Showing posts with label Kembara UK V2. Show all posts
Showing posts with label Kembara UK V2. Show all posts

Saturday, 13 April 2024

JJCP UK V2: Day 17

 Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..


HARI/TARIKH:
@ JUMAAT, 13 DISEMBER 2019

LOKASI KEJADIAN:
@ ROYAL JORDANIAN RJ180
@ KUALA LUMPUR INTERNATIONAL AIRPORT
@ HOME SWEET HOME


Kami menunggu untuk naik flight dalam keadaan mengantuk dan keletihan. Nak tidur takut rasa tak puas pula. Nak mandi takde pakaian extra, semuanya dalam luggage. Huhu.. Maka duduk lah kami kat depan gate sambil melihat penumpang-penumpang yang lain. Kelihatan satu susuk tubuh yang saya kenal. Bila saya hampiri dia, memang betul kawan saya masa belajar di UPM dulu. Rupanya dia pun naik flight yang sama dengan saya dari London tadi. Memang tak perasan langsung sebab ramai penumpang. Kawan saya, Akbar bersama wife dan dua orang anak bercuti sekeluarga. Lebih kurang sama duration mereka bercuti, cuma diorang ke beberapa negara Europe dan berakhir di London. Kami berborak sambil menghabiskan masa menunggu.

Alhamdulillah, jumpa kenalan semasa transit

Ada lagi sejam sebelum masa sebenar untuk boarding. Bila berborak terasa cepat masa berlalu. Si kecik tu dah mula buat perangai dia. Berlari-lari lepas tu baring atas lantai. Nampak bahagia sungguh beliau ya. Hahah.. Flight kami nanti akan turun sekejap di Bangkok untuk tukar penumpang dan teruskan ke Kuala Lumpur, sama seperti flight kami masa pergi haritu. Biasalah, tiket flight murah memang kena hadap transit dan juga flight time yang di luar norma seperti tengah malam dan awal pagi. Janji dapat travel, tak kisah sangat tentang semua tu. Yang penting sampai ke destinasi yang dituju, walaupun badan super penat. Hihi..

Flight kami on-time katanya. Alhamdulillah..

Jam 1.50 pagi kedengaran announcement mengatakan flight kami dah sedia untuk board. Alhamdulillah takde delay. Kalau delay tak tau berapa lama lagi kami nak menunggu di sini. Para penumpang sudah mula beratur di pintu gate. Staff airport memeriksa tiket masing-masing. Kami tunggu hingga semua penumpang dah masuk baru beratur sebab seat kami di barisan depan. Bagi penumpang seat belakang masuk dulu, barulah tak sesak dalam flight. Saya hairan kenapa ada penumpang yang berebut nak masuk dalam flight, walaupun seat dia di barisan depan. Takut tak dapat seat ke? Atau takut tempat luggage atas kepala dah penuh? Ataupun takut seat kat belah tingkap dah diambil orang? Bukan ke dah tercatat kat tiket kita nombor seat. Tapi, banyak juga video yang saya tengok orang bergaduh sebab curi seat belah tingkap. Harap jangan la berlaku, nanti flight jadi delay sebab nak redakan orang-orang macam ni. Huhu..

Biarlah yang terakhir, janji ada seat untuk kami..


@ ROYAL JORDANIAN RJ180

Kami duduk di seat baris ke-7. Kelihatan sampai ke hujung penuh dengan penumpang. Setelah meletakkan beg kami di compartment atas, saya duduk bersama Eiman dan Elysha manakala wife duduk dengan Eirfan dan Eimran. Fa dan Abang Fikri duduk di barisan belakang kami. Keadaan dalam flight agak baru dan bersih. Tv di depan saya berfungsi dengan baik. Tak sabar nak dengar lagu sambil tidur. Pada saya, tidur sambil mendengar lagu adalah aktiviti paling best dalam flight daripada layan movie. Hehe.. Apabila melihat muka anak-anak yang ceria walaupun jam 2.00 pagi, terasa bangga juga dalam diri kerana dapat bawa semuanya mencari pengalaman hidup di bumi England. Alhamdulillah rezeki buat kami sekeluarga.

Semua ceria, walaupun jam 2.00 pagi. Jom balik!

Tepat jam 2.15 pagi, flight Royal Jordanian RJ180 mulakan perjalanan. Take-off yang amat lancar ke ruang udara Jordan meninggalkan Queen Alia International Airport. Apabila flight sudah sampai ketinggian optimum, lampu mula ditutup bagi memberi ruang kepada penumpang untuk berehat dengan tenang. Saya mula mencari lagu yang sesuai untuk menemani tidur. Cukup sejam di udara, lampu cabin terpasang semula menandakan waktu makan sudah tiba. Awal kami breakfast hari ni. Tak pasti breakfast atau supper. Hahah.. Kami dihidangkan dengan roti bersalut ayam beserta dengan salad dan juga biskut serta air teh. Dalam mengantuk pun tetap layan makanan yang dihidang. Lazat..

Tambah tenaga untuk sambung tidur kejap lagi..

Selesai makan, lampu ditutup semula untuk para penumpang sambung berehat. Ada juga yang memasang lampu personal untuk membaca. Saya mencari lagu bergenre rock untuk dilayan sambil tertidur. Anak-anak dah mula senyap. Masing-masing dah tidur. Bagus juga untuk diorang dengan harapan tak kena jetlag yang melampau. Tapi budak-budak zaman sekarang tak perlu naik flight pun untuk jetlag. Hari biasa pun selalu jetlag, tak tidur malam. Bila pagi punya lah azab wife saya kejutkan diorang. Hal kejut tidur saya bagi kat wife sebab suara dia nyaring, dengan saya sekali boleh terjaga. Hihi.. Kalau saya yang kejut memang tak perlu keluar suara, tetiba ada bunyi zass dan in shaa Allah bingkas diorang bangun. Taktik terbaik untuk kejutkan anak yang liat nak bangun. Hehe..



