Tuesday 26 December 2017

JJCP VietCam: Day 03 (Part #2)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..


TARIKH:
5 OGOS 2017

LOKASI KEJADIAN:
@ TA PROHM HOTEL
@ ANGKOR ENTERPRISE
@ MUSLIM FAMILY KITCHEN


@ TA PROHM HOTEL

Tepat jam 3.00 petang kami sampai di depan Ta Prohm Hotel. Saya pilih hotel ni adalah kerana kedudukannya yang amat strategik, walking distance untuk ke pasar malam, Hard Rock Cafe dan restoran halal. Lagipun rate hotel ni agak berpatutan dan ikut pada gambar dalam internet, biliknya agak selesa untuk kami semua. Tapi selagi tak tengok sendiri keadaan bilik, belum boleh sahkan tahap keselesaannya. Maklumlah, gambar dalam internet dah tentu paling cantik untuk tarik perhatian pelanggan kan. Realitinya belum tentu lagi. Sama jugalah dengan bas yang kami sewa ni. Masa booking katanya driver ada basic english. Realitinya jelas tertipu disitu. Huhu..

Bus Route: From Prey Pros Rest Area to Ta Phrom Hotel, Siem Reap
Akhirnya sampai sudah di Siem Reap
Sementara yang lain angkat beg dari dalam bas dan dibantu oleh pekerja hotel, saya uruskan hal check-in di reception counter. Staff hotel ni amat friendly dan membantu. Mula-mula seperti ada masalah sebab ada satu bilik kurang iaitu penambahan saat akhir bilik untuk Kak Ina dan suami. Mereka cuma terima booking saya yang asal. Saya tunjukkan semula booking terbaru yang saya buat. Setelah buat semakan, nasib baik ada satu bilik yang kosong. Alhamdulillah. Kalau takde terpaksalah Kak Ina check-in di hotel yang lain. Saya dah boleh agak akan berlaku perkara sebegini. Dulu pun pernah terjadi bila buat perubahan pada booking. Sebab tu kalau pergi trip beramai-ramai kena pastikan berapa bilangan ahli yang confirm supaya mudah nak buat booking. Last minute addition kira ok lagi berbanding cancellation. Sekejap nak pergi, lepas tu tak jadi pulak. Tak ke menyusahkan namanya tu? Huhu..

Welcome to Ta Prohm Hotel
Reception counter. Staff amat membantu
Ruang lobi hotel pun luas
Keadaan di lobi hotel amat selesa dan luas. Harap bilik kami pun sama juga. Hihi.. Harga untuk semalam hotel di sini cuma RM134.30. Kira berpatutan dengan lokasinya yang amat strategik di tengah kawasan happening di Siem Reap. Selesai berurusan di kaunter, kami diberikan kunci bilik masing-masing yang tak sama level. Saya pilih bilik hotel bernombor 123 di tingkat 1. Sebelum naik kami bertanyakan tentang tiket untuk ke Angkor Wat. Staff hotel maklumkan mereka tak boleh belikan tiket sebab setiap tourist kena ambil gambar. Kami kena beli sendiri tiket memandangkan masa masih ada lagi sebelum tempat tu tutup. Saya mintak staff hotel explain pada driver supaya dapat bawa kami ke sana kejap lagi. Saya juga bertanyakan tentang restoran halal yang kami akan makan malam ni. Staff tu mintak no telefon restoran tersebut untuk buat booking jam 6.00 petang. Alhamdulillah, untuk servis staff kat sini saya bagi 4 daripada 5 bintang. Untuk hotel pula kena tengok dulu keadaan bilik baru boleh bagi rating. Setakat ni lobi hotel memang terbaik. Hehe.. Kami naik ke tingkat 1 mencari bilik 123.

Ta Prohm Hotel melalui booking.com
Buka je pintu bilik 123, saya dah rasa puas hati dengan dekorasi bilik yang amat menarik. Walaupun tak seluas bilik di River Star Hotel, tapi cukup untuk keselesaaan kami sekeluarga. Harap famili yang lain pun dapat bilik yang selesa. Sambil berbincang tentang aktiviti selepas ni dalam whatsapp, saya bertanyakan tentang keadaan bilik masing-masing. Alhamdulillah masing-masing berpuas hati dengan bilik yang diorang dapat. Ada yang dapat bilik yang ada balkoni lagi. Bilik saya takde balkoni. Kira rezeki diorang dapat tengok pemandangan pekan Siem Reap dari balkoni bilik. Hihi..

