Monday 7 June 2021

JJCP UK V.2: Day 10 (Part #3)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..


HARI/TARIKH:
@ JUMAAT, 6 DISEMBER 2019

LOKASI KEJADIAN:
@ CHAR CHAR CHICKEN
@ THE IRON BRIDGE
@ TRAVELODGE DUDLEY TOWN CENTRE


Ketika melalui sempadan Wales-England, cuaca sudah pun gelap. Anak-anak masih tidur nyenyak di belakang. Indicator di meter kereta saling bertukar antara 'Reduce Oil Level' dan 'Refill AdBlue'. Nasib baik jugaklah takde bunyi amaran yang keluar. Huhu.. Dari luaran nampak saya bersahaja, tapi dalam hati Tuhan je yang tahun betapa takutnya saya kalau terjadi apa-apa kat kereta ni. Keep it cool ok. Huhuu.. Wife saya kata dari info yang dia cari, indicator akan keluar buat pertama kali jika level AdBlue dah tinggal separuh dalam tangki. Bila tinggal suku akan keluar lagi indicator yang lain. Kira selamat lagilah sebab baru pertama kali keluar. Harap sempat bertahan hingga kami return kereta ni. Tak payah beli AdBlue. Hihi.. Hampir 3 jam memandu dari siang hingga bertukar ke malam, akhirnya jam 5.30 petang kami sudah sampai di bandar Telford. Kami teruskan perjalanan mengikut arahan pada Here Maps menuju ke tempat makan. Harap-harap buka lah kedai makan ni.



@ CHAR CHAR CHICKEN

Jam 5.40 petang kami sampai di tempat yang amat ditunggu oleh semua. Masing-masing sudah kelaparan tahap maksima. Hehe.. Daripada simpang masuk kelihatan cahaya terang-benderang di luar restoran menandakan ianya masih beroperasi. Alhamdulillah, tak perlu lah saya nak guna option kedua mencari restoran halal yang lain. Selalunya dalam penyediaan itinerary, saya akan sediakan 2 lokasi restoran, in case restoran pertama yang dituju tutup. Masa trip ke Western Europe pada 2015, saya terlupa nak cari. Hari kejadian memang ada restoran yang tutup. Terpaksalah berhenti kejap dan browse restoran halal yang lain. Selalunya kalau dah jumpa satu restoran halal, sebarisnya mesti ada restoran halal yang lain. Cuma di luar bandar atau kawasan kampung hanya ada satu-satunya restoran halal. Kalau tutup terpaksalah cari di tempat lain.

Driving route: From Bangor to Char Char Chicken

Kawasan parking di depan restoran tak banyak. Nasib baik kebetulan kami lalu ada sebuah kereta baru keluar dari parking. Anak-anak macam tau je dah sampai tempat makan. Baru nak parking kedengaran suara masing-masing. Baguslah diorang bangun sendiri. Agak mencabar sebenarnya nak kejut diorang ni. Hihi.. Parking di sini free selepas jam 5.00 petang. Kami keluar dari kereta dan berjalan menuju ke restoran. Tiada pelanggan dalam restoran ni. Bukan bermakna bisnes tak maju, tapi di UK dah lama amalkan order secara online, delivery dan take away. Sebab tu kebanyakan saiz restoran kat sini tak besar dan tempat untuk pelanggan pun sikit. Kedai makan yang hanya ada kaunter je untuk orang ambil pesanan pun banyak. Di Malaysia takde masalah tentang ruang sebab banyak kedai makan terbuka di tepi jalan. Restoran dalam bangunan rumah kedai pun boleh letak meja di sepanjang kaki lima. Hihi..

Jom makan!. Perut dah lama berkeroncong..

Kami duduk di dua meja bersebelahan dan melihat senarai menu. Ada menu ayam panggang, ayam goreng, kebab dan pizza. Char kueytiaw tak dijual walaupun nama restoran ni ada Char. Hahah.. Saya ke kaunter untuk membuat pesanan. Mula-mula cadangnya nak makan pizza sebab nampak deal yang menarik untuk family. Tapi disebabkan bau ayam panggang menusuk ke hidung sejak dari kami masuk ke dalam restoran, saya pun tukar fikiran. Saya order full peri-peri chicken with salad and sauce yang berharga GBP8.50 dan 3-pieces southern fried chicken and chips yang berharga GBP4.00. Untuk air saya order Coke dan 7-Up yang berharga GBP1.80. Cukup la 2 tin air gas untuk Eimran dan Eiman. Air mineral yang kami bawa masih banyak lagi.

Bila lapar rasa macam nak order semuanya. Kawal nafsu ye. Hihi..

Sementera menunggu pesanan kami siap, ada beberapa rider masuk ke dalam restoran dan mengambil makanan yang dipesan. Ada juga pelanggan yang datang sendiri selepas buat pesanan secara online. Sebab tu saya nampak pekerja di dapur tak berhenti memasak walaupun takde pelanggan yang dine-in. Di Malaysia, FoodPanda sudah bertapak sejak 2012 namun ramai yang masih tak menggunakannya. Kemudian pada 2018 Grab pula memperkenalkan GrabFood sebagai rival utama. Sekarang dah banyak syarikat penghantar makanan di Malaysia. Itu menandakan sistem ini lebih efisien dan memudahkan rakyat. Pelanggan tak perlu bersusah payah keluar rumah. Peniaga pun boleh jimat banyak. Tak perlu nak sewa kedai besar yang mahal dan sediakan tempat duduk. Cukup hanya kaunter untuk mengambil pesanan. Tapi rakyat Malaysia suka lepak berborak dengan kawan-kawan. Dapat teh tarik segelas boleh tahan berjam-jam. Tambah waktu malam, memang syok berborak. Sama la dengan saya. Hihi..

Kami je pelanggan yang dine-in

15 minit menunggu akhirnya pesanan kami sampai di meja. Makanan disuap ke dalam mulut dengan penuh penghayatan. Suasana senyap seketika. Sedapnya ayam peri-peri ni. Alhamdulillah, dapat juga perut kami terisi hari ni dengan makanan yang berat. Habis licin semuanya. Saya bertanya anak-anak jika nak tambah order lagi. Soalan dituju khas buat Eimran sebab dia yang paling kuat makan. Anak-anak yang lain memang jenis tak makan banyak. Bila Eimran kata dah cukup, bermakna semua anak-anak sudah kekenyangan. Hehe..

Jom makan ayam peri-peri ala Nando's. Sedapp..

Selesai makan, jam 6.30 petang kami keluar dari restoran dengan penuh kegembiraan. Hihi.. Sebelum meneruskan perjalanan, ada pula yang mengajak singgah ke satu kedai halal yang terletak sebaris dengan restoran. Ayah dan Ami nak kena pau la ni. Hahah.. Takpelah, diorang boleh tahan berlapar seharian tanpa buat hal pun saya dah cukup kagum. Kita kasi reward sikit lah untuk diorang. Nama kedai ni Zees Halal dan menjual barang-barang harian seperti kedai runcit. Saya suka tengok harga ikan dan daging mentah di sini. Siap buat kira-kira kalau saya duduk di sini berapa bajet untuk makan sekeluarga. Dah tentu makanan di Malaysia jauh lebih murah berbanding di sini. Baru kita rasa bersyukur menjadi rakyat Malaysia. Tengah berkira-kira, anak-anak pun dah pilih reward masing-masing. Lepas bayar, kami pun segera keluar dari kedai sebelum ada yang buat penambahan. Hehe..

