Wednesday 11 September 2019

JJCP Scandiscovery: Day 11 (Part #3)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..

HARI/TARIKH:
@ SELASA, 18 DISEMBER 2018

LOKASI KEJADIAN:
@ STOR-ELGEN REST STOP
@ SHELL KOPPANG
@ NORWAY-SWEDEN BORDERS
@ AIRBNB - RICHARD


Dari Atna, jalan dah mula kurang dengan salji. Tar jalan nampak jelas. Keadaan sajli di sini tak boleh nak diduga. Bukannya tempat yang tinggi je yang penuh dengan salji, kadang-kadang di tanah rendah pun masih tebal, bergantung pada hujan yang turun. Yelah, salji tu sebenarnya dari air hujan. Disebabkan cuaca sejuk sangat, tu yang buat air hujan bertukar menjadi hablur salji. Gambar ikon salji dalam phone atau kat aircond kereta memang betul begitulah bentuknya yang jatuh dari langit. Cuma kita tak bawak microskop atau pembesar je untuk lihat dengan teliti. Hihi..

Memang begini bentuk snowflake yang turun dari langit

@ STOR-ELGEN REST STOP

10 minit memandu dari simpang di Atna, akhirnya kami berhenti di Stor-Elgen Rest Stop. Tiada kedai pun di sini. Yang ada hanya kawasan parking yang agak luas dan WC sahaja. Satu lagi tarikan di sini adalah The Big Moose giant statue yang dikatakan terbesar di dunia. Saya jumpa info tentang statue ni di Atlas Obscura. Itu yang membuatkan saya singgah di sini memandangkan ianya terletak dalam route perjalanan kami.

Driving route: From Rondane to Stor-Elgen Rest Stop
The Big Moose giant statue terletak di Stor-Elgen Rest Stop
Stor-Elgen bermaksud 'The Big Elk'. Giant statue yang berwarna perak berkilauan ni berdiri setinggi 32 kaki, hanya lebih 30 cm tinggi dari statue terbesar sebelum ni yang terletak di Canada. Stor-Elgen Rest Stop berada di route E3 motorway, di pertengahan perjalanan antara Oslo ke Trondheim. Siapa yang lalu motorway ni pasti akan nampak statue ni di tepi jalan. Sedang elok kami pun sampai waktu cuaca masih cerah. Dapatlah bergambar kenangan bersama statue Moose yang terbesar di dunia ni.

Kita amik gambar dulu sebelum cuaca gelap

The Big Elk @ Stor-Elgen

Dah selesai bergambar, barulah boleh makan. Nak makan kat luar teramatlah sejuknya. Nampaknya kena makan dalam kereta juga macam semalam. Takpelah, janji perut kenyang. Terima kasih pada para isteri yang menyediakan bekal pagi tadi buat semua. Kalau geng lelaki je mungkin makan roti kosong dengan air kopi panas. Hihi.. Alhamdulillah dapat juga kami makan dengan penuh berselera hari ni. Travel tanpa agent, macam ni lah keadaannya. Tapi kepuasan travel sendiri lebih best dari segala offer dari travel agent yang ada. Kos dah tentu lagi murah. Cuma berani atau tak je. Kalau setakat jalan KL tu boleh main cilok je bawa kereta, kat sini lagilah mudah sebenarnya.

Dua hari berturut makan dalam kereta. Layann..
Cuaca dah semakin gelap. Jam 3.15 petang kami sambung perjalanan ke Koppang. Bila kereta keluar je dari simpang, Fa yang tak keluar langsung dari kereta baru nampak statue. Tak dapat dia nak bergambar kenangan kat sini. Rasanya Abang Fikri keluar amik gambar tadi. Ingatkan dia tau. Hanya mata je lah dapat melihat ketika kereta bergerak meninggalkan rest stop. Terus jadi bahan bualan dalam kereta. Kami pun share gambar dengan statue dalam group. Lagilah dia tension. Hihi.. Sori Fa, kami ingat dia tau tapi tak larat nak keluar sebab sejuk. Nanti boleh la tengok gambar Abang Fikri kat bawah statue tu sebagai kenangan. Hehe..

Babai The Big Moose!..

