Sunday 20 December 2020

JJCP UK V.2: Day 06 (Part #3)

 Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..


HARI/TARIKH:
@ ISNIN, 2 DISEMBER 2019

LOKASI KEJADIAN:
@ EDINBURGH CENTRAL
@ HARD ROCK CAFE EDINBURGH
@ TRAVELODGE KINROSS M90


Hujan renyai menemani kami di sepanjang jalan menuju ke Edinburgh Central. Baru jam 3.40 petang cuaca dah mula nak gelap, ditambah dengan langit yang mendung. Beberapa ketika hujan turun dengan agak lebat. Terpaksalah kami berteduh seketika di High Street sambil mengeluarkan baju hujan masing-masing. Tak sanggup rasanya pakai jaket yang basah dalam keadaan cuaca yang amat sejuk ni. Paling dirisaukan anak-anak. Harap diorang tak demam. Si kecik tu nampak makin teruja bila hujan lebat. Ada hati lagi tu nak bukak stokin dia. Haishh, tak rasa sejuk ke anakku? Huhu..

Cuaca mula gelap, namun pemandangan masih tetap cantik.

I really love Edinburgh! Historic views!


@ EDINBURGH CENTRAL

Ini kali kedua saya melalui High Street, jalan lurus yang agak berbukit terus menuju ke Edinburgh Castle. Masa kali pertama ke sini, banyak jualan dan persembahan dari locals di sepanjang jalan. Meriah sungguh. Cuma kali ni tak dapat nak tengok sebab keadaan cuaca yang tak mengizinkan. Masih teringat lagi ada seorang aktivis memberikan saya flyers tentang 'Save Gaza' masa kami di sini. Banyak poster ditampal di tiang dan dinding. Tak sangka diorang pun support dan menentang keganasan di bumi Gaza ketika itu. Saya percaya tak kira agama apa pun yang dipegang, semuanya inginkan kedamaian dalam hidup. Bumi ni hanya pinjaman, buat apa nak bermusuhan? Tak faham sungguh la. Huhu..

Elysha suka sangat warna pink. So girlish. Hehe..

Dalam kedinginan senja, kami teruskan berjalan meredah hujan yang tak menentu. Sekejap berhenti, lepas tu hujan balik. Renyai dan lebat silih berganti. Sambil menikmati pemandangan bangunan lama di kiri dan kanan jalan, kami singgah di beberapa kedai souvenir mencari sesuatu kenangan yang ingin dibawa balik. Si kecik yang duduk dalam stroller yang ditutup dengan plastik ingatkan dah tidur lena dibuai angin sejuk. Rupanya masih aktif lagi. Takpelah, janji dia duduk diam dalam tu. Hihi..

Dulu kat sini penuh dengan persembahan jalanan

Wajib cuba Scottish Shortbread. Sedap sungguh!..

Keluar je dari kedai souvenir, cuaca senja dah bertukar malam. Hujan masih lagi turun. Kami teruskan berjalan naik bukit hingga ke hujung untuk sampai di pintu masuk Edinburgh Castle. Untuk masuk ke dalam Edinburgh Castle ada bayaran yang dikenakan dan hanya beroperasi sampai jam 4.00 petang di musim winter. Kami bukannya nak masuk pun. Hanya nak jalan-jalan di kawasan persekitaran je. Hihi.. Sampai je di kawasan perkarangan pintu masuk Edinburgh Castle, hujan kembali turun dengan lebatnya beserta angin yang amat kuat. Kami dan pengunjung yang lain terpaksa berteduh di dalam satu kedai berhampiran. Entah berapa lama kami terpaksa berteduh sampai keadaan reda semula. Jangan sampai tengah malam sudah la. Jauh lagi nak menapak ni. Huhu..

Tak berani jalan sorang-sorang kat sini. Creepy..

Edinburgh Castle di waktu malam

Nasib baik kami tak jalan jauh ke pintu Edinburgh Castle tadi. Kalau tak memang tak sempat la nak lari berteduh. Huhu.. Edinburgh Castle adalah antara tourist attraction yang paling famous di sini. Kepada yang berkemampuan dan minat pada sejarah boleh la bayar tiket dan explore at least 2 jam di dalamnya. Kepada yang bajet macam kami ni hanya takat pintu masuk je. Itu pun dah cukup bertuah. Hihi.. Tak sanggup nak bayar GBP53.00 untuk 2 dewasa dan 3 kanak-kanak. Dengan amaun tu boleh cover 2 kali makan kami sekeluarga kat sini. Dah tentu saya pilih makanan dari masuk dalam castle tu. Tengok dari luaran sudah memadai. Hehe..

Ok I'll pass. Outside view only. Hihi..

Alhamdulillah, hanya 10 minit kami berteduh di dalam kedai. Hujan dan angin kuat tadi berhenti secara tiba-tiba. Terus keadaan kembali tenang. Kebarangkalian untuk hujan semula agak tinggi sebab dari petang tadi hujan turun tak menentu. Adalah lebih baik kami cepat-cepat beredar dari sini dan menuju ke destinasi berikutnya iaitu meronda deretan kedai di Princes Street. Kalau hujan turun lagi pun takde masalah sebab banyak kedai yang kami boleh masuk untuk cuci mata. Hehe.. Dengan permukaan jalan yang diturapi dengan blok batu-bata dan keadaan yang agak curam, kami perlahan-lahan menuruni jalan hingga sampai di bawah. Tiada maaf bagimu kalau jatuh tergolek ni. Hahah..

Jalan turun bukit sampai kat tempat cerah tu.

