Saturday 6 February 2021

JJCP UK V.2: Day 07 (Part #1)

 Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..


HARI/TARIKH:
@ SELASA, 3 DISEMBER 2019

LOKASI KEJADIAN:
@ THE KELPIES
@ WHITELEE WINDFARM
@ GLASGOW CENTRAL MOSQUE


Jam 6.00 pagi saya terbangun dari tidur. Lega sungguh dapat tidur nyenyak malam tadi. Lepas mandi dan bersiap, saya kejut anak-anak. Amat mengejutkan, senang betul diorang bangun pagi ni. Sekali tepuk je terus bangun dan masuk ke bilik air. Mungkin malam tadi diorang tidur awal juga kot. Masing-masing letih dengan aktiviti semalam. Diorang tak tau hari ni lagi letih perjalanannya. Hihi.. Baguslah diorang pun puas dapat tidur malam tadi. Selesai solat Subuh, kami breakfast dengan ration yang dibawa. Sup, bubur dan maggi masih banyak lagi dalam stok. Bila perut masing-masing dah dialas, kami bersiap-siap untuk memulakan perjalanan mencari pengalaman baru di bumi Scotland. Jam 7.30 pagi kami dah standby di lobi hotel. Staff bertugas takde di kaunter. Saya cuma letakkan kunci bilik di tempat yang disediakan.


Staff takde. Kita drop kunci je.

Sementera menunggu Abg Fikri bantu masukkan beg ke dalam kereta, saya ke Costa di seberang jalan. Dah masuk 6 hari belum minum lagi kopi Costa di sini. Di UK, Costa lebih terkenal dari Starbucks. Boleh dikatakan di mana-mana kat UK ni akan jumpa Costa. Di Malaysia Costa baru nak bertapak. Yang ada kebanyakannya di Shell, itupun vending machine je. Setakat ni hanya di KLIA ada cafe dia. Saya pernah beberapa kali beli kopi Costa, kononnya nak mengimbau kenangan masa ke UK pada 2012 dulu. Tapi rasa dia kurang best berbanding Starbucks. Mungkin kena minum masa musim sejuk baru sedap kot. Hehe.. Apa-apa pun saya beli juga secawan untuk menemani saya sepanjang perjalanan pagi ni.

Minum kopi panas masa musim sejuk memang ngam! Layann..

Jam 8.10 pagi kami mulakan perjalanan. Kami akan ikut laluan selatan menuju ke Glasgow. Travelodge Kinross M90 adalah point paling utara yang kami sampai untuk trip kali ni. Takde rezeki nak sambung perjalanan ke utara lagi melayan pemandangan di Loch Ness. In shaa Allah kalau ada rezeki ke sini lagi saya akan pastikan kami sampai ke utara Scotland. Kali ni niat nak bawa anak-anak dan kawan jalan-jalan. Jadi banyak tempat yang saya nak cover. Sebelum teruskan perjalanan meninggalkan Travelodge Kinross M90, saya singgah di stesen minyak dulu. Antara perkara yang menakutkan bila travel di sini adalah apabila melihat pergerakan meter minyak yang mencanak laju. Sekali isi GBP50.00, itupun tangki tak penuh. Jangan convert ya, nanti tak boleh tidur malam memikirkannya. Hehe..

Ceria di waktu pagi. Let's jom

Isi minyak sambil bersiul. Lalala...

Cuaca yang suram menemani perjalanan kami menuju ke destinasi yang terletak di Falkirk. Harap hujan tak turun pagi ni. Leceh la nak pakai baju hujan. Hehe.. Si kecik Eirfan yang jetlag masa sampai haritu dah mula kembali kepada kehidupan normalnya. Apa lagi, non-stop la dia bercakap dan menyanyi dalam kereta menghiburkan semua. Sikit-sikit tanya bila nak sampai. Lepas tu nyanyi. Kemudian sambung balik tanya soalan yang sama. Layankan ajelah. Lain macam sikit anak bongsu saya ni. Berhenti bercakap bila tidur je. Apa-apa pun yang penting dia sihat walafiat. Bila dia diam kita pulak yang risau. So teruskan bercakap ya. Hehe..

Melayan pemandangan dan soalan dari Eirfan. Hehe..


@ THE KELPIES

Tepat jam 9.00 pagi kami dah sampai di kawasan The Kelpies iaitu sebuah taman yang amat besar dan ada replika menarik di sini. Sepupu saya kahwin dengan orang di sini. Jadi saya nak tunjuk kat dia yang kami dah sampai kampung suami dia. Hihi.. Dia juga yang bagitau saya suruh datang ke sini. Thanks kak Salimah kerana bagi info menarik untuk kami lawati. Saya sampai di kawasan parking yang amat luas. Hanya ada beberapa kereta je di sini. Mungkin masih awal pagi. Kejap lagi mesti ramai orang. Sebelum keadaan sesak dengan pengunjung, baik kami ambil gambar sepuasnya tanpa gangguan.


