Friday 31 May 2019

JJCP Scandiscovery: Day 06 (Part #3)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..


HARI/TARIKH:
@ KHAMIS, 13 DISEMBER 2018

LOKASI KEJADIAN:
@ LEGOLAND BILLUND
@ LEGO HOUSE
@ ALDI MARKED


Kami meninggalkan bandar Esbjerg menuju ke destinasi terakhir pada hari ini iaitu Billund sebelum teruskan perjalanan pulang ke homestay. Billund adalah satu bandar kecil yang terkenal dengan themepark yang amat popular iaitu Legoland. Teringin juga kami nak lihat dari luar walaupun memang tiada niat untuk masuk. Hehe.. Di Billund juga ada Lego House. Boleh la saya tengokkkan pesanan dari kawan saya. Itupun jika tempat tu masih buka lagi. Musim winter selalunya tutup awal. Kita cuba nasib, kalau dah tutup sekurangnya dapatlah tengok keadaan sekeliling.

Driving route: From Esbjerg Moske to Legoland Billund
Kami sampai di Billund jam 3.50 petang. Cuaca dah makin gelap. Kelihatan banyak tempat masih dalam pembinaan. Rasanya diorang nak buat bandar Lego kat sini sebab sepanjang perjalanan kami nampak logo Lego di tepi jalan dan juga signboard. Kilang Lego terbesar ada di sini. Kami ikut arah maps menuju ke pintu masuk Legoland. Kami lalu di sebelah Hotel Legoland yang berwarna-warni. Berapa lah agaknya harga bilik semalam kat sini ye. Confirm ribu-ribu punya. Huhu.. Setakat tengok dari luar je yang mampu.

Macam duduk dalam castle Hotel Legoland ni

@ LEGOLAND BILLUND

Tepat jam 4.00 petang kami sampai di pintu masuk Legoland. Yang ada hanya sebiji teksi yang sedang menunggu penumpang. Legoland tutup awal hari ni. Mungkin sampai jam 3 petang tadi. Kami turun dari kereta untuk melihat suasana di pintu masuk Legoland. Yang kami nampak hanya staff Legoland sedang bekerja di dalam. Legoland Billund dibuka pada tahun 1968 dan ia adalah Legoland yang pertama di dunia. Ada 8 Legoland di seluruh dunia. Legoland di Johor adalah yang ke-6 dan menjadi Legoland pertama yang beroperasi di Asia. Saya dah pergi masa ia baru seminggu beroperasi. Rumput pun tak tumbuh lagi masa tu. Cuaca punyalah panas berdengung. Permainan dalam Legoland memang sesuai untuk kanak-kanak kerana tak extreme sangat berbanding Universal Studios. Harga tiket masuk jangan cakap la. Mesti kena ikut standard harga international. Orang Singapore suka la datang Johor. Berapa sangatlah harga tiket Legoland dengan currency dia yang tinggi tu. Huhu..

Jadilah pengalaman berada di Legoland pertama di dunia

Road Trip: From Esbjerg to Billund

@ LEGO HOUSE

Selesai bergambar, kami teruskan perjalanan mencari Lego House. Jam 4.30 petang kami sampai di kawasan parking berhampiran Lego House. Daripada jauh macam dah tutup juga tempat ni. Saya pergi ke pintu dan staff di dalam menunjukkan isyarat tempat ni dah tutup. Takde rezeki la nak tengok dalam Lego House walaupun ada entrance fee untuk explore keseluruhan tempat ni. Lego House ini dibuka pada September 2017. Kira baru setahun jagung ia beroperasi. Jika dipandang dari atas, Lego House ni nampak seperti susunan brick lego yang berwarna-warni. Kami yang lihat dari bawah memang nampak macam biasa je. Hihi..

Pandangan atas Lego House. Kami cuma nampak yang bawah je. Hihi..
Dah tak boleh masuk Lego House, nak jalan-jalan di kawasan sekitar pun nampak macam takde apa yang menarik. Ada satu restoran di sini yang bernama Mamas Pizzeria. Dalam google mengatakan restoran ni halal. Tapi saya tak nampak pun tanda halal di pintu kedai. Saya takdelah nak bertanya pada tuan kedai memandangkan lepas ni kami dah nak balik ke homestay. Lebih baik masak kat rumah je. Kepada yang nak datang ke sini dan ingin mencari option makanan halal boleh la cuba bertanya pada tuan kedai Mamas Pizzeria. Manalah tau ada menu yang halal dan boleh dimakan. Wallahu 'alam. Nak lagi meyakinkan bawalah bekal siap-siap. Hehe..