Ta Prohm Hotel Room 123. Selesa dan terbaik..
Saya terpaksa tahan keinginan untuk baring di atas katil yang empuk di depan mata. Kalau dah baring confirm terlajak sampai malam. Huhu.. Lepas solat, jam 3.45 petang kami turun semula ke lobi hotel sebab dah janji dengan driver jam 4.00 petang untuk beli tiket Angkor Wat. Saya berjalan di luar hotel melihat keadaaan sekeliling. Ada banyak night market di sini. Yang paling dekat adalah di seberang hotel. Malam nanti baru fikir kat mana nak berjalan. Yang penting Hard Rock Cafe Angkor mesti kena singgah. Itu adalah agenda utama kami ke sini. Hehe.. Itulah masalahnya bila dah minat nak mengumpul t-shirt HRC. Walaupun harga sehelai t-shirt HRC agak mahal, tapi minat mengumpul punya pasal terpaksalah beli juga. Huhu.. Itu cerita malam nanti. Sekarang ni tengah menunggu ahli yang lain turun dari bilik masing-masing. Jangan ada yang dah mula rebah atas katil, memang takkan turun la jawabnya. Hihi..

Lorong ke bilik. Quite creepy. Hihi..
View hotel dari luar. Cantik kan?
Jangan main-main dengan penjaga hotel ya. Hehe..
Walaupun belum cuba lagi keempukan katil di Ta Prohm Hotel, pada pandangan saya hotel ni amat cantik kerana interior hotel ni semuanya berasaskan kayu. Patung pun banyak juga, maklumlah hotel ni bukannya kepunyaan muslim. Breakfast pun kami tak amik sebab tiada makanan halal disediakan. Saya boleh bagi 4 out of 5 stars untuk keseluruhan hotel ni termasuk servis staff dan harga biliknya yang berpatutan serta kedudukan hotel di tengah pekan Siem Reap. Ada beberapa tourist luar negara beri komen yang bagus terhadap hotel ni. Nampaknya saya pun sependapat dengan tourist tu. Saya rekomen Ta Prohm Hotel kepada tourist yang nak menginap di Siem Reap. Memang terbaiklah!. Jam 4.15 petang setelah semuanya ada, bas mula bergerak menuju ke Angkor Enterprise, tempat di mana tiket masuk ke Angkor Wat dijual.

Perjalanan menuju ke Angkor Enterprise

@ ANGKOR ENTERPRISE

Jalan agak sesak menuju ke Angkor Enterprise. Harap sempatlah kami nak beratur beli tiket Angkor Wat sebab tempat tu tutup jam 5.30 petang. Jam 4.40 petang kami sampai di Angkor Enterprise, satu-satunya tempat untuk membeli tiket Angkor Wat yang sah. Agak banyak juga bas yang parking di sini. Dengan pantas kami berjalan masuk ke dalam Angkor Enterprise dan mencari kaunter jualan tiket. Dalam bangunan ni bukan hanya ada kaunter tiket, tetapi banyak juga kedai yang menjual souvenir dan tiket jualan untuk tempat lain yang menarik di Siem Reap.

Bus Route: From Ta Prohm Hotel to Angkor Enterprise
Ini dia bangunan Angkor Enterprise
Kami sampai di kawasan kaunter jualan tiket Angkor Wat. Walaupun banyak kaunter yang dibuka tetapi masih tetap sesak kerana ramai tourist yang beratur. Harga tiket yang telah dinaikkan dari USD20.00 kepada USD37.00 bermula dari 1 Februari 2017 pun masih ramai tourist yang nak masuk. Mak aii, naik hampir dua kali ganda tu. Memang betul-betul nak makan duit tourist ni. Huhu.. Saya dah sedia maklum dengan harga baru ni. Sebab tu dah bagitau awal-awal dalam group tentang harga tiket yang agak melampau. Kepada yang tak nak masuk tak perlu la beli tiket. Esok boleh la jalan-jalan kat area hotel sementara menunggu kami meronda di Angkor Wat. Nasib baik la kanak-kanak berumur bawah 12 tahun tak perlu beli tiket. Jadi saya hanya perlu beli 3 tiket sebab anak sulung dah kena bayar ikut rate dewasa. Huhu.. Kenapa saya tetap juga nak masuk dan melihat Angkor Wat walaupun harga tiketnya super melampau? Sebabnya ia adalah the largest religious monument in the world dan jika google tempat yang menarik untuk dilawati di seluruh dunia, Angkor Wat mesti akan berada dalam senarai Top 10. Itu yang menjadi keinginan untuk saya melihat dengan mata sendiri walaupun ianya adalah kuil Hindu pada zaman dahulu sebelum bertukar kepada kuil Buddha. Lawat bukan kerana nak sembahyang tetapi melihat bagaimana struktur yang dah dibina sejak kurun ke-12 masih utuh lagi hingga sekarang.

