Tuesday 15 March 2022

JJCP UK V2: Day 15 (Part #3)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..


HARI/TARIKH:
@ RABU, 11 DISEMBER 2019

LOKASI KEJADIAN:
@ OXFORD STREET
@ SPICY BASIL


Alhamdulillah, tak sampai 10 minit menunggu akhirnya train Hammersmith & City Line tiba di platform. Ramai sungguh penumpang yang keluar dan masuk train. Kami terpaksa berhimpit untuk masuk. Nasib baik hanya satu stesen je kami di dalam train. Tak sampai 5 minit perjalanan, kami turun di Liverpool Street Station dan tukar kepada train yang lain. Keadaan di dalam stesen amat padat dengan orang ramai yang baru pulang dari kerja. Liverpool Street Station adalah antara stesen yang paling ramai penumpang kerana terdapat 4 train lines yang berhenti di sini.

Orang ramai mula pulang dari kerja

15 minit menunggu dan train Central Line tiba di platform. Kali ni lagi ramai penumpang yang naik. Terpaksalah kami berasak-asak dan pastikan semua anak-anak masuk ke dalam train. Dah la bawa stroller, lagi susah nak menyelit masuk. Huhu.. Nasiblah, janji dapat naik. Nak tunggu train berikutnya takut lambat dan orang makin ramai sebab sekarang memang waktu kemuncak untuk perkhidmatan train di London. Samalah macam di KL. Bila waktu balik kerja je bukan setakat jalan jem, naik train pun boleh sangkut. Kalau hujan lagilah teruk. Nasib baik la saya naik motor je pergi kerja. Hihi..

Tube route: From Aldgate East Station to Oxford Circus Station

Jam 6.25 petang setelah bersesak dalam train yang macam tin sardin, akhirnya train sampai di Oxford Circus Station. Lebih separuh penumpang yang turun di sini. Terus jadi lengang keadaan dalam train sebab tak ramai pun yang naik. Rupanya semua yang balik kerja nak bershopping kat Oxford Street dulu kot sebelum balik ke rumah. Lagi 2 minggu kan nak sambut Krismas. Sama je la keadaannya masa bulan puasa. Ramadhan dah separuh bulan mulalah bersemangat shopping untuk raya. Dulu mungkin semangat raya lain macam sebab mak dan ayah masih ada lagi. Sekarang sambut biasa-biasa je, lebih kepada menggembirakan hati anak-anak.


Jom jalan-jalan dan cuci mata kat sini


@ OXFORD STREET

Oxford Street, lokasi wajib kalau berada di London. Tak shopping pun takde masalah, hanya jalan-jalan cuci mata kerana di sinilah tempat yang paling happening di waktu malam. Sepanjang jalan di sini terdapat banyak butik-butik yang terkenal. Kepada yang kaki shopping tu standby jelah duit banyak-banyak ye. Hihi.. Kami keluar dari stesen bersama orang ramai. Seperti yang dijangka, Oxford Street penuh dengan manusia. Jalanraya pun dihiasi dengan dekorasi Krismas menambah keceriaan suasana di sekeliling. Nasib baik la kami ni tak bawak duit yang banyak. Misi hanya untuk menyambung pembelian dari pesanan rakan-rakan.

Malam masih muda. Baru pukul 6.30 petang. Hihi..

Di sini saya hanya tunjukkan lokasi butik yang wife saya nak masuk. Bila dia masuk, saya dan anak-anak tunggu di luar. Lagi seronok tengok gelagat orang ramai daripada tengok handbag. Hihi.. Eimran seperti biasa memang pantang nampak butik kasut. Semua kedai kasut dia masuk. Bila keluar dia akan buat muka teruja sambil terangkan kasut yang dia tengok kat dalam tu dengan harapan ayah dia akan kesian dan terpengaruh dengan pujuk rayu dia. Dah 3 pasang kasut dia beli. Belum campur kasut hitam sekolah lagi. Haishh, buat apa nak beli kasut banyak-banyak. Bukannya pakai setiap hari pun. Ayah yang bekerja ni pun dah bertahun-tahun pakai kasut yang sama. Cukup-cukup la ya anakku. Nanti kasut yang dibeli tu dah lusuh dan koyak, kita datang sini lagi dan beli ok. Hihi..

Meriah sungguh warna-warni di Oxford Street

Beberapa butik telah kami terjah dan ada hasil yang berjaya dibeli dari pesanan rakan-rakan. Tapi ada juga yang wife saya tak dapat cari kerana harga yang mahal atau tiada stok di butik. Kira tiada rezeki buat rakan-rakan untuk memiliki sesuatu dari London. Agak kagum juga kerana kaki kami langsung tak terasa lenguh walaupun berdiri di sepanjang masa. Biasanya kalau berada di tempat yang menyeronokkan memang tak terasa letih. Masa yang berlalu lebih 2 jam pun tak sedar. Cuma perut je lah mula lapar. Memang itu tujuannya supaya dapat makan malam sepuasnya kejap lagi. Hihi..

Walking route: London Central

Puas sungguh dapat jalan-jalan merasai suasana malam yang happening di Oxford Street. Wife pun puas hati dapat apa yang dicari. Seterusnya, kami masuk ke dalam Bond Street Station untuk ke destinasi berikutnya, iaitu sesi makan malam yang terakhir di London. 10 minit menunggu di platform, akhirnya jam 8.50 malam train Jubilee Line pun sampai. Tak ramai penumpang, boleh la duduk hingga sampai di stesen yang dituju. Lega sungguh bila dapat duduk setelah lebih 2 jam berdiri. Diorang semua tak tau turun dari train nanti kena jalan jauh lagi. Hihi.. Malam last kan, layankan aje lah..