Lokasi Legoland, Lego House dan Mamas Pizzeria
Mamas Pizzeria di luar Lego House dan review dari seorang pengunjung restoran
Jam 4.45 petang kami teruskan perjalanan pulang ke homestay. Walaupun masih awal lagi tapi masing-masing dah terasa penat. Di awal perjalanan masih ada suara berborak lagi. Makin lama makin senyap, tinggal bunyi lagu MP3 je yang kedengaran. Wife saya di sebelah masih tetap setia menemani saya walaupun tau dalam hati kecilnya nak juga curi-curi tidur. Hehe.. Kejap borak, lepas tu senyap. Confirm terlelap tu. Tinggal la saya seorang yang masih terjaga sebab memandu. Kali ni saya tak rasa mengantuk sangat. Dulu masa drive di Western Europe memang sangat penat. Saya masih ingat lagi masa drive ke Venice. Dengan kabus yang tebal sampai tak nampak jalan, banyak kali juga saya berhenti untuk merehatkan mata sambil minum kopi panas. Harap trip kali ni saya akan lebih fokus. Wife saya berazam kali ni dia untuk cuba bertahan dari tidur dan layan saya berborak. Kemonn la my wife.. Hehe..

Baru separuh perjalanan dan mata masih segar lagi
Jam 6.00 petang kami dah sampai di kawasan Odense. Awal sangat nak balik homestay. Saya set pada map untuk ke supermarket yang berhampiran dengan homestay. Boleh la buang masa jalan-jalan cuci mata kat supermarket tu dulu. Supermarket yang terdekat dan masih buka lagi adalah Aldi Marked yang terletak di area Korup. Saya terus set map untuk ke sana. Yang lain tak tau sebab sedang enak dibuai mimpi. Hihi.. Sampai je di Korup, saya tersalah masuk simpang. Saya masuk taman perumahan. Ingatkan ada jalan shortcut dari situ untuk ke Aldi. Sampai hujung taman rupanya jalan mati. Terpaksalah keluar balik dan ikut jalan besar tadi. Akhirnya jam 6.15 petang kami sampai juga di depan Aldi Marked.

Weather forecast in Odense
Driving route: From Lego House to Aldi Korup

@ ALDI MARKED

Rama stay dalam kereta sebab mengantuk sangat katanya. Kami meronda dalam supermarket dan melihat barangan yang dijual. Kami tak beli apa-apa pun. Kat sini ada barangan yang dijual dari produk Asia. Tapi tak nampak pun barang dari Malaysia. Selain dari barang makanan, pakaian pun ada dijual di sini. Harga barang tetap mahal. Nak beli air mineral pun kena fikir panjang. Bukan kerana tiada tanda halal, tetapi harganya. Hihi.. Air paip di Denmark amat bersih dan boleh terus diminum kerana tiada klorin atau bahan kimia tambahan. Jadi buat apa beli kalau boleh minum free. Hehe..

Mesin recycle ada di mana-mana
Paneng atau Panang? Kari Thai ni
Menghabiskan masa untuk aktiviti hari ni
Lebih setengah jam meronda dalam supermarket tanpa pembelian, kami teruskan perjalanan balik ke homestay yang tak jauh dari sini. Tepat jam 7.00 malam kami dah sampai di homestay. Kami bersihkan diri dan para isteri bertungkus lumus di dapur memasak untuk dinner kami. Lepas makan kami sambung berborak dan mengemas beg masing-masing. Esok awal pagi dah nak check-out dan bertolak ke Sweden. Selesai pack semua barang dalam beg, jam 10.00 malam kami masuk ke bilik dan tidur. Kumpul tenaga sebanyak mungkin. Esok pertama kali dalam hidup nak jejakkan kaki di bumi Sweden. Bagaimana agaknya culture orang Sweden ye? Moga semuanya dipermudahkan. Wallahu 'alam..

Driving route: From Aldi Korup to Homestay

Day 06 total driving mileage: 309 km
Jumlah penggunaan kaki hari ni




JJCP Scandiscovery: Day 06 (Part #2)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..