Agak lama juga saya tidur sebab flight dari Amman ke Bangkok mengambil masa lebih 9 jam. Saya terjaga sebab kami dihidangkan lagi makanan. Mungkin makan tengahari sebab ikut waktu Malaysia sekarang dalam jam 2.00 petang. Benda dah hidang depan mata, maka kita pun makan la. Menu yang kami dapat adalah pastri. Takkan la lunch makan pastri kot. Ringan sangat ni. Mungkin yang ni breakfast agaknya dan yang tadi adalah supper. Takpelah, kalau nak sedap naik business class. Dah duduk kat economy class, terima je lah apa yang diorang nak bagi. Nasib baik kami jenis yang tak cerewet sangat tentang makanan atas flight ni. Sebab tujuan naik flight bukan nak makan, tapi nak sampai destinasi dengan selamat. Kalau tak sedap, kami makan sikit je buat alas perut. Untuk makanan yang dihidang kali ni kira ok jugalah. Baru bangun tidur kot, selera makan pun masih kurang lagi. Layan..

Banyak roti yang kami dapat untuk menu kali ni.

Selesai makan, tengok pada flight time masih ada 3 jam lagi sebelum mendarat di Bangkok. Sempat lagi sambung tidur ni. Kasi nyenyak betul-betul sebab dah sampai Bangkok nanti cadangnya taknak tidur dah. Nanti bila sampai Malaysia dah maghrib, sedang elok malamnya tidur seperti sediakala. Harap sangat tak kena jetlag yang melampau. Bayangkan jam 10.00 pagi mata berat nak buka. Satu kerja kat pejabat tak boleh nak buat kalau dah mengantuk. Huhu.. Saya tersedar dari tidur apabila pilot announce bahawa flight akan meredah turbulence. Hampir 3 minit juga flight kami sekejap ke bawah dan kemudian ke atas semula. Alhamdulillah flight berjaya meredah cuaca buruk dengan baik. Tengok pada tingkap cuaca agak cerah di luar. Tak jadi saya nak sambung tidur. Baik dengar lagu rock zaman muda mudi dulu..

Sikit lagi nak sampai Bangkok. Nyenyak sungguh budak berdua ni tidur..

Jam 3.20 petang waktu Thailand, flight kami mendarat dengan selamat di Suvarnabhumi Airport, Bangkok. Beberapa penumpang mula bersiap keluar dan kelihatan staff airport sedang bersedia untuk membersihkan flight sebelum penumpang baru masuk. Dah macam naik train pula kan, berhenti kat stesen dan orang keluar masuk train. Pandai sungguh Royal Jordanian ni dalam memaksimumkan penggunaan seat kepada penumpang. Dapat jual tiket untuk beberapa destinasi dalam satu perjalanan. Tapi bila difikirkan secara logik, memang patut tiket flight yang ada transit dijual murah daripada direct flight di mana mereka dapat jual tiket untuk beberapa destinasi. Maka harga tiket boleh direndahkan dan dapatlah golongan marhaen macam kami ni travel. Good business strategy.

Flight route: From Amman to Bangkok

Ramai juga yang bekerja hari ni. Kerjasama!

Selama sejam flight kami berada di Suvarnabhumi Airport untuk urusan menurunkan penumpang, membersihkan cabin dan mengambil penumpang baru. Jam 4.20 petang waktu Thailand, flight Royal Jordanian RJ180 menyambung penerbangan ke bumi tercinta Malaysia! Tak sabar rasanya nak jejakkan kaki di bumi bertuah, tanah tumpahnya darahku. Lebih sejam di udara, kami dihidangkan lagi sekali makanan sebelum mendarat. Kali ni betul menu lunch sebab ada nasi berlaukkan ayam masak sweet sour dan sayur. Memang sedap makanannya. Elysha masih tak bangun lagi. Dah kejut tapi dia taknak makan. Maka terpaksa la ayahnya berkorban demi untuk mengelakkan pembaziran. Hihi..

Tiga kali dapat makan atas flight. Ni paling ngam. Sedap..

Selesai makan saya sambung mendengar lagu. Pada skrin info di tv menunjukkan flight sudah masuk ke dalam ruang udara Malaysia. Jam 7.20 malam kedengaran announcement dari pilot mengatakan bahawa flight akan mendarat di Kuala Lumpur International Airport dalam masa 10 minit lagi. Anak-anak dikejutkan untuk bersiap-siap. Cabin crew meronda untuk mengambil segala sampah yang ada. Seatbelt dipasangkan walaupun saya memang tak pernah buka seatbelt melainkan ke tandas. Sambil tidur pun pakai seatbelt tau. Keselamatan diutamakan walaupun tidur mati. Hihi..

Sikit lagi nak sampai. Rindu nak makan nasi lemak. Hihi..