Meriah sungguh suasana kat sana tu

Kami terpaksa ikut laluan pejalan kaki di jalan utama yang agak jauh untuk sampai ke bawah. Tiada laluan pintas kerana kawasan berpagar. 15 minit berjalan dan kami sampai di Princes Street. Kawasan di sini amat happening kerana banyak butik dan kedai yang menarik untuk disinggah. Seperti yang dijangka, hujan kembali turun. Dah sampai sini takde masalah sebab banyak tempat berteduh di setiap blok bangunan. Dalam banyak-banyak kedai dan butik di sini, kedai kasut yang menjadi keutamaan kami untuk cuci mata. Ramai juga kawan yang mintak saya survey harga kasut di sini. Saya sendiri memang tak berminat tentang kasut. Kat rumah pun jarang pakai kasut bila keluar. Pakai selipar atau sandal je lebih selesa. Nak berhenti solat pun mudah. Letih la nak bukak kasut dan stokin selalu. Hehe..

Paling menarik perhatian adalah kasut yang ada wings tu. Comel sangat..

Kasut di sini boleh tahan berpatutan juga harganya bila ada diskaun. Ditambah pulak boleh claim VAT masa nak balik kat airport nanti. Cuma itulah, saya kurang berminat dengan kasut. Daripada gambar yang wife saya share dalam group whatsapp, kami dapat la order beberapa pasang dari kawan-kawan yang berminat. Selesai urusan dalam kedai kasut, kami berjalan ke bahagian blok di belakang mencari lokasi Hard Rock Cafe. Tak susah nak cari sebab saya dah pernah sampai sebelum ni. Masih segar dalam ingatan lokasi Hard Rock Cafe Edinburgh. Staff yang layan kami masa tu pun masih ingat lagi rupa dia sebab peramah orangnya. Manalah tau dia masih kerja kat situ lagi. Dah tentu dia tak ingat kami. Tapi kalau tunjuk gambar mungkin dia kenal rupa dia sendiri 7 tahun yang lalu. Hehe..

Gambar di HRC Edinburgh pada 2012


@ HARD ROCK CAFE EDINBURGH

Tepat jam 5.00 petang kami sampai di Hard Rock Cafe Edinburgh. Keadaan di luar kedai masih sama ketika kami datang pada 2012 yang lalu. Cuma kali ni kami sampai waktu malam. Dulu tepat jam 12.00 tengahari kami berada di sini. Ada beberapa pesanan dari kawan-kawan untuk barangan HRC Edinburgh yang kami nak cari. Untuk diri sendiri tak perlu sebab masih cantik lagi t-shirt HRC Edinburgh saya kat dalam almari. Sayang nak pakai barang koleksi ni. Hihi.. Macam biasa, wife saya share gambar t-shirt dan merchandise dalam group jika ada yang berminat nak kirim. HRC memang ada peminatnya tersendiri. Siapa yang suka buat koleksi pasti amat memahami. Hehe..

Banyak design t-shirt yang terbaru.

Saya rasa HRC dah kurang idea untuk design t-shirt mereka. Kenalah ada design rock concept, baru kena dengan nama Hard Rock. Dulu memang banyak design gitar yang ganas, tapi sekarang banyak yang plain je. Terpaksa tukar nama kepada Soft Rock Cafe la lepas ni. Huhu.. Cuma design city-tee je yang boleh diterima lagi kalau nak lain daripada yang lain. Itupun kebanyakannya warna putih. Harap Hard Rock boleh buat semula design yang ganas macam dulu-dulu. Barulah teruja nak beli dan buat koleksi. Bila pakai pun rasa macam ganas walaupun dalam hati ada taman. Hahah.. Masa nak bayar, saya tunjukkan gambar lama kat staff yang menjaga kaunter. Dia tak kenal pun. Mungkin staff lama tu dah naik pangkat atau dapat kerja yang lebih baik.

Done shopping di HRC Edinburgh

Jam 5.30 petang kami meninggalkan HRC Edinburgh dan berjalan semula ke arah Princes Street. Hujan masih turun lagi. Sekejap lebat, kemudian renyai semula. Kalau di Malaysia dah kira musim tengkujuh macam ni. Bersiap-sedialah tempat-tempat yang banjir tu. UK baru je mengalami banjir besar sebelum kami sampai. Nasib baik keadaan dah reda, walaupun masih ada beberapa tempat lagi yang banjir di sini. Setakat ni alhamdulillah perjalanan kami amat lancar. Risau juga kalau ada jalan yang ditutup dan terpaksa ikut jalan jauh untuk ke destinasi. Moga kelancaran ini berpanjangan sampai la kami pulang nanti. In shaa Allah.. Sampai di Princes Street, kami menunggu di tram station. 5 minit menunggu dalam kehujanan akhirnya tram pun sampai dan bawa kami terus ke Ingliston Park & Ride. Maka tamatlah sudah perjalanan kami mencari pengalaman di bandar Edinburgh yang bersejarah ni.


Akhirnya si kecik tewas. Lena dia tidur..

Tram route: From Princes Street Station to Ingliston Park & Ride Station

Jam 6.15 petang kami sampai semula di Ingliston Park & Ride. Kami terpaksa berjalan laju meredah hujan untuk sampai ke kereta. Kami bersiap-siap untuk mulakan perjalanan ke destinasi terakhir pada hari ni iaitu menuju ke Travelodge Kinross M90. Anak-anak dah mula lena sebaik sahaja kereta bergerak. Memang penat perjalanan hari ni. Ditambah pulak dengan hujan sepanjang hari di Edinburgh. Huhu.. Apa-apa pun satu pengalaman yang berharga diorang dapat hari ni. Jauh perjalanan luas pemandangan dan lebih pengalaman hidup. Daripada parking di Ingliston Park & Ride, saya memandu menuju ke highway M90 dan melalui Queensferry Crossing Bridge.

Bila lah hujan nak berhenti ni? Huhu..