@ SHELL KOPPANG

Minyak dah tinggal suku. Perjalanan masih jauh lagi. Takut lalu kat kawasan kampung nanti takde stesen minyak, baik isi siap-siap sebelum sangkut kat tengah jalan nanti. Huhu.. Sebelum sampai pekan Koppang, kelihatan Shell di tepi jalan. Kami berhenti dan isi minyak. Kalau la boleh guna kad Bonuslink kat sini kan best. Banyak point boleh dapat. Hihi.. Seperti biasa, penggunaan kad di stesen minyak adalah penting di Scandinavia. Saya dah makin mahir cara isi minyak guna kad kredit di sini. Itupun sebab ada option English. Hehe..

Driving route: From Stor-Elgen Rest Stop to Shell Koppang
Harga seliter diesel di sini. Jangan salah angkat nozzle pulak. Hihi..
Masuk kad, tekan pin, isi minyak dan pening tengok harga akhir. Hehe..
Fuhh, total isi minyak diesel 64 liter bernilai NOK997.76. Nasib baik lah Caravelle ni antara kereta yang agak save minyak. Bawa pun tak laju mana. Jangan pening-pening. Apa-apa pun mesti kena isi minyak juga kan. Lepas isi minyak kami teruskan perjalanan dan GPS arahkan untuk masuk satu simpang ke pekan Koppang dan terus ikut laluan kampung yang tiada lampu jalan. Bermulalah perjalanan malam yang sunyi sepi walaupun jam baru pukul 4.00 petang. Huhu.. Wife saya pegang pada janjinya. Dia langsung tak tidur dari hari pertama sewa kereta. Ini lah baru dikatakan co-pilot yang berdedikasi. Hihi..

Beginilah pemandangan sepanjang perjalanan. Seramm..
Kalau sorang-sorang drive dalam keadaan gelap macam ni memang boleh tegak bulu roma. Huhu.. Nasib baik wife tak tidur, teman saya berborak. Sekali sekala masuk kawasan pekan baru ada lampu jalan. Lepas tu gelap balik hingga jumpa pekan berikutnya. Masa ni saya teringat masa drive di Switzerland tahun 2015. GPS bawa kami ikut laluan lereng bukit yang amat sempit dan banyak selekoh tajam. Di kiri dan kanan jalan kelihatan banyak kayu balak. Wife saya tak tidur, tapi dia senyap je. Bila sampai simpang jalan besar baru la dia nak berborak. Nampak sangat takut masa tu. Tapi saya sendiri pun takut juga. Hihi.. Entah mana lah GPS nak bawa kami. Padahal masa tu dah nak sampai bandar Zurich. Fuhh, kenangan semua tu..


@ NORWAY-SWEDEN BORDERS

Driving route: From Shell Koppang to Norway-Sweden Borders
Leka berborak, tak sedar akhirnya jam 5.45 petang kami dah sampai di sempadan Norway-Sweden. Entah macam mana saya boleh ternampak signboard sempadan dan terus berhentikan kereta di tengah jalan untuk ambil gambar. Takde kereta lain waktu tu, sebab tu selamba je berhenti. Hehe.. Tak tahu kenapa saya suka betul ambil gambar sempadan. Asal jumpa sempadan je mesti nak berhenti walaupun sekejap. Cadangan asal memang nak berhenti kat sini sebab ada parking khas dan tanda batu sempadan. Tapi disebabkan dah gelap macam tak sesuai pulak nak bergambar. Dapat ambil gambar dari dalam kereta dah memadai sebagai tanda berakhirlah perjalanan kami di bumi Norway.

Welcome back to Sweden. Babai Norway!..
Duit Norwegian Krone yang saya tukar berjaya dihabiskan. Tinggal sekeping duit kertas dan beberapa keping duit syiling untuk disimpan dalam album sebagai kenangan di Norway. Kat money changer memang tak dapat la duit syiling. Duit kertas pun nilai yang paling tinggi je yang diberi. Huhu.. Dari sempadan perjalanan dalam 200 km untuk sampai ke homestay. Masih jauh lagi. Kawan-kawan dah mula senyap dari tadi lagi. Memang patut tidur sebab tak nampak pemandangan pun. Hihi..

Sampai kawasan pekan barulah ada lampu jalan
Untuk menghilangkan kebosanan memandu, saya berborak dengan wife tentang Norway. Kesimpulannya, Norway adalah negara yang amat eksotik. Walaupun kami tak pergi sampai ke utara untuk melihat aurora, tapi beberapa tempat yang kami dah pergi sudah cukup memberi pengalaman hidup yang bermakna pada saya. Pertama kali saya berhadapan dengan cuaca sejuk yang melampau dan salji yang amat tebal di Norway. Yang paling indah adalah saya dapat rasa pengalaman memandu sendiri di Norway. The best moment in my life!.. Alhamdulillah diberikan peluang untuk menikmati bumi-Nya yang luas terbentang.


