Tuesday 2 May 2017

JJCP Umrah Ziarah Oman: Persiapan Awal #1

Assalamualaikum dan salam sejahtera..

# PENCARIAN MAKLUMAT DITERUSKAN

Ada masa terluang saya mencari maklumat tentang persiapan umrah. Urusan seperti flight, penginapan, makanan, transport dan visa tak perlu nak fikir lagi sebab dah disediakan dalam pakej. Yang tinggal cuma belajar dan memahami tentang cara mengerjakan umrah. Syarat, rukun dan wajib umrah perlu tahu. Tatacara umrah juga perlu difahami sebaiknya supaya tidak tertinggal perkara yang boleh dikenakan denda atau dam. Banyak info boleh didapati dalam internet dan juga buku. Andalusia juga ada membekalkan buku panduan umrah dan ziarah. Namun buku sahaja mungkin belum cukup selagi tidak mengikuti kursus atau kelas persediaan umrah. Ibarat kalau boleh belajar sendiri dengan buku, maka tak perlulah pergi sekolah. Baik belajar kat rumah je. Hihi..

Buku panduan Umrah dan Ziarah yang diberi oleh Andalusia


# ALKISAH DI TEMPAT KERJA

Pada pertengahan bulan April saya telah menerima surat arahan perkhidmatan dimana saya ditukarkan unit dalam sektor yang sama atas alasan job rotation. Agak pelik juga baru setahun kat unit lama dah kena tukar sedangkan ramai lagi pegawai kat pejabat tu yang dah bertahun tak tukar unit. Rotation apa namanya tu. Politik di pejabat la ni. Walaupun agak tidak puas hati dipindahkan sebab saya baru nak menguasai kerja di unit lama, namun saya tak membantah kerana menurut perintah. Cuma agak risau juga masuk unit baru ni sebab ketuanya ala diva dan kuat berangin tak tentu pasal. Unit inilah yang paling sibuk masa hujung tahun sampaikan unit lain pun kena bantu. Yang saya paling risau kalau permohonan cuti umrah saya tak diluluskan. Duit dah bayar sepenuhnya. Manalah saya tau kena pindah unit sedangkan saya dah booking untuk umrah awal tahun lagi. Moga pengarah luluskan permohonan saya, insyaAllah.. Pengarah dah pergi umrah dan haji, mesti dia bagi punya. Hihi.. Saya tak mohon kebenaran kat ketua sektor lagi sebab masih takde pengganti. Ketua sektor lama saya dah naik pangkat. Tunggu ketua sektor baru masuk, tengok macamana karakter dia. Sampai masa sesuai baru bagi borang permohonan.

Ya Allah, kuatkanlah semangatku di unit baru ni


# CEREKARAMA DI PEJABAT

Sejak bertukar unit, banyak kerja yang perlu dibuat. Benda baru, kena belajar dari mula balik. Huhu.. Sambil bekerja tu saya cari juga info tambahan seperti ayat-ayat yang perlu dibaca ketika mengerjakan umrah. Tapi masih belum cukup lagi sebab kekangan kerja yang amat banyak dan ditambah dengan pergolakan di dalam sektor antara ketua unit dan ketua sektor yang baru masuk seminggu sebelum puasa. Semuanya gara-gara percangggahan pendapat dan dapat job description yang baru dari ketua sektor di mana ketua unit tidak dilibatkan. Lagilah berangin makcik ni. Macam biasa, saya dan rakan seunit menjadi lapang sasar untuk melepaskan kemarahan dia. Huhu.. Hinggalah sampai klimaksnya di mana ketua unit saya mohon untuk ditukarkan ke unit lain sebab dah tak boleh bekerja di bawah ketua sektor yang baru. Nak dijadikan cerita, rakan seunit saya pulak telah berjaya untuk sambung belajar sepenuh masa. Pada hujung bulan Ogos kedua-duanya yang juga orang lama dalam unit keluar dari sektor. Tinggallah saya sorang dalam unit yang boleh dikatakan antara unit yang paling penting dalam bahagian. Lagilah membuatkan saya rasa risau sebab nak mintak cuti hujung tahun nanti. Huhu..

Sekejap je nampak meja kemas macam ni. Huhu..


