Wednesday 2 February 2022

JJCP UK V2: Day 14 (Part #3)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..


HARI / TARIKH:
@ SELASA, 10 DISEMBER 2019

LOKASI KEJADIAN:
@ HARD ROCK CAFE OXFORD STREET
@ HARD ROCK HOTEL LONDON
@ HARD ROCK CAFE LONDON
@ HARRODS


Malam ni kami nak cuci mata di Hard Rock sambil membeli pesanan kawan-kawan. Ada dua lokasi Hard Rock yang baru dibuka di London. Makin bertambah la koleksi simpanan t-shirt Hard Rock saya. Selepas melalui Hyde Park, kami lintas jalan di persimpangan antara Marble Arch dan Oxford Street. Keadaan di Oxford Street amat meriah dengan lampu jalan berwarna-warni yang menerangi suasana sekeliling sempena nak menyambut Krismas. Tapi untuk malam ni kami taknak jalan-jalan di Oxford Street lagi. Esok baru kami cadang nak explore di sini.

Walking route @ London Central


@ HARD ROCK CAFE OXFORD STREET

Kedua-dua hard rock yang baru dibuka ini terletak sebelah-menyebelah je. Kami ke Hard Rock Cafe Oxford Street dulu. Rockshop dibuka tapi tulisan pada baju hanya London, bukan Oxford Street. Tak jadilah nak beli buat koleksi sebab saya dah ada koleksi London. Kalau nak beli pun lebih baik kami ke Hard Rock Cafe London yang kami akan singgah kejap lagi. Dah tentu lagi banyak pilihan. Kenapalah Hard Rock tak keluarkan t-shirt yang bertulisan Oxford Street. Barulah peminat dan pengumpul tegar Hard Rock boleh buat koleksi. Jadi kami hanya bergambar je la kat signboard di luar. Maka tiada penambahan koleksi Hard Rock buat masa ni. Huhu..

Bergambar dengan sign Hard Rock Cafe Oxford Street aje lah..


@ HARD ROCK HOTEL LONDON

Kami kemudiannya ke sebelah dan masuk ke dalam Rockshop di Hard Rock Hotel London. Banyak pilihan design yang terkini. Cuma saya tak tahu kenapa tak berkenan nak beli. Mungkin kerana namanya Hard Rock Hotel, bukan Cafe. Nama lokasi tetap London. Jadi macam sama la jugak dengan t-shirt HRC London yang saya dah ada dalam koleksi. Beza cuma Hotel dan Cafe je. Apa-apa pun kami tetap belikan pesanan dari kawan-kawan. Itu lebih penting sebab dapat menjana sedikit pendapatan bisnes kami. Hihi..

Antara design t-shirt Hard Rock Hotel London

Masa saya tengah nak ambil gambar di depan hotel, kami diberikan beberapa kuntum bunga dari seorang perempuan. Nampak rupa perempuan ni seperti orang luar. Lepas saya ambil gambar, dia minta duit. Katanya sekuntum bunga tu harganya GBP1.00. Aik? Kami tak teringin pun nak beli bunga ni. Dia yang tiba-tiba datang ke arah kami dan bagi. Ingatkan percuma, rupanya kena bayar. Maaf ye puan, kami taknak beli bunga ni. Perempuan tu pun ambil semua bunga-bunga tu dengan muka masam. Lain macam modus operandi perniagaan perempuan ni. Teknik paksa rela ala scam namanya ni. Hahah..

Design t-shirt dan merchandise yang dipesan oleh kawan-kawan

Selesai membeli di Rockshop, kami teruskan berjalan menuju ke Hard Rock yang terakhir untuk malam ni. Cuaca amat sejuk dan angin betiup dengan kencang. Sampaikan topi yang wife saya pakai terbang ke tengah jalan. Nasib baik Abanng Fikri yang berada di belakang sempat lintas dan ambil sebelum dilanggar oleh kereta. Titisan hujan juga mula terasa. Harap-harap tak lebat la hujan yang bakal turun. Jauh lagi nak berjalan kaki ni. Huhu.. Kami berhenti kejap di satu kedai souvenir. Ada barang yang dijual menarik perhatian saya. Selamba je diorang jual biskut canabis dan alat hisap ganja kat sini. Siap display kat cermin kedai pulak tu. Hihi..

Nak layan stim boleh ke kedai ni. Hahah..

Kami menyusuri jalan di kawasan Mayfair. Siapa yang pernah main Monopoly mesti tau nama tempat ni. Mayfair adalah kawasan untuk orang kayangan di London. Kira sama level macam di Bangsar la tempat ni. Dalam Monopoly hartanah paling mahal kot nak beli. Kalau kawan dah beli hotel, asal nak lalu je siap tiup dadu mintak jangan singgah di Mayfair. Boleh bangkrap terus kalau tersinggah dua kali. Hahah.. Kedai-kedai yang ada kat sini pun aras tinggi punya kemampuan baru boleh masuk. Huhu.. Kami golongan marhaen tumpang lalu je la.

