Sunday 14 May 2017

JJCP Umrah Ziarah Oman: Day 02 (Part #1)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..

TARIKH:
24 DISEMBER 2016

LOKASI KEJADIAN:
@ HERA HOTEL
@ MAKKAH HILTON TOWERS


Lepas jam 12.00 tengah malam kami masih lagi berada di Masjidil Haram. Walaupun badan amat penat kerana pagi tadi dari Kuala Lumpur dan ditambah dengan transit di Muscat, tapi kerana amat teruja apabila sampai di Mekah membuatkan kami rasa macam nak duduk lama di Masjidil Haram ni. Jemaah di masjid sentiasa ramai sepanjang masa, tak kira siang atau malam. Peluang yang ada jangan dipersiakan. Bukan boleh selalu pun datang ke sini. Jam 2.00 pagi baru kami berjalan balik ke hotel. Sebelum tu singgah dulu makan aiskrim Mekah. Ramai orang kata sedap aiskrim kat sini. Kita cuba dulu sekali. Kalau betul sedap esok lusa boleh beli lagi. Hihi..

Banyak juga kedai yang buka 24 jam kat area Masjidil Haram
Memang betul sedap aiskrim ni seperti yang dikata. Nampak gayanya macam banyak kali akan beli aiskrim kat sini. Hihi.. Sebelum ke sini, saya banyak bertanya pada kawan-kawan yang pernah datang ke sini sama ada mengerjakan umrah ataupun haji. Antara soalannya adalah tentang keadaan persekitaran, cuaca, sikap penduduk dan jemaah, makanan popular, barangan yang dijual dan juga pantang larang ketika berada di kawasan Tanah Haram. Yang paling menarik perhatian saya adalah berkenaan niat dan perlakuan diri sendiri. Kena hati-hati bila berbicara walaupun niat dalam hati. Sebab tu kena bersihkan diri dalam dan luar sebelum datang ke sini. Takut nanti dapat balasan terus atas perbuatan yang kita lakukan. Antara contoh yang diceritakan kepada saya ialah seorang jemaah yang baru sampai ke Tanah Haram dan mula komplen tentang makanan yang tak sedap. Akhirnya dari hari dia komplen tu sampai la dia balik makanan yang dia makan tak sedap pada tekaknya. Itu tandanya tak bersyukur dengan rezeki yang diberi. Mungkin betul makanan tu tak sedap, tapi tak perlu la nak pukul canang kat orang ramai. Lebih baik diamkan aje. Huhu.. Niat dan perbuatan yang baik insyaAllah dibalas dengan baik. Jika tak baik maka terimalah balasan yang setimpal. Walaupun iman dalam diri tak sekuat mana, tapi saya cuba sedaya upaya untuk perbaiki kelemahan diri. Moga diberikan kekuatan iman kepada saya sepanjang berada di sini. Wallahualam..

Kita try aiskrim perisa campuran dulu..
@ HERA HOTEL

Untuk ke Hera Hotel dari Masjidil Haram, kami perlu berjalan sejauh hampir 1 kilometer dan melalui kawasan dataran burung merpati dan kedai-kedai di tepi jalan. Agak jauh juga jarak hotel kami dengan masjid. Saya mungkin takde masalah untuk berjalan sejauh tu, tapi mengenangkan mak saya yang mungkin penat untuk berulang-alik ke masjid. Nak buat macamana, pakej yang kami pilih antara yang termurah dari pakej yang lain. Jadi kenalah terima kedudukan hotel yang jauh. Masa balik saya tengok beberapa hotel mewah yang bersebelahan dengan masjid. Dari bilik tak pakai selipar pun boleh. Huhu.. Nama pun hotel mewah, dah tentu bayaran pakej pun mahal. Takpelah, ini pertama kali kami menjejakkan kaki di sini. Lepas ni mungkin boleh bayar lebih sikit untuk dapat hotel yang dekat dengan masjid. Lagi save kalau dapat buat trip umrah backpacker. InsyaAllah lain kali kita cuba cara yang lain pulak. Yang penting umrah dapat dilakukan dengan sempurna. Sampai je di Hera Hotel saya naik ke bilik di Tingkat 7 dan terus tidur. Kejap lagi dah nak bangun untuk solat subuh..

Senarai hotel yang paling dekat dengan Masjidil Haram. Harga pakej dah tentu mahal..
Selama 8 malam saya akan duduk di bilik ni
Jam 4.45 pagi saya dah bangun. Dapat tidur 2 jam je tapi mata tak rasa mengantuk. Mungkin sebab saya di sini. Kalau hari kerja memang confirm letih dan rasa macam nak amik cuti je. Hihi.. Waktu Subuh di sini jam 5.34 pagi. Jam 5.00 pagi saya sorang diri berjalan ke masjid. Ustaz Zool dan Saiful awal lagi dah gerak. Sampai di Masjidil Haram, gate masuk ke dalam masjid dah tutup. Saya hanya dapat solat di perkarangan luar masjid. Pertama kali dalam hidup saya solat subuh dengan ramai jemaah. Kat Malaysia memang takkan dapat jumlah makmum seramai ni. Hanya di Masjidil Haram je yang dapat merasa. Alhamdulillah, saya salah seorang dari makmum untuk solat subuh hari ni. Selain itu, di sini juga tiada bacaan doa qunut di dalam sembahyang dan tiada doa selepas solat kerana mazhab yang berbeza dengan di Malaysia. Selesai solat saya balik semula ke hotel dan berehat. Nak breakfast pun tak larat. Wifi tak berapa kuat dalam bilik hotel. Pergi solat Zohor nanti nak singgah kedai beli simcard. Masa kat airport semalam ada staff airport jual simcard tapi kami tak beli sebab takut mahal.