HARI/TARIKH:
@ KHAMIS, 13 DISEMBER 2018

LOKASI KEJADIAN:
@ MEN MEETS THE SEA
@ ESBJERG MOSKE


Jam 12.30 tengahari kami meninggalkan Ribe menuju ke Esbjerg, iaitu bandar yang terletak di bahagian pantai barat Denmark. Sebenarnya tiada tujuan utama untuk kami melawat Esbjerg, melainkan singgah sebentar kerana ia berdekatan dengan Ribe sebelum ke destinasi berikutnya. Dalam perjalanan kami terjumpa lagi kincir angin yang banyak di tepi jalan. Kali ni lebih dekat dengan jalanraya. Kami pun berhenti sekejap untuk mengambil gambar. Kenderaan lain yang lalu mesti kata kami jakun sebab gambar kincir angin pun nak diambilnya. Kat Malaysia tak jumpa benda ni, sebab tu kami nak ambil gambar buat kenangan. Ini jawapan yang saya beri kalau ada kenderaan yang berhenti dan bertanya. Tapi dah tentu la takde kan. Buang masa diorang je. Hehe..

Wajib ambil gambar sebab percuma. Hihi..

Road Trip: Ribe to Esbjerg

Selesai bergambar sekeping dua, kami teruskan perjalanan. Jam 1.30 petang kami masuk kawasan bandar Esbjerg. Kami tak singgah di kawasan bandar kerana yang famous di sini adalah tempat shopping yang besar di pantai barat Denmark. Broen Shopping adalah shopping complex yang terbesar di daerah West Jutland. Kami taknak shopping pun. Jadi boleh la abaikan shopping complex tu. Hehe.. Kami melalui kawasan kilang. Kenderaan agak banyak tetapi perjalanan masih lancar. Cuma kena tempuh banyak traffic light.

Melalui kawasan bandar Esbjerg

@ MEN MEETS THE SEA

Jam 1.40 petang kami sampai di kawasan pantai North Sea, iaitu di penghujung pantai barat Denmark. Di sini terletaknya satu sculpture besar yang menjadi landmark kepada Esbjerg. Sculpture ini dinamakan Men Meets The Sea (Mennesket vet havet). Ianya berbentuk monumen berwarna putih di mana 4 lelaki setinggi 9 meter sedang duduk dan memandang North Sea. Sculpture ini didirikan pada tahun 1995 oleh majlis perbandaran Esbjerg bersama sponsor dari private sector sebagai memperingati 100 tahun kewujudan perbandaran ini pada 1994. Kami parking kereta di kawasan bersebelahan dengan sculpture. Rama mula keluarkan drone dia untuk diterbangkan di sini. Duduk tepi pantai lagi sejuk la dibuatnya. Huhu..

Weather forecast in Esbjerg
Driving route: From Ribe to Men Meets The Sea Sculpture
Men Meets The Sea Sculpture
Pemandangan North Sea yang terbentang luas
Sementara menunggu Rama setup drone dia, kami mengambil gambar di kawasan sekitar. Kelihatan beberapa locals berjogging dan berbasikal di tepi pantai. Cuaca sejuk macam ni pun diorang sanggup beriadah. Mungkin sebab mereka dah terbiasa dengan cuaca macam ni yang datang setiap kali musim winter. Kalau kami lebih baik duduk berselimut tebal di rumah. Hihi.. Kita sebagai penduduk di negara beriklim khatulistiwa di mana hujan dan panas sepanjang tahun takkan boleh nak samakan dengan kehidupan di negara 4 musim. Kenalah adapt dengan keadaan sekeliling. Andai pindah di negara 4 musim, setahun dua mungkin excited dengan salji yang turun dari langit. Tahun-tahun berikutnya mesti dah rasa menyampah sebab banyak perkara tak boleh nak dibuat semasa musim winter. Siang pun sekejap je. Jadi mana yang lebih baik? Khatulistiwa atau 4 musim? Saya prefer khatulistiwa tapi saya suka travel ke negara 4 musim. 365 hari duduk berpanas dan berhujan, apa salahnya spend seminggu dua merasai suasana sejuk dan bersalji. Sesuatu keadaan yang takkan dapat dirasai di negara sendiri. Tahan sikit la sejuk tu demi pengalaman berharga dalam hidup. Hihi..