# KELAS PERSEDIAAN UMRAH

Sebelum kerja di pejabat menjadi lagi banyak sebab 2 orang keluar sekaligus, baik saya pergi kelas persediaan umrah dulu. Wife saya pun tengah sarat mengandung waktu ni. Dah bersalin nanti lagi la tak tau bila nak pergi. Mak dan kakak saya dah pergi kelas kat cawangan Kuantan. Jadi pada hari Sabtu, 3 September 2016 kami bersama Saiful dan Miza pergi kelas di Wisma Andalusia. Kelas bermula jam 9.00 pagi. Walaupun setiap minggu 2 kali kelas diadakan, orang tetap ramai. Kelas dibahagikan kepada 2 tingkat, bawah untuk perempuan dan lelaki di tingkat atas. Penceramah ada kat tingkat bawah, jadi yang lelaki cuma tengok melalui tv je. Huhu.. Camna nak tanya soalan kat penceramah. Kalau saya ada soalan, saya whasapp kat wife saya mintak dia tanyakan. Hihi.. Ataupun tunggu lepas habis kelas baru jumpa penceramah. Di pertengahan ceramah ada waktu rehat dan kami diberikan minuman dan kuih di ruang luar wisma. Kemudian sambung semula kelas hingga jam 1.30 petang. Selesai kelas, kami ke pejabat Andalusia untuk mengambil beg troli. Stok beg pulak dah habis. Kena datang amik minggu depan. Salah seorang staf lama yang juga mutawwif di Andalusia adalah mak mertua pada kawan wife saya di pejabat. Dia akan tolong simpankan beg kami dirumahnya bila stok sampai. Jadi kami hanya perlu ke rumahnya di kawasan Pandan Jaya untuk amik beg kami. Terima kasih Puan Hajah Halijah..

Yang lelaki tengok kat tv je ye. Huhu..
Tengah bertanyakan tentang beg troli kami
Selesai menghadiri kelas persediaan umrah

# SUNTIKAN UMRAH

Masa kelas persediaan umrah, ada penerangan diberikan tentang suntikan vaksin yang dikenali sebagai Meningococcal Quadrivalent (ACYW-135). Suntikan ni wajib diambil untuk mengerjakan umrah. Nak dapat kelulusan visa umrah juga perlukan bukti suntikan sudah dibuat. Kalau tak buat lagi visa tak diluluskan kerana ianya adalah suntikan wajib dan arahan dari kerajaan Arab Saudi. Suntikan ni bertujuan untuk mencegah penyakit radang pada selaput otak dan saraf tunjang. Maklumlah, di sana nanti umat Islam dari seluruh dunia berkumpul. Untuk mengelakkan dari terkena penyakit berjangkit ketika di sana, maka suntikan ini wajib diambil. Kami tak ambil masa kelas haritu sebab wife saya sedang sarat dan menunggu masa untuk bersalin. Walaupun tiada data kesan vaksin kepada kandungan, lebih baik tunggu selepas bersalin dan habis pantang. Masih sempat lagi dengan harapan stok vaksin masih banyak di klinik. InsyaAllah ada sebab ianya adalah keperluan bagi jemaah umrah dan haji. Kalau vaksin takde stok kat klinik di KL, saya sanggup cari kat negeri lain. Hihi..

Jenis vaksin untuk jemaah umrah dan haji
Selain dari Meningococcal Quadrivalent, ada dua lagi vaksin yang boleh diambil oleh jemaah umrah dan haji iaitu Vaksin Influenza dan Pneumokokus. Kedua-dua vaksin ni tidak wajib diambil tetapi digalakkan untuk para jemaah yang berumur 60 tahun ke atas untuk menguatkan ketahanan imuniti tubuh badan ketika beribadah. Mak dan kakak saya ambil ketiga-tiga vaksin ni. Untuk vaksin wajib mak dan kakak saya buat di Andalusia sambil datang melawat isteri saya yang bersalin pada 7 September 2016. Lagi dua vaksin mereka amik kat Kuantan. Saiful dan Miza tunggu kami untuk amik vaksin bersama-sama lepas wife saya habis pantang nanti, insyaAllah. Kakak saya kata lepas mak amik suntikan tu esoknya terus demam selama dua hari. Memang kuat vaksin ni. Patutlah boleh bertahan lama dalam badan sampai bertahun-tahun. Huhu..

