Friday 6 November 2020

JJCP UK V.2: Day 06 (Part #1)

 Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..


HARI/TARIKH:
@ ISNIN, 2 DISEMEBR 2019

LOKASI KEJADIAN:
@ CARTER BAR
@ SCOTT'S VIEW


Jam 6.00 pagi bunyi alarm kedengaran. Seperti rutin harian di waktu pagi, saya kejutkan anak-anak. Tak tau pukul berapa diorang tidur malam tadi. Channel kartun masih terpasang dan Elysha tidur kat lantai je depan TV. Huhu.. Masing-masing tunggu giliran untuk mandi, solat dan bersiap. Menu breakfast pagi ni adalah bubur segera. Teringat makanan semalam yang sedap tu. Benda sedap memang pasti terkenang. Masa saya ke Mekah pada 2016, kami ada singgah makan kat restoran di highway antara Mekah ke Madinah. Sedap sungguh nasi Arab dan ikan talapia di situ. Yang peliknya kami boleh tak tambah pun lauknya. Sampai di Madinah baru rasa menyesal. Memang itulah nasi Arab yang paling sedap saya pernah makan dalam hidup. Terkenang sampai sekarang. Hihi.. Dah selesai makan dan kemas beg, jam 7.30 pagi kami mula check-out.



Tq Travelodge Newcastle Seaton Burn!

Kemain budak tu nak bawak beg botol susu sendiri

Semua beg dah dimasukkan dalam kereta. Abg Fikri memang pakar dalam memuatkan semua beg kami. Hihi.. Ruang untuk beg yang akan beranak dalam sehari dua lagi pun masih ada. Baru hari ke-6 ni. Anak-anak dah bersedia untuk pangku beg atas riba masing-masing jika lebih muatan. Hehe.. Abg Fikri membacakan doa perjalanan dan tepat jam 8.00 pagi kami pun mula meninggalkan travelodge menuju ke destinasi berikutnya. Hari ni kami nak masuk ke negara jiran, Scotland. Tak sabar rasanya untuk melihat pemandangan indah yang bakal disajikan di bumi Scotland. Pada saya view di Scotland lebih menarik dari di England. Apa-apa pun kedua-duanya kami dapat merasa. Indah sungguh bumi ciptaan Allah ni. Masya Allah..

Cuaca amat cantik pagi ni

Kami melalui jalan A696 menuju ke utara UK dan kemudiannya menyusuri jalan A68 di Northumberland National Park. Saya dah pernah lalu jalan ni masa trip 2012 dulu tapi di laluan bertentangan semasa perjalanan balik dari Scotland ke England. Masih tak berubah keadaan jalan di sini. Tetap indah dan cantik seperti gambar di kalendar. Sejam perjalanan saya berhenti sekejap di bahu jalan untuk merehatkan otot kaki. Jalanraya kelihatan basah dan kelihatan ada tompokan salji di atas rumput. Selalunya makin ke utara cuaca makin sejuk dan kebarangkalian untuk melihat salji lebih tinggi. Tapi mungkin juga tiada kerana hujan tak turun. Sekurangnya dapatlah anak-anak tengok dan pegang ais salji yang sebenar walaupun mengharapkan ianya turun dari langit.

Pemandangan yang terbentang luas

Kami teruskan perjalanan hingga sampai di kampung terakhir sebelum melintasi sempadan England-Scotland. Hujan renyai turun seketika namun tiada kelibat salji yang jatuh dari langit. Kelihatan pelangi yang besar di depan. Kerap pulak nampak pelangi kat sini. Kat Malaysia punyalah susah nak tengok padahal selalu je hujan sepanjang tahun. Huhu.. Anak-anak kecewa sebab tak dapat tengok salji yang turun secara live. Dalam weather forecast memang takde pun maklumat tentang salji akan turun dalam masa terdekat. Cuma hari terakhir nanti katanya ada salji halus turun. Itupun bergantung pada tempatnya. Masa tu kami dah kat London. Ada rezeki dapatlah tengok ye wahai anak-anakku. Kalau tak dapat, next trip ayah akan cari tempat dan tarikh yang paling sesuai untuk salji turun selebatnya seperti di Scandinavia dulu. Sebelum tu kenalah kumpul duit tabung travel bagi penuh ye. In shaa Allah..

Layan sungguh memandu dalam suasana macam ni


@ CARTER BAR

Jam 9.30 pagi kami melalui jalan lapang yang berbukit sebelum tiba di destinasi berikutnya iaitu Carter Bar, sempadan bagi England-Scotland. Fa tak tau kami akan ke sini walaupun dah tertulis dalam itinerary. Dia tak baca la tu. Hehe.. Dia tau saya selalunya takkan pergi tempat yang sama 2 kali. Jadi dia tak expect kami akan singgah di sini. Dia pernah cakap yang dia jeles betul tengok gambar saya dan wife di batu sempadan England-Scotland. Sekarang dah tak perlu nak jeles sebab dia sendiri dah sampai. Amik la gambar sepuasnya dengan Abg Fikri ye. Hihi..