@ KUALA LUMPUR INTERNATIONAL AIRPORT

Jam 7.30 malam flight mendarat dengan selamatnya di Kuala Lumpur International Airport. Alhamdulillah.. Lega bila dah sampai. Kami bersiap-siap untuk keluar dari flight. Bila dah duduk barisan depan, masa mendarat kenalah keluar dulu. Kalau tak jenuh nak menunggu sampai semua penumpang di barisan belakang keluar. Bila dah mula bergerak, nak ambil beg kat compartment atas kepala pun susah. Kami dah bersedia di lorong menunggu hingga cabin crew bagi semua penumpang keluar. Terima kasih kepada pilot dan cabin crew Royal Jordanian RJ180 yang memberikan layanan yang sebaiknya buat penumpang kelas ekonomi. Tiada apa-apa kejadian yang tidak diingini berlaku sepanjang perjalanan. Tak pasti la pulak kalau ada kejadian masa saya tidur. Hahah.. Apa pun kami dah jejakkan kaki di dalam terminal KLIA dengan selamatnya. Syukur.. Kami terus berjalan menuju ke luggage claim area untuk ambil beg. Alhamdulillah semua beg kami ada. Takut kejadian masa trip Scandinavia 2018 berulang lagi di mana satu beg kami tak dijumpai dan dikatakan telah masuk ke dalam flight lain menuju ke Australia. Nasib baik lepas 2 hari staff Qatar Airways hantar beg tu ke rumah kami tanpa ada kerosakan. Kenangan tu..

Flight route: From Bangkok to Kuala Lumpur

Done claim beg. Next, balik rumah...

Wife saya call van untuk ambil kami. Melihatkan kepada jumlah beg, memang tak muat nak order kereta 7-seater. Naik van pun cukup-cukup je muatnya. Huhu.. Kami mengucapkan terima kasih kepada Fa dan Abang Fikri kerana sudi join trip kami kali ni. Ini adalah trip yang ke 4 diorang join kami selepas Jepun (2013), Western Europe (2015) dan Scandinavia (2018). Nampaknya dah cukup serasi travel dengan couple ni. Harap-harap Fa dan Abang Fikri seronok mengembara dengan kami. Sebelum ni hanya trip couple je. Kali ni ada anak-anak sekali. Harap diorang ok dengan kerenah anak-anak kami. Moga berjumpa lagi untuk travel bersama ya.

Terima kasih Fa dan Abang Fikri. Best travel buddies..

Sementara menunggu van sampai, kami ke surau untuk solat dulu dan singgah minum di cafe yang terletak di arrival hall. Saya menghantar pocket wifi di booth Roaming Man. Terbaik juga guna pocket wifi ni, sepanjang hari ada line internet. In shaa Allah next trip boleh sewa lagi. Jam 9.15 malam barulah van sampai. Maklumlah hari Jumaat memang jalan jem. Kami mula angkat beg masuk ke dalam van. Nasib baik ngam semua beg boleh masuk di belakang van. Kalau tak terpaksalah anak-anak berkorban letak beg atas riba masing-masing. Alaa, dapat travel pergi London, takkan la beg atas riba dalam sejam pun tak boleh kan. Hihi..

Bas persiaran kot. Confirm takde beg atas riba. Hihi..


@ HOME SWEET HOME

Selesai masukkan beg dan duduk dalam van, perjalanan bermula menuju ke Kota Damansara. Highway NKVE agak lancar. Jam 10.30 malam kami dah sampai depan rumah. Anak-anak bantu keluarkan semua beg dan bawa masuk ke dalam rumah. Maka, tamatlah sudah perjalanan kami mencari pengalaman hidup yang amat bermakna di bumi England. Alhamdulillah tiada perkara yang buruk berlaku sepanjang kami berkelana. Moga anak-anak ingat pengalaman ni sampai bila-bila.

Banyak juga hasil dari bumi England..

Aktiviti kami diakhiri dengan makan malam sekeluarga. Nak makan kat luar macam malas. Apa lagi, wife terus keluarkan ayam dalam peti ais. Indah sungguh makan malam ni walaupun hanya berlaukkan ayam goreng dan telur goreng. Yang penting harga makanan malam ni bukan dalam pound sterling. Hahah. So, 2019 journey ends here. Moga ada lagi journey mencari pengalaman hidup untuk kami sekeluarga bagi tahun mendatang.

Supper. Simple tapi sedap yang amat. Kicap tu yang nikmat..

Wallahu ' alam..






Sunday, 7 April 2024

JJCP UK V2: Day 16 (Part #2)

 Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..


HARI/TARIKH:
@ KHAMIS, 12 DISEMBER 2019

LOKASI KEJADIAN:
@ ROYAL JORDANIAN RJ112
@ QUEEN ALIA INTERNATIONAL AIRPORT


@ ROYAL JORDANIAN RJ112

Jam 3.50 petang pintu gate dibuka dan kami beratur untuk masuk ke dalam flight. Agak ramai juga penumpang yang naik. Mesti full house flight hari ni. Sama seperti waktu pergi, saya duduk bersama Elysha dan Eiman manakala wife duduk dengan Eirfan dan Eimran. Cuaca di luar amat baik. Moga dipermudahkan perjalanan kami.

Amat bersih flight ni. Mungkin aircraft baru

Jam 4.10 petang flight kami sudah mula untuk take-off. Alhamdulillah, take-off yang lancar ke ruang udara London. Selamat tinggal London. Kami pasti merinduinya. In shaa Allah, jika diberikan kesempatan kami akan datang lagi ke sini. Banyak lagi lokasi menarik dan perkara yang kami belum explore lagi di bumi London. One of the best destination in Europe yang mesti kena jejak kaki walaupun sekali seumur hidup. Walaupun currency dia tak berapa nak best sebab terlalu tinggi, tapi ada je benda yang murah boleh dicari. Kena pandai 'menyelam' mencari sesuatu yang berharga dengan nilai yang berpatutan. Dah 2 kali saya dan wife ke sini, boleh dikatakan kami dah 'jatuh cinta' dengan London. Pasti akan datang lagi. Apapun kami bersyukur kerana trip kali ni dapat bawa anak-anak cipta pengalaman hidup baru buat diorang.

