Fridge magnet murah sikit. Kalau nak lagi murah boleh la beli poskad aje. Hehe.. Nama pun souvenir, asal ada tulisan London kira ok la tu. Yang penting dari mana souvenir tu dibeli.

Jalan-jalan sambil mencari kedai souvenir

Keychain yang saya beli masa 2012 dulu masih ada banyak lagi extra di rumah. Biasalah, beli buat standby kalau yang dipakai putus atau hilang. London antara bandar yang boleh dikatakan murah juga barangan souvenir untuk dibawa pulang jika dibandingkan dengan bandar di negara lain terutamanya di Scandinavia. Ini kerana London lebih menjadi tumpuan kepada pelancong. Rasanya orang Malaysia lagi ramai ke London berbanding Copenhagen, Oslo atau Stockholm. Daripada ketiga-tiga bandar Scandinavia ni, Stockholm la yang paling murah kalau nak cari souvenir. Rupanya harga souvenir bergantung kepada jumlah pelancong juga ye. Hehe..

Beli souvenir pun kadang-kadang boleh lupa diri juga


@ BOROUGH MARKET

Seterusnya, kami meronda di salah satu market yang terbesar dan tertua di London, iaitu Borough Market. Ianya telah mula dibuka pada tahun 1756 dan sentiasa berkembang hingga ke hari ni. Daripada asalnya hanya kedai menjual produk sayuran, sekarang ni restoran, bar dan kedai menjual makanan banyak di sini. Lebih 100 kedai yang beroperasi. Kedai menjual makanan halal pun ada juga. Tapi kami tak mencarinya sebab baru je makan tadi. Kami hanya niat nak merentas market ni, masuk dari satu pintu dan keluar ke pintu lain. Hanya gerai-gerai di laluan kami je yang dapat kami lihat. Dapat pengalaman seketika di sini sudah cukup memuaskan hati.

London Central Map

Melayan suasana pasar terbesar di London

Apa yang menarik minat kami adalah gerai menjual cheese. Teringat masa trip ke Amsterdam dulu, di mana Netherlands adalah antara pengeluar cheese terbesar di dunia. Tapi saya tak suka sangat makan cheese. Dalam burger pun kalau boleh taknak cheese. Sekarang ni boleh dikatakan semua makanan nak diletakkan cheese. Bermula dari goreng pisang cheese yang pernah viral satu ketika dulu, hinggalah sekarang apam balik pun ada cheese. Huhu.. Anak-anak suka makan cheese. Diorang cuba rasa pebagai jenis cheese yang dijual. Saya tukang tengok je. Hihi.. Tak sampai setengah jam, kami dah keluar dari Borough Market. Seronok juga dapat tengok suasana peniaga di sini menjual produk masing-masing.

Banyak laluan masuk ke Borough Market

Keluar dari Borough Market, kami berjalan masuk ke London Bridge Station. Anak-anak tanya mana satu London Bridge yang famous dalam lagu kanak-kanak tu. Diorang ingatkan jambatan Tower Bridge tadi adalah London Bridge. Bukan, London Bridge famous masa zaman dulu je. Dalam lagu tu kan liriknya London Bridge is falling down. Hehe.. Sekarang rekabentuk jambatan dia pun tak menarik, seperti jambatan biasa yang lain. Tak cantik langsung bila nak dibandingkan dengan Tower Bridge yang lebih gah dan popular. Dalam London Bridge Station kelihatan ramai orang sedang menunggu train. Ini mesti kes train delay lagi. Huhu.. Makin panjang la janggut saya menunggu train sampai.

Dah agak banyak train line yang terjejas. Bertabahlah..

Nasib baik masa kami sampai di platform, train Jubilee Line pun sampai. Maka bersesak la kami naik ke dalam train. Kalau terlepas, tak tau berapa lama lagi kena tunggu. Perjalanan kami pun tak jauh, hanya sampai di 3 stesen yang berikutnya. Bertahan la sesak sikit ya dengan stroller kami yang makan ruang dalam train. Hihi.. Yang penting anak-anak jangan berjauhan. Takut ada yang terlepas bila turun train nanti. Satu hal pulak nak mencari. 5 minit perjalanan dalam train, akhirnya kami sampai di Westminster Station.