Driving route: From Travelodge Newcastle Seaton Burn to Carter Bar

Senyum Fa bila nampak batu sempadan tu. Hehe..

Dulu kami berdua bergambar kat batu sempadan di seberang sana sebab perjalanan balik dari Scotland ke England waktu tu. Kali ni bergambar kat belah sini pulak. Kebetulan hanya kami je yang ada kat sini. Memang best la bergambar tanpa gangguan. Pada saya ini antara lokasi sempadan yang paling cantik pernah saya pergi. Lagi menarik sebab dibuat parking khas untuk pengunjung singgah dan bergambar kenangan. Jadi tak perlulah nak parking jauh dan jalan kaki semata-mata untuk bergambar di sempadan. Tapi sempadan paling unik yang pernah saya pergi dah tentu masa trip 2015 ke Western Europe. Kenangan sebelah kaki di Belgium dan sebelah lagi di Netherlands yang terletak di Baarle-Hertog dan Baarle-Nassau yang paling unik dan pelik dalam dunia akan saya ingat sampai bila-bila. Hehe..

Inilah batu tanda sempadan. Kat seberang jalan tu kami singgah masa trip 2012

Anak-anak especially Eirfan dah mula tak terkawal. Dalam keadaan sejuk pun selamba je muka dia macam takde perasaan. Huhu.. Nasib baik kawasan ni lapang dan takde pengunjung lain. Kami bergambar sepuasnya. Fa ucap terima kasih sebab tak sangka saya bawak dia ke sini. Saya faham, Fa dan Abg Fikri jenis yang travel untuk pemandangan, bukan shopping. Sebab tu diorang selalu ikut trip saya sebab misi utama kami sama. Shopping agenda kedua. Kepada yang suka travel untuk lihat pemandangan amat sesuai join trip saya. Untuk kaki shopping boleh ikut juga, tapi saya tinggalkan kat London sementara saya jalan-jalan kat kawasan kampung di sini. Hari terakhir baru jumpa semula dan balik Malaysia sama-sama. Hahah.. Kalau macam tu baik takyah join. Bersama-sama naik flight je rupanya. Hehe..

Sekejap di England, kemudian di Scotland

Dulu datang berdua, sekarang dengan family dan kawan-kawan. Alhamdulillah..

Setengah jam juga kami bergambar kat sini. Kemudian kelihatan beberapa buah kereta baru sampai di kawasan parking. Amik gambar pun dah puas, maka boleh la kami mula bergerak ke destinasi berikutnya. Dalam perjalanan menuju ke pekan berikutnya, kami berhenti di tengah jalan kerana ada kerja-kerja pembaikan jalan di depan. Apa yang membuatkan kami kagum, di dalam jalan kampung macam ni pun tetap ada traffic light khas untuk construction works. Sebenarnya banyak lagi negara yang saya pernah lihat keadaan macam ni. Cuma kali ni dapat ambil gambar kerana kereta kami di depan sekali. Malaysia patut buat macam ni untuk keselamatan pengguna jalan raya. Nampak macam tak perlu, tapi langkah-berjaga-jaga kena ambil juga kerana malang tak berbau. Bukan ke Malaysia selalu buat kajian dan pembaharuan berdasarkan benchmarking dari negara-negara maju? Takkan la delegasi yang keluar negara naik flight pakai duit rakyat jalan-jalan makan angin kot? Huhuu..

Demi keselamatan pengguna jalan raya. Terbaik kan?

Apa pun seperti sedia maklum, mentaliti rakyat Malaysia memang lain macam sikit bila di atas jalan raya. Sedangkan traffic light jalan besar pun boleh main redah je, inikan pulak traffic light sementara kat ceruk kampung macam ni. Memang tak diendahkan la jawabnya. Merah pun macam takde apa yang berlaku. Huhu.. Langgar traffic light merah itu perkara biasa, tapi ikut laluan bertentangan yang luar biasa pun banyak berlaku di Malaysia. Alasan paling mudah adalah mengaku diri OKU, in shaa Allah lepas dan boleh buat lagi di masa akan datang. Level dewa kayangan punya alasan tu. Tak boleh dipertikaikan. Terus terlepas dari hukuman. Huhu..