Jam 7.10 malam kami sampai di Rest Area di mana terletaknya Travelodge Kinross M90. Apa yang saya suka tentang travelodge di sini adalah kebanyakan lokasinya terletak di Rest Area. Stesen minyak pasti ada untuk top-up petrol. Starbucks juga kadang-kadang ada. Kalau bernasib baik, banyak kedai lain yang ada di Rest Area. Boleh la cuci mata hilangkan kebosanan kalau sampai awal di travelodge. Jalan kaki je dari bilik. Untuk Rest Area di sini, selain stesen minyak ada juga beberapa kedai yang beroperasi. Sebelum ke travelodge, saya singgah kat kedai Mark & Spencer Food. Sedang elok anak-anak tengah dibuai mimpi, saya dan wife masuk ke dalam M&S Food mencari jajan dan air sebagai bekalan untuk perjalanan esok. Kalau anak-anak ikut lagi banyak yang kena beli. Strategi kena ada. Hihi..

Driving route: From Ingliston Park & Ride to Travelodge Kinross M90

Banyaknya pilihan jajan. Jangan salah beli ya..


@ TRAVELODGE KINROSS M90

Selesai membeli di M&S Food, saya terus memandu ke kawasan parking di depan Travelodge Kinross M90. Anak-anak yang baru dikejutkan terus bantu keluarkan beg dan bawa masuk ke dalam lobi sementara saya uruskan check-in di kaunter. Kali ni kami dapat 2 bilik yang agak berjauhan tapi masih lagi di tingkat bawah. Selesai urusan check-in, kami terus ke bilik bernombor 10. Dalam bilik ada 2 katil single tambahan. Pandai-pandai la anak-anak pilih nak tidur mana ya. Yang penting satu katil single untuk driver. Hehe.. Anak-anak request nak makan sebab tak puas makan sedap kat Edinburgh tadi. Amat dialu-alukan untuk habiskan ration yang dibawa. Hihi..

Travelodge Kinross M90 @ GBP21.00/night

Alhamdulillah selesa untuk kami sekeluarga

Selesai bersihkan diri dan solat, saya baring di katil hujung sambil menyusun perancangan aktiviti untuk esok hari. Anak-anak masih makan lagi. Apa pun lepas makan jangan lupa mandi dan solat. Baru selesa tidur nanti. Takdelah mengigau tengah malam. Berdengkur itu pasti sebab penat. Hihi.. Lokasi travelodge ni adalah yang paling utara kami sampai untuk trip kali ni. Esok dah mula turun ke selatan semula. Tak sempat nak ke utara lagi hingga Fort William. Padahal masa trip 2012 lagi saya teringin nak memandu sampai ke utara Scotland. Tapi bila saya susun itinerary, memang tak sempat nak cover sebab banyak tempat yang saya nak singgah especially di England. Kalau diberi masa 3 minggu travel mungkin saya akan sampai jua di utara Scotland. Bukan setakat Fort William, sampai Inverness pun boleh. Hehe.. In shaa Allah jika ada rezeki dan kesempatan, kaki ni akan jejaki jua satu hari nanti.

Jajan yang dibeli di M&S Food tadi. Popadom pun ada tau. Hihi..

Jam 10.00 malam mata mula terasa berat. Kalau di rumah, pukul 10.00 malam baru nak buat macam-macam kerja. Hehe.. Penat sangat aktiviti hari ni. Anak-anak masih melayan cerita kartun kat tv. Jangan berjaga lewat sangat ye. Kena tidur juga sebab esok banyak perkara yang nak dibuat. Mungkin lebih penat dari hari ni. Moga dipermudahkan urusan kami sekeluarga mencari pengalaman hidup di bumi Allah yang luas ini. Pengalaman yang pasti takkan dilupakan.


Wallahu 'alam..




Monday 16 November 2020

JJCP UK V.2: Day 06 (Part #2)

 Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..


HARI/TARIKH:
@ ISNIN, 2 DISEMBER 2019

LOKASI KEJADIAN:
@ INGLISTON PARK & RIDE
@ EDINBURGH CENTRAL MOSQUE
@ NOODLE N' RICE RESTAURANT


Dari Scott's View, kami melalui route A68 untuk sampai ke Edinburgh. Masa 2012 dulu saya parking di Sheriffhall Park & Ride dan naik bas untuk masuk ke pusat bandar Edinburgh. Kalau boleh saya takkan memandu sampai masuk ke pusat bandar kerana dua sebab yang utama. Pertama, parking amat limited di kawasan bandar dan keduanya jika ada parking pun bayarannya amat mahal. Jadi lebih baik parking di pinggir bandar di kawasan Park & Ride yang disediakan dan kemudian naik public transport. Sistem public transport di bandar-bandar besar amat efisien. Sama juga sebenarnya di Kuala Lumpur. Boleh je naik public transport. Tapi disebabkan ramai rakyat Malaysia yang masih bawa kenderaan sendiri masuk bandar, maka tak efisien lah jadinya kalau naik bas sebab kena hadap jalan jem juga. Huhu.. Tak boleh nak salahkan mana-mana pihak kerana public transport kita masih belum boleh cater jumlah penumpang yang banyak dalam satu-satu masa especially working hours. Nasib baik saya bawak motor. Senang sikit nak mencelah. Hehe..

Dah sampai di pinggir bandar Edinburgh

Ada 6 lokasi Park & Ride di pinggir bandar Edinburgh. Pilih la mana yang bersesuaian dengan route perjalanan. Ikut pada route kami, paling dekat adalah Sheriffhall Park & Ride. Tapi disebabkan dulu dah parking kat sini, kali ni nak merasa pengalaman parking tempat lain pulak. Antara dua faktor yang perlu diambil kira dalam memilih Park & Ride adalah keluasan tempat parking kerana kebarangkalian untuk dapat parking space adalah tinggi. Faktor kedua adalah free parking. Kadang-kadang ada juga Park & Ride yang kena bayar tau. Jadi adalah lebih baik cari yang luas dan free. Hehe.. Kali ni saya nak parking di Ingliston Park & Ride kerana bila balik nanti dekat sikit perjalanan kami untuk sampai di travelodge.