Walaupun tiket dah naik harga, tetapi tourist tetap ramai juga. Huhu..
Sampai giliran, saya minta 3 tiket. Setiap seorang kena amik gambar dan muka kita akan ada pada tiket masing-masing. Patutlah staff hotel tadi kata kena beli sendiri. Wah, hebat juga sistem tiket untuk masuk ke Angkor Wat ni. Kiranya orang lain tak boleh nak guna tiket kita sebab ada gambar. Sebab tu harga tiket naik melampau sebab kira kos penggunaan kamera untuk amik gambar dan letak pada tiket kot. Hihi.. Selesai beli tiket, ada juga cadangan nak pergi tengok matahari terbenam. Tapi Jay kata Angkor Wat bukannya dekat sini. Laa, ingatkan pintu masuk ke Angkor Wat kat belakang Angkor Enterprise ni. Rupanya kena naik bas dalam 8 km untuk sampai ke sana. Huhu.. Maka tak jadilah nak tengok matahari terbenam. Lagipun famili Saiful tak beli tiket. Nanti takut lama pulak diorang menunggu kat bas masa kami berjalan masuk ke dalam Angkor Wat. Kalau esok takpelah sebab kami bergerak dari hotel.

3 tiket Angkor Wat terpampang wajah kami. Hihi..
Dah tak jadi nak tengok matahari terbenam, maka kami amik keputusan untuk terus ke restoran. Booking jam 6.00 petang tapi sekarang baru jam 5.00 petang. Rasanya boleh kot pergi awal ke restoran tu. Tujuan booking adalah untuk diorang prepare awal makanan kami supaya tak perlu menunggu lama. Sampai je boleh terus makan. Hihi.. Nampaknya terpaksalah kami menunggu juga disebabkan tak tau nak ke mana petang ni. Nak jalan-jalan di pasar takut amik masa yang panjang. Nak balik hotel pun takut terlajak sebab masing-masing dah penat. Katil di bilik dah memanggil-manggil. Hihi.. Apa-apa pun saya masih tak berpuas hati dengan harga tiket yang dijual. Tiket kami akan cover main entrance Angkor Wat dan juga Ta Prohm Temple yang famous dengan pokok besar yang menjalar di dinding kuil. Penggambaran movie Tomb Raider lakonan Angelina Jolie dibuat di sini membuatkan pokok di Ta Prohm ni menjadi lebih popular di kalangan tourist. Kita tengok esok, adakah teruja bila ada di tempat kejadian. Yang penting adakah harga tiket berbaloi dengan pengalaman yang kami dapat sepanjang berada di Angkor Wat. Wallahu 'alam..

Riang ria di Cambodia. Hehe..
Ceria walaupun baru habis USD111.00. Huhu..
Jam 5.10 petang bas meninggalkan Angkor Enterprise menuju semula ke hotel. Kami sampai di Ta Prohm Hotel jam 5.30 petang. Kami amik keputusan untuk terus makan malam. Lokasi makan malam terletak di perkampungan Muslim di mana bas tak boleh masuk sebab jalan yang sempit. Jadi kami kena ke sana sama ada jalan kaki atau naik tuktuk. Disebabkan ramai yang dah mula sakit kaki dan letih, jadi kami mencari tuktuk untuk ke sana. Dapat jumpa satu tuktuk di depan hotel, dengan sekelip mata tuktuk yang lain pun sampai sebab dah tentu kami kena naik banyak tuktuk untuk semua famili. Seperti biasa Wan akan deal harga dan dapat USD3.00/return untuk satu tuktuk. Itupun dah kira mahal memandangkan restoran yang kami nak pergi ni tak jauh jika jalan kaki sebab ada jalan shortcut. Disebabkan takde yang nak jalan kaki, jadi saya pun naik tuktuk. Tak berani saya nak jalan sorang diri ikut lorong shortcut, takut kena kejar dengan anjing. Hihi..

Jom naik tuktuk beramai-ramai

@ MUSLIM FAMILY KITCHEN

Tuktuk bawa kami dari jalan bertar hinggalah masuk ke jalan tanah merah di kawasan perkampungan Muslim Siem Reap. Kat sini ada banyak restoran halal, tapi saya pilih Muslim Family Kitchen sebab ada satu menu yang saya teringin nak cuba yang takde di restoran yang lain di sini. Mungkin menu ni adalah specialty bagi restoran ni. Tak sampai 5 minit naik tuktuk, jam 5.40 petang kami sampai di depan Muslim Family Kitchen. Apabila kami semua dah sampai, tokey kedai pun kelam kabut sebab belum sediakan lagi makanan kami. Takde masalah sebab memang kami sampai awal dari yang dijangka. Menu makanan kami ikut pada tokey kedai. Kami hanya berikan bilangan dewasa dan kanak-kanak dan harga yang dikenakan adalah USD6.00/adult dan USD3.00/child. Pandai-pandai la tokey kedai sediakan makanan yang sesuai mengikut harga yang ditetapkan.