Driving route: From Travelodge Kinross M90 to The Kelpies

Kami bersiap-siap untuk mula berjalan kaki. Agak jauh juga dari kawasan parking nak menuju ke replika tu. Kalau tak nak berjalan, basikal elektrik sewa ada disediakan tapi kena bayar la. Takpelah, jalan kaki lebih menyihatkan. Hehe.. Lagipun kami cuma nak berjalan hingga ke kawasan replika je, bukan nak ronda keseluruhan taman. Kelihatan beberapa orang pengunjung sedang berbasikal, berjogging dan membawa anjing bersiar-siar di kawasan taman. Memang tenang suasana kat sini. Cuaca pun sedang elok sejuk dan nyaman.

Duduk atas basikal dan amik gambar free ya. Hehe..

Dalam 10 minit berjalan kaki akhirnya kami sampai di tempat replika tersebut. The Kelpies adalah replika kepala 2 ekor kuda yang berketinggian 30 meter. Kelpies bermaksud unsur spirit dalam air mengikut cerita lagenda Scotland. Ianya sama seperti cerita raksasa yang mendiami Loch Ness, iaitu Nessie. Orang Scotland ni banyak cerita mistik pasal air rupanya ya. Huhu.. The Kelpies siap dibina pada Oktober 2013 dan dibuka untuk pengunjung pada April 2014. Untuk masuk ke kawasan ni tiada bayaran dikenakan. Itu yang kami datang tu. Kalau kena bayar kami amik gambar dari jauh je. Hehe.. Apa-apa pun memang cantik binaan replika ni. Alhamdulillah sampai juga kami sekeluarga di sini.

Simpan di sini buat kenangan kami sekeluarga

Saya masuk ke dalam kedai untuk melihat jika ada souvenir yang boleh dibeli dan dibawa pulang. Anak-anak saya biarkan bermain di luar. Bahaya kalau diorang masuk dalam ni. Daripada niat nak beli satu fridge magnet je terus bertambah macam-macam nanti. Nak shopping nanti ayah bawak tempat lain ye. Carboot masih ada lagi dalam itinerary. Hihi.. Bukan apa, ikut pengalaman yang ada, kalau kedai kat tempat-tempat macam ni memang mahal la harganya sebab ekslusif. Fridge magnet biasa harga GBP10.00 tak lari punya. Huhu.. Ayah kedekut ke? Kalau ya memang korang tak jejak kaki la kat sini. Percutian bajet kan.. Usaha bersungguh-sungguh untuk bawak semuanya. Alhamdulillah impian dapat direalisasikan. Bersyukur..

Biar ayah sorang recce kat dalam dulu ye. Hehe

Angkat, tengok harga dan letak balik. Huhu..

Fuhh, nasib baik masuk sorang tadi. Dapatlah seketul magnet sebagai kenangan pernah sampai di The Kelpies. Anak-anak makin seronok berlari-lari di luar. Banyak tempat lagi nak terjah hari ni. Cukup lah setengah jam di sini. Kami berjalan menuju ke kereta. Eirfan tanya ayah beli apa kat kedai tadi. Dia ingat ada barang untuk dia. Saya tunjuk fridge magnet kat dia. Dia kata itu je ke yang ayah beli. Ikutkan ayah nak beli kepala kuda tu sekali, tapi apakan daya. Hehe.. Anak-anak bila bertanya kena jawab. Macam iklan burung murai tu. Layan je la walaupun soalan yang sama. Ada hikmahnya bila dah tua nanti. Satu hari nanti diorang dah takkan bertanya kat kita lagi. Sedih kan iklan burung murai tu. Huhu.. Ok, back to the story..

Thank you The Kelpies!

Kami bersiap-siap untuk meneruskan perjalanan. Kelihatan satu tourist bus penuh dengan pelancong dari China baru sampai. Nasib baik kami dah selesai bergambar. Kalau tak, faham-faham je lah macam mana gelagat pelancong dari tanah besar China ni. Siapa yang pernah mengalaminya past mengerti. Hihi.. Walaupun bas tu jauh dari kereta kami tapi riuhnya jelas kedengaran, Macam nak pergi tengok bola kat stadium je. Huhu.. Lega sungguh la kami sampai awal di sini. Jam 9.50 pagi tayar kenderaan kami mula bergolek menuju ke destinasi seterusnya. The Kelpies akan menjadi kenangan dalam hidup kami selamanya.