Teringat beli daging mentah masa trip ke Scandinavia 2018

Jam 6.45 petang kami sambung perjalanan menuju ke destinasi seterusnya. Walaupun dah malam, tapi masih awal lagi untuk terus ke travelodge. Saya ambil keputusan untuk singgah sebentar di satu lokasi sejarah yang terletak di Telford iaitu The Ironbridge. Harap-harap teranglah tempat tu bila kami sampai nanti. Saya teringin ke sana kerana pernah terbaca satu iklan pakej pelancongan ke UK. Harga pakej trip 9 hari untuk seorang boleh tahan juga mahalnya. Antara tentatif programnya adalah melawat The Ironbridge. Jadi saya nak tau juga apa specialnya tempat ni sampaikan agensi travel tu masukkan dalam itinerary.

Speedtrap.. Hati-hati. Kat kampung pun ada benda ni..


@ THE IRONBRIDGE

Dari Char Char Chicken, perjalanan ke destinasi berikutnya hanya mengambil masa 15 minit. Tepat jam 7.00 malam kami dah sampai di The Ironbridge. Kelihatan lampu yang menyinari jambatan yang bersejarah ini. Saya berhenti sekejap di bahu jalan. Hanya saya, Fa dan abang Fikri je keluar dari kereta untuk mengambil gambar. Walaupun tak dapat nak berjalan di atas jambatan, dapat bergambar dari tepi pun cukuplah buat syarat dah sampai di sini.  The Ironbridge telah dibina sejak tahun 1779 dan sehingga sekarang ia telah menjadi tarikan pelancong yang datang ke sini. Jambatan ini dikatakan sebagai pencetus kepada revolusi perindustrian di UK. UNESCO juga telah mengiktiraf The Ironbridge sebagai Tapak Warisan Dunia pada tahun 1987.

Driving route: From Char Char Chicken to The Ironbridge

Selain daripada jambatan ini yang menjadi tarikan utama, banyak lagi tempat menarik yang boleh dilawati di sini seperti tollhouse, muzium, tunnel dan merasai suasana seperti di bandar Victoria. Tapi nak masuk ke semua tempat ni kenalah bayar kecuali Museum of the Gorge. Mungkin pakej pelancongan yang saya baca tu termasuk semua attraction kat sini kot. Sebab tu mahal. Tak semua orang suka sangat masuk muzium. Tapi bila dah pilih pakej tersebut, kenalah ikut semua itinerary yang disediakan. Itulah lumrah kalau join trip beramai-ramai dengan agensi travel. Takkan la diorang nak ikut masing-masing punya intinerary kan. Jadi adalah lebih baik travel sendiri je. Boleh susun mana-mana destinasi yang ingin dituju. Paling best boleh set masa sendiri. Hihi..

Inilah dia The Ironbridge di waktu malam

15 minit berada di sini sudah cukup memberikan pengalaman melihat jambatan besi yang bersejarah ni di depan mata. Jam 7.15 malam kami teruskan perjalanan menuju ke destinasi terakhir untuk hari ni. Badan pun dah letih sangat. Jauh juga perjalanan kami pada hari ni. Anak-anak kembali senyap di belakang. Senang betul diorang tidur dalam kereta. Dah malam, nak tengok pemandangan luar pun tak boleh. Cuaca pulak sejuk, memang sedap la tidur. Tapi kat travelodge nanti susah pulak nak tidur. Macam-macam benda yang dimintanya. Nasib baik la travelodge takde swimming pool. Kalau tak dah lama diorang request nak mandi kolam. Kolam bathtub dalam bilik pun jadilah. Hehe..

Suasana malam di The Ironbridge


@ TRAVELODGE DUDLEY TOWN CENTRE

Jam 8.00 malam kami memasuki bandar Dudley. 10 minit kemudian kami sampai di Travelodge Dudley Town Centre. Bangunan travelodge ni lebih kurang sama dengan di Rhyl Seafront, bermakna ianya masih baru beroperasi. Kami parking di sebelah bangunan. Sementara anak-anak bantu keluarkan beg, saya masuk ke dalam lobi untuk urusan check-in. Kami dapat bilik bernombor 117 dan 119. Takde masalah bilik di tingkat 1 kerana travelodge ni ada lif. Hihi.. Selesai urusan check-in, kami naik ke tingkat 1.

Driving route: From The Ironbridge to Travelodge Dudley Town Centre

Travelodge Dudley Town Centre @ GBP26.00/night

Alhamdulillah, kami dapat bilik seperti semalam, ada satu katil queen dan dua katil single. Selesa sikit anak-anak dapat tidur atas katil. Driver dah tentu conquer satu katil single. Kadang-kadang bila tersedar dari tidur, si kecik tu ada menyelit sekali. Hihi.. Masing-masing bersihkan diri dan solat jamak. Stokin seperti biasa dijemur di besi heater. Jangan risau, tiada bau kurang menyenangkan keluar dari heater tu. Hehe.. Esok pagi pasti kering semua stokin tu. Seperti malam-malam sebelumnya, anak-anak mintak untuk kurangkan lagi ruang dalam beg jajan. Sukahati korang la. Dah macam rutin harian pulak kena makan malam ye. Hahah..

Bilik sama seperti di Travelodge Rhyl Seafront semalam

Mee segera yang masih banyak dalam beg menjadi santapan malam kami. Tiba-tiba pintu bilik kami diketuk. Ingatkan staff travelodge yang datang. Risau jugak kalau maggi kari kami ni baunya sampai keluar dari bilik. Rupanya Fa datang untuk 'pinjam' Eirfan sekejap. Ada benda yang dia nak tunjuk kat Eirfan. Abang Fikri ada beli kereta mainan. Dia nak bagi Eirfan main sekejap sebab kesian budak ni menangis masa kat kampung nama panjang tadi walaupun dah belikan satu untuk dia. Campur dengan kereta yang beli kat carboot haritu pun tak cukup lagi. Kat rumah memang dah penuh satu bakul dengan mainan kereta dia. Selalu juga terpijak sebab berterabur atas lantai. Huhu.. Kita layankan aje anak bongsu kesayangan ni. Nanti bila dah mula membesar dia pasti taknak kereta mainan dah. Jangan halang minat dia masa kecil. Balik Malaysia nanti ayah belikan kereta lagi ye. Kat sini mahal yang amat. Huhu..

Kisah budak dengan keretanya..

Kami melayan anak-anak tengok cerita kartun kat tv sementara menunggu Eirfan. Jam 10.00 malam Fa hantar Eirfan balik. Seronok dia dapat main kereta abang Fikri. Berulang kali dia cerita kat saya pasal kereta tu. Lepas tu dia mintak saya belikan. Baiklah anakku, balik nanti ayah beli ya. Kat Malaysia boleh tahan sikit harganya. Kat sini kalau nak beli banyak boleh juga, tapi kat carboot lah. Esok kan hari Sabtu. In shaa Allah kami akan ke carboot sebab dah check dalam facebook, carboot buka esok jika cuaca mengizinkan. Jam 10.30 malam saya dah mula tarik selimut. Nak recover balik tenaga yang banyak digunakan untuk aktiviti hari ni. Harapnya sinar matahari memancar di esok hari..

Wallahu 'alam..






Sunday 6 June 2021

JJCP UK V.2: Day 10 (Part #2)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..


HARI/TARIKH:
@ JUMAAT, 6 DISEMBER 2019

LOKASI KEJADIAN:
@ LLANFAIR.....
@ JAMES PRINGLE WEAVERS
@ BANGOR ISLAMIC CENTRE
@ SNOWDONIA


Meninggalkan Conwy, perjalanan kami seterusnya menuju ke lokasi yang agak istimewa untuk dijadikan kenangan lain daripada yang lain. Seperti sebelum ni, memang saya akan cari mana-mana tempat yang pelik untuk dilawati. Signboard, monumen, replika dan macam-macam lagi dah saya temui. Tapi tempat yang kami nak terjah lepas ni adalah yang paling unik sekali sebab bukannya sekecil signboard, tapi sebesar kawasan. Hihi..