Tuktuk Route: From Ta Prohm Hotel to Muslim Family Kitchen
Siem Reap Muslim Village Area
Antara restoran halal yang ada di kawasan perkampungan Muslim di sini
Kami pilih restoran ni. Nampak tak menu special dia?
Jam 5.50 petang semua meja dah dihidangkan dengan menu makan malam. Semua menu nampak menyelerakan. Saya bertanya pada pekerja kedai yang sedang menghidangkan nasi putih, adakah ini menu daging lembu naik bukit yang saya teringin nak makan tu. Rupanya bukan. Diorang tak buat menu tu untuk pakej makan malam kami. Alaa, nampaknya tak dapat nak merasa menu tu. Takde rezeki nampaknya sebab cadangan esok selepas melawat Angkor Wat kami akan singgah makan di restoran lain sebelum meninggalkan Siem Reap. Takde rezeki nak buat camna. Takkan la nak order extra menu sebab makanan yang sedia dihidang pun dah cukup banyak. Nampaknya lembu tak jadi naik bukit hari ni. Huhu..

Menu malam ni. Ingat yang tu menu daging lembu naik bukit. Bukan rupanya. Huhu..
Walaupun tak dapat menu yang diidamkan, makanan yang dihidang malam ni amat menyelerakan. Setakat hari ni, inilah makanan yang paling sedap saya makan sepanjang trip ni. Memang terbaik tukang masak restoran ni. Saya rekomen tempat ni untuk tourist yang inginkan makanan halal di Siem Reap. Amat berbaloi harga yang dikenakan dengan makanan yang dihidang. Alhamdulillah semua berpuas hati. Makanan di atas tu untuk setiap famili. Bayangkan la betapa banyaknya. Nasib baik anak sulung saya kuat makan. Khidmat dia diperlukan untuk menghabiskan semua makanan yang ada. Hihi..

Jemput makan ye. Makanan amat sedap.. Recommended!..
Habis licin makanan yang dihidang. Hihi.. Kami janji dengan tuktuk untuk amik kami jam 7.00 malam. Ada lagi 30 minit sebelum tuktuk sampai. Kami berborak dengan tokey kedai. Dah lama restoran ni beroperasi di sini dan sememangnya sudah popular kepada pengunjung dari Malaysia. Slot Jalan-Jalan Cari Makan di TV3 pun pernah buat review tentang restoran ni. Kedai makan kalau dah mula tersebar di media sosial memang akan popular kerana makanan yang sedap. Cuma kena pastikan tahap kesedapan itu berkekalan supaya ramai lagi akan datang dan bagi review yang bagus. Begitulah kuatnya pengaruh media dan orang ramai terhadap sesuatu produk. Sekali dah kena viral pasal tak sedap atau serve lambat, jangan haraplah nak berjaya dalam perniagaan. Saya sendiri ada kedai makan dan selalu pastikan makanan yang dijual menepati kehendak pelanggan. Alhamdulilah dah 8 tahun kedai saya beroperasi. Walaupun perjalanan agak berliku di awalnya, namun dapat diatasi dengan baik. Biasalah orang melayu berniaga, mesti ada yang dengki tak sudah. Entah apa yang diorang dapat, saya pun tak pasti. Mungkin kepuasan diri dalam mengganggu periuk nasi orang lain. Huhu.. Moga dijauhkan perkara yang tak diingini.

Suasana cosy dan decoration amat menarik. Terbaik!..
Jam 6.45 petang tuktuk pun sampai. Makanan malam ni kena bayar ikut family masing-masing sebab duit collection dah kurang. Cukup untuk sekali makan je lagi sebab banyak dah digunakan untuk bayar benda lain. Huhu.. Kami mengucapkan terima kasih kepada tokey kedai kerana menghidangkan kami makanan yang amat sedap. Kami pasti akan rekomen Muslim Family Kitchen kepada kawan-kawan kami yang ingin datang ke Siem Reap. Moga perniagaan makin berjaya dan buka cawangan yang lain di sekitar Siem Reap supaya mudah tourist mencari lokasi makanan halal, insyaAllah. Ada rezeki kami ke sini lagi sudah pasti akan singgah makan di Muslim Family Kitchen. Harap dapat makan daging lembu naik bukit lepas ni. Hihi..