Bergambar kenangan di Mennesket vet havet
Melayan drone di tepian pantai

Mennesket vet havet by drone

Selesai bergambar dan melayan drone, kami teruskan perjalanan mencari tempat solat. Saya terjumpa satu masjid yang terletak di Esbjerg. Daripada google maps, saya tak dapat nak lihat bangunan sebenar masjid ni kerana ia berada di celah bangunan lain. Jadi saya cuma tagging nama jalan dan sampai di sana nanti barulah saya cari di mana sebenarnya lokasi masjid ni. Harap ianya masih wujud. Risau juga kalau google map tak up-to-date. Huhu..

Kedudukan Esbjerg Moske dan view dalam google maps
Tepat jam 2.00 petang kami meninggalkan Mennesket vet havet. 15 minit perjalanan melalui kawasan bandar Esbjerg akhirnya kami sampai di jalan berhadapan dengan Esbjerg Moske yang telah saya tagging. Lain betul pemandangan sebenar berbanding yang dilihat dalam google map. Belukar dan pokok besar seperti dalam gambar di atas tu dah takde dan menjadi kawasan parking kereta. Saya minta yang lain tunggu dalam kereta sementara saya meronda di kawasan sekitar untuk mencari lokasi masjid. Saya lalu ikut lorong tersebut dan saya nampak bendera Denmark dan Turkey tergantung di dinding dalam rumah merah tu. Saya masuk ke dalam dan ditegur oleh 2 orang lelaki yang sedang berborak. Saya bertanyakan tentang masjid dan mereka tunjukkan ruang solat yang terdapat dalam rumah ni. Saya keluar semula untuk panggil yang lain. Memang betul ada masjid di sini. Alhamdulillah..

Driving route: From Mennesket vet havet to Esbjerg Moske

@ ESBJERG MOSKE

Kami masuk ke dalam rumah. Dari luar tiada signboard mengatakan ada ruang solat di dalam. Tiada orang di dalam ruang solat. Bilik wudhuk terletak di bahagian luar. Rasanya ini adalah masjid Turkish kerana bendera yang dipamerkan di dinding. Dua orang yang berborak tu pun macam muka Turkish. Alhamdulillah, ada juga masjid di kawasan ini walaupun Islam adalah minoriti di kawasan ni. Sekurangnya boleh berkumpul sesama muslim ketika solat Jumaat dan sambutan Aidilfitri. Moga tiada unsur khianat terhadap muslim di sini, In shaa Allah..

Pintu masuk masjid. Siap ada meja pool dengan foosball lagi kat ruang tamu
Tempat wudhuk dan pintu masuk ke ruang solat. Mohon pakai stokin ye..
Nampaknya kat sini memang kena sentiasa pakai stokin bila berada di dalam masjid. Nak elakkan carpet berbau kaki rupanya. Kan ada wap kat gambar kaki tu. Tapi kalau stokin dah pakai seharian pun harum juga baunya. Hihi.. Ruang solat agak besar, boleh memuatkan dalam 100 orang untuk solat berjemaah. Mungkin ramai muslim di kawasan ni. Saya ada terbaca satu artikel tentang rakyat di sini yang tak suka dengan kehadiran muslim di Denmark. Tapi mungkin golongan minoriti yang berbuat demikian. Moga keselamatan umat Islam di sini terpelihara hendaknya. Aminn..

Alhamdulillah dapat solat berjemaah di sini
Selesai solat, jam 2.50 petang kami meninggalkan Esbjerg Moske. 2 orang lelaki yang berborak tadi dah takde. Tak dapat kami ucapkan salam dan terima kasih kerana beri kami tumpang solat di sini. Kami bergegas ke kereta yang saya parking di bahu jalan. Takut kalau ada kertas saman di kereta kerana tiada kotak parking lot. Tapi banyak je kereta lain yang parking kat bahu jalan ni. Tu yang saya berani parking. Alhamdulillah tiada kertas di cermin kereta. Hihi.. Kami teruskan perjalanan menuju ke destinasi berikutnya. Cuaca dah makin gelap. Nampaknya tak sempat la nak sampai tempat yang nak dituju ni semasa hari cerah. Takpe, asal dapat jejakkan kaki dan bergambar sekeping dua pun sudah memadai bagi kami. Cadang memang nak bergambar di luar je. Moga sampai tempat yang dituju dengan selamatnya. Wallahu 'alam..



Thursday 30 May 2019

JJCP Scandiscovery: Day 06 (Part #1)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..