Tube route: From London Bridge Station to Westminster Station

Sampai sudah di Westminster Station


@ BIG BEN

Westminster Station adalah tube station yang wajib turun kepada pelancong. Keluar je dari stesen, terus nampak Big Ben di seberang jalan. Toleh ke sebelah River Thames pulak nampak London Eye di seberang sungai. Kalau di Paris mercu tanda popular adalah Eiffel Tower, di London sudah tentu Big Ben. Tipulah kalau pertama kali datang ke London tak pergi tengok Big Ben. Tak lengkap melancong di London kalau tak bergambar di Big Ben. Tapi kali ni agak malang bagi kami kerana Big Ben tengah dinaiktaraf. Jadi tak nampak bentuk sebenar seperti yang dilihat dalam tv. Anak-anak serta Fa dan Abang Fikri la kecewa. Saya dan wife dah tengok masa 2012 dulu. Hihi.. Takpelah, janji dah cukup syarat sampai di lokasi Big Ben.

Big Ben dalam fasa naiktaraf. Huhu..

Takde rezeki nak tengok bentuk sebenar Big Ben kali ni. Agak cacat juga la pemandangan palang-palang besi yang menutupi Big Ben tu. Bila la agaknya siap dinaiktaraf. Mungkin lebih cantik dan menarik bila dah siap nanti. Barulah ada alasan nak datang sini lagi. Hehe.. Untuk London Eye, kami cuma lihat dari Westminster Millenium Pier di seberang sungai je. Nak jalan ke sana bukannya kami nak naik pun. Jadilah dapat melihat secara live di depan mata. Mahal sangat la nak naik London Eye. Kalau murah teringin juga nak naik. Trip bajet, tengok dari kejauhan je lah ye. Hehe..

London Central Map

Balik nanti kita naik ferris wheel kat funfair ye. Sama je. Hehe..

Selesai bergambar kenangan walaupun tak puas sebab Big Ben tak siap, jam 2.10 petang kami masuk semula ke dalam Westminster Station untuk ke lokasi seterusnya. Tak sampai 10 minit menunggu, train Circle Line sampai dan kami naik. Hampir 20 minit perjalanan, kami turun di Bayswater Station. Ke mana lagi turun kat sini kalau bukan ke Malaysia Hall. Setiap kali datang ke London mesti kena datang sini. Bukan apa, kat sini ada surau dan juga kantin. Boleh la makan jika rindu masakan Malaysia. Dulu saya dan wife makan nasi ayam dan nasi campur, rasanya sama seperti makan di Malaysia. Cuma harganya la tak boleh buat apa. London kot, takkan nak banding dengan harga nasi ayam hainan kat Damansara Uptown pulak kan. Hehe.. 

Tube route: From Westminster Station to Bayswater Station

Dari Bayswater Station, kami berjalan menyusuri deretan bangunan menuju ke Malaysia Hall. Selain dari kantin di Malaysia Hall, di sini juga ada beberapa restoran halal tapi agak eksklusif. Maknanya harga makanan dia pun faham-faham je lah. Ahli kayangan dari Malaysia pasti la makan kat sini. Apa kelass makan kat kantin Malaysia Hall kan. Hihi.. Duit masing-masing, ikut lah mana-mana pun yang dapat memuaskan hati. Janji jangan guna duit orang lain untuk kesenangan diri.

Selain restoran halal, kedai tealive pun ada kat sini


@ MALAYSIA HALL

15 minit berjalan kaki, akhirnya kami sampai di depan Malaysia Hall. Kami masuk ikut pintu utama. Masuk je ke dalam, kami ditegur agak kasar oleh staff perempuan yang duduk di kaunter. Dia kata jangan buat bising. Memang saya akui si kecil Eirfan suka cakap tak berhenti. Tapi cara tegur tu biarlah berhemah sikit. Huhu.. Kami maklum nak tumpang solat di surau. Staff tu kata turun ikut tangga, jangan guna lif. Kami bawak stroller kot. Saya dan yang lain turun dulu ikut tangga untuk solat sementara wife tunggu di depan kaunter bersama Eirfan dan stroller. Lepas habis solat nanti saya naik ke atas semula dan bawa turun stroller.

Pintu masuk Malaysia Hall. Surau dan kantin di aras bawah.