Bergambar kenangan dengan tokey kedai
Jam 6.50 petang kami dah berada di depan hotel. Cuaca dah mula gelap. Sekarang tiba masanya untuk aktiviti bebas. Ada yang nak naik ke bilik hotel untuk mandi dan berehat. Saya tak nak naik dulu sebab amat yakin jika dah mandi dan baring, confirm bangun esok pagi punya. Huhu.. Jadi lebih baik terus jalan-jalan di night market dan singgah di Hard Rock Cafe. Lepas dah habis ronda barulah naik ke bilik hotel dan berehat sampai esok pagi. Famili Wan, Pae dan Jay setuju nak join kami. Moga apa yang dicari di Siem Reap pada malam ni berjaya ditemui. Wallahu 'alam..

Salah satu night market di depan hotel

*KOS WAJIB UNTUK SEKELUARGA:
  - TA PROHM HOTEL         : RM134.30
  - ANGKOR WAT TICKET  : RM477.30
  - DINNER                          : RM103.20
  - JUMLAH                         : RM714.80

Monday 25 December 2017

JJCP VietCam: Day 03 (Part #1)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..


TARIKH:
5 OGOS 2017

LOKASI KEJADIAN:
@ MUKMINA HALAL FOOD RESTAURANT
@ STARBUCKS RESERVE
@ MLOP KHNUR REST AREA
@ PREY PROS REST AREA


Jam 5.15 kami dah bangun untuk solat Subuh. Ingatkan nak stay sampai pagi tapi disebabkan malam tadi tidur lambat, jadi secara tak sengaja saya tertidur semula. Hihi.. Jam 6.40 pagi baru bangun balik dan kejut anak-anak. Cuaca dah cerah di luar. Kami bersiap untuk aktiviti hari ni yang pasti memenatkan kerana perjalanan yang jauh. Huhu.. Saya dah set dengan driver untuk ambil kami jam 8.00 pagi di depan hotel. Cadangan mulanya pagi ni nak breakfast di restoran semalam kat belakang hotel. Tapi semalam masa ziarah ke masjid, kelihatan banyak pulak restoran halal kat situ. Jadi kami amik keputusan untuk breakfast di sana.

Pemandangan Tonle Sap River dari balkoni hotel
Kami kemas semua beg yang ada. Maklumlah bila bawa anak-anak, banyak beg yang kena dikemaskan. Diorang cuma tau kumbah je. Nak kejut mandi satu hal, lepas mandi nak pakai baju pun susah. Boleh layan tidur lagi. Huhu.. Kerahan tenaga di awal pagi harus dilakukan. Akhirnya jam 7.30 pagi semuanya telah kemas dan kami turun ke lobi menunggu bas tiba. Sampai di bawah, semua famili dah sedia menunggu. Kami check-out siap-siap. Rasanya tak nak naik ke bilik dah sebab tak breakfast di sini. Kalau breakfast di restoran semalam memang harus naik semula untuk buang apa yang patut. Hihi.. Hari ni bas sampai awal. Jam 7.45 pagi dah ada kat depan hotel. Driver berpakaian amat kemas hari ni. Patutlah, ada peneman dalam bas. Kelihatan sorang perempuan yang akan ikut kami ke Siem Reap. Dia boleh speaking, jadi senanglah saya nak maklum apa-apa kat driver nanti. Jangan kena bayar extra sudahlah sebab saya tak mintak pun guide tambahan. Huhu.. Saya tak tanya pun nama guide perempuan ni. Saya cuma mintak dia cakap kat driver yang kami nak ke area masjid semalam. Lega, tak perlu nak guna bahasa isyarat. Hihi.. Setelah semuanya dah ada dalam bas, tepat jam 8.00 pagi bas bergerak menuju ke area masjid. 

Jom naik bas

@ MUKMINA HALAL FOOD RESTAURANT

Dalam 10 minit perjalanan kami sampai di depan kawasan restoran halal yang terletak di pintu masuk masjid. Ada beberapa restoran halal di sini. Ikutlah famili masing-masing nak makan di mana. Yang penting jam 9.30 pagi kena berkumpul semula. Driver dan guide akan tunggu dalam bas di parking perkarangan masjid. Saya pilih untuk breakfast di Mukmina Halal Food Restaurant. Saya mintak wife order apa yang patut sebab saya dan geng lepak semalam nak naik tuktuk pergi ke Starbucks seperti yang dibincangkan. Daripada info yang saya cari semalam, ada satu Starbucks yang berdekatan dan dah bukak seawal 6.00 pagi. Harap betul lah info yang saya jumpa tu. Huhu..