HARI/TARIKH:
@ KHAMIS, 13 DISEMBER 2018

LOKASI KEJADIAN:
@ RIBE


Jam 6.00 pagi saya terjaga dari tidur. Nyenyak betul tidur malam tadi. Mana taknya, lebih 8 jam saya tidur. Hehe.. Waktu subuh di sini jam 6.20 pagi. Selesai mandi ikut giliran sebab tandas hanya ada satu je, saya bersiap dan solat sementara para isteri menyediakan breakfast dan bekal lunch untuk trip hari ni. Rama dan Sue dari bilik di garaj datang dengan membawa roti serta butter dalam beg plastik. Bjarne letakkan di pintu luar pagi tadi agaknya. Terkejutnya kami bila melihat roti yang diberi. Punyalah banyak. Huhu.. Boleh tapau makan dalam kereta. Thank you Anne and Bjarne!.. Jam 7.30 pagi kami breakfast dengan roti yang diberi. Sedapnya Danish pastry. Walaupun roti plain tapi terasa kelembutannya. Alhamdulillah..

Weather forecast in Odense
Mewah sungguh breakfast kami
Jam 8.00 pagi setelah kenyang makan roti yang amat sedap, kami bersiap untuk mulakan perjalanan. Bila cerah barulah nampak keadaan kawasan sekeliling homestay kami. Sungguh indah pemandangan pagi ni. Luas betul kawasan tanah Anne. Memang patutlah rumahnya ada 3 chimney. Hehe.. Sebelum bergerak, kami bergambar kenangan dulu di kawasan sekitar. Takut esok pagi cuaca tak secerah macam ni. Tenangnya hidup kat kawasan macam ni.

Suasana pagi yang amat tenang di sini
Jam 8.30 pagi kami mulakan perjalanan dengan VW Caravelle. Saya ikut laluan motorway menuju ke pantai barat Denmark. Destinasi pertama hari ini adalah ke bandar yang bernama Ribe. Ada sesuatu yang menarik tentang bandar ni. Motorway agak lengang. Mungkin dah masuk waktu kerja di sini. Keyakinan saya terhadap pemanduan makin bertambah. Dah rasa bawa siang dan malam. Cuma belum cuba isi minyak lagi. Meter minyak baru je turun suku. Harap lambat la meter ni turun. Hehe.. Esok lusa dah boleh dapat pengalaman isi minyak di sini. Nanti mesti takut tengok meter harga minyak. Sabar, akan sampai juga kejutan itu. Huhu..

Perjalanan hari ni bermula..

Road trip: Odense - Ribe

Dalam perjalanan kelihatan kincir angin yang banyak di tepi motorway. Saya suka betul dengan kincir angin. Banyak negara Eropah yang ada kincir angin. Denmark adalah antara negara yang langsung tiada gunung. Geografi tanahnya rata. Boleh nampak pemandangan yang luas terbentang di sepanjang motorway. Sebab tu sesuai didirikan banyak kincir angin di sini. Kebetulan ada hentian yang bersebelahan dengan kawasan kincir angin. Kami pun berhenti sekejap untuk bergambar kenangan.

Tepi motorway pun jadi bergambar
Here Maps offline yang amat membantu


Driving in Denmark

Kami teruskan perjalanan yang lancar melalui motorway. Kemudian kami keluar dari motorway dan ikut jalan dalam menuju ke Ribe. Tenang terasa bila lalu kawasan kampung di sini. Hadlaju kena perhati selalu sebab ada lokasi yang perlu bawa perlahan. Tak sanggup saya nak terima emel saman dari polis Denmark. Huhu.. Bila berada di tempat yang baru takde masalah jika bawa perlahan sebab boleh menikmati pemandangan yang baru. Lainlah kalau selalu ikut jalan yang sama macam pergi kerja. Jalan jem pulak tu. Memang bosan la dibuatnya. Sebab tu saya lebih suka bawa motor kalau di KL. Biarlah hujan sekalipun, janji tak buang masa dalam jem. Hahah..

Lalu sebelah kilang pakcik Leman. Hati-hati dengan hadlaju. Hehe..

