Sunday, 21 May 2017

JJCP Umrah Ziarah Oman: Day 05 (Part #1)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..

TARIKH:
27 DISEMBER 2016

LOKASI KEJADIAN:
@ MASJID AISYAH


Jam 12.15 t/malam saya turun ke kaki bukit bersama jemaah yang lain. Disebabkan saya sorang je dan takde teman untuk berborak, saya mengira jumlah bilangan anak tangga di Jabal Nur. Hihi.. Saya sampai di anak tangga terakhir pada jam 12.40 t/malam. Jumlah anak tangga yang saya kira dari Gua Hira' ke puncak adalah 65 anak tangga. Dari puncak ke kaki bukit pulak saya kira ada 1045 anak tangga. Saja je kira anak tangga untuk simpan rekod dan share dalam blog ni. Hihi.. Sampai di kaki bukit, saya menuruni jalan yang curam untuk menunggu van roller coaster bawa kami sampai ke tempat bas di bawah. Kali ni lagi takut sebab turun bukit. Lagi ganas driver ni buat drift. Lega betul bila dah sampai bawah. Huhu..

Vandalisme ada di mana-mana. Huhu..
Tanda dah sampai di kaki bukit
Memang curam betul jalan ni..
Jam 1.15 pagi bas bertolak pulang ke hotel. Sampai di hotel jam 1.45 pagi. Saiful dan Ustaz Zool tengah sedap tidur. Saya pun kena tidur sebab pagi nanti kami akan mengerjakan umrah buat kali ketiga. Terasa puas apabila dapat mendaki Jabal Nur. Satu kenangan dan pengalaman hidup yang takkan dapat dilupakan berada di pintu Gua Hira'. Jam 4.45 pagi saya tersedar dan bersiap untuk solat Subuh di masjid. Dapat tidur 3 jam je tapi badan tak terasa penat walaupun mendaki Jabar Nur semalam. Mungkin kerana gembira dapat naik semalam membuatkan tidur 3 jam pun sudah memadai. Hihi.. Selesai solat Subuh saya balik ke hotel untuk breakfast bersama-sama. Dah kenyang terus naik ke bilik untuk salin pakaian ihram.

Kita breakfast dulu pagi ni
Bersama Ustaz Zool menunggu jemaah lain di lobi hotel
Jam 7.10 pagi kami dah berkumpul di lobi hotel menunggu jemaah yang lain. Jam 7.40 pagi kami bergerak naik ke dalam bas dan menuju ke Tan'im yang terletak kira-kira 10km dari dari Masjidil Haram. Ada satu masjid di bahagian utara Mekah yang betul-betul berada di sempadan Tanah Haram iaitu Masjid Aisyah. Masjid ini didirikan sempena peristiwa ketika Rasulullah SAW melakukan haji wada' dan isteri baginda, Siti Aisyah berada dalam keadaan uzur. Rasulullah SAW memerintahkan Abdurrahman bin Abi Bakar iaitu abang Siti Aisyah untuk menghantar isterinya ke Tan'im bagi melaksanakan umrah.

Bus Route: From Hera Hotel to Masjid Aisyah
Macam biasa, duduk depan lagi. Hihi..

@ MASJID AISYAH

Kami sampai di Masjid Aisyah pada jam 8.00 pagi. Ketika itu kelihatan ramai jemaah yang sedia berihram untuk mengerjakan umrah. Masjid Aisyah adalah antara yang terbesar di kawasan Tan'im dan menjadi tumpuan para jemaah untuk bermiqat di sini kerana lokasinya yang berdekatan dengan Masjidil Haram. Dalam pakej yang disediakan oleh Andalusia, kami akan menjalani umrah sebanyak 3 kali. Bermakna ini adalah umrah terakhir kami yang akan dipimpin oleh mutawwif. Bukan bermakna boleh buat 3 kali je. Nak buat banyak kali pun boleh kalau ada masa tetapi secara persendirian dengan menaiki teksi ke tempat miqat dan jalani umrah tanpa mutawwif.

Masjid Aisyah yang terletak di sempadan Tanah Haram
Sunat umrah terlalu banyak untuk dihuraikan. Antara yang selalu dilakukan oleh jemaah umrah sebelum ihram adalah seperti mengandam rambut, misai, janggut dan ari-ari serta memotong kuku, mandi dan solat sunat ihram. Setelah berniat ihram pula disunatkan untuk bertalbiah selepas niat hingga tawaf, berdoa setiap kali berada di lokasi umrah, melambai tangan di Hajarul Aswad ketika tawaf, solat sunat tawaf di belakang makam Ibrahim, melakukan tawaf dan sa'i berturut-turut dan bercukur selepas sa'i bagi lelaki. Minum air zam-zam juga termasuk dalam sunat umrah. Bagi rukun umrah pula ada 5 perkara iaitu berniat ihram umrah, tawaf sebanyak 7 pusingan lengkap mengelilingi Kaabah, Sa'i diantara Safa dan Marwah sebanyak 7 pusingan, bergunting atau bercukur untuk tahallul dan tertib dalam melakukan umrah. Manakala perkara wajib umrah pula hanya 2 iaitu niat ihram di miqat dan menjaga 13 pantang larang ketika berihram yang telah dijelaskan dalam post sebelum ni. Meninggalkan rukun ihram boleh membuatkan umrah itu tidak sah dan wajib diulangi semula ketika masih dalam ihram. Ini kerana umrah tidak boleh dibatalkan dengan sewenang-wenangnya. Antara rukun yang tidak memenuhi syarat adalah seperti tawaf tak cukup 7 pusingan. Wajib umrah pula jika tertinggal maka umrahnya tetap sah tapi dikenakan dam. Kalau sengaja tertinggal adalah berdosa. Jika dam tidak dibayar maka pahala amalannya akan tergantung di antara langit dan bumi. Itulah antara penerangan yang diberi oleh pegawai Andalusia ketika kami di kelas persediaan umrah. Ustaz Zool juga terangkan perkara yang sama ketika kami berborak di dalam bilik hotel. Oleh itu janganlah dibuat main-main tentang perkara yang boleh membatalkan umrah. Kena ingat dan fahami betul-betul rukun dan wajib umrah.

Bersedia untuk mengerjakan umrah kali ketiga
Amat luas ruang solat di dalam Masjid Aisyah
Masjid Aisyah sungguh luas dan dijaga dengan baik luar dan dalam. Kami masuk ke dalam masjid untuk solat sunat dan niat ihram umrah. Selesai berniat kami naik bas untuk mengerjakan umrah yang ketiga. Alhamdulillah, jam 11.30 pagi kami selesai menyempurnakan umrah kami yang ketiga. Setelah bertahallul maka saya telah bebas dari pantang larang ihram. Sebelum menunggu masuknya waktu Zohor, saya ambil kesempatan untuk bergambar kenangan suasana ketika menjalani ibadah umrah dan juga sebagai panduan kepada pembaca. Moga mendapat gambaran dan maklumat berguna dari perkongsian ini. Wallahualam..

Sa'i bermula di Bukit Safa
Jemaah sedang melakukan sa'i
Di Bukit Marwah
Lampu hijau penanda untuk berlari anak
Air zamzam disediakan di sepanjang laluan sa'i

No comments:

Post a Comment