Ceria dia dapat jalan-jalan..

Sedang seronok memandu dan melihat pemandangan di sepanjang perjalanan, tiba-tiba terpandang indicator baru keluar kat meter kereta. Kali ni saya kenal betul dengan indicator tu. Apa lagi kalau bukan amaran tentang AdBlue. Huhu.. Akhirnya kena jugak dengan AdBlue ni ye. Wife saya seperti dah sedia maklum cari maklumat tentang AdBlue bagi kereta Mercedes. Dulu kami sewa kereta Volkswagen. Mungkin lain sikit info AdBlue mengikut jenama kereta sebab kapasiti tangki yang berbeza. Hmmm, nak kena beli AdBlue jugak ke ni. Macam tau je tadi saya singgah stesen minyak tengok harga AdBlue. Huhu..

Road trip: Conwy to Llanfair

Alaaa, dia keluar masalah lain pulak..

Jam 12.20 tengahari kami dah sampai di Pont Britannia Bridge, salah satu daripada dua jambatan yang menghubungkan Anglesey Island iaitu kepulauan yang terbesar di England dan Wales. Kepulauan ini terletak di barat laut Wales dan banyak meninggalkan kesan sejarah lama. Kami tak bercadang untuk ke pusat bandarnya di bahagian tengah. Kami cuma nak singgah di satu kampung yang berhampiran je. Lepas dari jambatan, kami susur keluar dari jalan utama dan terus sampai di sempadan kampung yang dituju. Saya berhenti kejap di tepi jalan untuk ambil gambar kenangan nama kampung ni. Apa yang uniknya tempat ni sampai saya teringin sangat untuk datang ke sini?

Kampung susah nak eja nih. Hihi..


@ LLANFAIR.....

Susahnya nak sebut nama tempat ni. Bukan setakat sebut, nak taip nama panjang dia pun malas. Hihi.. Agak-agak boleh ingat tak nama tempat ni? Saya suruh anak-anak eja dan sebut dengan betul. Masing-masing keluar slang berlainan. Di Wales memang banyak nama yang pelik sebab zaman dulu diorang ada bahasa Wales tersendiri. Tapi makin lama bahasa diorang makin dilupakan. Jadi untuk mengelakkan bahasa Wales hilang begitu sahaja ditelan zaman, kerajaan ambil inisiatif untuk meletakkan bahasa Wales di setiap signboard dan mana-mana tulisan. Barulah semua orang boleh baca dan menghayatinya walaupun lain macam ejaannya. Hihi.. Baru panjang ni anak-anak dah susah nak sebut. Nak baca nama sebenar tempat ni? Jom kita masuk kampung ni..

Driving route: From Conwy to Llanfair.....

Road trip: Entering Llanfair.....

Kami teruskan perjalanan memasuki jalan kampung hingga sampai di satu kawasan parking yang agak luas di stesen keretapi. Kelihatan ada satu tempat shopping yang agak famous di sini. Boleh la singgah kejap lagi untuk mencari kenangan tentang kampung ni. Masa penyediaan itinerary, saya dah kumpul sedikit maklumat tentang tempat ni. Mestilah kena tahu di mana nak parking, bergambar dan beli souvenir. Takdelah kelam kabut bila di hari kejadian. Kami bersiap-siap untuk turun dari kereta. Anak-anak bertanya apa yang ada kat kampung ni. Saya jawab nak ambil gambar train station. Hehe..

Fuhh.. Gambar bawah tu cara nak sebut nama tempat ni

Gila betul lah nama tempat ni. Hihi.. Memang unik sungguh la. Siapalah agaknya yang beri nama sepanjang ni ye. Saya check dalam youtube, ada lagu khas untuk sebut nama ni. Ada maknanya nama yang panjang ni. Bila dikira semuanya ada 58 huruf dan menjadi nama tempat yang terpanjang di Eropah. Tetapi di seluruh dunia ia berada di tempat kedua. Nama tempat yang paling panjang di dunia adalah Taumata Hill yang terletak di New Zealand dan mempunyai 85 huruf. Saya belum pernah sampai lagi ke New Zealand. Andai kata ada rezeki ke sana, sudah tentu Taumata Hill menjadi lokasi utama untuk disinggah. Hehe..

Jenuh nak buat signboard panjang macam ni. Hihi..


@ JAMES PRINGLE WEAVERS

Masing-masing tersenyum bila cuba baca nama tempat ni. Terkumat-kamit mulut membacanya. Bunyi yang keluar pun pelik. Hahah.. Selesai bergambar di stesen, kami berjalan menuju ke tempat shopping yang terletak di hujung parking. Nama tempat shopping ni James Pringle Weavers, tapi beliau bukan pengasas keropok kentang popular Pringle's yang saiznya makin mengecil tu ye. Hihi.. Dari luar dah boleh agak kemeriahan barangan yang dijual kat dalam tu. Eirfan dah mula teruja dan tarik tangan wife saya. Ada sesuatu yang memanggil dia kat dalam tu. Hihi..

Bawah tu maksud nama tempat yang panjang ni.

Kemeriahan yang dijangka semasa di luar menjadi kenyataan bila masuk ke dalam. Dah macam mini shopping complex je kedai ni. Cadang nak cari souvenir, terpaksalah cuci mata barang yang lain. Pinggan Portmeirion tetap ada juga. Sudah tentu menarik perhatian wife saya. Mana dia nak tengok fridge magnet bila benda faveret dah ada depan mata. Agaknya kalau duduk kat kilang portmeirion di Stoke-on-Trent tu 2 hari berturut-turut pun tak cukup rasanya. Huhu.. Tapi bila melihatkan harga lepas diskaun yang diberi dan dibandingkan dengan harga yang orang jual kat Malaysia memang jauh lebih murah. Janji wife saya happy..

Rambang mata duduk dalam tempat ni

Anak-anak semuanya ikut haluan sendiri mengikut minat masing-masing. Eirfan dah tentu seronok melihat macam-macam jenis kereta yang dijual. Elysha ada kat tempat teddy bear. Eiman pulak kat tempat jual candy timbang. Cuma Eimran je tak kemana, menemani Eirfan yang tengah syok mengeledah mainan atas rak. Minatnya takde kat sini, sebab tu nampak tak bermaya je. Kedai macam ni mana ada jual kasut Adidas atau Nike. Sudah-sudah la tu Eimran, jangan nak lesu sangat lah. Dah dapat 2 pasang kasut, takkan la nak beli lagi. Nak lawan bilangan kasut Ami kat rumah ke? Hehe..

Sorang tengok candy. Sorang lagi jadi staff kat kedai ni..

Banyak sungguh barang souvenir kat sini, sampai tak tahu nak pilih mana satu. Semuanya nampak cantik untuk dibawa pulang sebagai kenangan. Ini jelah yang saya suka memilih. Saya tak minat sangat nak beli kasut dan pakaian sebab saya tau nanti mesti jarang pakai kasut sampai rosak tapaknya. Akhirnya kasut tu bertukar tuan kepada Eimran. Misi pakaian saya kat UK ni satu je sebenarnya, iaitu track bottom yang dijual kat Primark. Itu memang saya akan borong setiap warna yang ada. Sebabnya masa 2012 saya beli 2 helai, sampai sekarang masih pakai lagi. Sedap sungguh kainnya dan paling penting murah harganya. Hihi..

Aduhai.. Banyaknya pilihan souvenir kat sini

Selesai memilih souvenir, saya tunggu di luar sementara yang lain masih lagi mencuci mata. Saya bawak Eirfan keluar sekali sebab dia dah mula hilang kawalan di dalam tadi. Boleh dia nak borong semua mainan kereta tu. Satu cukup la sayang. Kalau beli semua, nanti budak lain yang datang sini nak beli apa?  Kongsikanlah kegembiraan bersama kanak-kanak yang lain. Hihi.. Yang lain kat dalam ni tak tengok jam kot. Saya maklum dalam group whatsapp lagi 15 minit kita kena bergerak ke destinasi seterusnya. Harapnya diorang bacalah. Bila dah syok mencuci mata selalunya bunyi alarm pun buat tak kisah. Hehe..