Melayan pemandangan dalam perjalanan

Untuk destinasi seterusnya, kami akan turun ke bawah lagi melalui pinggir bandar Glasgow. Tempat yang nak dituju ni dah lama saya teringin nak pergi. Sebelum ni hanya nampak di tepi highway je. Kali ni saya jumpa dalam internet dan terus masukkan dalam itinerary. Kebetulan ianya dekat dengan Glasgow. Jadi boleh la singgah sekejap untuk melawat dan bergambar. Cuaca masih lagi suram tapi yang bagusnya hujan tak turun. Kami melalui jalan countryside yang amat cantik. Bila ke luar negara saya paling suka tengok design rumah di kawasan kampung. Paling tak boleh lupa rumah di Netherlands. Keliling rumah ada tali air dan kena naik sampan. Memang klasik sungguh. Volendam dan Giethoorn destinasi wajib singgah bila berada di Netherlands. Itu belum kira Murren dan kawasan sekitarnya di Switzerland. Indahnya bumi milik Tuhan ni.

Dari laluan perumahan terus ke kawasan lapang


@ WHITELEE WINDFARM

Sejam memandu dari The Kelpies, akhirnya jam 10.50 pagi kami sampai di Whitelee Windfarm iaitu sebuah ladang kincir angin yang terletak di Eaglesham, Scotland. Sebelum ni asyik nampak kat tepi jalan je. Kali ni saya bawa terus ke tempatnya. Barulah puas hati dapat tengok dari dekat. Hihi.. Tiada bayaran masuk dikenakan. Itu yang pakcik suka tu. Hahah.. Saya parking kereta di satu kawasan berumput di hadapan pintu masuk. Nampak ada lecak sikit tapi in shaa Allah kereta tak sangkut lagi macam kat carboot haritu. Hehe..


Driving route: From The Kelpies to Whitelee Windfarm

Kami turun dari kereta dan bersiap-siap untuk melihat kawasan sekitar. Whitelee Windfarm adalah ladang kincir angin yang terbesar di UK dan kedua terbesar di Eropah. Ianya dibuka kepada awam pada tahun 2009. Terdapat 215 wind turbine di sini yang dapat menampung clean renewable energy untuk hampir 300 000 buah rumah. Anak-anak pantang nampak tempat luas, mulalah nak berlari sampai tak ingat dunia. Jangan pergi jauh sangat ya. Sesat kang susah pulak. Huhu.. Kami berjalan di kawasan sekitar melihat pemandangan dan bergambar kenangan. Nak cover seluruh tempat memang tak dapat la. Keluasan tempat ni hampir 100 kilometer. Pengunjung boleh trekking dan berbasikal di sini. Tourist bus juga disediakan untuk pengunjung meronda di seluruh kawasan.

Free entry.. Nicee.. Hehe

This is Whitelee moments

Disebabkan kawasan lapang dan di atas bukit, amat kuat dan sejuk angin di sini. Tak tertahan dibuatnya. Tapi tetap senyum demi gambar kenangan. Kemudian kami turun ke bawah untuk melihat wind turbine dengan lebih dekat. Lajunya diorang ni berlari turun bukit. Tak sejuk ke? Huhu.. Saya pulak hanya pakai seluar nipis tanpa longjohn di dalam. Musim sejuk kalau salji turun sekalipun tak sejuk sangat sebenarnya. Yang buat menggigil bila angin sejuk tu datang singgah kat kulit. Memang tak boleh tahan. Huhu.. Demi anak-anak, saya layan jugak redah turun bukit. Ikutkan hati nak lari masuk ke dalam bangunan. Hehe..

Jom turun dan naik balik dengan kadar segera. Hihi..

Bila dah sejuk, mula lah rasa nak membuang. Kami masuk ke dalam Visitor Centre. Leganya bila heater dipasang kat dalam ni. Selain tandas, di sini juga ada cafe, observation deck dan info mengenai tempat ni. Barang souvenir pun ada sikit di meja cafe. Dapatlah beli satu fridge magnet buat kenangan sudah jejakkan kaki di sini. Anak-anak masih galak bermain kat luar. Genetik kulit 4 musim agaknya diorang ni. Huhu.. Eirfan langsung tak masuk dalam Visitor Centre ni. Seronok jadi Santa Claus kat luar. Hihi..

Mencari sesuatu kenangan di Visitor Centre

Seronok jadi Santa Claus ye. Glove dengan snowcap taknak pakai tu. Huhu..