Tube route: From Bond Street Station to Kilburn Station

Perjalanan yang sepatutnya hanya 5 minit je bertambah menjadi 15 minit. Memang terasa train bergerak dengan agak perlahan. Jam 9.05 malam train tiba di Kilburn Station. Anak-anak dah teruja nak makan malam. Keluar je dari stesen kelihatan beberapa restoran halal di sepanjang jalan. Semua teka restoran mana yang kami nak pergi. Setakat ni semuanya salah sebab restoran yang dituju masih jauh lagi. Hihi.. Nasib baik keadaan jalan agak menuruni bukit sedikit. Takdelah letih nak menapak. Makin lama keadaan jalan menjadi lengang dan banyak kedai yang dah tutup. Saya pulak yang menjadi risau kalau restoran yang dituju juga tutup. Punyalah jauh berjalan, sekali tak dapat makan. Memang hangin semuanya nanti sebab kena scam dengan saya. Hahah.. Kalau restoran yang dituju tutup, kita makan je lah kat mana-mana restoran halal yang kita lalu tadi. Habis cerita.

Banyak juga kedai dan restoran halal di sini


@ SPICY BASIL

Akhirnya, setelah 15 minit berjalan kaki, di depan kami kelihatan signboard restoran yang dituju dan masih bercahaya. Lega sebab tak kena scam dengan saya. Hihi.. Kedai-kedai lain di sekeliling restoran semuanya dah tutup. Ruang makan agak limited tetapi masih ada meja yang kosong untuk kami. Sebelum orang lain ambil tempat, dengan pantas kami masuk ke dalam. Kami disambut dengan mesra oleh pekerja restoran dan juga bau masakan yang sedap dari dapur yang terletak di belakang kaunter. Spicy Basil adalah restoran yang menyediakan masakan Thai. Daripada review yang saya baca, boleh dikatakan semua menu yang ditawarkan sedap dan rasanya asli dari Thailand. Yang penting ianya berstatus halal.

Walking route: From Kilburn Station to Spicy Basil

Alhamdulillah, dapat juga kami makan di sini

Kami melihat menu yang diberi. Disebabkan ini makan malam yang terakhir, jadi anak-anak boleh pilih nak makan apa saja. Saya order beef with ginger, garlic and spring onion yang berharga GBP7.00 untuk saya, spicy and sour chicken tom yum yang berharga GBP7.00 untuk wife, beef green curry berharga GBP7.00 untuk Eimran, beef noodle berharga GBP6.00 untuk Eiman, egg noodle berharga GBP5.50 untuk Elysha dan egg fried rice berharga GBP3.50 untuk Eirfan. Haaa, semua pilih menu yang lain. Barulah boleh curi rasa sikit. Hihi.. Untuk air saya order Thai tea berharga GBP2.00 dan 2 tin air gas berharga GBP2.40. Air mineral yang dibawa masih ada lagi untuk standby kalau masakan pedas. Hihi.. Sementara menunggu makanan kami sampai, 2 orang pekerja seronok melayan kerenah Eirfan. Dia terkejut sebab Eirfan tak pakai stokin. Saya pun tak tau macamana Eirfan boleh tahan dengan cuaca sejuk. Sepanjang dia duduk dalam stroller memang dia taknak pakai stokin. Lain macam struktur kulit budak ni. Hihi..

Harap-harap betul lah sedap seperti dalam review

10 minit menunggu, satu persatu makanan kami sampai di meja. Melihat kepada keseluruhan rupa bentuk makanan, memang nampak macam sedap. Kalau tak sedap saya pasti bagi bad review sebab bukannya murah makanan yang kami dah order. Setiap sorang satu menu pulak tu. Macam biasa, sebelum makan kita ambil bau dan gambar dulu. Bila semua makanan dah sampai di atas meja, barulah kami mulakan santapan. Bismillah..

Dari rupa memang nampak sedap

Satu suapan masuk ke dalam mulut. Aduhai, sedap yang amat!.. Rasanya memang original authentic Thai. Portion pun besar juga untuk satu menu. Saya rasa sikit kesemuanya. Memang terbaiklah makanan kat restoran ni. Benar 100% seperti yang saya baca dalam review. Walaupun harganya agak mahal, tapi amatlah berbaloi dengan saiz dan rasanya. Tak rugilah. Makan sampai ke butiran nasi yang terakhir, licin semua pinggan. Elysha dan Eiman yang tak kuat makan pun boleh habiskan. Jangan terpedaya dengan rupa nasi gorang telur Eirfan tu. Pada saya inilah antara nasi goreng simple yang paling sedap saya pernah makan dalam hidup.

Makanan di Spicy Basil amat terbaik..

Seronok dan puasnya kami dapat makan di Spicy Basil. Tak sia-sia jalan jauh untuk ke sini. By far, the best meals on this entire trip. Dah sampai hujung perjalanan baru jumpa makanan yang amat sedap. Save the best for last bak kata orang Cheruk Tokun. Hihi.. Serius memang puas hati dengan makanan yang dihidangkan. Saya pasti makanan kat sini akan kami ingati selamanya. Nanti bila terkenang tentang trip, mesti makanan kat Spicy Basil ni akan menjadi sebutan. Tukang cuci pinggan pun senang basuh pinggan kami sebab semuanya licin. Hahah.. Punyalah puas sampai tak sedar dah sejam kami berada di sini. Kesian pulak orang lain menunggu meja kosong untuk makan. Selesai buat bayaran dan mengucapkan berbanyak terima kasih kerana menyajikan makanan yang amat-amat sedap, jam 10.25 malam kami meninggalkan Spicy Basil menuju ke train station. Semua muka ada senyum.. Hihi..

Thank you Spicy Basil!..

Dari Spicy Basil kami teruskan berjalan kaki menuruni bukit menuju ke Kilburn Park Station. Tak perlu nak patah semula ke Kilburn Station. Suasana di sekeliling amat sunyi. Sampai di Kilburn Park Station pun sunyi. Hanya kami je penumpang yang ada di stesen. Takkan lah train dah stop perkhidmatan untuk hari ni. Huhu.. Nasib baik tak perlu menunggu lama. Tak sampai 5 minit, akhirnya train Bakerloo Line tiba di platform dan membawa kami terus ke Wembely Central Station. Dalam train pun hanya kami je yang berada di satu coach.

Waking route: From Spicy Basil to Kilburn Park Station

Malam terakhir naik train di London..