Kena bawak keluar untuk tenangkan keadaan. Hehe..

Setelah semuanya selesai dengan urusan masing-masing dalam kedai, tepat jam 1.30 petang kami meninggalkan Llanfairpwllgwyngyllgogerychwyrndrobwllllantysiliogogogoch (fuhhh.. azabnya menaip) dengan satu kenangan membaca dan mengeja yang takkan dilupakan. Hihi.. Kami keluar dari kepulauan Anglesey mengikut jambatan yang satu lagi dinamakan sempena sungai yang mengalir dibawahnya dan memisahkan Anglesey dengan tanah besar Wales iaitu Menai Suspension Bridge. Jambatan gantung yang siap dibina pada tahun 1826 ini adalah antara mercu tanda utama di sini dan mempunyai kesan sejarahnya tersendiri.

Menai Suspension Bridge

Selepas melintasi Menai Suspension Bridge, kami sampai di satu pekan kecil yang bernama Bangor. Saya memilih tempat ni kerana daripada pencarian tempat solat yang berada di kawasan sekitar, saya hanya jumpa satu je iaitu di Bangor. Bila dah jumpa masjid, maka kedai makan halal juga saya jumpa di kawasan berhampiran. Jam 1.50 petang kami sampai di depan masjid yang terletak di satu lorong yang mempunyai beberapa ruang parking yang dah penuh. Tak berani saya nak parking kat bahu jalan yang takde lot parking. Keluar masjid nanti ada pulak kertas kat cermin kereta. Huhu.. Saya pusing di kawasan sekitar dan banyak lorong sempit yang saya lalu. Ada satu parking yang saya jumpa tapi agak jauh nak berjalan ke masjid. Saya berhenti dan check dalam google map. Rupanya di bawah masjid ada supermarket Asda yang mempunyai parking luas. Nampaknya ini option yang paling sesuai daripada kena menapak jauh. Saya terus set map menuju ke parking di Asda.


Driving route: From Llanfair..... to Bangor


@ BANGOR ISLAMIC CENTRE

Kami sampai di parking Asda tepat jam 2.00 petang. Kebetulan ada satu parking kosong betul-betul di laluan naik ke masjid. Wife tunggu di kereta sementara saya, anak-anak dan abang Fikri naik ke atas. Takut juga nak biarkan kereta takde orang. Manalah tau kalau Asda ada pasang kamera untuk lihat orang yang parking kat sini tapi bukan nak ke supermarket. Huhuu.. Semasa saya ikut laluan menuju ke masjid, kelihatan ramai jemaah yang baru keluar dari masjid setelah menunaikan solat Jumaat. Ramai juga orang Islam kat sini. Patutlah ada masjid dan kedai halal. Kami bertanyakan pada jemaah yang sedang berborak di luar masjid di mana pintu masuk ke ruang solat. Pintu utama adalah pejabat Islamic Centre. Ruang solat kena melalui pintu di lorong sebelah katanya. Kami masuk ke dalam dan terus jumpa tempat letak kasut dan pintu ke tempat wudhuk.

Pintu masuk di lorong, ruang kasut dan tempat wudhuk

Selesai berwudhuk, kami naik tangga menuju ke ruang solat utama yang boleh memuatkan seramai 100+ jemaah pada satu masa. Ada beberapa jemaah sedang mengaji di satu sudut. Selesai solat jamak, kami turun semula ke bawah dan bersiap-siap untuk keluar. Saya ditegur oleh seorang jemaah. Dia ingatkan kami baru sampai sedangkan kami nak bersiap keluar. Dia kata ruang masjid di sini dibuka sekejap je ketika masuk waktu. Selepas ni akan ditutup dan dibuka semula beberapa minit sebelum masuk waktu berikutnya. 

Ruang solat utama amat selesa

Begitulah sebenarnya keadaan masjid atau surau yang terletak di luar bandar. Buka hanya ketika masuk waktu demi keselamatan umat Islam yang sudah pastinya golongan minoriti di kebanyakan negara Eropah. Jika masjid di bandar besar in shaa Allah waktu buka lebih lama. Saya teringat semasa trip ke Luxembourg pada 2015. Nasib kami amat baik kerana ketika kami sampai, kelihatan imam sedang bersiap sedia untuk meninggalkan masjid. Baik sungguh hati imam tu kerana bagi kami kebenaran untuk solat dan bukakan semula pintu masjid. Imam tu tunggu di luar hingga kami habis solat. Sempat kami berborak dengan imam tu. Katanya di sini selalu ada kejadian orang baling batu, lekat gambar porno dan macam-macam lagi. Selalunya budak sekolah yang balik melalui jalan depan masjid yang buat macam tu. Dari kecil dah diajar supaya benci dengan agama lain ye. Huhuu..

Keadaan di luar Bangor Islamic Centre

Jam 2.20 petang saya turun semula ke kereta. Masa solat tadi wife saya sempat masuk ke dalam Asda untuk mencari roti dan buah-buahan. Ada yang dah mula bertanya soalan tanpa henti la tu. Hehe.. Bagus juga wife saya pergi beli. Sebab kami takkan singgah makan di restoran halal yang ada di sini sebab parking yang limited dan jauh. Perjalanan pun masih jauh lagi ni. Huhu.. Tinggal 2 jam je lagi sebelum cuaca mulai gelap. Setelah semuanya dah selesai solat, jam 2.40 petang kami meninggalkan Bangor. Kami akan merentas jalan yang dikelilingi oleh gunung yang terkenal di sini iaitu Snowdonia. Sebab tu kena bertolak sekarang supaya dapat menghayati pemandangan yang indah di sepanjang perjalanan.

Parking kat Asda lebih mudah untuk ke masjid


@ SNOWDONIA

Keluar dari Bangor, kami melalui laluan A5 menuju ke Snowdonia National Park. Asalnya saya bercadang nak ikut laluan A4086 melalui pekan Llanberis kerana katanya jalan ini antara yang tercantik di Wales. Tapi disebabkan route agak jauh dari Bangor dan mungkin makan masa yang panjang hingga cuaca gelap, jadi saya ikut route yang paling cepat untuk merentas Snowdonia. Dah gelap tak guna jugak kalau nak lalu scenic route. Takpelah, mungkin jalan A5 ni juga dah cukup cantik untuk kami hayatinya. Cuaca yang mendung membuatkan pandangan kami agak terbatas kerana kabus yang tebal menutupi sebahagian gunung. Tapi kami tetap puas hati kerana dapat melihat keindahan bumi milik Allah.

Masya Allah.. Cantiknya pemandangan jalan di sini

Road trip: Snowdonia A5 route

Cantiknya pemandangan di sepanjang perjalanan. Alhamdulillah dapat merasanya ketika cuaca masih cerah lagi. Jam 4.00 petang kami singgah sekejap di satu kawasan kampung bernama Pentrefoelas yang amat cantik. Anak-anak semuanya sedang lena diulit mimpi. Saya nak berehat kejap melenturkan semua otot kaki dan tangan. Bila drive sambil menghayati pemandangan badan cepat penat kerana banyak perkara yang kena fokus semasa memandu. Sungai yang mengalir jenih di sebelah tempat parking kereta menambah ketenangan suasana di persekitaran kampung ni. Wife saya sempat berjalan melintasi jambatan untuk bergambar. Mungkin ini gambar terakhir kami di bumi Wales sebab kejap lagi kami akan melintasi sempadan untuk masuk semula ke England.