Lokasi Park & Ride di pinggir bandar Edinburgh


@ INGLISTON PARK & RIDE

Jalan agak jem apabila kami sampai di pinggir bandar. Banyak roundabout dan traffic light yang perlu ditempuhi. Jam 12.30 tengahari barulah kami sampai di Ingliston Park & Ride. Parking di sini amat luas kerana Ingliston Park & Ride terletak berhampiran Edinburgh Airport. Ramai orang parking kat sini untuk ke airport. Seperti yang diharapkan, memang banyak parking yang kosong di sini. Saya mencari parking yang paling dekat dengan stesen. Takdelah dekat sangat pun. Janji ada parking. Hihi.. Kena ingat, jangan parking sesuka hati kat sini. Pastikan ada petak parking yang dibenarkan. Menangis kalau kena saman. Huhu.. Bukan macam parking MRT kat Kwasa Damansara tu. Ramai yang parking haram kat bahu jalan padahal ada je kawasan parking berbayar yang luas. Taknak bayar parking la tu. Kesian bila bawak Mercedes 2 pintu tapi parking haram sebab tak mampu bayar duit parking. Mentaliti kan? Huhu.. Tapi yang peliknya takde pulak penguatkuasa saman kereta-kereta ni. Dah capai KPI collect duit kompaun agaknya. Hahah..


Driving route: From Scott's View to Ingliston Park & Ride

Kami bersiap-siap untuk mulakan perjalanan mencari pengalaman di bumi Edinburgh. Hujan renyai yang turun menambah kesejukan kami berjalan menuju ke stesen. Park & Ride di sini ada dua option public transport iaitu bas dan tram. Dulu saya tak sempat naik tram. Kali ni alhamdulillah, dapat juga anak-anak merasa naik tram kat Edinburgh. Stroller kena bawa sebab jauh nak jalan kat Edinburgh nanti. Boleh la Eirfan dan Elysha bergilir duduk dalam stroller kalau tak larat nak jalan nanti. Sebelum kunci kereta, kena pastikan dulu tiada barang berharga yang terdedah dalam kereta. Banyak juga kes kenderaan kena pecah di Park & Ride. Sebab tu saya bawa kain berwarna hitam untuk cover beg-beg kami di belakang. Kalau berlaku juga terpaksalah redha. Yang penting langkah berjaga-jaga dah diambil. In shaa Allah selamat kenderaan kami parking di sini.

Suram je cuaca. Sejuk sangat time ni. Huhu..

Hanya ada 2 orang je penumpang yang sedang menunggu tram di stesen. Mesin untuk beli tiket ada di sini. Sebelum tu kena study dulu jenis tiket yang dijual kerana jika salah beli boleh jadi mahal harganya. Single ticket adalah yang paling mahal kerana boleh sekali naik je. Lebih berbaloi jika beli tiket untuk couple atau family dan pastikan ianya 1-day ticket jika naik berulang kali dalam masa sehari. Jadi saya pilih family 1-day ticket yang cover 2 dewasa dan 3 kanak-kanak. Salah sorang anak saya boleh masuk dalam tiket Fa dan Abg Fikri. Diorang pun beli tiket yang sama sebab takde option ticket untuk couple. Kalau beli single ticket lagi mahal harganya.

Tram station kat sini terbuka. Takde bilik menunggu pun.

GBP8.50 untuk kami sekeluarga

Tak sampai 10 minit menunggu, akhirnya tram dari arah Edinburgh Airport pun sampai di stesen. Pendek je tram dia tapi orang tak ramai. Mungkin waktu pagi dan lewat petang agak sesak sebab waktu orang pergi dan balik kerja. Kami masuk ke dalam tram. Keadaan dalam tram amat bersih. Nampak macam tram yang baru beroperasi. Tempat duduk limited sebab banyak ruang kosong yang disediakan untuk penumpang yang bawa beg besar. Tak sampai 2 minit tram bergerak meninggalkan stesen dan belum sampai pun stesen berikutnya dah ada sorang staff datang ke arah kami untuk check tiket. Pantas sungguh dia buat kerja. Mungkin sebelum ni ramai orang yang naik tak bayar tiket kot sebab takde tempat untuk verify tiket masa di stesen tadi dan juga di dalam tram. Sebab tu la dia check awal, takut kami keluar di stesen yang pertama tanpa beli tiket. Hehe..

Slow and steady tram ni bergerak. Layan..

Tenang melayan perjalanan dalam tram, akhirnya jam 1.20 petang kami sampai di West End Tram Stop. Turun je dari tram terus teruja dengan pemandangan bangunan di sini. Cantik sungguh bangunan-bangunan lama yang dijaga dengan amat baik. Terasa seperti berada di zaman dulu-dulu. Hihi.. Kami terus berjalan kaki menuju ke perhentian bas yang terletak tidak jauh dari tram stop. Lepas ni kami nak naik bas pulak menuju ke destinasi berikutnya. Dah macam locals je naik macam-macam public transport kat sini. Nama pun self-travel. Dah tentu la travel like locals. Hehe.. Seronok betul travel macam ni. Adventure sungguh. Daripada ikut bendera tour guide, lebih baik ikut diri sendiri. Suka hati la nak pergi mana pun dan nak stay berapa lama kat sesuatu tempat tu. Yang penting kena study peta dulu supaya tak sesat. Hehe..