Thank you London! Best memories..

Seperti biasa, saya dah tak berminat nak layan movie dalam flight. Lebih kepada mencari lagu yang boleh memberikan ketenangan untuk tidur. Hihi.. Baru sejam flight di udara, kami dihidangkan makan malam. Tak sempat nak tidur dah kena makan. Hahah. Ok lah, Pilihan makanan adalah fish fillet dan daging barbeque. Boleh tahan sedap juga makanan yang dihidangkan. Saya pernah tengok video tentang flight untuk business dan first class. Makanan diorang lagi best la daripada economy class. Tapi pada saya macam tak berbaloi juga dengan harga tiket. Memang betul, kerusi lebih selesa, pilihan makanan lebih banyak dan layanan lebih istimewa daripada cabin crew. Tapi harga untuk satu tiket sampai boleh beli 3 atau 4 tiket ekonomi. Emm, economy still better sebab tetap naik flight dan destinasi yang sama. Kalau duit berkepuk tak tau nak buat apa boleh la beli tiket business atau first class. Ada juga teringin nak naik walaupun sekali. Buat masa ni stick pada economy class aje ya. One day tersepak seketul emas mungkin akan tercapai hajat untuk merasa naik business class. Hahah..

Dapat makanan macam ni pun dah cukup besyukur. Layann..

Bila perut dah kenyang baru sedap nak tidur sambil dengar lagu. Lampu dalam flight dipadamkan dan masing-masing melayan screen tv. Ada yang main game, ada juga yang off sebab tidur lebih bermakna. Saya berusaha juga untuk tidur sebab bila sampai di Amman nanti kami cuma transit sekejap je, dalam 3 jam 10 minit. Saya masih tak dapat nak adjust waktu tidur dalam flight agar tak kena jetlag bila sampai Malaysia. Trip sebelum ni mesti kena jetlag. Paling dikhuatiri berapa lama kena hadap jetlag tu. Kalau setakat sehari dua kira ok lagi. Ada member saya tu sampai seminggu tak elok-elok jetlag dia. Letih bila siang je mengantuk, malam terjaga dan susah nak tidur. Huhu.. Setakat ni paling maksimum pun 3 hari je saya kena jetlag. Harap kali ni dapat kurang dari 3 hari.

Flight route: From London to Amman

Berkali-kali saya terjaga dari tidur. Rasa tak selesa pula kali ni. Sampailah pilot maklum yang flight akan mendarat di Queen Alia International Airport dalam masa 10 minit. Nampaknya tak jadi la nak sambung tidur. Flight dari London ke Amman hanya mengambil masa 5 jam. Memang tak sempat nak tidur nyenyak. Waktu makan je dah sampai sejam. Takpe, next flight saya cuba tidur sekejap. Tak boleh tidur lama sebab kami dijangka sampai di KLIA nanti jam 7.25 malam. Kalau nyenyak sangat takut malam nanti kat rumah susah nak tidur. Cuba untuk elakkan jetlag sebaik mungkin dan kembali seperti kehidupan normal. Hihi..



@ QUEEN ALIA INTERNATIONAL AIRPORT

Flight Royal Jordanian RJ112 mendarat dengan selamat di Queen Alia International Airport pada jam 10.50 malam, awal 15 minit daripada waktu sebenar. Laju juga pilot ni bawak ye. Yang penting perjalanan lancar tanpa berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini. Kami bersiap untuk keluar dari flight dan menuju ke terminal. Kami terus ke gate yang akan kami naik flight berikutnya. Sambil tu sempat juga singgah cuci mata di kedai duty free. Setelah jumpa tempat duduk di gate, kami mencari surau untuk mengerjakan solat. Anak-anak semua ceria. Tak mengantuk ke diorang ni, especially Eirfan. Dia ni memang lain macam sikit hyper, tambah bila sampai tempat baru. Masih teringat lagi kejadian dia buka stokin masa cuaca sejuk. Selamba je dia ye. Takpelah nak, yang penting happy dan sihat sejahtera. Hehe..

Menunggu flight berikutnya untuk pulang ke pangkal jalan

Selesai solat, kami duduk menunggu di pintu gate. Ada lebih sejam lagi. Nak tidur pun tak berbaloi. Jadi pandai-pandai la semua habiskan masa menunggu ya. Saya ambil peluang untuk berjalan di kawasan sekitar. Ramai penumpang transit yang berselimut tidur menunggu flight masing-masing. Ini la antara perkara yang kena hadap bila beli tiket flight transit. Kalau transit lebih 8 jam boleh juga keluar meronda bandar terdekat. Kurang dari tu terpaksalah meronda dalam terminal je. Nak buat macam mana, tiket flight yang ada transit adalah yang paling murah berbanding direct flight. Next trip saya akan cuba pastikan transit panjang. Alang-alang dah transit kan, lebih baik ambil peluang untuk keluar dari airport dan jalan-jalan di bandar. Sekurangnya boleh masuk dalam list negara yang sudah dijejaki walaupun hanya transit. Untuk trip kali ni saya tak masukkan Jordan sebagai negara yang dah dijejaki sebab hanya berada dalam terminal. Saya akan pastikan next trip dapat keluar dari airport. Kena cari flight time yang terbaik. Itupun kalau ada lagi next trip. Hehe..