20 minit perjalanan dalam train, jam 11.20 malam kami tiba di Wembley Central Station. Masa touch oyster card, saya perasan harga tambang yang dikenakan amat rendah. Mungkin kerana dah lewat malam kot. Baguslah camtu. Nampaknya tak perlu nak topup oyster card lagi. Cukup rasanya nilai dalam kad tu sampai airport esok. Anak-anak cuba ajak ke Tesco Express lagi. Tak payah la, kenyang sangat dah ni. Esok awal-awal pagi kita masuk Tesco Express beli susu untuk breakfast ok. Nasib baik diorang akur. Memang kenyang sangat pun. Mata pun dah mula mengantuk. Mengikut weather forecast, tengah malam ni mungkin light snow akan turun tapi kebarangkalian yang tipis la. Kalau ada rezeki salji turun tengah malam ni kita turun beramai-ramai ya. Tak kiralah orang nak kata jakun ke tidak. Janji dapat merasa suasana salji turun dari langit. Hihi..

Tube route: From Kilburn Park Station to Wembley Central Station

Sampai di bilik, kami bersihkan diri dan solat qada serta jamak. Malam ni mungkin tidur lewat sebab nak mengemas beg. Kena pastikan masih ada ruang lagi tak untuk kami isikan barang bagi sampai berat yang maksimum untuk naik flight. Anak-anak layan tv sambil melihat ke luar kalau betul salji turun malam ni. Selesai mengemas, nampaknya masih ada banyak lagi ruang yang boleh diisi. Esok pagi boleh la kami sambung shopping sekejap di bawah sebelum check-out. Hihi.. Tak tahu pukul berapa, anak-anak semuanya dah tertidur dan kecewa tiada salji yang turun. Maka saya dan wife pun tidur sekali. Tamat sudah perjalanan harian terakhir kami di bumi London. Moga dipermudahkan urusan kami pada esok hari.

Kasi pack semuanya..


Wallahu 'alam..






Monday 14 March 2022

JJCP UK V2: Day 15 (Part #2)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..


HARI/TARIKH:
@ RABU, 11 DISEMBER 2019

LOKASI KEJADIAN:
@ ST JAMES'S PARK
@ BUCKINGHAM PALACE
@ HALAL FRIED CHICKEN


Kami berjalan semula ke Piccadilly Circus untuk menaiki train. Sambil tu sempat lagi singgah di beberapa kedai. Mana la tau ada benda menarik yang boleh dibawa pulang. Tinggal hari ni je nak shopping memenuhkan kuota beg. Hihi.. Rasanya masih banyak lagi ruang yang boleh diisi. Beg ration pun dah mula kurang dan ditambah dengan beg baru yang dibeli di Primark tadi. Whatsapp group masih berbunyi menandakan ada lagi rakan-rakan yang memesan perfume dan barang-barang yang lain. In shaa Allah semuanya kami akan bawa balik kecuali pinggan mangkuk Portmeirion yang kami post haritu bersama-sama dengan pakaian kami. Mungkin dalam masa 2-3 bulan baru mendarat di Malaysia. Sabar ye. Hehe..


Cuaca kembali cerah. Singgah dulu mana yang patut..

Jam 1.40 petang kami dah sampai di Piccadilly Circus Station. Turun ke bawah platform, train Piccadilly Line pun tiba. Kami naik dan turun di South Kensington Station, kemudian tukar train District Line menuju terus ke St. James's Park Station. Agak jauh sebenarnya route yang kami lalu. Tapi disebabkan banyak perkhidmatan train yang tergendala, jadi mana-mana train yang sampai dulu kami naik je. Sebenarnya nak jalan kaki terus pun boleh. Cuma dari New Bond Street tadi kami dah berjalan agak jauh juga. Kasi can la naik underground banyak kali di hari terakhir ni. Hihi..

Tube route: From Piccadilly Circus Station to St. James's Park Station


@ ST. JAMES'S PARK

Keluar dari St. James's Park Station, hujan sudah mula turun membasahi bumi. Nasib baik tak lebat sangat. Saya suruh anak-anak pakai baju hujan tapi diorang taknak. Nak merasa air hujan di London katanya. Nasib korang la. Jangan demam sudah. Esok dah la nak balik. Kasi can la, harap-harap antibodi masing-masing kuat menahan hujan renyai yang teramatlah sejuknya di London. Dari stesen, kami berjalan menyusuri bangunan, melintas jalan dan terus masuk ke St. James's Park. Memang saya teringin nak bawa anak-anak jalan-jalan di salah satu taman di sini. Semalam tak sempat nak explore Hyde Park sebab dah gelap. Masa 2012 dulu saya dapat merasa jalan-jalan di beberapa taman dan lihat betapa jinaknya haiwan yang dibiarkan berkeliaran. Mesti anak-anak suka bila dapat bermain dengan haiwan kat sini.

Baru masuk taman, terus burung datang menyapa..

Kebetulan abang Fikri ada bawa roti. Lagilah galak burung-burung datang dekat kami. Seronok sungguh tengok anak-anak dapat peluang bagi makan dan pegang haiwan yang jinak kat sini. Saya tengok di sekeliling, ramai juga pengunjung di taman. Kemudian saya ternampak satu nota di papan kenyataan taman yang maklumkan bahawa pengunjung tidak dibenarkan beri makan kepada haiwan di sini. Huhu.. Nak bagitau anak-anak sekarang macam tak sesuai sebab diorang tengah seronok melayan haiwan kat sini. Jadi saya diamkan ajelah sambil mengharapkan takde penguatkuasa yang datang menegur dan kompaun kami. Alaa, kasilah peluang kami nak bermesra dengan haiwan made in UK ni. Hahah..

Dah seronok macam ni, takkan nak suruh stop pulak kan. Hihi..

Memang jinak sungguh haiwan kat sini. Seronok bila tengok anak-anak gembira. Di tengah bandar London banyak taman-taman percuma yang tenang dan indah. Namun dalam ketenangan kena hati-hati juga sebab banyak kes pickpocket dan ragut berlaku kat sini. Saya ada terbaca tentang kes di sini di mana orang menyamar jadi polis untuk peras ugut pengunjung especially tourist. Maka kenalah beringat, tak semua tempat yang cantik dan indah itu selamat. Dalam keseronokan kena juga alert dengan keadaan sekeliling. Mungkin jumlah kami ramai. Bayangkan kalau perempuan jalan sorang diri kat sini. Moga diberikan keselamatan buat semua pengunjung yang datang untuk ketenangan jiwa dan menikmati keindahan bumi ciptaan Allah.