Info waktu solat di Mekah
Info banyak diletakkan di lobi hotel untuk rujukan para jemaah
Walaupun makan 4 kali sehari, tapi jenuh sebenarnya nak ulang-alik dari masjid semata-mata untuk makan. Mak saya kata kalau tak larat dia akan stay dan cari makanan di sekitar masjid. Kami ikut je. Hotel juga ada menyediakan surau di tingkat M kepada jemaah yang tak larat atau dah lewat untuk solat di Masjidil Haram. Untuk hari ni program bebas. Jam 11.00 pagi kami dah berkumpul di lobi hotel untuk ke masjid. Sebelum tu kami mencari kedai untuk membeli simcard. Bila bertanya pada staff di reception counter, rupanya dia juga ada jual simcard. Harga yang dijual adalah 80.00 SAR untuk 300 minit panggilan, 1000 sms dan 5GB data. Rasanya macam mahal tapi malas nak cari kat luar. Orang kata pekedai kat sini pun ada yang suka tipu pelanggan. Jadi kami bayar je lah kat staff hotel tu. Cukup la kot 5GB data. Saya mungkin cukup sebab tak suka upload gambar dan update dalam FB atau Instagram. Wife saya mungkin tak cukup. Hehe.. Kami mintak staff tu set kan sekali dalam phone kami. Mana la tau kena key-in code sebelum activate. Keluar tulisan Arab memang tak faham la jawabnya. Huhu.. Dah selesai setting dalam phone, kami terus berjalan ke masjid.

Harap cukup data 5GB sampai kami balik. Hihi..
Pintu masuk Hera Hotel
Pemandangan di luar hotel
@ MAKKAH HILTON TOWERS

Kami sampai awal untuk solat Zohor dengan harapan gate masih dibuka. Alhamdulillah, gate masih dibuka untuk jemaah masuk ke dalam masjid. Saya set dengan wife untuk berjumpa semula di Gate 88 selepas solat. Gate yang paling sesuai untuk berjumpa kalau ikut pada arah hotel kami adalah dari Gate 85 hingga 88 kerana keluar je terus nampak menara jam. Selesai mengerjakan amalan sunat dan solat fardhu Zohor berjemaah, jam 1.00 petang kami berjumpa di Gate 88. Kami mencari tempat untuk makan tengahari. Yang paling jelas nampak dari masjid adalah KFC tapi punyalah ramai orang yang beratur. Kami masuk ke dalam Makkah Hilton Towers untuk mencari restoran yang lain. Sambil tu melihat kedai yang kebanyakannya menjual pakaian dan jubah.

Ramai sungguh orang beratur kat KFC
Jalan-jalan tengok kedai dulu
Agak limited tempat duduk untuk kami makan. Kebanyakan restoran tak menyediakan tempat duduk. Patutlah nampak ramai orang makan bersila di perkarangan luar masjid. Dah ada kat sini tak sah kalau tak makan nasi arab. Amat banyak restoran nasi arab kat sini. Walaupun banyak, tapi menu tetap sama. Cuma rasa je yang masih belum pasti sama sedap atau tak. Untuk lebih meyakinkan cari kedai yang paling ramai orang beratur. InsyaAllah sedap. Hehe.. Disebabkan tak jumpa meja makan yang kosong, kami amik keputusan untuk beli bungkus di salah satu kedai yang menjual nasi arab dan mencari tempat sesuai untuk makan. Harga nasi arab/beriyani kat sini dalam 20.00 - 40.00 SAR dan air tin 3.00 SAR. Kalau air buah dari 5.00 - 7.00 SAR. Boleh tahan juga mahal makanan kat sini.

Antara restoran yang menjual nasi arab/beriyani
Selesai makan, kami masuk semula ke dalam masjid untuk menunggu masuknya waktu Asar. Untuk solat di kawasan tawaf perlu masuk cepat kerana guard yang menjaga masjid akan tutup kawasan tawaf lebih awal. Kemudian guard akan tutup bahagian bawah masjid. Bila bahagian bawah dah penuh, guard akan standby untuk tutup di bahagian atas pulak. Seterusnya tutup di bahagian atas bumbung. Akhir sekali baru tutup di kesemua pintu dan jemaah akan solat di perkarangan luar masjid. InsyaAllah saya akan cuba merasa untuk solat di kesemua bahagian bergantung kepada berapa awal dan lewat saya sampai di masjid. Lebih baik jika sampai awal di masjid. Boleh buat tawaf sunat dan amalan yang lain sebelum menunggu waktu solat masuk. Inilah peluang untuk buat tawaf sunat berkali-kali. Amat rugi jika lepaskan peluang ni. Wallahualam..

Keadaan setiap masa di perkarangan luar Masjidil Haram

No comments:

Post a Comment