Wahh, makin banyak salji kelihatan kat sini

Destinasi berikutnya adalah lokasi untuk melayan pemandangan juga. Dulu saya tak sempat nak cari lokasi secara details untuk mengisi aktiviti perjalanan harian. Kali ni boleh dikatakan well-prepared. Banyak maklumat yang saya cari tentang route yang akan dilalui. Nampak menarik boleh la singgah seketika. Barulah tambah pengalaman dalam perjalanan. Cara saya mencari lokasi ni mudah je. Dah set route perjalanan dalam google map, lepas tu besarkan map tersebut. Nanti keluarlah point-of-interest yang berdekatan dengan route tu. Lepas tu cari maklumat tambahan. Jika lokasi tu agak menarik untuk disinggah, maka saya akan set terus dalam Here Maps. Hari kejadian cuma perlu set lokasi yang dah save tu. Kena pastikan juga masa yang diambil untuk sampai. Hehe..

Pemandangan Leaderfoot Viaduct

Masa trip 2012 dulu kami pernah bergambar di bawah Leaderfoot Viaduct ni. Itupun sebab nampak kat signboard tepi jalan dan terus singgah. Kalau tak memang takkan berhenti pun sebab itinerary yang saya buat tak begitu details. Lokasi berikut yang kami nak pergi ni terletak di atas bukit dan simpang masuk ke laluan berbukit tu berdekatan dengan Leaderfoot Viaduct. Macam mana dulu boleh tak perasan ada viewpoint kat sini? Mungkin masa tu signboard takde lagi kot. Hehe.. 5 minit perjalanan berbukit dan melalui jalan yang sempit, akhirnya sampai jua kami di lokasi yang dituju. Sama keadaan seperti di Carter Bar, hanya kenderaan kami je yang ada kat sini. Jom amik gambar cepat sebelum ada orang lain sampai. Hehe..

Driving route: From Carter Bar to Scott's View


@ SCOTT'S VIEW

Nama Scott's View diambil sempena mengingati Sir Walter Scott, seorang novelis Scotland yang selalu singgah ketika menunggang kuda untuk menghayati pemandangan di sini. Beliau terlalu kerap ke sini sampaikan kudanya dah mengenali tempat ni dan akan sentiasa berhenti di tempat yang sama tanpa diarahkan. Hinggakan masa kematiannya, ketika kenderaan melalui jalan di sini, kudanya berhenti juga untuk memberi peluang kepada tuannya melihat pemandangan di sini buat kali terakhir. Memang amat cantik pemandangan kat sini. Boleh nampak muka bumi Scotland yang luas dari sini. Di bawahnya terdapat sungai panjang bernama River Tweed yang penuh dengan ikan salmon. Inilah satu-satunya sungai di UK yang tak perlukan permit untuk memancing. Sesiapa pun boleh memancing kat sini sepanjang tahun. Kalau la saya duduk kat sini memang selalu la makan ikan salmon. Hehe..

Indah dan tenang pemandangan kat sini

Kasi can la posing ala Notting Hill kat sini. Hehe..

Kesian si kecil Eirfan takde gambar kat sini. Dia tengah syok tidur dalam kereta. Baik jangan ganggu. Susah pulak kalau dia terlepas sampai bawah bukit tu. Hihi.. 20 minit menghayati bumi indah ciptaan yang Maha Esa sudah memadai. Masa bersiap untuk teruskan perjalanan barulah ada sebuah tourist van sampai. Berapalah agaknya tour charge untuk ke sini ye. Datang sendiri lagi berbaloi. Tak perlu guide pun takpe. Bukan nak tau sangat sejarah tentang tempat ni. Datang sebab nak layan pemandangan, bukan buat kajian sejarah. Nak maklumat boleh je google info seperti yang saya ceritakan kat atas tu. Hehe.. Tepat jam 11.00 pagi kami teruskan perjalanan. Eirfan masih nyenyak tidur. Siaplah bila dia bangun nanti. Makin bertenagalah dia berjalan. Hihi..

Last picture sebelum beredar. Really nice place..

Nampaknya aktiviti hari ni masih lagi mengikut anggaran masa dalam itinerary. Perjalanan kami diteruskan menuju ke bandar Edinburgh, antara bandar yang amat cantik pernah saya pergi. Jika dibandingkan dengan London, Edinburgh lagi cantik dan destinasi wajib bagi pecinta alam. Banyak bangunan lama yang dijaga dengan baik. Harap pemandangan pada 2012 lalu masih kekal hingga sekarang dan sampai bila-bila. Dulu hanya day-trip ke Edinburgh. Nampaknya kali ni pun sama juga. Cukuplah untuk kenangan sepanjang hidup. Ini pun kira nasib baik datang lagi sekali. Bertuah la Fa dan Abg Fikri dapat merasa jalan-jalan di Edinburgh kejap lagi. Moga diorang seronok dengan perjalanan yang saya buat setakat hari ni. Nampak macam dah beribu gambar yang diorang amik tu. Indicator seronok tu dah ada. Hehe..


Wallahu 'alam..

No comments:

Post a Comment