Wallahu 'alam..






Saturday, 6 April 2024

JJCP UK V2: Day 16 (Part #1)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..

HARI/TARIKH:
@KHAMIS, 12 DISEMBER 2019

LOKASI KEJADIAN:
@ HEATHROW AIRPORT


Jam 3.30 pagi saya terjaga dari tidur. Masih mengharap salji akan turun di malam terakhir kami untuk beri pengalaman pertama buat anak-anak. Confirm diorang bingkas bangun bila tau salji turun. Namun, impian tidak menjadi kenyataan. Saya jenguk melalui tingkap, tak nampak zarah putih halus yang turun dari langit. Tiada rezeki buat anak-anak. Takpelah, mungkin trip berikutnya nanti adalah rezeki buat anak-anak bermain salji.


Sejuk di luar, tapi tiada tanda salji akan turun

Saya sambung tidur semula menikmati mimpi malam terakhir di bumi London. Jam 6.00 pagi alarm berbunyi. Saya kejut anak-anak untuk mandi dan solat Subuh. Anak-anak bertanya ada tak salji turun malam tadi. Sorry sayang, tiada rezeki untuk trip kali ni. Next trip in shaa Allah ayah bawa tempat yang memang dah sedia ada salji ye, so tak perlu la nak hunting dan mengharapkan weather forecast. Berdoa agar ada rezeki sekeluarga untuk travel lagi, in shaa Allah. Dah selesai breakfast seadanya, saya sambung tidur semula. Wife turun ke bawah mencari barang-barang di kedai sekitar untuk kali terakhir. Masih sempat shopping sebab flight kami jam 4.05 petang. Jam 10.45 pagi saya dikejutkan. Wife dah selesai urusan di bawah dan kemas beg. Alhamdulillah semua beg kami penuh dan tak lebih muatan. Hehe.. Jam 11.20 pagi kami bersiap untuk check-out.


Babai bilik 230..

Semasa check-out, staff di kaunter maklum tentang train disruption di London pada hari ni. Akan ada beberapa tube underground yang delay dan mungkin tak beroperasi seperti normal. Rupanya memang kebiasaan di London pada hujung tahun di mana staff adakan mogok besar-besaran untuk naik gaji. Diorang mogok, kita pulak yang susah nak naik tube. Huhu.. Harap-harap tube kami ke Heathrow Airport takde masalah.

Aduhai.. kenapa la jadi macam ni ye..

Selesai urusan check-out, kami terus menuju ke Wembley Central Station. Hujai renyai turun membasahi bumi. Jam 11.30 pagi kami menunggu train sampai di platform. Penumpang lain dah mula ramai tapi train masih lagi belum sampai. Saya mula rasa tak sedap hati. Nampaknya kena fikirkan plan B, iaitu naik teksi yang mana kosnya sudah tentu mahal sebab jauh juga Heathrow Airport dari sini.Tapi nak buat macam mana. Takkan la nak terlepas flight pulak kan. Kerja gila tu. Mana nak cari duit beli tiket lain. Kalau tiket sorang boleh usaha lagi. Tapi kami 6 orang. Itupun belum tau lagi ada tiket yang available untuk hari ni. Harga pun dah tentu mahal. Macam-macam yang bermain di fikiran saya bila jadi keadaan begini. Tak senang duduk dibuatnya. Huhu..

Tabah menunggu. Terus berdoa agar train sampai dalam masa terdekat

Saya lihat pada screen info, ada train yang akan sampai. Cuma masa ketibaan berubah-ubah. Mula-mula bagitau lagi 10 minit. Bila tinggal 5 minit, masa berubah semula kepada 10 minit. Haduii, bergurau kasar sungguh screen info ni. Kelihatan ada penumpang lain yang keluar semula dari stesen, mungkin mencari altenatif lain. Setelah 30 minit menunggu, akhirnya jam 12.00 tengahari barulah tube Bakerloo Line sampai. Alhamdulillah. Tapi saya masih belum boleh menarik nafas lega lagi sebab Bakerloo Line hanya bawa kami sampai di Piccadilly Circus Station.


Lega bila dapat naik tube. Moga tiada masalah untuk tube seterusnya.

Kami sampai di Piccadilly Circus Station jam 12.35 tengahari. Kena bawa beg naik turun tangga untuk ke platform berikutnya. Nasib baik ada anak-anak. Memang diorang la kena bantu angkat beg. Dah bawak gi London kot. Takkan nak goyang kaki je. Banyak cantik. Hihi.. Kami menunggu 15 minit untuk tube Piccadilly Line sampai di platform. Peratus kelegaan makin bertambah, tapi mengharapkan jangan train ni buat hal berhenti lama kat setiap stesen. Bila mogok, macam-macam cara diorang boleh buat. Saja mencari pasal asalkan dapat naik gaji.

Let's jom to Heathrow Airport!

Tube route: From Wembley Central Station to Heathrow Airport


@ HEATHROW AIRPORT

Alhamdulillah, train berjalan dengan lancar. Jam 1.35 petang kami sampai di Heathrow Airport. Ada masa lagi sejam setengah sebelum kami board flight. Ada 2 perkara yang kami perlu selesaikan sebelum check-in. Saya ke baggage storage untuk mengambil beg kami yang disimpan masa sampai di sini 3 hari lepas. Wife saya pulak terus ke pejabat VAT Refunds yang terletak di sebelah pintu masuk Terminal 3. Tiada pelanggan lain berurusan di kaunter baggage storage. Staff terus ambil beg kami di dalam stor. Selesai satu urusan. Kita tengok pulak apa yang berlaku pada wife saya. Harap tak ramai orang yang berurusan di sana.