Ketenangan jelas terasa di sini..

Punyalah seronok melayan pemandangan sampai terlupa dah hampir 20 minit kami kat sini. Jam 4.20 petang kami teruskan perjalanan. Cuaca mula senja dan gelap seperti sudah malam. Anak-anak masih tidur lagi ni. Destinasi seterusnya adalah mencari tempat makan yang telah saya susun dalam itinerary.  Cepatlah sampai sebelum diorang bangun. Pasti diorang kelaparan bila bangun nanti. Saya sendiri pun lapar. Sejak dari breakfast kat travelodge pagi tadi, yang masuk dalam perut cuma air kopi panas, roti plain dan buah epal. Kita yang dewasa ni takde masalah pasal makan. Tapi anak-anak kenalah standby makanan secukupnya. Diorang tidur sepanjang perjalanan pun dah cukup baik sebab kurang soalan. Hehe.. In shaa Allah tak kurang zat dalam badan diorang bila balik Malaysia nanti..


Wallahu 'alam..

Saturday 5 June 2021

JJCP UK V.2: Day 10 (Part #1)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..


HARI/TARIKH:
@ JUMAAT, 6 DISEMBER 2019

LOKASI KEJADIAN:
@ GREAT ORME
@ CONWY
@ CONWY TOWN WALLS
@ THE SMALLEST HOUSE IN GREAT BRITAIN


Jam 6.00 pagi saya dah bangun. Lepas mandi dan solat subuh baru kejutkan anak-anak. Hari ni perjalanan agak jauh dan banyak juga tempat menarik yang nak dilawati. Harap sempatlah masa untuk berhenti di semua tempat yang saya dah set dalam itinerary. Dapat singgah kejap dan ambil gambar sekeping dua pun jadilah buat syarat. Kalau dah mula bergambar, mana maunya sekeping dua. Hihi.. Yang penting jangan terlalu lama kat satu-satu tempat. Takut terlepas tempat yang betul-betul menarik sebab cuaca dah gelap. Itulah cabarannya bila travel masa winter. Pendek sangat waktu siangnya. Tapi memang seronok jalan-jalan time musim sejuk ni, especially untuk orang dari negara panas sepanjang tahun. Hihi..


Lepas solat dan kejut anak-anak, saya sambung tidur sekejap. Masih belum cukup lagi tenaga yang disimpan. Diorang boleh la breakfast siap-siap sebab lokasi yang kami nak pergi lepas ni mungkin takde tempat untuk singgah makan tengahari. Jadi lebih baik isi perut masing-masing dulu. Dah siap prepare breakfast kejut ayah ya anak-anak. Hihi.. Kalau lapar lagi nanti boleh la cari roti dan buah-buahan kat supermarket. Saya dah boleh standby juga tahan telinga dengar ayat yang berulang tanpa henti sebab ada orang yang sedang kelaparan. Huhuu.. Rice cooker Fa yang kami pinjam semalam masih belum pulangkan lagi. Boleh la diorang panaskan makanan Kart's seperti semalam. Dapatlah kosongkan ruang dan kurangkan berat beg jajan tu.

Ada orang dah nampak pantai la..

Eirfan ajak pergi pantai. Dah agak dah, mesti dia ajak punya. Tambah pulak dia perasan Fa dan Abang Fikri ada kat bawah tu. Huhuu.. Bukan taknak bagi tapi kenangan silam bersama dia di pantai masih segar dalam ingatan. Modus operandi dia mula-mula nak berdiri dekat kereta je. Lepas tu pelan-pelan dia ke depan, nak pijak pasir halus. Lepas tu lajak lagi sikit, nak pijak gigi air. Dah naik syok, sampai ke lutut la jadinya. Habis basah seluar. Terus dapat green light mandi pantai. Itu cerita kat kampung, takde la nak kejar masa. Kat sini tak dapat la nak buat macam tu. Biar la dia merajuk dulu daripada dia menangis tak berhenti sebab tak puas main kat pantai. Next trip kalau ada rezeki lebih ayah akan buat itinerary khas iaitu picnic seharian kat tepi pantai. Memang dah ada pun cadangan pantai yang menjadi wishlist kami. Hehe..

Nasib baik dia tak meragam. Tapi merajuk sikit la. Hehe..

Lama jugak kami melayan nasi Kart's ni. Kasi betul-betul kenyang. Hihi.. Jam 8.00 pagi barulah kami berkemas dan bersiap-siap untuk check-out. Kesian juga Fa dan Abang Fikri lama tunggu kat bawah tu. Takut diorang pulak yang termandi pantai nanti. Hehe.. Jam 8.30 pagi kami mula angkat beg dan keluar dari bilik. Eirfan macam biasa tolak beg biru faveret dia sampai ke lif. Jangan ganggu dia tengah kusyuk menolak beg. Sambil menolak dia menyanyi non-stop tanda mood dia tengah superb. Hehe.. Alhamdulillah dah masuk hari ke-10 kami berkelana di bumi UK, anak-anak sihat walafiat walaupun cuaca sejuk tak menentu. Sekejap mendung, sekejap hujan. Nasib baiklah diorang tak demam. Harap2 dapat bertahan sampai ke penghujung trip, in shaa Allah..

Thank you Room 115! Bersemangat Eirfan tolak beg sampai lif..

Sampai di lobi, tiada staff yang bertugas di kaunter. Takut saya nak mintak pinjam microwave lagi la tu. Hehe.. Saya letakkan kunci di tempat yang disediakan. Saya rasa travelodge ni antara yang selesa pernah saya menginap. Hotel baru kot, mestilah best. Apa-apa pun saya tetap bersyukur di UK ada hotel chain yang berpatutan seperti Travelodge dan Premier Inn. Barulah golongan M40 boleh travel ke sini dengan bajet yang tak seberapa. Kira berbaloi lah bila dibandingkan dengan living cost dan nilai pound sterling yang sedia maklum tinggi tu. Kalau hotel macam ni takde di UK, hanya golongan kayangan T20 je la dapat merasa ke sini.

Thank you Travelodge Rhyl Seafront!

Anak-anak bantu masukkan beg ke dalam kereta. Hanya Abang Fikri je yang pandai susun beg kat belakang ni. Ngam semuanya termasuk stroller sekali. Saya yang memandu sejak dari hari pertama memang tak pernah guna lagi rear-view mirror. Tak nampak langsung pemandangan belakang kereta. Hanya berpandukan pada side-view mirror je. Bila nak reverse parking terpaksalah guna mirror hidup, siapa lagi kalau bukan Abang Fikri. Hehe.. Selesai loading barang dalam kereta, kami bersiap-siap untuk mulakan perjalanan. Hajat di hati saya nak berjalan ke pantai untuk tengok macamana suasana dan keadaan pantai di sini. Tapi mesti ada pengikut punya. Jadi terpaksalah batalkan hajat. Tengok dari kejauhan je lah..

Wife cuba alihkan perhatian dia terhadap pantai dengan bergambar. Hihi..

Jam 8.45 pagi, setelah Abang Fikri membacakan doa perjalanan, saya masuk gear dan ikut arahan Here Maps menuju ke destinasi pertama pada hari ni. Indicator level minyak masih keluar di panel meter. Risau betul saya. Kalau indicator macam petrol tu takpelah jugak. Boleh lagi nak bajet bila kena top-up minyak. Susahnya pakai kereta Made in Continental ni. Huhuu.. Rasanya dah lebih 600 km kereta ni bergerak sejak 2 hari lepas indicator ni keluar masa di Ayr. Bila baca balik amaran tu, baru saya faham. 'Engine oil level: reduce oil level' maksudnya minyak enjin terlebih la kan? Saya mintak wife saya check balik dalam website dan taip sebijik ayat kat indicator tu. Dalam forum Mercedes kata antara sebabnya adalah minyak enjin terlebih. Aik? Dah seribu lebih kilometer bawak kereta ni takkan minyak makin naik pulak? Huhuu.. Ada yang kata masalah sensor dan kena refer kat Mercedes. Kalau setakat masalah sensor dan tak melibatkan benda lain seperti kereta tetiba mati enjin takpe lagi. Takkan la saya pulak yang kena bawa ke bengkel Mercedes.