Jenis suntikan untuk jemaah Umrah & Haji
Setelah wife saya habis pantang 44 hari, dia hubungi Andalusia untuk bertanyakan tentang vaksin. Malangnya vaksin di sana takde stok. Kami mencari klinik lain yang masih ada bekalan vaksin. Kami bercadang nak amik vaksin yang wajib je. InsyaAllah imuniti tubuh kekal sepanjang waktu umrah. Miza bagitau kat area rumah dia di Seri Kembangan ada stok vaksin sebab adik beradiknya yang lain baru je amik vaksin kat klinik tu. Diorang pun nak ke Tanah Suci. Cuma tarikh berangkat awal sikit dari kami. Ikut pada aturcara terkini nampaknya tak dapat nak jumpa kat sana sebab aturcara lebih kurang sama iaitu turun di Madinah dulu. Jadi ketika kami di Madinah diorang dah berada di Mekah. Tapi manalah tau ada perubahan di saat akhir. Dapatlah Miza satu family reunion kat sana nanti. Hihi.. Pada 6 November 2016 kami berempat pergi ke Klinik Qistina di Pusat Bandar Putra Permai, Seri Kembangan. Alhamdulillah stok vaksin masih ada. Kos suntikan ikut pada bilangan jemaah. Kalau datang sorang kosnya RM160.00/vaksin, berdua jadi RM/150.00/vaksin. Untuk bertiga dan ke atas hanya RM130.00/vaksin. Alhamdulillah dapat yang murah sebab datang berempat. Hihi.. Selesai suntikan, kami buat bayaran dan buku kuning diberi. Boleh la buat visa bila dah ada buku ni.

Selesai suntik vaksin. Harap tak demam la. Huhu..
Buku kuning dah dapat. Boleh bagi kat Andalusia untuk buat visa
Visa Arab Saudi yang dilekatkan di dalam pasport

# PAKAIAN KELENGKAPAN UMRAH

Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel & Tours iaitu Ustaz Dato' Haji Md Daud bin Che Ngah yang juga mantan Pengurus Besar Tabung Haji mempunyai syarikat menjual barangan keperluan umrah dan haji yang bernama Bin Daud. Ada 3 cawangan di KL dan Selangor. Yang paling dekat dengan rumah kami adalah di Wangsa Melawati. Kami ke kedai tersebut untuk melihat barangan yang dijual. Selain daripada tu, di Mydin juga ada banyak pilihan barangan kelengkapan umrah dan haji. Rupanya kain ihram pun ada gred dan kualiti ye. Huhu.. Di Mydin ada yang murah tapi kainnya agak nipis. Kami tengok harga dulu sebab 17 November 2016 nanti kami akan ke Medan. Kat sana pun ada banyak kedai menjual kelengkapan umrah dan haji. Andaikata kat sana murah boleh la beli. Kalau mahal, balik Malaysia nanti baru beli. Alhamdulillah harga barang di Medan lebih murah berbanding di Malaysia mengikut pada gred dan kualiti yang sama. Maka kami pun amik keputusan beli barang kelengkapan umrah kami di Medan.

Antara kedai yang menjadi tumpuan kami ketika di Medan
Kelas persediaan umrah dah pergi, pakaian kelengkapan umrah dah beli dan suntikan vaksin juga dah selesai. Nampaknya hanya tinggal lagi 5 minggu sebelum kami berangkat ke Tanah Suci. Cuma ada beberapa perkara penting yang perlu diselesaikan lagi dalam masa yang terdekat. Paling utama yang perlu difahami dengan mendalam adalah perjalanan ibadah umrah di sana nanti. Buku panduan dibaca berkali-kali sampai ingat dalam hati. InsyaAllah perjalanan umrah kami berjalan dengan lancar bila sampai waktunya nanti. Wallahualam..

2 comments:

  1. mashaallah...terima kasih atas perkongsian pengalaman...doakan saya juga dapat tunaikan haji inshallah

    ReplyDelete
    Replies
    1. In shaa Allah.. Moga dipermudahkan urusan kita semua untuk dijemput ke sana lagi.

      Delete