Kejiranan dan kedai di Mayfair. Berapalah agaknya harga rumah kat sini..


@ HARD ROCK CAFE LONDON

Alhamdulillah, hujan tak jadi turun tapi angin masih betiup kencang. Jam 5.50 petang kami sampai di Hard Rock Cafe London. Kali kedua saya ke sini dan masih tak berubah keadaannya. Kepada peminat tegar kena datang ke sini sebab HRC London adalah Hard Rock pertama yang dibuka di dunia pada 1971 dan masih mengekalkan lokasinya. Selepas 7 tahun ia beroperasi, barulah Hard Rock kedua dibuka di Toronto, Canada pada 1978. Lokasi Cafe dan Rockshop terletak di bangunan yang lain tapi seberang lorong je. Kami terus masuk ke dalam Rockshop untuk melihat design baru dan juga merchandise yang dijual.

Lokasi Rockshop yang terletak di seberang Cafe

Banyak juga design t-shirt yang menarik perhatian kami. Kawan-kawan dalam group whatsapp yang masih belum tidur mula memesan design t-shirt yang kami share. Kebetulan t-shirt HRC London yang saya beli masa 2012 dulu sudah lusuh dan tulisan London dah makin pudar. Sedang elok kami datang pada hari ni sebab banyak design t-shirt dan merchandise yang ada diskaun sehingga 50%. Jarang Hard Rock bagi diskaun sampai separuh harga. Mungkin kerana nak habiskan stok lama kot sebab design baru nak masuk atau kerana ia adalah Hard Rock pertama di dunia. Tak kisah lah, janji kami dapat buat banyak pilihan terhadap t-shirt dan merchandise yang berkenan di hati.

Design 1971 adalah simbolik HRC pertama di dunia, iaitu di sini..

Setengah jam kami di sini membelek design t-shirt dan merchandise sementara menunggu update pesanan dari kawan-kawan. Nak tunggu lama-lama pun tak boleh sebab ada satu lagi tempat yang kami nak pergi lepas ni. Cukup setengah jam dan pesanan pun ditutup. Wife terus ambil semua pesanan dan selesaikan urusan belian di kaunter. Staff yang bertugas amat baik melayan daripada kami masuk hinggalah selesai pembelian. Patutnya staff yang jaga kaunter kat Malaysia Hall kena belajar dengan dia ni. Hehe.. Bukan setakat t-shirt je, tapi beg, fridge magnet dan shotglass pun ada yang order. Kami layankan aje. Pesanan dari kawan-kawan kena dilunaskan dengan penuh tanggungjawab. Hihi..

Selesai urusan di Hard Rock Cafe London. Terbaiklah..

Jam 6.30 petang kami keluar dari Rockshop. Lokasi terakhir kami pada malam ni adalah ke Harrods. Untuk ke sana kami boleh naik train Piccadilly Line di Hyde Park Corner. Tapi kami akan turun di stesen berikutnya. Memandangkan Piccadilly Line antara line yang paling sibuk dan kebarangkalian train delay akan berlaku, daripada naik train lebih baik kami jalan kaki je. Anak-anak masih ok untuk berjalan. Takde rasa penat katanya. Fuhh, hebat anak-anakku bila bab berjalan di oversea ye. Kalau kat 1Utama, baru jalan satu level dari hujung ke hujung dah mengeluh kepenatan. Hihi..


Walking route @ London Central


@ HARRODS

20 minit berjalan, akhirnya jam 6.50 petang kami sampai di Harrods. Kat sini lagilah ramai kawan-kawan yang memesan. Harrods adalah antara department store yang terbesar di Eropah, mempunyai 7 tingkat dan lebih 330 departments serta berpuluh restoran. Tapi kami bukan nak explore keseluruhan tingkat pun. Level kami hanya di barangan keluaran Harrods je. Yang lain tak mampu kami nak ronda sebab agak ekslusif barangan yang dijual kat sini. Anak-anak kena selalu dipantau dan bergerak dalam satu kumpulan kerana jumlah pengunjung yang ramai dan keluasan Harrods boleh menyebabkan tersesat jalan. Artis pun selalu datang ke sini. Kalau la dapat jumpa Adele kan best, boleh mintak bergambar. Jangan harap la.. Hahah..

Antara tempat kesukaan wife saya selain Bicester Village. Hehe..

Masuk ke dalam Harrods, kami terus mencari bahagian produk Harrods yang terletak di Lower Ground Floor. Masa 2012 dulu rasanya ia terletak kat tingkat paling atas sekali. Sampai di tingkat bawah, saya menjaga anak-anak sementera wife mencari barang pesanan dan untuk diri sendiri. Antara barang yang menjadi perhatian adalah tote bag dan juga beberapa barang yang lain. Saya satu benda pun takde nak dibeli kat sini. Sebab tu kena jaga anak-anak. Hehe.. Boleh tahan ramai juga orang kat floor ni. Bila sorang anak nak pergi tandas, semuanya kena pergi sekali. Takut diorang terlepas dari pandangan.