Ruang solat di sini agak besar juga. Selesa jugalah untuk 15 ke 20 orang jemaah dalam satu masa. Ramai juga orang Malaysia kat bawah ni. Selesai solat jamak, saya bersiap untuk naik semula dan bawa turun stroller. Rupanya wife saya dah ada di kantin. Wife saya kata masa staff perempuan tu beredar dari kaunter, ada seorang staff lelaki bagi kebenaran wife gunakan lif untuk turun ke bawah. Alhamdulillah, ada juga staff Malaysia yang baik hati. Guna lif je kot, takkan la itu pun menjadi masalah besar buat Malaysia Hall. Huhu.. Kalau kami tak bawa stroller, takde masalah nak guna tangga. Apa agaknya masalah perempuan tu ya. Lain macam lagaknya.

Ruang solat di Malaysia Hall

Kami masih kenyang lagi. Anak-anak pun taknak makan. Jadi saya hanya pilih kuih yang dihidangkan di kaunter bersama air teh tarik. Kuih di sini berharga dalam 50-60p untuk sebiji dan teh tarik berharga GBP1.00. Selepas jam 1.00 petang hidangan minum petang dan masakan ala carte sahaja yang disediakan. Nasi campur berlauk kena datang sebelum waktu tu. Kantin penuh juga dengan pelancong dari Malaysia. Cukuplah makan kuih sekadar syarat dah sampai di kantin Malaysia Hall. Dapat jugalah sumbang ekonomi di sini walaupun beli kuih aje. Hihi.. Non-Malaysian tak boleh datang ke sini melainkan dia dibawa oleh orang Malaysia. Agak strict juga ya. Bagus lah macam tu untuk jaga keselamatan Malaysia Hall.

Kita minum petang di sini

Selesai makan, sementara tunggu wife salinkan pakaian Eirfan, saya tunggu di luar dan berborak dengan seorang pelancong dari Malaysia. Dia travel berempat bersama wife dan kawannya juga bawa wife. Macam kami berempat travel ke Western Europe dulu. Diorang pertama kali travel ke sini, sebab tu tak bawa anak-anak. Sama juga. Saya pun baru kali ni bawa anak-anak. Dia baru sampai di sini semalam dan esok akan sewa kereta pusing satu England selama 10 hari. Moga dipermudahkan urusan brader. 10 minit berborak, wife saya pun keluar dari Malaysia Hall. Lalu depan kaunter buat tak nampak je staff perempuan tadi. Serius sombong yang amat. Kami sedar kami orang luar datang ke sini menumpang solat dan makan di kantin. Tapi kami orang Malaysia juga. Puan patut bersyukur dapat kerja di luar negara. Tak semua orang dapat merasa peluang macam puan. Tapi manners puan agak kelaut lah. Huhu.. Dari Malaysia Hall, kami berjalan melalui Kensington Garden dan bersambung dengan Hyde Park menuju ke destinasi berikutnya. Cuaca dah makin gelap.

Melayan suasana senja di Hyde Park

Agak jauh juga kami menapak. Risau kalau anak-anak keletihan. Tapi nampak macam seronok je diorang. Siap berlari lagi kat taman. Kira ok lah tu. Hihi.. Bila dah malam, nak tengok pemandangan pun tak seronok. Jadi untuk menghabiskan masa malam ni, kami hanya jalan-jalan sambil masuk ke kedai untuk mencuci mata. Apa lagi yang boleh dibuat bila dah malam. Nak balik travelodge malam masih muda. Rugi duduk dalam bilik lama-lama. Balik Malaysia nanti boleh rehat panjang dalam bilik. Hehe.. Moga dapat pengalaman baru pada malam ni di London.


Wallahu 'alam..

JJCP UK V2: Day 14 (Part #1)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..


HARI / TARIKH:
@ SELASA, 10 DISEMBER 2019

LOKASI KEJADIAN:
@ THE HARRY POTTER SHOP
@ TOWER BRIDGE
@ CHICKEN COTTAGE


Jam 5.30 saya dan wife bangun dari tidur. Lepas mandi dan bersiap untuk solat Subuh, saya kejut anak-anak untuk mandi. Diorang request untuk solat dulu dan mandi kemudian. Lepas solat diorang nak sambung tidur semula sebab masih mengantuk. Saya bagi sejam je masa untuk tidur. Mana boleh tidur lama. Rugi masa untuk berjalan hari ni. Saya dan wife breakfast dulu, habiskan ration yang dibawa. Rasanya boleh habis semua ration di hari terakhir kami nanti. Memang terbaiklah saya budget ration yang dibawa. Hihi.. 