Indicator tu masih keluar lagi. Nak tengok pemandangan pun tak senang..

Apa yang saya risaukan, hari ni kami akan lalu satu jalan di kawasan pergunungan. Takut pulak kalau kereta ni meragam masa tengah lalu jalan tu. Mungkin dah senja atau malam pulak tu. Aduhh.. Nampaknya terpaksa jugalah tanya orang yang pakai kereta continental ni atau yang pernah ada experience macam ni. Saya berhenti sebentar di satu stesen minyak. Saya masuk ke dalam kedai dan bertanya pada staff bertugas kalau dia dapat bantu. Saya tunjukkan gambar indicator pada dia. Malangnya dia pun tak tau apa maksudnya sebab dia sendiri tak pernah pakai kereta continental. Huhuu.. Dia kata selalunya orang datang ke stesen minyak ni beli AdBlue. Hahah, saya takde masalah pasal AdBlue sebab dah ada pengalaman masa trip ke Scandinavia. Masalah minyak enjin ni baru pertama kali terkena kat saya. Saya ucapkan terima kasih sebab cuba membantu. Solusi? Teruskan je perjalanan dan bertawakkal lah. Moga selamat perjalanan kami..

Kalau masalah yang ni saya dah ada experience. Hihi..

Kalau difikirkan sangat jadi tak fokus pulak dengan trip ni. Baik buat-buat tak tau atau tak perasan indicator tu. Tapi susah sebab dia keluar kat panel meter, nak taknak terpaksa tengok juga. Sila abaikan sebaik mungkin. Hahah.. Dari jalan dalam, kami susur masuk ke North Wales Expressway yang menghidangkan pemandangan indah di tepi laut. Kemudian kami keluar dari highway dan ikut semula jalan dalam menuju ke destinasi pertama untuk hari ni. Dalam perjalanan wife saya masih google lagi tentang indicator tu. Manalah tau boleh dapat penyelesaian yang sahih dan dipercayai kebenarannya.

Orang kata pelangi ni petanda yang baik.. Entahlah..

Road Trip: From Rhyl to Llandudno

Tepat jam 9.30 pagi kami sampai di bandar Llandudno, iaitu sebuah bandar persisiran pantai yang mejadi tarikan utama pelancong di utara Wales. Si kecik dah mula sebut pantai lagi. Kalau berhenti ni memang punah la itinerary yang saya dah buat. Huhuu.. Pemandangan deretan rumah berwarna putih yang menghadap laut amat mendamaikan. Boleh masukkan Llandudno dalam pakej persaraan sebab sesuai untuk ketenangan jiwa. Hihi.. Tujuan saya masukkan tempat ni dalam itinerary adalah untuk pergi ke kawasan puncak bukit yang terletak di hujung bandar. Tengok gambar dalam internet nampak ramai pelancong datang ke bukit ni masa summer. Time winter ni mungkin tak ramai orang kot. Takde kerja orang nak naik bukit sejuk-sejuk ni. Hihi..

Road Trip: Arriving Llandudno

@ GREAT ORME

15 minit memandu naik bukit yang agak mencanak, akhirnya jam 9.45 pagi kami sampai di Great Orme, iaitu sebuah bukit batu kapur yang terletak di hujung utara peta Wales. Curam juga jalan nak sampai ke sini. Nasib baik la pick-up kereta ni agak power. Nak tekan minyak lebih takut keluar sensor yang lain pulak. Hahah.. Di puncak bukit ni ada kawasan parking yang agak luas. Saya cuma nampak sebuah kereta je kat sini. Pemandunya pun tak keluar dari kereta. Hihi.. Memang betul tekaan saya, takde orang yang naik bukit musim sejuk ni. Kabus agak tebal sampai tak nampak laut di sekeliling bukit ni. Cuaca pun agak gelap macam nak senja.

Driving route: From Travelodge Rhyl Seafront to Great Orme

Great Orme ni terletak di tanjung. Patutnya nampak view laut..

Road Trip: Perjalanan ke Great Orme

Kuatnya angin sejuk yang singgah di muka kami. Sampai nak tercabut topi yang saya pakai. Sejuknya jangan cakap la. Anak kedua saya, Eiman jenis kulit yang tahan sejuk. Dia sorang je yang sanggup keluar dari kereta bersama saya dan wife untuk bergambar. Lepas tu dia siap jalan-jalan di sekitar macam takde apa yang berlaku. Fa dan Abang Fikri sudah tentu keluar juga. Bila lagi nak merasa angin sejuk macam ni. Anak-anak yang lain semua tunggu dalam kereta. Apa daa.. Bagus juga Elysha tak keluar. Takut terbang pulak dia nanti sebab kurus sangat. Hahah..

Angin kuat sampai takut terlepas handphone

Lepas saya habis rekod video, secara tiba-tiba angin yang kencang terus berhenti dan tiada kabus yang menghalang pemandangan kami. Cahaya matahari pun mula nampak. Barulah puas hati dapat tengok pemandangan laut di keliling bukit. Selain daripada kawasan pelancongan, kat sini ada banyak trek untuk pendaki mengikut route yang disediakan. Ada yang pendek dan ada yang panjang. Pada saya lah, tengok pada kecerunan jalan masa naik tadi pun saya dah surrender awal kalau suruh jalan kaki. Daku tak sanggup. Huhuu.. Zaman aktif mendaki gunung suatu ketika dulu sudah lama ditinggalkan.

Barulah nampak jelas suasana di sekeliling

15 minit je kami berada di sini. Takde apa pun yang boleh dibuat selain menghayati pemandangan. Jam 10.00 pagi setelah puas bergambar kami mula bersiap untuk turun. Cahaya matahari dah mula memancar dan pemandangan menjadi lebih jelas berbanding masa naik tadi. Barulah boleh berhenti kejap untuk bergambar di signboard sebagai bukti dah sampai di sini. Kat atas tadi satu signboard pun takde. Cantiknya pemandangan di lereng bukit. Mesti tenang je hidup orang kat sini kan. Indah sungguh bumi Tuhan ni. Rugi kalau tak menghayati dan menikmatinya ciptaanNya semasa hayat masih dikandung badan.

Pintu masuk ke Great Orme

Kambing biri-biri yang berbulu lebat berkeliaran di sepanjang jalan, sama seperti di jalan menuju ke Wanlockhead. Eiman teringin sangat nak pegang bulu kambing biri-biri. Saya suruh dia cuba dekatkan diri dengan kambing biri-biri tu. Manalah tau mungkin kambing biri-biri kat sini jinak dan tak takut orang. Dulu saya pernah cuba nak pegang kambing biri-biri. Geram sangat tengok bulunya yang lebat tu. Nampak je macam jinak dan innocent, tapi bila makin dekat dia lari. Mungkin kena umpan bagi makanan kot baru dia nak datang dekat. Hehe..

Eiman cuba jaya mendekatkan diri. Sama je macam saya dulu. Hehe..