Bus Route: From River Star Hotel to Tasnim Halal Restaurant
Tasnim Restaurant antara restoran halal terbesar kat sini
Saya pilih makan kat kedai ni
Nak mencari tuktuk bukan satu masalah besar di sini. Ramai je rider yang menunggu pelanggan kat pintu masuk masjid. Yang menjadi masalah adalah nak deal bayaran tuktuk untuk pergi dan balik semula. Kami bertanya pada sorang rider tuktuk. Kami tunjuk pada map di mana letaknya Starbucks. Kalau ikut jarak, tak sampai 4 km pun dari sini. Dia mintak USD10.00/return untuk satu tuktuk. Mak aihh, mahalnya. Kami cuba nego untuk dapatkan USD5.00/return. Dia tanya pada kawannya sebab kami nak guna 2 tuktuk. Kawannya pun macam berat hati nak setuju dengan harga kami. Taknak terima takde masalah. Kami pun jalan masuk ke dalam masjid menuju ke bas kami. Baik mintak bas yang hantar kami ke sana, takyah bayar pun. Belum sempat sampai kat bas, rider tadi datang dengan tuktuk dan setuju dengan harga kami. Ikutkan hati nak mintak USD3.00 je. Huhu.. Sebenarnya boleh je naik bas, tapi kami nak bagi anak-anak kami rasa pengalaman naik tuktuk. Lepas ni dah ke Siem Reap, langsung diorang tak merasa naik tuktuk kat Phnom Penh.

Tuktuk Route: From Tasnim Halal Restaurant to Starbucks Reserve
Suasana jalanraya di Phnom Penh penuh dengan motosikal cuma tak sebanyak di Ho Chi Minh City. Takut juga la kalau bawak motor kat sini. Main masuk simpang ikut suka je. Huhu.. Saya pernah tengok depan mata saya dua motor accident kat simpang berdekatan Ben Thanh Market. Tengah banyak motor pulak tu. Yang saya kagumnya dua-dua rider bangun dan teruskan perjalanan. Takde pun nak tolak motor ke tepi dan berbincang siapa yang salah. Huhu.. Mungkin mereka mengenali antara satu sama lain. Kat rumah nanti baru bincang. Hehe.. Dalam map nampak macam jalan lurus je ke Starbucks tapi rider tuktuk ni bawak masuk keluar simpang. Mungkin nak elak jalan jem kot. Mereka lebih mengetahui jalan shortcut di sini. Layankan aje. Huhu..

Melayan pemandangan bandar Phnom Penh dengan tuktuk

@ STARBUCKS RESERVE

Jam 8.35 pagi kami sampai di Starbucks. Tak pasti kenapa nama dia Starbucks Reserve. Nak kata nama kawasan ni Reserve macam tak logik. Huhu.. Tak kisahlah, janji dah bukak. Boleh la cari citymug untuk koleksi peribadi saya. Takkan la datang semata nak beli citymugs. Dah tentu nak rasa air caramel frappucino dari Phnom Penh. Saya pun order la satu dan kongsi minum ramai-ramai sebagai cukup syarat. Agak ramai juga pelanggan pagi ni. Nak lepak lama-lama pun tak boleh. Rider tuktuk pandang slack je dari luar. Diorang kena tunggu sebab kami belum bayar lagi. Hihi.. Jam 8.50 pagi kami bertolak balik ke masjid. Satu citymug from Phnom Penh telah menjadi milik saya.

This is Starbucks Reserve, Phnom Penh
Dalam perjalanan balik saya ternampak logo Hard Rock Cafe di satu bangunan dan tertulis Opening Soon. Aduhh, HRC bakal beroperasi di Phnom Penh la. Takde rezekilah nampaknya nak jadikan HRC Phnom Penh sebagai tambahan koleksi peribadi saya. Huhu.. Nak datang ke sini lagi macam tipis je kebarangkaliannya. Ini adalah HRC keempat yang saya terlepas. Lagi tiga lokasi HRC yang saya dah sampai tapi masih belum beroperasi waktu tu adalah di Busan (South Korea), Antwerp (Netherlands) dan Innsbruck (Austria). Nampaknya kena pesan kat kawan-kawan yang akan pergi ke tempat ni. Hihi..

4 HRC yang masih belum buka masa saya sampai
Jam 9.10 pagi kami sampai di Mukmina Halal Food Restaurant. Yang lain dah makan. Wife saya order nasi ayam dan air teh o ais untuk saya. Rasa nasi ayam tak seperti yang dilihat. Huhu.. Terpaksa habiskan jugak memandangkan lepas ni perjalanan agak jauh. Nampak jelas makanan kat sini tak sesuai dengan anak tekak saya. Bila tanya yang lain, ada yang sependapat dengan saya dan ada juga yang makan hingga menjilat jari. Hihi.. Tekak masing-masing. Sama je dengan makanan di Malaysia. Walaupun tekak melayu belum tentu boleh makan budu dan cincaluk. Air teh o ais pun khas dibuat untuk kesihatan. Sama ada letak sikit atau lupa nak campur gula dalam air tu. Huhu..