Patutlah masing-masing mengantuk lagi. Malam tadi cuaca amat sejuk rupanya. Lepas solat Subuh tarik selimut la. Jam 7.30 pagi saya kejut semula anak-anak. Selagi tak kejut memang takkan bangun punya. Lepas diorang mandi dan breakfast, kami bersiap-siap untuk keluar. Fa dan Abang Fikri dah lama ada kat bawah. Diorang meronda dalam Tesco Express kot mencari breakfast. Semalam kan diorang tak join kami makan malam. Tesco Express dah buka seawal jam 6.00 pagi. Seronok masuk dalam supermarket kat sini di awal pagi. Tambah kalau lalu kat bahagian bakeri. Bau semerbak pun dah boleh tau kelazatan roti yang dijual. Hihi.. Jam 8.30 pagi baru kami turun ke bawah.

Pintu masuk ke travelodge. Good morning London!

Anak-anak ajak masuk Tesco Express. Dah jangan nak mengada. Patut bangun jam 6.00 pagi tadi boleh turun ke bawah. Siapa suruh tidur balik. Balik nanti baru kita masuk Tesco Express beli jajan untuk makan malam. Kami berjalan menuju ke Wembley Central Station. Aktiviti pertama hari ni nak pergi ke satu tempat yang popular dan membeli pesanan dari kawan-kawan. Tempat ni saya tak pergi masa trip 2012 dulu. Kiranya kami semua first timer ke tempat tersebut.

Menunggu train sampai di Wembley Central Station

Ramai juga penumpang menunggu train pagi ni. Kebanyakannya berpakaian kerja. Mesti train penuh dengan manusia bila sampai kejap lagi. Semua oyster card saya pegang. Masa nak tap je baru bagi. Takut juga kalau oyster kad terjatuh atau hilang. Bukannya murah harga kad tu. Huhu.. Jam 8.50 pagi train Bakerloo Line tiba di stesen. Kami naik ke dalam train bersama-sama penumpang yang lain. Seperti dijangka, train ramai penumpang tapi tak sesak. Masih ada tempat duduk untuk wife dan anak.

Penjaga pintu tube abadi. Hihi..

Sampai di Oxford Circus Station, kami turun dan menunggu train dari Victoria Line pula. Saya dapat rasakan ada masalah dengan perkhidmatan train di sini. Semalam hampir 2 jam perjalanan kami dari Heathrow Airport ke Wembley Central. Masa menunggu train sampai yang lama. Saya browse mencari maklumat. Rupanya sejak 2 Disember yang lalu, ada isu berkenaan staff South Western Railway yang memulakan mogok selama 27 hari membuatkan banyak perkhidmatan train yang tergendala kerana kekurangan staff.

Isu tentang train bermula pada 2 Disember yang lalu

Disebabkan masa yang lama menunggu train sampai, saya browse lagi berita tentang train kat sini. Berita semalam menyatakan train Eurostar dari London ke Paris dibatalkan sepanjang Disember kerana pekerja sektor awam di France buat mogok besar-besaran. Fuhh, banyak betul isu pasal train. Kebetulan masa kami ada kat sini pulak tu. Huhu.. Patutlah saya rasa macam tak lancar je perjalanan semalam dan pagi ni. Masa menunggu train sampai lebih lama. Walaupun hanya beberapa train yang terkesan, sebenarnya ia melibatkan semua jadual perjalanan train kat sini. Nak buat macam mana. Terpaksalah hadap jua biarpun sampai lewat ke destinasi.

Yang ni pulak berita semalam. Aduhai..

Saya pernah naik Eurostar masa 2012 dulu. Nasib baik la kali ni saya takde plan untuk ke Paris walaupun Eirfan selalu sebut nak tengok Eiffel Tower. Mungkin ada hikmahnya. Bayangkan kalau saya dah beli tiket, dah tentu tarikh hari ni atau esok kami akan ke Paris dengan Eurostar. Bayaran tiket mungkin boleh dapat semula. Tapi bayaran hotel di Paris kalau kami bermalam di sana sudah tentu takkan dapat sebab selalunya bilik yang murah non-refundable, sama macam tiket flight. Huhu.. Amat bernasib baik takde plan nak ke Paris. Satu hari nanti ayah bawak Eirfan pergi tengok Eiffel Tower yang macam pencawang elektrik tu ye. Hihi..