Tram route: From Ingliston Park & Ride to West End Tram Stop

Kita tunggu bas pulak kat sini ye

Cuaca makin sejuk sebab hujan baru berhenti. Melihat pada langit yang suram, rasanya hujan akan turun lagi ni. Huhu.. Bas di sini dipanggil Lothian Bus. Banyak nombor bas yang boleh kita naik untuk ke lokasi yang sama. Hanya route bas je yang berlainan. Kena tengok mana satu bas yang lebih cepat sampai destinasi dan tak banyak lalu hentian. Kami tak kisah sangat. Dapat bas yang ikut route jauh pun takpe. Boleh layan pemandangan. Apa-apa pun kena pastikan bus stop yang betul sebab dalam satu baris jalan tu ada banyak bus stop. Tengok pada signboard bas mana yang akan berhenti di situ. Mana bas yang sampai dulu kami naik. Tak kiralah route mana bas tu lalu. Janji berhenti tempat yang dituju. Hehe.. 10 minit menunggu di Shandwick Place Bus Stop, akhirnya bas bernombor 33 pun sampai. Moh ler kita naik bas double decker ni. Penumpang pun tak ramai. Alhamdulillah dapat duduk sekejap hingga sampai ke destinasi.

Jangan terlepas bus stop ye. Jenuh nak jalan nanti. Hihi..


@ EDINBURGH CENTRAL MOSQUE

15 minit perjalanan dalam bas dan melalui beberapa hentian, jam 1.55 petang bas berhenti di Surgeon's Hall Bus Stop. Kami turun dan teruskan berjalan kaki menuju ke Edinburgh Central Mosque untuk menunaikan solat jamak. Hujan mula turun renyai. Jaket kami masih boleh tampung lagi air hujan supaya tak membasahi pakaian di dalamnya. Tepat jam 2.00 petang kami dah berada di perkarangan Edinburgh Central Mosque. Dulu saya tak sempat singgah di masjid ni. Bukan apa, masa tu saya langsung tak susun itinerary dengan betul. Main redah je. Huhu.. Kali ni bila dah banyak kali travel barulah boleh uruskan perjalanan dengan baik. Learning from experience. Setiap kali travel akan ada penambahbaikan berdasarkan pengalaman sedia ada. Itu yang terbaik..

Bus route: From Shandwick Place Bus Stop to Surgeon's Hall Bus Stop

Alhamdulillah sampai juga di sini

Kami masuk ke dalam masjid mengikut pintu utama. Terdapat ruang kecil untuk rak kasut dan kelihatan ruang solat utama melalui pintu kaca. Saya terus ke tingkat bawah untuk mengambil wudhu. Bilik wudhu amat bersih dan selesa. Selesai wudhu saya terus ke ruang solat utama. Di tingkat atas ada dewan serbaguna untuk acara keagamaan. Sebelum masuk ke dalam ruang solat, saya ditegur oleh seorang jemaah. Orang Malaysia rupanya. Dah 7 tahun dia tinggal di bumi Edinburgh ni bersama keluarganya. Lepas habis PhD dia terus menetap dan kerja di sini. Terima kasih kerana menegur. Setelah mengucapkan salam, saya terus masuk ke ruang solat utama untuk mengerjakan solat jamak.

Tangga dari lobi menuju ke bilik wudhu di tingkat bawah

Ruang solat utama di Edinburgh Central Mosque

Selesai solat, sementara menunggu yang lain, saya berjalan melihat kedai dan restoran yang ada di sekitar masjid. Selalunya dekat dengan masjid banyak kedai halal. Memang betul pun. Tapi saya dah set satu restoran yang akan kami singgah kejap lagi. Dulu saya makan burger di Zenobia Restaurant. Masa tu main terjah je. Asal nampak muslim tengah makan dan ada tanda halal, saya pun terus masuk dan order. Hihi.. Kali ni saya dah survey kedai mana yang akan kami pergi lepas ni. Takkan nak makan burger lagi kot. Mestilah kena cuba makanan lain pulak. Di Edinburgh tak perlu risau tentang makanan halal. Diulangi buat kesekian kalinya, jangan cerewet sangat bab memilih makanan ye. Ini bukan Kampung Baru, macam-macam menu boleh pilih dan murah harganya. Hehe..

Antara restoran halal yang ada berhampiran masjid

Bersyukur bila dapat merasa pengalaman solat di masjid utama kat bumi Edinburgh ni. Jam 2.30 petang kami mula berjalan meninggalkan masjid. Dari masjid, kami berjalan semula ke jalan utama tempat bas berhenti tadi dan terus ke arah pusat bandar. Hujan renyai yang masih turun kami redah juga. Lapar punya pasal. Hihi.. Rasanya makin banyak restoran halal yang wujud di sini berbanding tahun 2012 lalu. Saya tak nampak pun Zenobia Restaurant tempat saya makan burger dulu. Mungkin dah bertukar nama kedai kot. Setiap kali lalu restoran halal, anak-anak akan tanya ini ke tempat yang kita nak makan. Diorang memang tak tau itinerary yang saya buat. Bagi pun confirm takkan baca punya. Hehe..

Nak makan roti boleh, nak makan kebab mahal pun boleh. Hehe..


@ NOODLE N' RICE RESTAURANT

Setelah lebih 20 minit berjalan kaki dan anak-anak masih salah teka kedai mana satu yang kami akan makan, akhirnya restoran yang dicari berada di depan mata. Saya pilih restoran ni kerana namanya. Ada nasi la kat restoran ni. Hehe.. Kat luar negara memang pantang bila nampak perkataan rice. Orang Malaysia mana boleh tak makan nasi. Makanan utama tu. Daripada semua restoran halal yang anak-anak teka tadi, boleh sorang pun tak perasan tentang restoran ni. Mungkin diorang malas nak teka sebab dah jauh berjalan masih tak sampai lagi. Hihi.. Teruja sungguh dengan nama restoran ni. Kami pun masuk ke dalam. Lega dapat berteduh dari hujan. Sedap sungguh bau makanan dalam kedai ni. Lagi kuatlah perut kami berbunyi. Hehe..