Nampak macam sedap kan? Hurmmm..
Berborak sambil menunggu bas sampai
Tepat jam 9.30 pagi, bas sampai di depan restoran. Setelah semuanya naik ke dalam bas, maka perjalanan jauh kami pun bermula menuju ke Siem Reap. Selamat tinggal Phnom Penh. Moga berjumpa lagi untuk tambah koleksi HRC. Huhu.. Saya mintak guide perempuan tu bagitau driver untuk berhenti dalam sejam dua perjalanan untuk kami ke tandas dan hal-hal lain. Nak makan dah tentu takde restoran halal. Setakat beli air boleh la kot. Alangkah bosannya bila duduk lama dalam bas tanpa mendengar lagu atau layan movie. Speaker yang ada tu buat display je lah. Huhu.. Nak dengar lagu kat phone tak boleh sebab saya memang tak pernah langsung simpan satu lagu dalam phone. Ringtone je yang ada. Hihi.. Nampaknya terpaksa layan pemandangan kampung di sepanjang perjalanan. Itu je lah yang boleh dibuat dalam perjalanan yang dijangka memakan masa selama 5 jam ni.

Semua dah ready? Lets jom to Siem Reap..
First time berselfie dengan En. Khai

@ MLOP KHNUR REST AREA

Hampir sejam perjalanan, saya minta driver untuk berhenti sebab ada yang nak ke tandas. Lama pulak driver ni cari tempat berhenti. Faham ke tak ni. Huhu.. Akhirnya jam 10.40 pagi kami sampai di Mlop Khnur Rest Area. Ada satu restoran dan kedai di sini. Sambil menunggu ahli menguruskan hal masing-masing, saya melihat kawasan sekeliling. Ada pulak mainan yang dijual kat sini. Nasib baik anak saya tak berapa kisah sangat. Hehe.. Selain dari makanan ringan, buah-buahan pun ada dijual. Makanan eksotik pun ada. Tak tau apa sebenarnya makanan eksotik yang dijual tu. Huhu.. Nak browse internet pun tak boleh walaupun ada tertulis password wifi di dinding kedai. Ada makanan ringan yang boleh dibeli sebab ada logo halal. Anak-anak pun tak meminta, jadi tak perlu la beli. Bukan tak berminat tapi sebab dah banyak stok makanan yang kami bawak. Confirm cukup sampai balik nanti. Hihi..

Bus Route: From Tasnim Halal Restaurant to Mlop Khnur Rest Area
Makanan ringan ada, buah-buahan pun ada. Besarnya keropok udang tu..
Apa tu? Boleh la cuba rasa sikit untuk pengesahan. Kalau teringin la. Hihi..
Amik udara segar dulu. Diorang berdua tu memang ada masalah kira duit KHR. Hihi..
Jam 11.20 pagi kami teruskan perjalanan. Walaupun nama jalan yang kami guna ialah National Highway 6, tapi jangan sangka ianya macam Highway PLUS kita yang ada 2-3 lane tu. Nama je highway tapi sama macam jalan kampung di Malaysia cuma jalannya di sini agak lurus dan berdebu. Lebih kurang macam jalanraya dari Kuantan nak ke Pekan, jalan agak lebar walaupun satu lane je. Huhu.. Kami dihidangkan dengan pemandangan kampung di sepanjang perjalanan dan sekali sekala masuk kawasan pekan yang tiada bangunan tinggi. Sampai di kawasan pekan Kampong Thom, guide perempuan tu turun. Laa, ingatkan dia jadi guide kami sampai ke Siem Reap, rupanya dia tumpang nak balik kampung. Entah bayar ke tidak tambang bas ye. Pandai company bas sewa ni cari duit lebih. Huhu.. Bagus juga lah dia turun. Tak selesa saya nak duduk depan bila dia ada. Jasamu dikenang walaupun hanya bantu untuk bagitau driver berhenti kat rest area tadi. Jadilah daripada tumpang sesaja je kan. Hihi..

Beginilah rupa National Highway di Cambodia
Duduk belakang lagi selesa buat masa ni. Hihi..
Baru dapat wefie bila guide perempuan tu dah turun. Hehe..

@ PREY PROS REST AREA

Lepas sejam perjalanan, anak-anak mintak untuk ke tandas. Nasib baik driver tu faham bila saya bagitau supaya berhenti di rest area yang berhampiran. Dia angguk tanda faham la kot. Huhu.. Jam 12.30 tengahari kami singgah di Prey Pros Rest Area. Tempat ni lagi besar dari rest area tadi. Mungkin ia memang proper rest area untuk pengguna highway ni. Sebesar mana pun tetap tak dapat nak makan nasi putih dengan ayam masak kicap jika ada. Setakat guna tandas dan beli air kopi atau buah je yang boleh. Hihi..