@ AIRBNB - RICHARD

Address: Rodluvevagen 2B, Mora S, Dalarnas Ian 792 90, Sweden

Perjalanan tanpa henti selama 5 jam dan sejauh lebih 300 km dari Shell Koppang, akhirnya kami sampai di Gesunda, iaitu satu kawasan kecil yang terletak di Mora. Pada mulanya saya mencari AirBnb di tengah bandar Mora, tapi harga untuk semalam agak mahal. Yang berpatutan cuma campsite. Jadi option yang ada dan sesuai untuk kami berenam terletak di Gesunda iaitu rumah kepunyaan Richard.

Weather forecast @ Gesunda
Driving route: From Norway-Sweden Borders to AirBnb-Richard
Daripada jalan utama, kami masuk ke simpang menuju rumah Richard. Agak confuse jalan ke rumahnya kerana banyak lorong yang dipenuhi dengan salji tebal. Tak pasti mana satu lokasi rumahnya. Apa yang saya tau, rumahnya terletak berhampiran dengan theme-park yang famous di sini iaitu Tomteland. Jadi saya set pada GPS untuk ke Tomteland kerana tak boleh nak set ikut alamat yang diberi. Saya cuma ingat bentuk rumahnya yang saya lihat dalam website AirBnb. Salji tebal, lagilah susah nak pastikan mana satu rumahnya. Huhu.. Nasib baik di kawasan berhampiran Tomteland hanya ada satu kawasan perumahan yang kecil. Jadi saya masuk ke kawasan tersebut dan mencari nombor rumah Richard. Akhirnya jam 9.40 malam kami jumpa juga rumahnya. Alhamdulillah..

Lokasi sebenar rumah Richard berhampiran Tomteland
Saya berikan nombor kod pada Abang Fikri untuk buka lockbox dan ambil kunci rumah sementara saya cuba parking kereta paling dekat dengan pintu rumah kerana salji amat tebal. Takut kereta sangkut esok pagi. Huhu.. Abang Fikri masuk ke dalam rumah dan ambil gambar. Ada 3 anak tangga kecil yang hampir tak nampak sebab penuh dengan salji. Saya tau ada tangga sebab tengok gambar dalam website AirBnb. Dengan penuh hati-hati kami keluarkan beg dan bawa masuk ke dalam rumah sebab lantai yang licin. Sampai juga kami di sini dengan selamatnya. Pemanduan yang amat jauh hari ni..

Booking melalui AirBnb
Rumah ni 2 tingkat. Tingkat bawah ada ruang tamu, ruang makan, dapur, bilik air dan bilik tidur. Ruang atas hanya ada 2 bilik. Ada berapa bilik air? Tak perlu bagitau sebab sama seperti rumah lain sebelum ni. Hahah.. Saya yang super penat memandu sepanjang hari ni tak larat nak naik tangga. Saya book siap-siap sofa bed di ruang tamu untuk tidur malam ni. Setelah bersihkan diri, kami habiskan lebihan makanan hari ni sambil berborak. Cerita Fa tak bergambar di The Big Moose masih hangat dibincangkan. Hehe.. Saya buka emel untuk melihat review dari Thomas. Nampaknya dia tak berikan review pada saya. Takpelah, dari cara saya berinteraksi dengannya memang nampak macam sibuk orangnya. Fikir yang positif je. Apa pun saya dah berikan review terbaik buat rumahnya.

Bahagian bawah rumah Richard. Amat kemas..
Ada 3 bilik tidur disediakan
Curam betul tangga tu. Semua pakat letak beg kat bawah je. Hehe..
Jam 11.00 malam setelah makan dan berborak, kami mula bersiap untuk tidur. Esok masih jauh lagi perjalanan menjelajah bumi Sweden. Norway sudah tinggal kenangan. Kenangan yang pasti takkan dilupakan sampai bila-bila. In shaa Allah ada rezeki lagi saya akan sampai juga di sini. Mungkin trip berikutnya ke utara Norway untuk melihat aurora. Tapi saya dah set nak tengok kat Iceland satu hari nanti. Kita tengok lah mana yang sampai dulu. Hihi.. Moga mimpi indah hadir pada malam ni. Esok masih belum tahu apa yang akan berlaku. Moga dipermudahkan semuanya. Wallahu 'alam..

Day 11 total driving mileage: 507 km
Jumlah penggunaan kaki hari ni




No comments:

Post a Comment