@ RIBE

Akhirnya setelah memandu di motorway dan jalan dalam, jam 10.30 pagi kami sampai di Ribe. Saya mencari tempat parking percuma yang telah saya tag semasa membuat itinerary. Tempat parking agak jauh sikit dari pusat bandar tapi boleh je jalan kaki tambah pengalaman. Cuaca sejuk macam ni memang kena jalan kaki banyak sikit supaya otot tak kejang kesejukan. Hehe.. Walaupun tau parking di sini free untuk 4 jam, tapi kami tetap bertanya pada penduduk yang kebetulan baru parking kereta berhampiran kami. Dia kata kami kena set waktu kami mula parking pada parking disc. Jadi sebelum jam 2.30 petang kami kena beredar dari sini. Kami takkan stay lama pun di sini. Agak dah puas meronda dan bergambar di Ribe, kami akan teruskan perjalanan.

Driving route: From Anne Homestay to P-Centrum Ribe
Weather Forecast in Ribe
Velkommen til Ribe!

Ribe, oldest town in Denmark

Ribe (sebutan: Ree-buh) adalah sebuah medieval town yang wujud pada kurun ke-9. Ia adalah bandar tertua di Denmark dan mungkin juga di Scandinavia. Bandar ini mengekalkan sejarahnya dengan bangunan lama zaman viking yang masih dijaga dengan baik sehingga ke hari ni. Sebab tu saya pilih untuk datang ke sini kerana ingin melihat keadaan bandarnya yang dikatakan asli, menawan dan romantik. Sesuai la dengan kami yang datang bercouple ni. Hehe.. Dari kawasan parking pun dah nampak cantik tempat ni. Tak sabar nak explore bandar ni walaupun cuaca amat sejuk sampaikan saya kena tutup separuh muka saya. Tak boleh tahan dah.. Huhu..

Baru start jalan saya dah mula teruja dengan kecantikan tempat ni
Kami berjalan menyusuri deretan kedai yang kebanyakannya meletakkan barang jualan di luar. Klasik sungguh pemandangan kat sini. Terasa seperti berasa di zaman dulu. Kalau dapat pakai costume viking mesti lagi nampak real. Hihi.. Tak ramai pengunjung di sini sebab hari bekerja. Kami masuk ke beberapa kedai yang ada di sini dengan harapan ada la barang yang dijual murah sempena Krismas yang bakal tiba. Tapi setakat tengok ajelah. Huhu.. Antara tempat menarik di sini adalah Medieval Town Center, Viking Museum, Art Museum dan Commoner's Tower. Kami cuma explore secara general, ikut kaki melangkah. Mana yang dirasakan menarik untuk bergambar kami akan berhenti. Apa-apa pun saya amat suka dengan pemandangan yang cantik dan suasana yang tenang di sini.

10 minit berjalan dah rasa seronok dengan suasana tenangnya
Setelah melihat harga barang di sini, memang betul orang kata shopping is heaven only in UK dan New York. Tak pernah dengar lagi orang datang shopping di negara Scandinavia sebab sedia maklum dengan barangnya yang mahal hatta sekeping fridge magnet. Nasib baik tujuan kami travel bukan untuk shopping. Masa pergi UK dulu je saya borong banyak sebab terkejut dengan harga yang super murah. Murah sampaikan saya post berkotak-kotak barang yang dibeli. Bukan shopping untuk diri sendiri, tapi untuk dijual semula. Sebenarnya kos untuk ke UK tak mahal mana jika ada business minded. Barangan yang dibeli untuk dijual semula boleh cover balik modal ke sana. Silap haribulan lebih menguntungkan. Takpe, boleh kumpul duit tabung untuk business trip ke UK lepas ni. Ada rezeki boleh bawa anak-anak. Lagi banyak luggage space. Sambil jalan kita berbisnes sekali. Hehe..

Saya amat meminati brand Columbia. Kat sini hanya mampu tengok je..
Commoner's Tower setinggi 52 meter adalah mercu tanda Ribe
Kami sampai di kedai menjual souvenir. Ini je lah kedai yang mampu kami beli untuk kenangan. Hihi.. Selepas tu kami ke seberang jalan dan masuk ke kedai menjual roti. Siapa yang sampai di sini rugi kalau tak cuba Danish pastry. Famous seluruh dunia tu. Biskut Danish dalam tin yang dijual kat Malaysia pun harga boleh tahan mahal. Bila lagi nak merasa makan di bumi asalnya. Lagipun nak tengok juga berapa sebenarnya harga roti yang Anne bagi pagi tadi. Hehe.. Namun kena pastikan apa ingredient dalam roti tu. Mungkin ada yang dibuat dari wain atau bahan terlarang. Tak salah bertanya pada tuan kedai. Mereka sedia membantu.