Bus Route: From Mlop Khnur Rest Area to Prey Pros Rest Area
Rehat sebentar dengan kopi Cambodia. Hehe..
Duduk lama kat sini pun takde apa yang boleh dimakan. Lagipun kena kejar masa untuk sampai di Siem Reap. Entrance ticket ke Angkor Wat kena beli hari ni juga sebab esok awal pagi dah nak masuk. Saya cek dalam internet, tiket kena beli kat kaunter di Siem Reap. Kalau beli hari ni sebelum jam 5.30 petang, tiket valid untuk masuk petang ni dan juga sepanjang hari esok. Kalau sempat boleh la merasa pemandangan matahari terbenam hari ni. Angkor Wat tak buka 24 jam. Tourist hanya boleh masuk seawal jam 5.00 pagi dan keluar selewatnya jam 7.00 malam. Tengok pada keadaan hari ni nampaknya mungkin sempat untuk beli tiket je kot melainkan kami terus ke sana dan kemudian baru check-in hotel. Apa-apa pun tengok pukul berapa kami akan sampai di Siem Reap. Rasanya dah lebih separuh perjalanan kami dari Phnom Penh. InsyaAllah boleh sampai awal di Siem Reap.

Kalau ni drivernya senang sikit nak berkomunikasi. Hehe..
Tepat jam 1.00 petang kami sambung perjalanan ke Siem Reap. Saya melihat keadaan dan rekabentuk rumah kampung di sepanjang perjalanan. Kebanyakan rumah di sini didirikan tiang yang tinggi. Mungkin tempat ni adalah kawasan banjir kot. Saya tak dapat bayangkan jika kawasan kat sini memang pernah berlaku banjir. Jadi macam lautan rasanya sebab kawasan sekeliling lapang dan penuh dengan sawah padi. Huhu.. Nak tanya kat driver dah tentu takkan jumpa jawapan pasal banjir kat sini. Saya andaikan je memandangkan rumah kat sini semuanya dibina dengan tiang yang tinggi. Bosan dengan pemandangan yang sama sepanjang perjalanan, saya pun tidur sekejap untuk recharge tenaga bagi aktiviti petang dan malam ni di Siem Reap. Bas tak pasang lagu, handphone pulak memang tak pernah save lagu mp3. Anak-anak pun dah mula senyap kat belakang. Masing-masing dah mula letih la tu. Hehe.. Adalah lebih baik saya tidur untuk simpan tenaga.

Melayan pemandangan yang menghijau sampai tertidur
Jam 2.30 petang saya dikejutkan oleh wife. Bas dah masuk ke kawasan Siem Reap. Kalau di Phnom Penh bandarnya banyak bangunan yang tinggi dan moden, lain pula keadaannya di Siem Reap. Bangunan di sini kebanyakannya hanya rumah kedai tiga tingkat. Debu jangan cakap la. Dah macam jerebu rupa dia. Patutlah ramai orang pakai face mask kat sini. Kami je yang kuat antibodi tak perlukan face mask. Nanti bila tak tahan sesak nafas kena cari juga face mask kat kedai runcit. Hihi.. Yang dewasa mungkin takde masalah. Paling risau bila anak-anak yang terkena. Harap janganlah ada yang mula menunjukkan tanda sakit. Nanti susah nak berjalan kat Siem Riep ni. Huhu.. Kesemua anak saya selalu kena sesak nafas masa kecik. Bila tengok dada dah mula berlekuk bila bernafas, terus kena hantar ke klinik. Jangan sampai muka dah jadi biru sudahlah. Huhu..

Dah sampai Siem Reap. Ramai juga penunggang motosikal kat sini
Bas masuk ke beberapa simpang menuju ke hotel kami. Harap driver ni tau kat mana lokasi Ta Prohm Hotel. Saya siap tunjuk gambar kat dia pagi tadi bagaimana rupa hotel. Jangan dia bawak terus ke Ta Prohm Temple sudah lah. Huhu.. Anak-anak dah mula terjaga sebab bas banyak kali berhenti di persimpangan dan lorong yang sempit. Saya nampak logo Hard Rock Cafe di tepi jalan, menandakan kami hampir sampai di destinasi. Ta Prohm Hotel dekat je dengan Hard Rock Cafe Angkor. Nampaknya driver tau mana letaknya hotel kami. Hehe.. Cuma yang tak tau lagi adalah keadaan hotel kami. Harap selesalah walaupun hanya sehari bermalam di sini. Wallahu 'alam..


*KOS WAJIB UNTUK SEKELUARGA:
  - BREAKFAST    : RM68.80
  - TUKTUK           : RM21.50
  - STARBUCKS   : RM17.20
  - SNACKS          : RM25.80
  - JUMLAH          : RM133.30