Berjalan ke Victoria Line di Platform 6

Jam 9.35 pagi train Victoria Line sampai di platform. Kami naik dan tak sampai 10 minit kami turun di King's Cross St. Pancras Station. Keadaan amat lengang di sini. King's Cross St. Pancras adalah antara stesen yang paling sibuk kerana di sini train Eurostar mulakan perjalanan menuju ke Paris. Orang tak ramai kerana pekerja France mogok punya pasal. Huhu.. Kesian kepada penumpang yang nak ke Paris sambut Krismas pada tahun ni. Terpaksalah guna option yang lain seperti naik feri atau flight. Silap haribulan tiket pun dah habis dijual sepanjang Disember ni. Nasib badan..

Tube route: From Wembley Central Station to King's Cross Station

Suasana di King's Cross St. Pancras Station. Lengang..


@ THE HARRY POTTER SHOP

Lepas bergambar di luar, kami berjalan ke destinasi pertama kami untuk hari ni iaitu The Harry Potter Shop yang terletak di dalam King's Cross Station. Walaupun banyak kedai lain yang menjual barangan Harry Potter di sini, tapi dah alang-alang membeli pesanan kawan lebih baik kami ke kedai utama. Jujurnya saya sendiri sebenarnya tak minat dengan Harry Potter. Movie dia saya cuma tengok part 1 dan 2 aje. Part 3 saya tengok separuh jalan dan tertidur. Itulah pengakhiran tontonan movie Harry Potter. Hihi.. Mungkin saya tak minat genre movie macam ni kot. Tapi dalam kes hari ni, saya ke sini sebab ada kawan yang memesan. Kami pun belikan la sambil mencari souvenir tanda dah sampai di sini.

The Harry Potter Shop yang terletak di King's Cross Station

Di tepi bahagian luar kedai ni terdapat replika troli seperti dalam scene Harry Potter masuk ke dalam Platform 9 3/4. Kelihatan ramai yang beratur untuk ambil gambar seperti dalam scene tersebut. Ingatkan free, rupanya kena bayar. Saya yang tak minat memang takde la nak bergambar secara berbayar. Ambil gambar orang lain dari tepi je dah cukup buat syarat. Hehe.. Tak dinafikan Harry Potter ramai peminat di seluruh dunia especially penduduk di sini. Sama la macam kita. Filem Maria Mariana dan Tragedi Oktober kan ramai peminat pada satu ketika dulu. Hehe.. Saya tak pernah tengok pun. First movie yang saya tengok kat wayang adalah Jurrasic Park pada tahun 1993. Setelah umur 15 tahun baru tau macam mana suasana dan keadaan dalam panggung wayang. Masa tu layan dengan kawan-kawan sekolah kat panggung Cathay sebelah The Store di Ipoh. Kenangan tu. Hihi..

Troli melekat kat dinding pun boleh buat duit

Saya masuk ke dalam kedai melihat barangan yang dijual. Kawan yang memesan ada 4 orang anak. Sedang elok la dia pesan semua barang ikut 4 rumah yang ada dalam movie tu. Saya pun ada 4 orang anak. Tapi anak-anak saya macam tak berminat je dengan Harry Potter. Menarik juga kan bila semua keluar nak pergi sekolah pakai 4 beg ikut team Harry Potter. Hihi.. Harga barang dia boleh tahan keras juga. Nak beli fridge magnet untuk kenangan pun kena fikir 2-3 kali. Kalau tak beli nanti menyesal pulak. Bukannya selalu datang ke sini, melainkan ada yang memesan untuk trip akan datang. Itupun kalau ada trip lagi la. In shaa Allah, aminn..

Peminat tegar Harry Potter wajib datang ke sini

Selesai membeli barang pesanan di Harry Potter Shop, kami teruskan perjalanan menuju ke landmark berikutnya. Cadangan awal saya ingat nak ikut route yang saya dan wife guna masa trip 2012 dulu. Dalam satu hari banyak landmark dan monument popular di London kami boleh cover. Bukannya perlu lama pun kat satu-satu tempat. Takkan la sampai sejam nak melihat dan menghayati Big Ben kot. Hehe.. Ambil gambar beberapa keping buat kenangan, lepas tu boleh dah gerak ke tempat lain. Yang penting semua landmark yang utama dapat kami singgah. Kita bagi anak-anak dan Fa tengok semuanya depan mata. Sebelum ni dapat tengok dalam tv dan intenet je kan. Dari Harry Potter Shop kami berjalan menuju ke King's Cross St. Pancras Station dan menunggu train Circle Line. Lama juga kami menunggu hinggalah train Metropolitan Line sampai. Kami naik jugalah sebab nanti boleh tukar kepada Circle Line di Aldgate Station. Sampai di Aldgate Station, kami terpaksa tunggu lagi.