Kedai ni kita boleh duduk lama sikit untuk memilih. Hehe..
Tengok pun tau sedap. Harga je rasa kelat sikit. Hihi..
Dah puas ambil bau roti yang sedap, kami keluar dan teruskan berjalan kaki menyusuri deretan kedai-kedai lain yang ada di sini. Sukar nak gambarkan keterujaan bila berada dalam suasana sebegini. Walaupun berjalan kaki sekadar untuk melihat keadaan dan pemandangan sekeliling tanpa tujuan utama seperti shopping dan melawat tempat menarik dan berbayar seperti muzium dan sebagainya, pada saya ianya sudah cukup untuk memberikan pengalaman yang terindah buat diri saya. Lain orang lain cara travel. Ada yang travel kerana nak shopping. Duduk di London lebih seminggu semata-mata untuk shopping habiskan duit. Kalau la saya ada masa sebanyak tu, baik saya sewa kereta dan jalan-jalan di kawasan pedalaman yang lebih cantik. Duduk kat London 2 hari pun dah cukup. Itu impian saya bila travel. Alhamdulillah setakat ni rakan travel saya semuanya punyai minat dan agenda yang sama dengan saya. Barulah boleh buat geng travel. Hehe..

Kat roundabout pun kami bergambar. Layankan aje..
Puas bergambar, kami mencari jalan balik ke kawasan parking. Ikut pada map, kami tak perlu nak patah balik ke tempat tadi. Kami ikut jalan shortcut, iaitu melalui taman di belakang kawasan perumahan. Indah sungguh pemandangan kat belakang rumah diorang ni. Macam mana lah diorang boleh jaga tempat ni supaya sentiasa bersih dan cantik. Mentaliti manusia bersama-sama dengan penguatkuasaan yang strict itu penting dalam memastikan kawasan kediaman sentiasa dalam keadaan yang harmoni. Siapa taknak hidup dalam ketenangan. Wife saya pernah berangan untuk retirement plan nanti nak duduk kat Volendam, Netherlands selepas kami sendiri lihat bagaimana keadaan rumah di sana yang dikelilingi oleh anak sungai. Tenang jiwa dan raga. Berangan tu tak salah. Nak merealisasikannya yang agak payah. Hahah..

Ni kat kawasan belakang rumah orang. Tenang sangat ni..
Kami lalu semula kawasan deretan kedai dan terus masuk lorong menuju ke parking. Kami ternampak satu restoran yang bernama Ali's Pizza tapi tak pasti akan statusnya. Daripada pintu luar tak nampak pun logo halal. Saya cuba cari dalam google pun tak jumpa. Nak tanya macam tak perlu sebab kami dah bawa bekal untuk makan tengahari. Baik makan bekalan tu daripada membazir. Apa-apa pun hebat Ali ni boleh buka restoran kat tempat macam ni. Terbaik brother.. Hehe..

Ali's Pizza. Halal ke tak ni? Pizza vegetarian mungkin boleh..
Jam 11.50 pagi kami sampai di kereta. Sebelum teruskan perjalanan meninggalkan Ribe, kami ambil keputusan untuk makan tengahari di sini memandangkan ada meja dan kerusi di belakang kereta kami. Dengan cuaca yang amat sejuk kami gagahkan jua membuka bekal makanan dan makan bersama sambil menahan kesejukan. Walaupun menu hanya sambal ikan bilis dan telur goreng beserta nasi yang sudah sejuk, kami semua makan dengan penuh selera. Siap ada buah sebagai pencuci mulut. Roti yang Anne bagi pun ada sekali. Sambal ikan bilis itu sungguh sedap. Hihi.. Orang yang lalu di situ mesti nampak pelik kami berkelah dalam kesejukan. Biarlah, janji perut kami kenyang dan hati riang. Hehe..

Kelazatan dalam kesejukan..
Selesai makan, sebelum seluruh badan menggigil kesejukan kami kemas meja dan bersiap untuk teruskan perjalanan. Terima kasih Ribe atas suasana dan pemandangan yang amat cantik dan pasti akan kami ingat selamanya dalam hidup kami. Entah bila akan sampai lagi ke sini. Rasa macam tak datang dah. Cukuplah sekali sebagai koleksi pengalaman hidup kami. Farvel Ribe! Kami teruskan perjalanan ke destinasi berikutnya. Moga sampai tempat yang dituju dalam masa yang ditetapkan. Wallahu 'alam..

Next destination: Esbjerg