Fa dan Abg Fikri masih lagi meronda kat luar. Eirfan pun masih taknak berganjak dari Rudolph Raindeer tu. Takde pulak diorang merungut kelaparan. Baguslah, saya boleh duduk lama skit kat tempat panas dalam bangunan ni. Hihi.. Nak duduk lama kat sini pun tak boleh. Itinerary yang disusun kena ikut. Rancangannya sejam je kat sini. Setelah dipujuk, barulah Eirfan nak turun dari cart dan masuk ke dalam bangunan. Sebelum teruskan perjalanan, pastikan semua dah selesai urusan masing-masing. Taknak berhenti mana-mana dah dalam perjalanan menuju ke destinasi lepas ni.

Dah macam senja suasana kat sini

Whitelee Windfarm moments

Jam 11.50 pagi kami bergerak meninggalkan Whitelee Windfarm. Barulah dengar anak-anak sebut nak makan. Penat berlari la tu. Hihi.. Kami patah balik melalui jalan tadi menuju ke Glasgow. Sebelum mencari tempat makan, kami akan singgah solat jamak dulu. Daripada jalan kampung yang sempit hinggalah sampai di jalan besar menandakan sudah makin hampir sampai di bandar Glasgow. Sambil memandu terpaksa layan lagi soalan sama yang bertubi-tubi dari Eirfan. Sifat natural hyper dia sudah bermula. Lagu Lagi Syantik berulang kali dinyanyikan ikut versi dia. Hehe.. Bila dengar bunyi GPS, ditanya bila nak sampai. Sabar ye anakku. Ayah tengah fokus memandu ni.

Seronok dia dapat duduk depan. Hihi..


@ GLASGOW CENTRAL MOSQUE

Tepat jam 12.30 tengahari kami sampai di simpang masuk ke Glasgow Central Mosque. Masjid ni terletak di pinggir bandar Glasgow. Jadi boleh la bawak kereta sampai ke sini. Sebelum sampai di kawasan parking, saya ditahan oleh dua orang lelaki. Dia tanya tujuan kami ke sini. Bila saya sebut nak solat, dia minta kami parking di tempat yang dia tunjuk. Saya pun ikut je arahan dia. Kebetulan hanya satu lot parking je yang kosong. Ramai juga jemaah hari ni. Mungkin ada majlis atau acara kot kat dalam masjid sekarang ni sebab yang tahan kami tadi bertanya apa tujuan datang ke sini. Tak pernah lagi berlaku saya ditanya tujuan datang ke masjid. Huhu..

Driving route: From Whitelee Windfarm to Glasgow Central Mosque

Sampai jua di Glasgow Central Mosque

Agak confuse juga mencari pintu masuk utama masjid ni. Saya ikut seorang jemaah di depan masuk melalui pintu kecil dan terus nampak rak kasut. Untuk jemaah wanita, ada signboard di pintu masuk. Setelah buka kasut, saya mencari arah ke tempat ambil wudhuk. Jauh juga kena berjalan dan barulah nampak pintu masuk utama ke dalam masjid. Kelihatan papan tanda tempat ambil wudhuk di depan. Tandas dan tempat wudhuk amat bersih. Selesai berwudhuk, saya masuk ke dalam ruang solat utama. Kelihatan ramai jemaah sedang solat sunat sambil menunggu masuknya waktu Zohor.

Ruang legar dan tempat wudhuk

Ruang solat utama

Lima minit menunggu akhirnya azan Zohor berkumandang dan kemudian kami solat berjemaah. Selesai solat, imam maklumkan tentang solat jenazah yang akan dijalankan sebentar lagi. Patutlah ada orang bertanya saya masa sampai tadi. Mungkin dia bagi priority kepada keluarga dan sahabat arwah untuk parking di kawasan yang dikhaskan. Selesai solat jenazah, saya keluar dari masjid menuju ke kereta. Kelihatan lagi ramai orang di kawasan luar masjid. Ada yang bertanya saya di mana pintu masuk ke dalam masjid. Moga dipermudahkan segala urusan buat ahli keluarga arwah.

Alhamdulillah dapat singgah dan solat berjemaah di sini

Keadaan di kawasan parking agak sesak. Banyak kereta yang baru sampai. Sampaikan ada yang dah standby untuk masuk parking bila nampak saya buka kereta. Sabar ya tuan, ramai penumpang nak masuk dalam kereta ni. Hihi.. Jam 1.40 petang kami mula bergerak meninggalkan Glasgow Central Mosque. Sampai masanya untuk ke destinasi berikutnya iaitu mengisi perut masing-masing. Anak-anak gembira betul bila tau nak pergi makan. Soalan pertama, jauh ke tempat makan tu? Tak jauh, dekat je dengan masjid ni. Dalam 10 minit lagi kita sampai ya. Ayahnya pun seronok juga nak pergi makan sebenarnya. Hihi.. Moga kedai makan yang dituju buka hari ni.


Wallahu 'alam..

No comments:

Post a Comment