Sempat lagi bergambar kenangan di signboard Heathrow Terminal. Selesai ambil beg.

Saya terus ke pejabat VAT Refunds untuk melihat keadaan wife saya. Nampaknya masih ada 2 lagi pelanggan yang beratur depan dia. Masa dah semakin suntuk. Saya minta Fa dan Abang Fikri untuk check-in dulu. Sampai giliran, wife saya berurusan di kaunter. Hampir 20 minit juga wife saya berdiri kat kaunter. Lama sungguh diorang ni proses. Bukannya banyak pun resit yang kami claim. Nak buat camna, dah tentu kena proses resit satu-persatu sebab kedai lain-lain. Rugi kalau tak claim sebab agak tinggi juga percent refund dia. Bayangkan la barang yang dibeli dah murah, kemudian tambah lagi dengan claim VAT ni. Memang berbaloi. Selesai urusan claim, dengan langkah yang laju kami menuju ke kaunter check-in.

Selesai juga proses claim VAT

Kami sampai di kaunter check-in jam 2.50 petang. Kami adalah yang terakhir check-in. Staff yang bertugas siap maklum kami kena berjalan cepat ke boarding gate. Harap-harap sempat boarding katanya. Agak menakutkan juga ayat dia tu. Huhu.. Selesai check-in beg, kami berjalan laju menuju ke immigration counter dan terus mencari boarding gate. Nasib baik tak ramai orang. Tak sempat dah nak cuci mata kat kedai duty free. Masih segar dalam ingatan kami berlari di Copenhagen Airport masa nak ke Helsinki tahun lepas. Kenangan yang agak ngeri juga lah, tapi tetap manis untuk dikenang. Belajar daripada pengalaman.

Dah sampai boarding gate barulah 100% lega..

Sementara menunggu pintu gate dibuka, saya buat beberapa kesimpulan terhadap apa yang berlaku hari ni. Jangan main-main dengan masa bila nak naik flight. Sebab tu flight maklum kena sampai di airport sekurangnya 3 jam sebelum boarding. Dalam perjalanan kadang-kadang ada perkara yang tak diingini berlaku membuatkan diri jadi kelam kabut di airport. Antara penambahbaikan yang saya ambil maklum untuk next trip adalah jarak di antara hotel dan airport. Kalau boleh cari hotel yang mudah nak ke airport dan hanya perlu naik satu train je. Paling penting sampai awal di airport sebab boleh la uruskan claim dengan tenang dan jalan-jalan cuci mata kat kedai duty free. Lesson learned.

Wallahu 'alam..

Tuesday, 15 March 2022

JJCP UK V2: Day 15 (Part #3)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..


HARI/TARIKH:
@ RABU, 11 DISEMBER 2019

LOKASI KEJADIAN:
@ OXFORD STREET
@ SPICY BASIL


Alhamdulillah, tak sampai 10 minit menunggu akhirnya train Hammersmith & City Line tiba di platform. Ramai sungguh penumpang yang keluar dan masuk train. Kami terpaksa berhimpit untuk masuk. Nasib baik hanya satu stesen je kami di dalam train. Tak sampai 5 minit perjalanan, kami turun di Liverpool Street Station dan tukar kepada train yang lain. Keadaan di dalam stesen amat padat dengan orang ramai yang baru pulang dari kerja. Liverpool Street Station adalah antara stesen yang paling ramai penumpang kerana terdapat 4 train lines yang berhenti di sini.

Orang ramai mula pulang dari kerja

15 minit menunggu dan train Central Line tiba di platform. Kali ni lagi ramai penumpang yang naik. Terpaksalah kami berasak-asak dan pastikan semua anak-anak masuk ke dalam train. Dah la bawa stroller, lagi susah nak menyelit masuk. Huhu.. Nasiblah, janji dapat naik. Nak tunggu train berikutnya takut lambat dan orang makin ramai sebab sekarang memang waktu kemuncak untuk perkhidmatan train di London. Samalah macam di KL. Bila waktu balik kerja je bukan setakat jalan jem, naik train pun boleh sangkut. Kalau hujan lagilah teruk. Nasib baik la saya naik motor je pergi kerja. Hihi..

Tube route: From Aldgate East Station to Oxford Circus Station

Jam 6.25 petang setelah bersesak dalam train yang macam tin sardin, akhirnya train sampai di Oxford Circus Station. Lebih separuh penumpang yang turun di sini. Terus jadi lengang keadaan dalam train sebab tak ramai pun yang naik. Rupanya semua yang balik kerja nak bershopping kat Oxford Street dulu kot sebelum balik ke rumah. Lagi 2 minggu kan nak sambut Krismas. Sama je la keadaannya masa bulan puasa. Ramadhan dah separuh bulan mulalah bersemangat shopping untuk raya. Dulu mungkin semangat raya lain macam sebab mak dan ayah masih ada lagi. Sekarang sambut biasa-biasa je, lebih kepada menggembirakan hati anak-anak.