Tempat yang bakal kami singgah di Edinburgh

Sampai sudah tempat yang dituju.

Tengok dulu senarai menu dan harganya

Daripada menu yang tersenarai, jelas restoran ni menghidangkan masakan Thailand. Memang sedap la dapat makan nasi dengan tomyam. Harga jangan cakap lah. Teringat saya masa makan kat restoran thai di Gothenburg pada 2018. Tomyam mangkuk kecik je tapi harganya sama dengan makan satu family kat Malaysia. Huhu.. Takpelah, anak-anak dah request nak makan nasi. Baru diorang tau betapa pentingnya nasi dalam hidup. Masa kat rumah bukan main susah nak makan nasi. Moga lepas ni diorang lebih menghargai makanan yang dihidangkan dan yang penting jangan membazir ye. Saya order 5 nasi putih beserta tomyam ayam, daging masak pad kra pao dan fishcakes. Saya tak order air. Air mineral yang dibawa masih banyak lagi. Harap cepatlah makanan kami dimasak dan sedap dimakan. Ehh, macam lagu iklan Maggi pulak ye. Hehe..

Masing-masing muka kelaparan.

Memang pantas makanan kami dimasak. 10 minit menunggu semua makanan yang saya order dah terhidang di atas meja. Terbaiklah chef yang masak kat dapur tu. Hehe.. Bila cuaca sejuk dan ditambah dengan hujan, maka bertambah lapar la dibuatnya. Pandai-pandailah sorang sikit merasa makanan ni ya. Nak beli sorang satu mangkuk tomyam memang menangis la bila bayar nanti. Huhu.. Apa yang bagusnya, anak-anak saya memang tak pernah memilih makanan. Apa yang diberi semua diorang bedal. Cuma banyak atau sikit je diorang makan. Elysha la yang paling cerewet bila bab makan. Sebab tu dia kurus sangat. Awal-awal lagi saya dah bagitau kat dia jangan memilih sangat bila makan kat luar negara. Kelaparan la jawabnya. Alhamdulillah makanan yang kami order semuanya sedap dan masing-masing dapat habiskan nasi. Baru diorang faham macamana penangan lapar di musim sejuk ni. Hehe..

Sedap sungguh tomyam itu dimakan dengan nasi beras wangi

GBP26.00 untuk makanan kami sekeluarga

Alhamdulillah, semua makanan licin dibuatnya. Mudah untuk pekerja basuh pinggan kami. Hehe.. Puas hati dapat makan nasi. Anak-anak kalau lapar lagi, korang tau apa yang nak dibuat kat travelodge nanti ye. Banyak lagi ration kat dalam beg tu. Jam 3.30 petang kami mula bersiap untuk teruskan perjalanan sementara saya buat bayaran di kaunter. Cadangnya nak tunggu sampai hujan berhenti. Tapi bila melihatkan cuaca macam mendung je sepanjang hari ni, maka terpaksalah redah juga. Masing-masing dah makan nasi, makin bertenagalah untuk berjalan. Moga hujan berhenti seketika untuk kami menikmati suasana malam di bumi Edinburgh.


Wallahu 'alam..

Friday 6 November 2020

JJCP UK V.2: Day 06 (Part #1)

 Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..


HARI/TARIKH:
@ ISNIN, 2 DISEMEBR 2019

LOKASI KEJADIAN:
@ CARTER BAR
@ SCOTT'S VIEW


Jam 6.00 pagi bunyi alarm kedengaran. Seperti rutin harian di waktu pagi, saya kejutkan anak-anak. Tak tau pukul berapa diorang tidur malam tadi. Channel kartun masih terpasang dan Elysha tidur kat lantai je depan TV. Huhu.. Masing-masing tunggu giliran untuk mandi, solat dan bersiap. Menu breakfast pagi ni adalah bubur segera. Teringat makanan semalam yang sedap tu. Benda sedap memang pasti terkenang. Masa saya ke Mekah pada 2016, kami ada singgah makan kat restoran di highway antara Mekah ke Madinah. Sedap sungguh nasi Arab dan ikan talapia di situ. Yang peliknya kami boleh tak tambah pun lauknya. Sampai di Madinah baru rasa menyesal. Memang itulah nasi Arab yang paling sedap saya pernah makan dalam hidup. Terkenang sampai sekarang. Hihi.. Dah selesai makan dan kemas beg, jam 7.30 pagi kami mula check-out.



Tq Travelodge Newcastle Seaton Burn!

Kemain budak tu nak bawak beg botol susu sendiri

Semua beg dah dimasukkan dalam kereta. Abg Fikri memang pakar dalam memuatkan semua beg kami. Hihi.. Ruang untuk beg yang akan beranak dalam sehari dua lagi pun masih ada. Baru hari ke-6 ni. Anak-anak dah bersedia untuk pangku beg atas riba masing-masing jika lebih muatan. Hehe.. Abg Fikri membacakan doa perjalanan dan tepat jam 8.00 pagi kami pun mula meninggalkan travelodge menuju ke destinasi berikutnya. Hari ni kami nak masuk ke negara jiran, Scotland. Tak sabar rasanya untuk melihat pemandangan indah yang bakal disajikan di bumi Scotland. Pada saya view di Scotland lebih menarik dari di England. Apa-apa pun kedua-duanya kami dapat merasa. Indah sungguh bumi ciptaan Allah ni. Masya Allah..