Selain dari bawa kereta dan trekking naik ke Great Orme, ada satu lagi tarikan yang menarik kepada pengunjung yang datang ke sini iaitu The Great Orme Tramway yang sudah wujud sejak 1902 dan masih lagi beroperasi sehingga sekarang. Bukan seperti tram biasa yang dilihat di bandar besar, tram kat sini tak pakai enjin untuk bergerak. Ia menggunakan sistem cable-hauled di mana pergerakan tram dikawal oleh tenaga manusia yang bergelar winchmen dan attendant. Bagus la konsep fizik pada tram ni. Kagum bila saya membacanya. Cuma takde rezeki untuk kami naik tram ni kerana ianya ditutup sepanjang musim winter. Takut tram tergelincir kot. Tapi kalau beroperasi pun kami cuma nak tengok macam mana koc tram yang klasik ni bergerak. Harga tiket dia agak mahal. Benda vintage kot. Hihi..

Hanya dapat tengok track tramway je. Cantiknya pemandangan..

Kami teruskan perjalanan dan singgah di satu hentian yang amat cantik untuk bergambar kenangan. Antara perkara yang saya suka tentang Europe ni diorang mesti letak kerusi kat spot yang menarik supaya orang boleh bergambar. Tenang je bila duduk dan melihat pemandangan bandar Llandudno di bawah bukit. Spot macam ni memang sesuai sangat dengan kami yang lebih mengutamakan scenery daripada shopping. Tapi shopping pun kami layan juga sebagai agenda kedua. Tipu la kalau kami tak shopping bila berada di sini. Tambah pulak kali ni kami jadi personal shopper sebagai agenda tambahan. Shopping is Great Britain kann. Hihi..

Kenangan terindah di Llandudno..

Ikutkan hati nak stay lama lagi di kawasan ni. Tapi apakan daya, masa amat mencemburui kami. Dah pukul 10.20 pagi tapi masih lagi di lokasi pertama untuk hari ni. Padahal jauh lagi nak berjalan sampai ke travelodge berikutnya. Huhuu.. Kami teruskan perjalanan menuruni bukit. Curam betul jalan kat sini. Masa naik takut enjin kereta buat hal. Bila turun pulak takut brek tak makan. Masih teringat lagi kisah kereta kami meluncur turun bukit bersalji di Norway. Gelabah juga saya masa tu sebab takut terlanggar pokok. Dah la tak boleh nak naik, nak u-turn pun tak boleh. Akhirnya kena reverse semula pelan-pelan sebab di selekoh. Nasib baik takde kereta lain di belakang kami waktu tu. Fuhh, cabaran dan kenangan yang takkan saya lupakan sampai bila-bila.

Goodbye Great Orme!

Saya ikut route yang lain masa menuruni bukit sebab nak mencari di mana lokasi stesen permulaan The Great Tramway tu. Tram yang tak beroperasi mesti parking kat stesen kan. Dapat tengok sambil lalu pun jadilah. Hihi.. Fa bertanyakan jika kami akan ke kawasan deretan rumah putih yang menghadap pantai tu tadi. Nampaknya tak dapat nak singgah di situ. Nanti jadi lagi lambat bila anak-anak dah mula pijak pasir. Huhuu.. Tinggal kenangan je lah lalu di bandar Llandudno tadi. Next trip in shaa Allah akan ada itinerary khas bermain pantai seharian ye. Hihi..

Dapat juga tengok rupa tramway ni. Bye Llandudno..


@ CONWY

Destinasi seterusnya tak jauh dari sini. Tak sampai 10 kilometer perjalanan dari Great Orme untuk sampai ke Conwy. Ketika kami melalui jambatan untuk masuk ke bandar Conwy, kami disambut oleh satu pemandangan kubu lama yang amat cantik. Conwy adalah salah satu bandar di Wales yang dikategorikan sebagai tapak warisan dunia dan menjadi tumpuan pelancong yang datang ke utara Wales. Banyak kesan sejarah yang masih ditinggalkan dan dijaga dengan baik. Sebab tu saya masukkan Conwy dalam itinerary kerana saya amat suka melihat senibina bangunan lama yang masih wujud hingga hari ni.

Hello Conwy!..

Tempat parking di Conwy agak limited. Masa summer boleh dikatakan sentiasa penuh dengan pengunjung. Maka terpaksalah cari parking yang jauh dari bandar. Mujur kami datang masa winter, jadi takde masalah untuk dapatkan parking di tengah bandar. Masuk je dalam kawasan bandar Conwy, kami terus masuk ke dalam kawasan parking yang terletak di sebelah kubu lama yang kami lihat di jambatan tadi. Banyak parking kosong kat sini. Kelihatan seorang penguatkuasa wanita sedang meronda melihat kereta yang parking di sini. Dah tentulah dia nak cek kereta mana yang tak bayar parking atau tiket dah expired. Hihi.. 


Driving route: From Great Orme to Conwy

Kami turun dan bersiap-siap untuk mulakan aktiviti eksplorasi di bandar Conwy. Saya beratur di mesin bayar parking. Orang di depan saya agak lama berurusan kat mesin tu. Macam ada masalah je. Penguatkuasa yang bertugas tadi datang ke arah kami untuk membantu. Rupanya mesin ni dah penuh duit syiling di dalamnya. Patutlah nampak banyak kali orang kat depan saya ni masukkan duit tapi keluar semula. Terpaksalah cari mesin parking yang lain. Saya bayar GBP2.50 untuk bayaran parking selama dua jam di sini. Cukup lah kot masa yang diperlukan untuk kami explore bandar Conwy ni. Saya letakkan tiket di dashboard, bagi penguatkuasa tu nampak jelas. Hehe..

Jom explore Conwy!..

@ CONWY TOWN WALLS

Destinasi pertama kami sudah tentulah yang paling dekat dengan parking, iaitu Conwy Town Walls. Monumen ni buka sepanjang masa dan tiada bayaran dikenakan. Takde pintu masuk khas pun yang dijaga oleh guard. Conwy Town Walls adalah antara monumen yang terbaik dan terlengkap di Eropah, dan panjangnya lebih dari 1 kilometer. Kami naik ke bahagian atas untuk melihat bagaimana suasana persekitaran di sini. Terus terbayang macam mana guard pada zaman dulu meronda kat atas ni. Teringat kenangan saya masa travel ke Rothenburg ob der Tauber, Germany pada 2015. Antara medieval town yang terbaik dan tercantik pernah saya lawat sebab pekannya dikelilingi oleh kubu yang tinggi.

Terasa seperti di zaman medieval..

Kami berjalan di sepanjang kubu hingga ke hujungnya. Anak-anak teruja sebab merasa berada di tempat yang bersejarah macam ni. Eirfan tanya rumah siapa yang kita naik ni. Saya kata inilah castle orang zaman dulu berperang. Kena jawab juga sebab selagi dia tak dapat jawapan dia akan tanya berulang kali. Hihi.. Macam iklan burung murai tu. Ingat lagi tak? Hehe.. Bangunan Sultan Abdul Samad pun diorang tak pernah naik, tapi dah ada pengalaman naik monumen bersejarah di Eropah. Bersyukurlah ye wahai anak-anakku. Sama-sama lah kita berdoa agar keluarga kita dilimpahi rezeki yang melimpah ruah dan dapat travel lagi menikmati bumi yang indah ciptaan Tuhan. Aminn..

Jom turun. Selesai dah melawat Conwy Town Walls..

Dah puas bergambar dan menikmati pemandangan di atas kubu, kami turun dan berjalan di sekitar kawasan. Kami singgah di satu kedai souvenir yang terletak di sebelah kubu. Fridge magnet dan keychain sebagai kenangan dan tanda keluarga kami sudah sampai di Conwy mesti dicari. Barulah bertambah meriah dinding rumah kami kat dapur tu nanti. Hihi.. Ada juga yang kami belikan untuk kenalan rapat di pejabat. Nak beli banyak tak mampu sebab bukannya murah harga fridge magnet kat sini. Saya setuju dengan satu statement yang diberikan oleh pembaca blog saya. Belikan fridge magnet sebagai souvenir buat kawan-kawan tak berbaloi sebenarnya. Lebih baik berikan sesuatu yang boleh digunakan. Barulah rasa dihargai barang yang diberi. Paling mudah beli makanan dan offer ramai-ramai makan kat pejabat. Biar semua dapat merasa. Saya dah tau dah apa makanan yang nak dibeli. Trip 2012 dulu saya beli makanan ni dan letakkan kat pantry bilik guru. Pandai-pandai la diorang rasa sorang sikit. Hihi..