Jom jalan-jalan dan cuci mata kat sini


@ OXFORD STREET

Oxford Street, lokasi wajib kalau berada di London. Tak shopping pun takde masalah, hanya jalan-jalan cuci mata kerana di sinilah tempat yang paling happening di waktu malam. Sepanjang jalan di sini terdapat banyak butik-butik yang terkenal. Kepada yang kaki shopping tu standby jelah duit banyak-banyak ye. Hihi.. Kami keluar dari stesen bersama orang ramai. Seperti yang dijangka, Oxford Street penuh dengan manusia. Jalanraya pun dihiasi dengan dekorasi Krismas menambah keceriaan suasana di sekeliling. Nasib baik la kami ni tak bawak duit yang banyak. Misi hanya untuk menyambung pembelian dari pesanan rakan-rakan.

Malam masih muda. Baru pukul 6.30 petang. Hihi..

Di sini saya hanya tunjukkan lokasi butik yang wife saya nak masuk. Bila dia masuk, saya dan anak-anak tunggu di luar. Lagi seronok tengok gelagat orang ramai daripada tengok handbag. Hihi.. Eimran seperti biasa memang pantang nampak butik kasut. Semua kedai kasut dia masuk. Bila keluar dia akan buat muka teruja sambil terangkan kasut yang dia tengok kat dalam tu dengan harapan ayah dia akan kesian dan terpengaruh dengan pujuk rayu dia. Dah 3 pasang kasut dia beli. Belum campur kasut hitam sekolah lagi. Haishh, buat apa nak beli kasut banyak-banyak. Bukannya pakai setiap hari pun. Ayah yang bekerja ni pun dah bertahun-tahun pakai kasut yang sama. Cukup-cukup la ya anakku. Nanti kasut yang dibeli tu dah lusuh dan koyak, kita datang sini lagi dan beli ok. Hihi..

Meriah sungguh warna-warni di Oxford Street

Beberapa butik telah kami terjah dan ada hasil yang berjaya dibeli dari pesanan rakan-rakan. Tapi ada juga yang wife saya tak dapat cari kerana harga yang mahal atau tiada stok di butik. Kira tiada rezeki buat rakan-rakan untuk memiliki sesuatu dari London. Agak kagum juga kerana kaki kami langsung tak terasa lenguh walaupun berdiri di sepanjang masa. Biasanya kalau berada di tempat yang menyeronokkan memang tak terasa letih. Masa yang berlalu lebih 2 jam pun tak sedar. Cuma perut je lah mula lapar. Memang itu tujuannya supaya dapat makan malam sepuasnya kejap lagi. Hihi..

Walking route: London Central

Puas sungguh dapat jalan-jalan merasai suasana malam yang happening di Oxford Street. Wife pun puas hati dapat apa yang dicari. Seterusnya, kami masuk ke dalam Bond Street Station untuk ke destinasi berikutnya, iaitu sesi makan malam yang terakhir di London. 10 minit menunggu di platform, akhirnya jam 8.50 malam train Jubilee Line pun sampai. Tak ramai penumpang, boleh la duduk hingga sampai di stesen yang dituju. Lega sungguh bila dapat duduk setelah lebih 2 jam berdiri. Diorang semua tak tau turun dari train nanti kena jalan jauh lagi. Hihi.. Malam last kan, layankan aje lah..

Tube route: From Bond Street Station to Kilburn Station

Perjalanan yang sepatutnya hanya 5 minit je bertambah menjadi 15 minit. Memang terasa train bergerak dengan agak perlahan. Jam 9.05 malam train tiba di Kilburn Station. Anak-anak dah teruja nak makan malam. Keluar je dari stesen kelihatan beberapa restoran halal di sepanjang jalan. Semua teka restoran mana yang kami nak pergi. Setakat ni semuanya salah sebab restoran yang dituju masih jauh lagi. Hihi.. Nasib baik keadaan jalan agak menuruni bukit sedikit. Takdelah letih nak menapak. Makin lama keadaan jalan menjadi lengang dan banyak kedai yang dah tutup. Saya pulak yang menjadi risau kalau restoran yang dituju juga tutup. Punyalah jauh berjalan, sekali tak dapat makan. Memang hangin semuanya nanti sebab kena scam dengan saya. Hahah.. Kalau restoran yang dituju tutup, kita makan je lah kat mana-mana restoran halal yang kita lalu tadi. Habis cerita.

Banyak juga kedai dan restoran halal di sini


@ SPICY BASIL

Akhirnya, setelah 15 minit berjalan kaki, di depan kami kelihatan signboard restoran yang dituju dan masih bercahaya. Lega sebab tak kena scam dengan saya. Hihi.. Kedai-kedai lain di sekeliling restoran semuanya dah tutup. Ruang makan agak limited tetapi masih ada meja yang kosong untuk kami. Sebelum orang lain ambil tempat, dengan pantas kami masuk ke dalam. Kami disambut dengan mesra oleh pekerja restoran dan juga bau masakan yang sedap dari dapur yang terletak di belakang kaunter. Spicy Basil adalah restoran yang menyediakan masakan Thai. Daripada review yang saya baca, boleh dikatakan semua menu yang ditawarkan sedap dan rasanya asli dari Thailand. Yang penting ianya berstatus halal.