Menunggu train Circle Line di Aldgate Station

Lembab sungguh sistem tube hari ni. Ini semua akibat daripada mogok staff South Western Railway dan di France tu lah. Memang terkesan sungguh. Mesti ramai yang masuk kerja lambat minggu ni. Selagi mogok tak habis, selagi itulah banyak perkhidmatan train tergendala. Jam 10.50 pagi barulah train Circle Line sampai dan bawa kami ke Tower Hill Station. Kalau tau lambat macam ni, dari tadi lagi kami dah keluar dari Aldgate Station dan jalan kaki. Bayangkan dari jam 10.00 pagi tadi kami di King's Cross St. Pancras Station, jam 11.00 pagi baru sampai di Tower Hill Station. Sama macam jalan kaki je. Teruk la macam ni. Dah la waktu siang singkat. Huhu..

Tube route: From King's Cross St. Pancras Station to Tower Hill Station


@ TOWER BRIDGE

Hujan renyai mula membasahi bumi London, menambah kesejukan suasana. Kami bawa baju hujan tapi malas nak pakai. Pakat redah je la ye. Tak lebat sangat pun. Setelah wife pasang cover plastik pada stroller, kami mula meredah hujan berjalan menuju ke salah satu landmark yang terkenal di sini iaitu Tower Bridge. Ini kali kedua saya dan wife dah sampai di sini tapi masih tak dapat tengok bagaimana jambatan ni terangkat. Dalam website kata jambatan ni akan berfungsi sebanyak 800 kali dalam masa setahun. Tapi tak dijelaskan waktu ianya terangkat. Susah la saya nak set masa yang tepat datang ke sini semasa ia terangkat sebab kami bukannya ada masa yang panjang di London. 3rd time lucky maybe? Wallahu 'alam..

Tower Hill dan Tower Bridge antara landmark yang 'must-see' di London

Masa berjalan meredah hujan renyai, saya berada di depan. Wife saya kata ada satu couple yang ikut rapat di belakang dia. Mungkin berniat tak baik, iaitu cubaan untuk pick-pocket. Saya tak perasan yang wife saya sound couple tu. Lepas kena sound, terus couple tu potong dan jalan laju meninggalkan kami. Tengok rupa macam orang luar. Wife saya dah la fobia masa beg kena buka dalam train di Milan dulu. Bila wife saya dah mula sound seseorang maknanya memang ada niat tak baik la couple tu. Alert dan instinct itu penting. Wife saya kata setiap kali kami berhenti ambil gambar, couple tu pun berhenti di belakang dia. Saya tak perasan langsung sebab memikirkan hujan dan sibuk mengambil gambar pemandangan. Nasib baik tak jadi apa-apa kat kami.

Di tengah jambatan, sambil berteduh sekejap dari hujan

Saya masih ingat di sini juga masa 2012 dulu saya dan wife ditegur oleh seorang perempuan. Amat ramah perempuan tersebut berborak dengan kami. Lepas tu dia bagi pamphlet tentang gereja. Lain macam pulak modus operandi dia untuk ajak orang ke gereja. Siap cerita kebaikan jika beragama kristian dan macam-macam lagi. Takut kami dibuatnya. Disebabkan dia approach dengan cara baik, jadi kami pun menolak dengan cara yang sama. Bahaya jika masa tu ada orang yang sedang dalam konflik. Memang mudah la terpengaruh. Huhu.. Hati-hati ya bila berada di bumi orang. Kadang-kadang perkara yang tak dijangka akan berlaku. Memang betul banyak negara yang maju, indah dan cantik dari Malaysia, tapi nak letak wallet kat poket belakang seluar pun takut. Cuma percaya pada diri, jika niat baik untuk mengembara maka in shaa Allah hasilnya akan baik juga.

Visit Tower Bridge.. Done!