Cuaca amat cantik pagi ni

Kami melalui jalan A696 menuju ke utara UK dan kemudiannya menyusuri jalan A68 di Northumberland National Park. Saya dah pernah lalu jalan ni masa trip 2012 dulu tapi di laluan bertentangan semasa perjalanan balik dari Scotland ke England. Masih tak berubah keadaan jalan di sini. Tetap indah dan cantik seperti gambar di kalendar. Sejam perjalanan saya berhenti sekejap di bahu jalan untuk merehatkan otot kaki. Jalanraya kelihatan basah dan kelihatan ada tompokan salji di atas rumput. Selalunya makin ke utara cuaca makin sejuk dan kebarangkalian untuk melihat salji lebih tinggi. Tapi mungkin juga tiada kerana hujan tak turun. Sekurangnya dapatlah anak-anak tengok dan pegang ais salji yang sebenar walaupun mengharapkan ianya turun dari langit.

Pemandangan yang terbentang luas

Kami teruskan perjalanan hingga sampai di kampung terakhir sebelum melintasi sempadan England-Scotland. Hujan renyai turun seketika namun tiada kelibat salji yang jatuh dari langit. Kelihatan pelangi yang besar di depan. Kerap pulak nampak pelangi kat sini. Kat Malaysia punyalah susah nak tengok padahal selalu je hujan sepanjang tahun. Huhu.. Anak-anak kecewa sebab tak dapat tengok salji yang turun secara live. Dalam weather forecast memang takde pun maklumat tentang salji akan turun dalam masa terdekat. Cuma hari terakhir nanti katanya ada salji halus turun. Itupun bergantung pada tempatnya. Masa tu kami dah kat London. Ada rezeki dapatlah tengok ye wahai anak-anakku. Kalau tak dapat, next trip ayah akan cari tempat dan tarikh yang paling sesuai untuk salji turun selebatnya seperti di Scandinavia dulu. Sebelum tu kenalah kumpul duit tabung travel bagi penuh ye. In shaa Allah..

Layan sungguh memandu dalam suasana macam ni


@ CARTER BAR

Jam 9.30 pagi kami melalui jalan lapang yang berbukit sebelum tiba di destinasi berikutnya iaitu Carter Bar, sempadan bagi England-Scotland. Fa tak tau kami akan ke sini walaupun dah tertulis dalam itinerary. Dia tak baca la tu. Hehe.. Dia tau saya selalunya takkan pergi tempat yang sama 2 kali. Jadi dia tak expect kami akan singgah di sini. Dia pernah cakap yang dia jeles betul tengok gambar saya dan wife di batu sempadan England-Scotland. Sekarang dah tak perlu nak jeles sebab dia sendiri dah sampai. Amik la gambar sepuasnya dengan Abg Fikri ye. Hihi..


Driving route: From Travelodge Newcastle Seaton Burn to Carter Bar

Senyum Fa bila nampak batu sempadan tu. Hehe..

Dulu kami berdua bergambar kat batu sempadan di seberang sana sebab perjalanan balik dari Scotland ke England waktu tu. Kali ni bergambar kat belah sini pulak. Kebetulan hanya kami je yang ada kat sini. Memang best la bergambar tanpa gangguan. Pada saya ini antara lokasi sempadan yang paling cantik pernah saya pergi. Lagi menarik sebab dibuat parking khas untuk pengunjung singgah dan bergambar kenangan. Jadi tak perlulah nak parking jauh dan jalan kaki semata-mata untuk bergambar di sempadan. Tapi sempadan paling unik yang pernah saya pergi dah tentu masa trip 2015 ke Western Europe. Kenangan sebelah kaki di Belgium dan sebelah lagi di Netherlands yang terletak di Baarle-Hertog dan Baarle-Nassau yang paling unik dan pelik dalam dunia akan saya ingat sampai bila-bila. Hehe..

Inilah batu tanda sempadan. Kat seberang jalan tu kami singgah masa trip 2012

Anak-anak especially Eirfan dah mula tak terkawal. Dalam keadaan sejuk pun selamba je muka dia macam takde perasaan. Huhu.. Nasib baik kawasan ni lapang dan takde pengunjung lain. Kami bergambar sepuasnya. Fa ucap terima kasih sebab tak sangka saya bawak dia ke sini. Saya faham, Fa dan Abg Fikri jenis yang travel untuk pemandangan, bukan shopping. Sebab tu diorang selalu ikut trip saya sebab misi utama kami sama. Shopping agenda kedua. Kepada yang suka travel untuk lihat pemandangan amat sesuai join trip saya. Untuk kaki shopping boleh ikut juga, tapi saya tinggalkan kat London sementara saya jalan-jalan kat kawasan kampung di sini. Hari terakhir baru jumpa semula dan balik Malaysia sama-sama. Hahah.. Kalau macam tu baik takyah join. Bersama-sama naik flight je rupanya. Hehe..

Sekejap di England, kemudian di Scotland

Dulu datang berdua, sekarang dengan family dan kawan-kawan. Alhamdulillah..

Setengah jam juga kami bergambar kat sini. Kemudian kelihatan beberapa buah kereta baru sampai di kawasan parking. Amik gambar pun dah puas, maka boleh la kami mula bergerak ke destinasi berikutnya. Dalam perjalanan menuju ke pekan berikutnya, kami berhenti di tengah jalan kerana ada kerja-kerja pembaikan jalan di depan. Apa yang membuatkan kami kagum, di dalam jalan kampung macam ni pun tetap ada traffic light khas untuk construction works. Sebenarnya banyak lagi negara yang saya pernah lihat keadaan macam ni. Cuma kali ni dapat ambil gambar kerana kereta kami di depan sekali. Malaysia patut buat macam ni untuk keselamatan pengguna jalan raya. Nampak macam tak perlu, tapi langkah-berjaga-jaga kena ambil juga kerana malang tak berbau. Bukan ke Malaysia selalu buat kajian dan pembaharuan berdasarkan benchmarking dari negara-negara maju? Takkan la delegasi yang keluar negara naik flight pakai duit rakyat jalan-jalan makan angin kot? Huhuu..

Demi keselamatan pengguna jalan raya. Terbaik kan?