Hati-hati dalam menikmati keindahan bumi..

Alhamdulillah, hujan dah mula berhenti dan cuaca kembali cerah. Tapi nampak gaya macam akan hujan lagi. Begitulah keadaannya bila travel musim winter. Jika tiada salji, hujan akan turun selalu. Apa-apa pun cuaca tetap makin sejuk. Bila sejuk, maka anak-anak pun mula la bertanyakan di mana tandas awam. Nasib baik di taman ni ada sediakan tandas awam berbayar. Maksud bayar kat sini bukanlah ada sorang petugas duduk di pintu masuk, tetapi hanya barrier untuk masuk ke dalam tandas. Kena bayar 20 pence dulu baru boleh berurusan ya. Hihi.. Sementara kami bergilir masuk, ada sorang lelaki minta duit tukar kepada saya. Dia hanya ada duit syiling Euro dan di sini tiada mesin untuk tukar duit. Kesian bila tengok dia bersungguh-sungguh minta tolong. Saya pun bagilah 20 pence kat dia. Berkali-kali dia ucap terima kasih kat saya dan dia terus masuk ke dalam tandas. Bila dia keluar, dia nak beri saya duit syiling 1 Euro, tapi saya menolak. 20 pence je kot untuk masuk jamban. Tak perlu la nak ganti. Hihi.. Kemain dia ucap lagi terima kasih tak berhenti-henti. Saya teringat masa sekolah dulu perkara yang sama pernah terjadi kat saya di stesen bas Kuantan. Ada abang tolong bayarkan 20 sen sebab masa tu saya langsung takde duit. Walaupun hanya 20 sen, tapi ia adalah pertolongan yang amat berharga dalam saat-saat genting. Kepada lelaki tadi, I feel you, man. Hahah..

Mesin tukar duit hanya terima syiling pound


@ BUCKINGHAM PALACE

Selesai dengan urusan masing-masing, kami teruskan berjalan hingga ke hujung taman. Keluar je dari taman terus nampak satu bangunan yang menjadi landmark utama di London iaitu Buckingham Palace. Kalau datang pada waktu tengahari mengikut jadual, ada pertunjukan changing guard dibuat di perkarangan istana. Dulu saya datang ke sini tak dapat nak tengok. Kali ni pun sama. Bila travel dalam masa yang terhad memang susah la nak plan ikut jadual. Datang je la ikut masa mana pun, janji dapat tengok istana depan mata secara live. Pengunjung pun tak ramai berbanding masa changing guards. Hihi..

Dapat juga bawa anak-anak tengok Buckingham Palace

Anak-anak tanya bangunan apa yang kita lawat ni. Saya kata inilah tempat tinggal keluarga diraja United Kingdom, macam Istana Negara. Patutlah diorang tak tau sangat sebab Istana Negara sendiri pun diorang tak pernah pergi. Oklah, balik nanti ayah bawa gi tengok Istana Negara ya. Nasib baik lah Taman Tasik Titiwangsa dan Tasik Perdana saya pernah bawa. Nanti diorang claim lagi taman kat UK dah pernah sampai tapi taman negara sendiri tak pernah pergi. Hahah.. Dalam Malaysia mana je tempat yang diorang tak pernah pergi selain Istana Negara. Semua saya pernah bawa kot kecuali Sarawak. Wife saya sendiri tak pernah jejakkan kaki di bumi Sarawak. Saya pernah la atas urusan kerja dulu. Fuhh, Sarawak dia tak pernah sampai tapi Paris dua kali dah dia jejak. Hahah..

Kenangan kami. Ada tulisan Malay States di salah satu tiang kat sini..

Tepat jam 3.30 petang kami tinggalkan Buckingham Palace dengan seribu satu kenangan. Kami berjalan semula melalui St. James's Park menuju ke stesen tadi. Anak-anak nak sambung bermain dengan haiwan di taman. Roti yang dibawa tadi dah habis. Rupanya Eiman ada simpan sikit lagi. Dia macam tau je yang kami akan lalu semula di taman ni. Hihi.. Bagilah peluang. Bukan senang nak bermain dengan haiwan liar yang jinak. Nak bela burung kat rumah jangan haraplah. Dulu pernah bela ikan dalam akuarium sebab anak-anak suka. Sekali ending dia saya jugalah yang kena bersihkan akuarium dan bagi makan. Lastly saya sedekahkan akuarium dengan ikannya sekali kat jiran. Kucing pun ada bermain dalam radar impian diorang. Nanti la kita bincang ya. Ayah paling lemah nak bersihkan najis kucing sebab dah banyak kali bersihkan najis kucing orang lain kat luar rumah tu. Huhu..

Walking route: London Central

Bukan setakat burung, tupai pun jinak kat sini..

Jam 3.50 petang kami dah sampai di St. James's Park Station. Destinasi seterusnya adalah ke masjid yang terletak di East London. Lepas tu boleh mencari tempat makan di kawasan sekitar masjid. Anak-anak dah mula bertanya pasal makan. Bila sejuk, selain mencari tandas untuk membuang, perut pun memanggil-manggil untuk diisi. Hihi.. Kelihatan ramai orang di dalam stesen. Nampaknya train buat hal lagi. Saya cuba cari jika ada tempat yang sesuai untuk kami solat di stesen tapi tak jumpa. Keadaan lantai pun basah kerana air hujan dari luar. Nampaknya terpaksalah solat qada di bilik jika tak sempat. 20 minit menunggu akhirnya barulah train District Line tiba di platform. Dah masuk dalam train, tapi train masih tak bergerak. Apa pulak masalahnya ni. Memang tak sempat la nak solat jamak hari ni. Huhu..

Tunggu sampai 20 minit. Dah masuk pun tak jalan juga train ni..