Dalam ni bukan kepakaran saya. So duduk jaga anak-anak je..

Sejam menunggu wife saya membeli-belah. Dah selesai kena beratur pulak kat kaunter VAT untuk claim tax. Selesai semua urusan, tepat jam 8.00 malam kami keluar dari Harrods. Hujan renyai mula turun, kemudian terus lebat dan berangin. Kami terpaksa berteduh kat bawah bangunan dan di hentian bas. Nasib baik hujan tak lama. 10 minit lepas tu hujan dah mula berhenti. Sebelum ia turun balik, kami cepat-cepat jalan dan masuk ke dalam Knightsbridge Station.

Berteduh kat mana yang sempat. Janji tak basah.

Sampai di dalam Knightsbridge Station, terkejutnya kami sebab terlalu ramai orang yang menunggu di platform. Kemudian kami dengar announcement bahawa train akan delay agak lama dan beberapa option diberikan untuk naik di stesen yang lain. Ramai juga yang keluar semula tapi kami tetap tunggu di platform. Malas nak jalan kaki. Dibuatnya hujan turun lagi masa kami jalan, jenuh pulak nak berlari. Takpelah, kami tunggu je lah kat sini hingga train sampai. Lepas ni takde nak kemana lagi. Dalam announcement takde pulak kata train cancel malam ni. Bermakna akan ada juga train yang sampai kejap lagi. Bersabarlah..

Ramai yang menunggu di platform. Ada yang keluar semula.

Setengah jam menunggu, akhirnya jam 8.40 malam berulah train Piccadilly Line sampai. Kami naik bersesak dengan penumpang yang lain dan turun di Piccadillly Circus Station. Kemudian kami tunggu train Bakerloo Line yang tiba 10 minit kemudian dan bawa kami terus ke Wembley Central Station. Jam 9.45 malam baru kami sampai di Wembley Central Station. Satu perjalanan yang agak lama untuk menaiki tube underground yang dikatakan antara perkhidmatan terbaik di dunia. Ini semua salah staff yang mogok tu. Habis semua orang terlibat sama. Huhu..

Tube route: From Knightsbridge Station to Wembley Central Station

Ingatkan dah boleh terus naik ke bilik. Anak-anak kata ayah dah janji nak pergi Tesco Express. Aduhai, bab beli jajan ni memang diorang takkan lupa ya. Hihi.. Tesco Express betul-betul kat depan travelodge, memang diroang tak lupa la. Kami pun masuk la ke dalam mencari jajan untuk diorang. Kena perhatikan betul-betul makanan yang diorang pilih. Takut ada ingredients yang tak boleh dimakan. Saya pilih roti plain untuk dimakan masa breakfast esok pagi. Boleh pulak ada maggi halal dijual di sini. Import dari Malaysia pulak tu. Budak-budak ni pantang nampak mee segera. Ration yang dibawa memang mee segera la yang habis dulu berbanding makanan yang lain. Beli juga lah. Produk dari Malaysia kot. Hihi.. Masa nak bayar, saya gunakan self-service lane. Saje je nak try walaupun ada lorong yang dijaga oleh cashier. Senang juga rupanya guna self-service ni. Hihi..

Maggi 50p. Kalau beli dua, convert harga boleh beli satu pack kat Malaysia. Huhu..

Seronok la anak-anak dapat jajan. Confirm malam ni semuanya habis. Suka betul diorang makan junk food. Sekali sekala apa salahnya. Kat Malaysia memang saya strict bab beli junk food. Mee segera saya amat jarang beli sebab bila beli, lepas 2 hari saya ke dapur nak makan, semuanya dah habis. Huhu.. Bila teringin nak makan barulah beli dan terus masak. Impian nak simpan maggi lama dalam almari takkan menjadi kenyataan. Hahah.. Jam 10.20 malam kami dah berada di bilik. Setelah bersihkan diri dan solat, saya dah bersiap-siap untuk tidur. Anak-anak masih leka melayan jajan sambil menonton tv. Kaki korang tak penat ke? Hari ni boleh dikatakan perjalanan menggunakan kaki yang paling jauh pernah direkodkan. Nasib korang la nak stay up malam ni. Jangan tak tidur langsung sudah la. Esok cadangan aktiviti agak santai, mungkin mulakan perjalanan agak lewat. Jadi boleh la tidur sepuasnya. Solat Subuh jangan lupa ya anak-anak. Jam 11.00 malam saya dah mula baring. Moga dipermudahkan urusan kami pada esok hari.


Wallahu 'alam..






2 comments:

  1. Bag Harrods PVC Hijau/Gold & Hitam/Gold takde yg pesan ke? Haha.

    ReplyDelete