Apa pun seperti sedia maklum, mentaliti rakyat Malaysia memang lain macam sikit bila di atas jalan raya. Sedangkan traffic light jalan besar pun boleh main redah je, inikan pulak traffic light sementara kat ceruk kampung macam ni. Memang tak diendahkan la jawabnya. Merah pun macam takde apa yang berlaku. Huhu.. Langgar traffic light merah itu perkara biasa, tapi ikut laluan bertentangan yang luar biasa pun banyak berlaku di Malaysia. Alasan paling mudah adalah mengaku diri OKU, in shaa Allah lepas dan boleh buat lagi di masa akan datang. Level dewa kayangan punya alasan tu. Tak boleh dipertikaikan. Terus terlepas dari hukuman. Huhu..

Wahh, makin banyak salji kelihatan kat sini

Destinasi berikutnya adalah lokasi untuk melayan pemandangan juga. Dulu saya tak sempat nak cari lokasi secara details untuk mengisi aktiviti perjalanan harian. Kali ni boleh dikatakan well-prepared. Banyak maklumat yang saya cari tentang route yang akan dilalui. Nampak menarik boleh la singgah seketika. Barulah tambah pengalaman dalam perjalanan. Cara saya mencari lokasi ni mudah je. Dah set route perjalanan dalam google map, lepas tu besarkan map tersebut. Nanti keluarlah point-of-interest yang berdekatan dengan route tu. Lepas tu cari maklumat tambahan. Jika lokasi tu agak menarik untuk disinggah, maka saya akan set terus dalam Here Maps. Hari kejadian cuma perlu set lokasi yang dah save tu. Kena pastikan juga masa yang diambil untuk sampai. Hehe..

Pemandangan Leaderfoot Viaduct

Masa trip 2012 dulu kami pernah bergambar di bawah Leaderfoot Viaduct ni. Itupun sebab nampak kat signboard tepi jalan dan terus singgah. Kalau tak memang takkan berhenti pun sebab itinerary yang saya buat tak begitu details. Lokasi berikut yang kami nak pergi ni terletak di atas bukit dan simpang masuk ke laluan berbukit tu berdekatan dengan Leaderfoot Viaduct. Macam mana dulu boleh tak perasan ada viewpoint kat sini? Mungkin masa tu signboard takde lagi kot. Hehe.. 5 minit perjalanan berbukit dan melalui jalan yang sempit, akhirnya sampai jua kami di lokasi yang dituju. Sama keadaan seperti di Carter Bar, hanya kenderaan kami je yang ada kat sini. Jom amik gambar cepat sebelum ada orang lain sampai. Hehe..

Driving route: From Carter Bar to Scott's View


@ SCOTT'S VIEW

Nama Scott's View diambil sempena mengingati Sir Walter Scott, seorang novelis Scotland yang selalu singgah ketika menunggang kuda untuk menghayati pemandangan di sini. Beliau terlalu kerap ke sini sampaikan kudanya dah mengenali tempat ni dan akan sentiasa berhenti di tempat yang sama tanpa diarahkan. Hinggakan masa kematiannya, ketika kenderaan melalui jalan di sini, kudanya berhenti juga untuk memberi peluang kepada tuannya melihat pemandangan di sini buat kali terakhir. Memang amat cantik pemandangan kat sini. Boleh nampak muka bumi Scotland yang luas dari sini. Di bawahnya terdapat sungai panjang bernama River Tweed yang penuh dengan ikan salmon. Inilah satu-satunya sungai di UK yang tak perlukan permit untuk memancing. Sesiapa pun boleh memancing kat sini sepanjang tahun. Kalau la saya duduk kat sini memang selalu la makan ikan salmon. Hehe..

Indah dan tenang pemandangan kat sini

Kasi can la posing ala Notting Hill kat sini. Hehe..

Kesian si kecil Eirfan takde gambar kat sini. Dia tengah syok tidur dalam kereta. Baik jangan ganggu. Susah pulak kalau dia terlepas sampai bawah bukit tu. Hihi.. 20 minit menghayati bumi indah ciptaan yang Maha Esa sudah memadai. Masa bersiap untuk teruskan perjalanan barulah ada sebuah tourist van sampai. Berapalah agaknya tour charge untuk ke sini ye. Datang sendiri lagi berbaloi. Tak perlu guide pun takpe. Bukan nak tau sangat sejarah tentang tempat ni. Datang sebab nak layan pemandangan, bukan buat kajian sejarah. Nak maklumat boleh je google info seperti yang saya ceritakan kat atas tu. Hehe.. Tepat jam 11.00 pagi kami teruskan perjalanan. Eirfan masih nyenyak tidur. Siaplah bila dia bangun nanti. Makin bertenagalah dia berjalan. Hihi..

Last picture sebelum beredar. Really nice place..

Nampaknya aktiviti hari ni masih lagi mengikut anggaran masa dalam itinerary. Perjalanan kami diteruskan menuju ke bandar Edinburgh, antara bandar yang amat cantik pernah saya pergi. Jika dibandingkan dengan London, Edinburgh lagi cantik dan destinasi wajib bagi pecinta alam. Banyak bangunan lama yang dijaga dengan baik. Harap pemandangan pada 2012 lalu masih kekal hingga sekarang dan sampai bila-bila. Dulu hanya day-trip ke Edinburgh. Nampaknya kali ni pun sama juga. Cukuplah untuk kenangan sepanjang hidup. Ini pun kira nasib baik datang lagi sekali. Bertuah la Fa dan Abg Fikri dapat merasa jalan-jalan di Edinburgh kejap lagi. Moga diorang seronok dengan perjalanan yang saya buat setakat hari ni. Nampak macam dah beribu gambar yang diorang amik tu. Indicator seronok tu dah ada. Hehe..


Wallahu 'alam..