Kedengaran announcement menyatakan bahawa ada train disruptions dalam route perjalanan kami membuatkan train terpaksa berhenti seketika hingga masalah selesai. Aduhh, kenapalah masa ni perkara macam ni berlaku. Tunggu lah sampai kami dah naik flight esok baru bagi tergendala. Huhu.. Inilah impak dan kesan bila pekerja adakan mogok. Walaupun hanya satu company public transport je yang mogok, tapi kesannya boleh tempias kepada semua company. Itulah tanda betapa kuatnya suara pekerja. Sampaikan yang tak bersalah pun terlibat sama. Huhu.. Nak buat macam mana. Jangan ada rusuhan sampai membahayakan nyawa sudah la. Moga dijauhkan perkara seperti itu. In shaa Allah..

Train route: From St. James's Park Station to Aldgate East Station

Hampir 15 minit train delay, akhirnya jam 4.20 petang barulah train bergerak perlahan. Waktu Asar pun dah habis semasa dalam perjalanan. Patutnya hanya mengambil masa tak sampai 20 minit termasuk waktu menunggu dari St. James's Park Station ke Aldgate East Station, tapi sudah berubah menjadi sejam. Jam 4.50 petang baru kami sampai di destinasi. Keluar je dari stesen cuaca dah gelap seperti malam. Nak solat jamak dah terlepas. Maka kami pun jalan kaki menyusuri kedai-kedai halal di sepanjang masjid. Saya tanya pada anak-anak apa yang diorang nak makan. Sebenarnya saya dah ada plan nak makan best pada malam ni. Jadi kalau boleh makan yang ringan-ringan je dulu untuk alas perut sementara menunggu waktu makan malam.

East London Mosque yang kami cadang nak singgah solat tapi tak sempat


@ HALAL FRIED CHICKEN

Kami masuk ke dalam satu restoran halal iaitu Halal Fried Chicken yang terletak berhampiran dengan East London Mosque. Tengok pada menu macam murah je harga makanan yang dijual. Nak kata makan ringan pun tak juga nampaknya. Huhu.. Anak-anak nak makan ayam goreng dan fries. Maka saya pun order satu set hot wings berharga GBP2.80 dan satu set nugget berharga GBP2.80. Untuk saya dan wife, saya order satu lamb biryani yang berharga GBP3.50. Kira murah juga harga biryani kat sini. Harap-harap sedap dan berbaloi la dengan harga yang dibayar.

Walking route: London Central

Chicken & Lamb Biryani sama harga.. Dah tentu pilih lamb punya. Hihi..

Selesai buat pembayaran dan menunggu 10 minit di kaunter, akhirnya makanan kami sudah terhidang. Laju sungguh anak-anak makan. Memang betul-betul lapar diorang ni. Yelah, tadi bagi burung makan roti tapi tuannya tak makan lagi. Hihi.. Rasa biryani kambing biasa-biasa aje. Kira berbaloilah dengan harganya. Kalau nak betul-betul sedap, balik nanti boleh cari kat KL. Apa yang penting, kami semua dapat alas perut untuk hari ni. Masih ada ruang lagi dalam perut untuk makan malam nanti. Hihi.. Jangan kedai tu tutup kejap lagi sudah la. Tak boleh jangka juga. Tapi daripada review yang saya baca, kedai makan tu tutup lambat. Jika rezeki dah tertulis maka dapat juga kami makan nanti, in shaa Allah..

Menu alas perut yang tak berapa nak alas sangat. Hihi.. Lampu kedai pun suram je.

Bila perut dah kenyang, barulah hati senang. Jam 5.20 petang kami meninggalkan Halal Fried Chicken dan berjalan semula ke arah Aldgate East Station. Masa jalan tadi kami nampak satu kedai charity. Apa lagi, kami pun masuk ke dalam kedai untuk melihat jika ada barang menarik yang boleh dibawa pulang. Ada beberapa souvenir yang murah dan masih cantik lagi. Untuk mencari souvenir selain dari kedai-kedai yang memang menjual souvenir, boleh juga jenguk di kedai-kedai charity kerana kalau bernasib baik boleh dapat souvenir yang lebih cantik, lebih besar dan lebih murah. Hihi.. Selesai di kedai charity, kami teruskan berjalan menuju ke stesen.

Terima kasih HFC kerana mengalas perut kami

Jam 5.45 petang kami sampai di Aldgate East Station. Suasana yang tidak menyedapkan hati kelihatan di depan kami. Terlalu ramai orang yang menunggu train di platform. Rasanya train disruption masih berlaku lagi. Huhu.. Maka bertabahlah kami menunggu train sampai bersama-sama dengan penumpang yang lain. Nampaknya esok kami kena bertolak awal dari Wembley untuk sampai di airport. Perjalanan agak jauh. Kalau ditambah dengan perkhidmatan train yang tergendala macam ni esok pagi, pukul berapa agaknya kami nak sampai di Heathrow. Huhu.. Moga dipermudahkan urusan kami pada hari ini sehingga esok.


Wallahu 'alam..

Sunday 13 March 2022

JJCP UK V2: Day 15 (Part #1)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..


TARIKH/HARI:
@ RABU, 11 DISEMBER 2019

LOKASI KEJADIAN:
@ PRIMARK WEMBLEY
@ HARD ROCK CAFE PICCADILLY CIRCUS


Jam 5.30 pagi sayup kedengaran alarm berbunyi mengejutkan kami yang masih mengantuk lagi. Saya dan wife bangun untuk solat subuh dan kemudian kejut anak-anak. Lepas solat kami semua sambung tidur semula. Memang penat sungguh aktiviti semalam. Lenguh kaki dibuatnya. Huhu.. Hari ni plan kami hanya nak sambung berjalan-jalan di London melawat beberapa tempat lagi. Jadi tak perlu lah nak rushing keluar awal. Kita kumpul sedikit tenaga lagi ya. Hehe..


Jam 7.30 pagi alarm menjalankan tugasnya lagi. Cukup dah tenaga yang dikumpul. Masing-masing bergilir untuk mandi dan bersiap-siap. Ration yang dah tinggal sedikit kami gunakan bersama makanan yang dibeli di Tesco Express semalam untuk menu breakfast kami pada pagi ni. Alhamdulillah ration yang kami bawa pada kali ni digunakan dengan sebaiknya. Ada tinggal beberapa je lagi makanan untuk kami habiskan masa breakfast terakhir esok pagi. Selesai breakfast, jam 8.45 pagi kami mula bersedia untuk turun ke bawah. Fa dan abang Fikri awal pagi lagi dah keluar. Pagi ni memang kami plan untuk jalan-jalan di sekitar travelodge. Banyak kedai-kedai yang menarik di sini especially Primark di seberang jalan.