Hujan renyai dan ditambah dengan waktu menunggu yang lama di train station, maka perut anak-anak pun lapar. Cadangan untuk makan pada lewat tengahari terpaksa dipercepatkan dan lokasi tempat makan juga berubah daripada itinerary asal. Setelah melintasi jambatan, kami berjalan menuju ke destinasi seterusnya sambil melihat jika terjumpa restoran halal. Kami melalui blok bangunan di sepanjang Tooley Street. Asalnya nak jalan di hadapan City Hall dan kapal HMS Belfast yang terletak di tepi sungai sambil menikmati River Thames. Tapi disebabkan hujan masih turun lagi, maka kami terpaksa ikut jalan lain dan menyusur di blok bangunan untuk mengelakkan pakaian kami basah kuyup. Setakat lembap boleh tahan lagi. Bila dah kuyup dan air menitik, nak masuk restoran pun malu. Hihi..



@ CHICKEN COTTAGE

Sempat juga kami masuk sekejap di dalam supermarket untuk memanaskan badan. Bahaya kalau lama kat dalam supermarket. Ada je benda yang nak dibelinya nanti. Hihi.. Saya browse lokasi restoran halal berhampiran untuk makan tengahari. Ada satu restoran halal iaitu Chicken Cottage dalam 350 meter dari supermarket. Kami terus ke sana. Kira boleh la sebab kami dah pernah makan di Chicken Cottage masa kat Coventry haritu. Anak-anak pun kata sedap ayam goreng dia. Walaupun ayam KFC lagi sedap, tapi bila dah jumpa restoran halal di waktu macam ni memang semuanya sedap. Kalau masa ni jumpa restoran Lebanon yang jual nasi berempah pun boleh jadi sedap rasanya. Hehe.. Dah sampai depan restoran, apa lagi.. Jom masuk dan makan..

Kali ni nak try menu lain pulak

Meja makan agak terhad tetapi sekarang masih belum waktu lunch bagi pejabat kat sini. Ada beberapa pelanggan sedang beratur di kaunter. Time lunch nanti mesti penuh restoran ni sebab hujan di luar. Kalau cuaca cerah selalunya diorang makan di kawasan terbuka seperti taman dan mana-mana tempat duduk yang disediakan. Kat sini best la sebab cuaca sejuk. Cuba buat kat KL waktu tengahari. Alamatnya makan sambil berpeluh ja jawabnya. Habis basah ketiak. Huhu.. Kalau ada pokok untuk berteduh boleh tahan lagi. Kali ni anak-anak request nak makan ayam panggang. Tapi ayam goreng nak juga. Fuhh, mudahnya mereka order makan kan.. Layankan aje. Nanti diorang juga yang kena kerja keras bawa barang dan angkat beg. Hehe..

Anak-anak taknak cuba burger dan nugget juga ke? Hihi..

Saya order whole grilled chicken meals yang berharga GBP10.99 dan chicken medley meals yang berharga GBP6.49. Selepas buat bayaran di kaunter, tak sampai 5 minit makanan kami dah tersedia di atas tray untuk dibawa ke meja makan. Sesungguhnya makan dalam keadaan pakaian yang lembap dan kesejukan amat menyelerakan. Hihi.. Eimran dah ada keinginan untuk tambah makanan lagi. Tak dinafikan beliau memang kuat makan dan 'tanker' pada keluarga kami. Mana-mana makanan yang adik-adiknya tak habis, dia akan selesaikan. Apa-apa pun kasi habis dulu yang depan mata ni. Kalau tak cukup boleh je order lain. Eimran nanti nak kerja keras bantu angkat beg. Kita bagi reward in advance dulu. Hahah..

Dapat air tin sekali dalam meals. Kami minum air mineral yang dibawa je.

Alhamdulillah, kenyang kami satu keluarga. Eimran tak jadi nak order lain sebab adik-adiknya makan sikit je. Maka Eimran terpaksa korbankan ruang dalam perutnya. Hehe.. Selesai makan kami bersiap-siap untuk teruskan perjalanan. Seperti dijangka, pelanggan dah mula ramai dan beratur panjang di kaunter. Cuaca di luar masih mendung tetapi hujan dah berhenti. Nampak gayanya sepanjang hari lah cuaca macam ni dan hujan pasti akan turun semula. Harap-harap jangan lebat sangat sebab hari ni banyak aktiviti berjalan di luar. Kalau hujan lebat terpaksalah kami pakai baju hujan. Moga plan kami untuk hari ni mencapai objektif walaupun banyak masa dihabiskan dengan menunggu train sampai.

Wallahu ' alam..