Mencari kenangan di Conwy Visitor Centre

Selesai shopping beberapa ketul souvenir, kami teruskan perjalanan menyusuri bangunan lama di sini. Cuaca yang pada mulanya cerah terus bertukar mendung dan hujan renyai pun mula turun. Bila hujan turun agak lebat maka terpaksalah kami cari tempat berteduh. Nak masuk dalam restoran rasa tak sesuai pulak. Bukannya nak makan pun. Kebetulan ada satu kedai souvenir di depan kami. Kedai souvenir ni siap jual barang Portmeirion lagi. Bertambah cerah la mata wife saya melihat pinggan dan mangkuk, padahal semalam lama berkampung kat factory shop dia kot. Biasalah, nasib baik suami beliau amat memahami hobi isterinya. Hihi..

Kaca tanda Portmeirion ni tak dijual. Untuk display kedai katanya..

Selepas 15 minit berada dalam kedai souvenir, hujan pun berhenti. Walaupun tak berjaya beli pinggan Portmeirion sebab wife tak sempat buat pilihan, tapi ada jugalah tambahan souvenir lain yang dibeli oleh anak-anak. Hihi.. Kami teruskan perjalanan ke satu tempat yang menjadi faktor paling utama kenapa saya jadikan Conwy sebagai destinasi pilihan dalam itinerary kami. Kepada pembaca yang mengikuti penceritaan saya dalam trip travel sebelum ni mesti perasan tempat yang saya pergi ada sebabnya tersendiri. Saya lebih suka pergi ke tempat yang menjanjikan sesuatu perkara unik yang takkan jumpa di tempat lain seperti monumen yang unik, replika yang pelik atau apa-apa perkara yang ada rekodnya sendiri. Yang paling penting tempat tu boleh dilawati dengan bayaran yang murah. Kalau free lagi bagus. Hahah.. Lepas tu saya cuba sesuaikan dengan route perjalanan yang dirancang. Kalau tempat tu berdekatan dengan route, saya akan masukkan dalam itinerary. Lokasi Hard Rock Cafe jangan dilupakan. Itu benda pertama yang saya akan tagging dalam membuat itinerary dan route perjalanan saya.

Cuaca sejuk selepas hujan. Gambar postbox dan phonebooth itu wajib..


@ THE SMALLEST HOUSE IN GREAT BRITAIN

Jam 11.25 pagi kami sampai di satu kawasan jeti. Tujuan kami ke sini bukannya nak tengok kapal atau gerai jual ikan segar, tapi di sinilah terletaknya satu rumah unik iaitu The Smallest House in Great Britain yang juga dinamakan sebagai Quay House kerana lokasinya yang terletak di jeti. Sesiapa yang lalu tempat ni mesti akan perasan rumah ni kerana warnanya merah dan berbeza dengan warna rumah lain yang sederet dengannya. Tetapi agak malang juga buat kami kerana rumah ni tidak buka pada musim winter. Daripada info yang saya jumpa, bayaran yang dikenakan untuk masuk ke dalam rumah ni hanya GBP1.00/person. Sesuai la harga tu dengan saiz lawatan. Hehe..

Aiseh.. Tutup pulak musim winter ni..

The Smallest House in Great Britain dibina sejak kurun ke-16 lagi dan digunakan sehingga tahun 1900. Lepas tu ianya menjadi tarikan pelancong yang datang ke Conwy. Rumah ni hanya selebar 72 inci dan tingginya 122 inci. Orang terakhir yang pernah duduk rumah ni ialah seorang nelayan. Rumah ni hanya boleh memuatkan katil single, tempat unggun api dan tong arang batu. Biarpun kecil tapi amat paktikal. Hehe.. Ruginya kami tak dapat nak masuk dalam rumah ni. Teringin juga kami satu famili cuba duduk dalam rumah ni. Nak tengok selesa ke tidak. Hehe..

Tak dapat masuk, kita bergambar kat luar aje..

Jadilah buat syarat kami dapat tengok rumah terkecil di UK ni walaupun dari luar je. Penduduk di sini tak kisah sangat pasal rumah ni kerana katanya banyak lagi rumah yang bersaiz kecil di UK. Diorang pelik kenapa pelancong sanggup jalan kaki sampai di kawasan jeti ni semata-mata nak tengok rumah ni. Memanglah diorang tak heran. Dah tentu diorang selalu ada kat kawasan ni. Kenapa tak hebahkan rumah yang dikatakan lagi kecil dari ini? Pelancong datang sebab tajuk rumah ni. Paling kecil di seluruh UK kot. Siapa nak claim rumah tercantik ke, terburuk ke, boleh je buat signboard dan maklum kat media. Mesti berduyun-duyun pelancong datang melawat. Kami datang pun sebab sign dia je. Sedangkan sign tempat tertinggi di Scotland dan UK pun kami berhenti tepi jalan dan ambil gambar, inikan pula rumah terkecil di UK. Done claim!.. Hehe..

Kawasan jeti di sini. Tenang.. Nelayan tak ke laut agaknya..

Selesai bergambar kenangan di kawasan jeti ni, kami berjalan semula menuju ke parking kereta. Dah pukul 11.40 pagi, banyak lagi tempat nak pergi lepas ni. Saya suka melihat bangunan-bangunan lama bila travel ke luar negara. Selain dari design bangunan yang cantik dan dijaga dengan baik, dinding dia pun nampak menarik. Batu bata yang jelas kelihatan pada dinding menunjukkan betapa lama ianya dah wujud di muka bumi ni. Mungkin ada arkitek atau designer yang boleh buat dinding lama macam ni, tapi yang original lagi cantik.

Tengok dinding dia. Abaikan model tu. Kemain posing ye. Hehe..

Cuaca masih mendung dan hujan gerimis membasahi bumi. Makin bertambah sejuk dibuatnya bila sekali-sekala angin datang singgah ke muka kami. Sebenarnya saya suka sangat dengan keadaan cuaca macam ni. Peluh memang tak keluar langsung lah. 365 hari dalam setahun, kasi peluang la seminggu dua peluh berehat dalam badan. Hihi.. Dah ada orang mula bersuara kelaparan. Sabar ye, sampai kat kereta nanti boleh makan roti dan jajan yang dibawa. Bila bawa anak-anak, 2 perkara tambahan yang kena ambil perhatian berbanding travel berdua iaitu berhenti kerana ke toilet dan bawa bekal yang banyak. Itinerary pun kena setting sedikit santai sebab tak boleh nak rushing bila ada anak kecil. Yang pernah travel dengan budak kecil pasti memahami. Hehe..

Walking Area @ Conwy

Ada orang dah malas nak jalan kaki. Hihi..

Jam 11.55 pagi kami sampai di parking kereta. Walaupun sejam lebih sikit je kami berada kat bandar Conwy ni tapi cukup memberikan pengalaman hidup yang baru dan kenangan terindah buat kami. Kami bersiap-siap untuk teruskan perjalanan ke destinasi berikutnya. Anak-anak di belakang dah mula buka jajan masing-masing. Cuaca sejuk memang cepat lapar kan. Saya cukup dengan kopi panas untuk menyegarkan mata ketika memandu. Terima kasih Conwy atas pengalaman yang diberikan.. Moga berjumpa lagi di lain masa.

Wallahu 'alam..