Jom mulakan aktiviti hari ni dengan bershopping.. Hihi

Sampai di bawah, kami terus ke seberang jalan menuju ke Primark Wembley. Kedai buka jam 9.00 pagi tapi ramai juga yang dah menunggu di pintu masuk. Memang tepat pilihan saya untuk duduk di Travelodge Wembley High Road kerana banyak tempat menarik yang boleh diterjah di sekeliling. Walaupun terdapat berpuluh travelodge di London dan beratus di UK, tapi pemilihan lokasi yang bersesuaian dengan mode travelling tu penting. Ciri pertama pemilihan sudah tentu travelodge yang berhampiran dengan public transport supaya mudah kami nak bergerak. Takdelah kami nak kena jalan jauh tarik beg nanti. Hihi.. Ciri kedua pula adalah keadaan persekitaran. Kalau ada banyak kedai-kedai menarik lagi best. Keluar je terus boleh shopping dan cuci mata. Hehe.. Akhir sekali yang paling penting daripada kedua-dua ciri ni adalah harga bilik. Dapat harga yang berpatutan dan dalam lingkungan bajet tu kira bonus. Travelodge di tengah bandar London sudah tentu mahal berbanding di pinggir bandar. Jadi kenalah pandai mencari mana satu yang bersesuaian. Untuk travelodge di luar bandar takde masalah jika bawa kereta. Travelodge di rest area highway adalah yang paling murah. Hihi..

Travelodge kami yang diambil dari depan Primark. Dekat kan? Hihi..

Maps: Wembley Central

@ PRIMARK WEMBLEY

Ada lagi beberapa minit sebelum Primark mula dibuka. Ramai kawan-kawan saya bertanya apa yang menariknya tentang Primark ni. Untuk golongan kayangan, Primark mungkin bukan menjadi pilihan utama mereka jika berada di UK. Apa kelas pakai handbag berpuluh ribu tapi masuk Primark. Hehe.. Tapi untuk geng bajet, inilah tempat paling sesuai kalau nak merasa apa itu keindahan bershopping di bumi UK. Tak dinafikan harga barang di UK semuanya mahal-mahal belaka dan kadar pound sterling pun bukan main tinggi jika dibandingkan dengan ringgit Malaysia. Tapi tak semua rakyatnya kaya raya pun. Golongan ini juga perlu beli barang harian yang murah dan berpatutan. Jadi Primark adalah salah satu contoh butik yang boleh diterjah tanpa rasa ragu-ragu dengan harga barang jualannya. Sama juga keadaannya di Malaysia. Golongan marhaein takkan la nak shopping setiap minggu di Pavillion kot. Datuk dan datin pula takkan la nak beli baju kerja kat Mydin. Ukur baju di badan sendiri.


Menunggu pintu Primark dibuka

Tepat jam 9.00 pagi, seorang staff Primark membuka pintu utama. Kami pun masuk ke dalam. Lain macam aura bila masuk ke dalam kedai yang baru buka sebab semua barang masih tersusun dengan rapi dan orang pun tak ramai. Nak memilih barang pun mudah. Maka bermulalah episod mencari sesuatu yang dirasakan sesuai untuk dibawa pulang. Ada juga barang yang dipesan kawan-kawan terutamanya yang pernah merasai pengalaman berada di dalam Primark. Hanya yang pernah mengalaminya saja tahu betapa rambangnya mata apabila bershopping di sini. Hihi..

Harga pakaian kat sini amat berpatutan

Kualiti pakaian kat sini agak baik juga dan berbaloi dengan harga yang dijual. Salah satu pakaian yang saya paling suka adalah jogger pants yang berharga GBP5.00. Kainnya amat tebal dan tahan lasak serta banyak warna pilihan. Jogger pants yang saya beli masa 2012 dulu masih elok lagi dipakai. Kali ni boleh la cukupkan semua koleksi warna jogger pants saya. Hehe.. Siap beli extra lagi untuk dijadikan souvenir buat kenalan rapat. Anak-anak ambil peluang untuk beli pakaian dan aksesori sekolah. Jangan main-main, anak-anak shopping baju sekolah kat London tau. Hahah.. Harga sehelai baju putih lengan pendek sekolah hanya GBP4.00. Kat kedai Hari-Hari pun lebih kurang je harganya. Kalau beli brand Canggih jangan cakap la, lagi mahal. Baik pakai brand Primark. Hehe..

Seluar kecik anak-anak pun macam-macam design ada..

Anak-anak selesai memilih pakaian dan aksesori sekolah mereka. Kasut hitam yang berharga GBP5.00 pun dibeli sekali. Bukak sekolah nanti complete pakaian Primark seluruhnya. Hihi.. Beg kami yang pecah masa hari pertama sampai haritu masih belum berganti. Niat nak mencari beg Samsonite yang murah tak jumpa lagi. Jadi untuk cover jika hari ni tak jumpa juga beg Samsonite tu, kami beli jugalah beg kain Primark. Rugi luggage allocation kami kalau tak beli beg baru. 6 passenger sudah tentu boleh bawa 6 beg besar kan. Hihi.. Sejam je kami berada dalam Primark tapi macam-macam yang berjaya dibeli. Memang tak menyesal membeli belah di Primark. Berbaloi dengan modal yang dibawa. Sebab tu paling sesuai terjah Primark di hari-hari akhir perjalanan. Misi memenuhkan kuota beg sampai capai berat maksimum. Hahah..

Ok dah boleh beratur untuk check-out..

Selesai urusan di Primark, semua barang dimasukkan dalam luggage bag yang baru dibeli. Sebelum Eimran bantu bawa naik beg ke dalam bilik, ada satu lagi kedai yang kami nak terjah, iaitu kedai perfume yang terletak di bawah travelodge. Kami mencari perfume untuk diri sendiri dan juga pesanan kawan-kawan. Banyak juga perfume yang ada diskaun. Sempat lagi wife saya iklankan dalam group whatsapp jika ada rakan-rakan yang berminat. Sementara wife menunggu respons, saya masuk ke kedai lain di sekitar. Masa keluar dari Primark tadi saya perasan satu kedai menjual game PS4 terpakai. Eimran dah mula mengajak saya cuci mata kalau ada game yang menarik untuk ditambah dalam koleksi. Rasanya masa kat carboot haritu dah banyak yang kami beli. Alasan Eimran, dah bosan main nanti boleh jual kat kawan-kawan dia. Wah, dah ada ciri-ciri peniaga. Bagus.. Hihi..

Handphone terpakai pun ada dijual kat sini

Ada juga la beberapa game yang berjaya dibawa pulang. Tak dinafikan memang murah harga game yang dijual kat sini. Game latest pulak tu. Saya pernah tengok game terpakai PS4 yang dijual di Malaysia dan agak mahal harganya. Rupanya Eimran dah siap-siap contact kawan-kawan dia dan dah ada buyer pun. Pandai pulak dia main harga. Bagi anak-anak sedar bahawa menjual itu lebih memuaskan hati daripada asyik membeli aje. Hihi.. Kami kembali ke kedai perfume dan kelihatan wife sedang membayar di kaunter. Banyak juga hasil yang dibeli sebab dari kat kedai tadi handphone saya asyik berbunyi. Ramai rupanya rakan-rakan yang order perfume. Order tutup untuk hari ni. Kalau ada lagi order yang baru, esok sebelum kami check-out boleh belikan lagi. Kedai bawah travelodge je kot. Hahah..

Done for today. Esok kami terjah lagi kalau ada order ya. Hihi..

Sebelum kami teruskan perjalanan, Eimran dan Eiman naik ke bilik untuk hantar semua barang yang dibeli tadi. Ada banyak lagi kedai yang kami nak masuk kat sini. Esok pagi sempat lagi sebelum kami check-out. Malam ni kami pack dulu semua barang dalam beg dan timbang berat. Ada baki ruang dalam beg barulah kami boleh shopping buat kali terakhir esok. Hihi.. Rugi kalau berat beg tak capai maksimum. Bukannya selalu dapat peluang datang ke sini. Mujur kami dapat flight yang bagi allocation 23kg untuk luggage. Kalau dapat 30kg lagilah banyak yang boleh dibawa balik. Hihi..

Ok jom kita naik train..

Jam 10.45 pagi kami mula berjalan masuk ke dalam Wembley Central Station. Destinasi seterusnya adalah ke Piccadilly Circus. Ada satu lagi lokasi Hard Rock baru di London yang kami belum jejakkan kaki. Jam 10.55 pagi train overground sampai di platform. Kami nak naik train underground. Jangan confuse dengan jenis train kat London. Yang selalu kita dengar adalah tube underground yang famous kat sini. Tapi overground pun ada juga. Logo pun berbeza. Underground adalah subway dan train route majoriti bawah tanah. Overground pulak seperti namanya, over the ground. Hihi.. Namun semua train serves the same purpose, bawa passenger ke detinasi tujuan. Cuma kena study sikit tentang route perjalanan setiap jenis train kat sini. Dan tak semua destinasi atau train boleh guna oyster card. Silap haribulan kena beli tiket lain. Huhu.. So better stick to underground and overground, selagi ianya boleh bawa kita ke tempat yang dituju. Naik bas pun ok juga, asalkan tau kat hentian mana nak turun.

Overground. Warna train pun lain dari underground, seperti logonya.

5 minit kemudian, barulah train underground Bakerloo Line sampai di platform. Kami tak perlu turun dan naik train lain kerana Bakerloo Line akan bawa kami terus dari Wembley Central Station ke Piccadilly Circus Station. Kalau kami naik overground tadi pun boleh juga, tapi kami kena tukar kepada train lain dalam perjalanan. Jadi tiada masalah sebenarnya kalau naik train lain, cuma yang penting kena tahu route perjalanan train tersebut sebab sistem train kat sini banyak yang bersambung. Pada saya train kat London tak complicated sangat berbanding di Jepun. Masa saya ke Osaka dan Tokyo pada 2013, mula-mula sampai agak pening jugaklah nak memahami sistem train kat sana. Bukan itu je, bila dah keluar dari train pun masih boleh confuse lagi mencari exit sebab terlalu banyak pintu keluar di setiap stesen utama. Ditambah dengan orang yang punyalah ramai dan padat. Mencabar sungguh. Huhu..

Tube route: From Wembley Central Station to Piccadilly Circus Station

Jam 11.40 pagi kami sampai di Piccadilly Circus Station. Dari dalam stesen kami dah nampak pintu masuk ke dalam Hard Rock Cafe, tapi mungkin disebabkan masih siang lagi maka pintu ni ditutup dan hanya pintu utama dibuka di luar. Dah malam nanti baru dia bukak kot sebab Hard Rock hanya hidup di waktu malam dan orang ramai datang untuk makan dan layan live bands. Waktu siang hanya Rockshop je yang menjadi tumpuan dan juga orang datang untuk makan tengahari di sini. Saya pernah menginap di Hard Rock Hotel Penang dan makan malam. Jujurnya, kedua-duanya saya tak suka. Bilik yang kecil dan makanan yang biasa-biasa je rasanya tapi harga agak luar biasa. Huhu.. Cukuplah sekali. Tapi kat sini memang tak boleh la nak makan ya. Jemput tengok dan ambil bau dari luar aje. Hihi..

Pintu masuk Hard Rock Cafe Piccadilly Circus dari dalam tube station

Piccadilly Circus adalah salah satu hotspot yang paling happening di London kerana suasana dan pemandangan di sekeliling. Ramai orang suka berjalan dan bersantai di kawasan ni. Kat sini juga banyak persembahan jalanan diadakan kerana terdapat dataran luas di persimpangan jalan besar yang menjadi tumpuan ramai. Orang kata kalau nak berjumpa kawan-kawan boleh la jadikan tempat ni sebagai meeting points, sama macam McDonalds kat depan Super Kinta Ipoh pada satu masa dahulu. Hahah..

Suasana di sekitar Piccadilly Circus


@ HARD ROCK CAFE PICCADILLY CIRCUS

Kami masuk ke dalam Hard Rock Cafe Piccadilly Circus melalui pintu utama yang terletak di luar stesen. Ini adalah antara cawangan Hard Rock terbaru di London yang baru mula beroperasi beberapa bulan yang lalu. Rakan-rakan peminat koleksi tegar Hard Rock paling banyak memesan barangan untuk Hard Rock Piccadilly Circus sebab ramai yang belum sampai lagi di sini. Saya pun nak mencari juga untuk tambahan koleksi peribadi. Disebabkan lokasi ia terletak di kawasan yang happening di London, maka keadaan dalam Rockshop juga amat meriah dengan dekorasi yang menarik.

Jom terjah Hard Rock ke-34 dalam list..

Besar sungguh Rockshop kat sini. Boleh dikatakan antara Rockshop terbesar yang saya pernah tengok dalam 34 senarai HRC yang saya dah jejakkan kaki. Memang sesuailah dengan lokasinya yang terletak di kawasan tumpuan orang ramai. Tapi sebenarnya HRC juga sama seperti company chains yang lain. Nampak gah dengan namanya yang terkenal di seluruh dunia dan ramai orang memakai pakaiannya, namun banyak juga HRC yang dah tutup kerana tidak mendapat sambutan. Seperti contoh di South Korea. Saya sempat jugalah ke HRC Seoul pada 2014. Tapi sekarang satu HRC pun takde di seluruh South Korea. Mungkin satu hari nanti akan buka juga bergantung kepada demand. Masih ingatkah lagi Planet Hollywood? Hihi..

Meriah, tapi kecewa dengan nama tulisan pada baju..

Alamak, kenapa tulisan pada baju kebanyakannya 'London', bukan 'Piccadilly'? Tak best la kalau beli baju yang bertulisan London sebab saya dah ada dalam koleksi. Huhu.. Saya bertanyakan pada staff bertugas. Dia kata ada dua design je yang menggunakan tulisan Piccadilly. Salah satu sudah tentu design klasik HRC berwarna putih. Design yang lain semuanya menggunakan nama London. Pada mulanya saya ingat dapatlah cari design berbeza dari simpanan saya untuk memeriahkan lagi almari baju HRC kat rumah. Nampaknya pilihan menjadi limited. Huhu.. Takpelah, mana yang ada je lah. Lagipun saya bukan nak pakai selalu. Lebih kepada simpan untuk koleksi peribadi dan sebagai tanda sudah jejakkan kaki di HRC.

Hanya dua design ni je yang bertulisan Piccadilly

Rakan-rakan yang order pun tiada pilihan lain melainkan dua design ni je yang available bertulisan Piccadilly. Apa lah salahnya HRC print nama Piccadilly kat design yang lain. Huhu.. Diorang kena tau ramai peminat dan pengumpul tegar koleksi HRC. Design pula bagilah ganas sikit, barulah kena dengan namanya. Kebanyakan sekarang banyak design yang soft. Kepada yang minat mengumpul tak boleh nak buat apa, terpaksa jugalah membelinya demi untuk koleksi. Harap next design dapatlah yang hard sikit, barulah ganas. Puas hati bila susun semua koleksi dengan pelbagai design yang terbaik HRC pernah keluarkan. Hihi..

Hard Rock Cafe no. 34 done!

Selesai urusan di HRC Piccadilly Circus, kami berjalan agak jauh menuju ke deretan butik-butik yang famous di area New Bond Street. Kali ni kami nak menunaikan pesanan dari rakan-rakan kayangan. Ada rakan yang memesan handbag berjenama yang hanya boleh didapati di butik di sini. Jalan jauh pun takpe asalkan permintaan customer diutamakan. Hihi.. Bukan senang nak dapat customer yang percaya pada kami untuk membelikan barangan yang berharga sampai ribuan GBP. Jadi kepercayaan itu kena dilaksanakan dengan penuh amanah, agar next trip boleh dapat order lagi. Kami ni tak mampu nak beli barangan yang beribu-ribu ringgit. Tapi bila dapat peluang menjadi personal shopper sambil berjalan tengok dunia, akan kami laksanakan bersungguh-sungguh. Hihi..

Inilah jalan kayangan di London. Hihi..

Wife masuk ke dalam beberapa butik untuk mencari barangan yang dipesan. Saya lebih prefer tunggu di luar dengan anak-anak sebab macam takde fungsi je saya nak membelek handbag. Bukan kepakaran saya. Hihi.. Tapi apa yang saya agak respect di sini sejak dari trip saya masa 2012 dulu, staff di mana-mana butik yang saya masuk melayan kami dengan baik, walaupun masa tu kami pakai jaket bundle dan kasut trekking je. Sampai sekarang saya teringat layanan buruk staff Burberry masa kami di JPO satu ketika dulu. Mentang-mentang kami pakai sandal dan t-shirt je, sorang staff pun tak melayan kami. Masa tu memang hajatnya nak beli sesuatu, tapi terus tak jadi sebab kami tak dilayan. Sampai bila-bila saya akan ingat kejadian tu. Mungkin polisi setiap company berbeza kot. Burberry kat JPO tu mungkin dah arahkan staff dia mana-mana customer yang pakai sandal jangan dilayan sebab hanya cuci mata dan tak mampu beli. Hahah..

Walking area: London Central

Satu butik je saya masuk ke dalam. Yang lain tunggu kat luar je..

Setelah beberapa kedai kami singgah dan menguruskan apa yang patut, jam 1.15 petang kami teruskan perjalanan menuju ke destinasi seterusnya. Kali ni nak santai cuci mata melawat tempat-tempat menarik pulak. Rehat kejap dari membeli belah. Malam nanti nak sambung lagi. Hihi.. Cuaca masih cerah lagi lebih baik jalan-jalan tengok pemandangan. Dah gelap karang barulah sambung tengok barang-barang dalam kedai. Cuaca di luar tidak menentu. Sekejap cerah kemudian dilitupi awan mendung menandakan hujan bakal turun di petang hari. Moga tak lebatlah hendaknya sebab kami cadangnya nak bawa anak-anak berjalan di taman.


Waalahu 'alam..