Walking route: From Kilburn Station to Spicy Basil

Alhamdulillah, dapat juga kami makan di sini

Kami melihat menu yang diberi. Disebabkan ini makan malam yang terakhir, jadi anak-anak boleh pilih nak makan apa saja. Saya order beef with ginger, garlic and spring onion yang berharga GBP7.00 untuk saya, spicy and sour chicken tom yum yang berharga GBP7.00 untuk wife, beef green curry berharga GBP7.00 untuk Eimran, beef noodle berharga GBP6.00 untuk Eiman, egg noodle berharga GBP5.50 untuk Elysha dan egg fried rice berharga GBP3.50 untuk Eirfan. Haaa, semua pilih menu yang lain. Barulah boleh curi rasa sikit. Hihi.. Untuk air saya order Thai tea berharga GBP2.00 dan 2 tin air gas berharga GBP2.40. Air mineral yang dibawa masih ada lagi untuk standby kalau masakan pedas. Hihi.. Sementara menunggu makanan kami sampai, 2 orang pekerja seronok melayan kerenah Eirfan. Dia terkejut sebab Eirfan tak pakai stokin. Saya pun tak tau macamana Eirfan boleh tahan dengan cuaca sejuk. Sepanjang dia duduk dalam stroller memang dia taknak pakai stokin. Lain macam struktur kulit budak ni. Hihi..

Harap-harap betul lah sedap seperti dalam review

10 minit menunggu, satu persatu makanan kami sampai di meja. Melihat kepada keseluruhan rupa bentuk makanan, memang nampak macam sedap. Kalau tak sedap saya pasti bagi bad review sebab bukannya murah makanan yang kami dah order. Setiap sorang satu menu pulak tu. Macam biasa, sebelum makan kita ambil bau dan gambar dulu. Bila semua makanan dah sampai di atas meja, barulah kami mulakan santapan. Bismillah..

Dari rupa memang nampak sedap

Satu suapan masuk ke dalam mulut. Aduhai, sedap yang amat!.. Rasanya memang original authentic Thai. Portion pun besar juga untuk satu menu. Saya rasa sikit kesemuanya. Memang terbaiklah makanan kat restoran ni. Benar 100% seperti yang saya baca dalam review. Walaupun harganya agak mahal, tapi amatlah berbaloi dengan saiz dan rasanya. Tak rugilah. Makan sampai ke butiran nasi yang terakhir, licin semua pinggan. Elysha dan Eiman yang tak kuat makan pun boleh habiskan. Jangan terpedaya dengan rupa nasi gorang telur Eirfan tu. Pada saya inilah antara nasi goreng simple yang paling sedap saya pernah makan dalam hidup.

Makanan di Spicy Basil amat terbaik..

Seronok dan puasnya kami dapat makan di Spicy Basil. Tak sia-sia jalan jauh untuk ke sini. By far, the best meals on this entire trip. Dah sampai hujung perjalanan baru jumpa makanan yang amat sedap. Save the best for last bak kata orang Cheruk Tokun. Hihi.. Serius memang puas hati dengan makanan yang dihidangkan. Saya pasti makanan kat sini akan kami ingati selamanya. Nanti bila terkenang tentang trip, mesti makanan kat Spicy Basil ni akan menjadi sebutan. Tukang cuci pinggan pun senang basuh pinggan kami sebab semuanya licin. Hahah.. Punyalah puas sampai tak sedar dah sejam kami berada di sini. Kesian pulak orang lain menunggu meja kosong untuk makan. Selesai buat bayaran dan mengucapkan berbanyak terima kasih kerana menyajikan makanan yang amat-amat sedap, jam 10.25 malam kami meninggalkan Spicy Basil menuju ke train station. Semua muka ada senyum.. Hihi..

Thank you Spicy Basil!..

Dari Spicy Basil kami teruskan berjalan kaki menuruni bukit menuju ke Kilburn Park Station. Tak perlu nak patah semula ke Kilburn Station. Suasana di sekeliling amat sunyi. Sampai di Kilburn Park Station pun sunyi. Hanya kami je penumpang yang ada di stesen. Takkan lah train dah stop perkhidmatan untuk hari ni. Huhu.. Nasib baik tak perlu menunggu lama. Tak sampai 5 minit, akhirnya train Bakerloo Line tiba di platform dan membawa kami terus ke Wembely Central Station. Dalam train pun hanya kami je yang berada di satu coach.

Waking route: From Spicy Basil to Kilburn Park Station

Malam terakhir naik train di London..

20 minit perjalanan dalam train, jam 11.20 malam kami tiba di Wembley Central Station. Masa touch oyster card, saya perasan harga tambang yang dikenakan amat rendah. Mungkin kerana dah lewat malam kot. Baguslah camtu. Nampaknya tak perlu nak topup oyster card lagi. Cukup rasanya nilai dalam kad tu sampai airport esok. Anak-anak cuba ajak ke Tesco Express lagi. Tak payah la, kenyang sangat dah ni. Esok awal-awal pagi kita masuk Tesco Express beli susu untuk breakfast ok. Nasib baik diorang akur. Memang kenyang sangat pun. Mata pun dah mula mengantuk. Mengikut weather forecast, tengah malam ni mungkin light snow akan turun tapi kebarangkalian yang tipis la. Kalau ada rezeki salji turun tengah malam ni kita turun beramai-ramai ya. Tak kiralah orang nak kata jakun ke tidak. Janji dapat merasa suasana salji turun dari langit. Hihi..

Tube route: From Kilburn Park Station to Wembley Central Station

Sampai di bilik, kami bersihkan diri dan solat qada serta jamak. Malam ni mungkin tidur lewat sebab nak mengemas beg. Kena pastikan masih ada ruang lagi tak untuk kami isikan barang bagi sampai berat yang maksimum untuk naik flight. Anak-anak layan tv sambil melihat ke luar kalau betul salji turun malam ni. Selesai mengemas, nampaknya masih ada banyak lagi ruang yang boleh diisi. Esok pagi boleh la kami sambung shopping sekejap di bawah sebelum check-out. Hihi.. Tak tahu pukul berapa, anak-anak semuanya dah tertidur dan kecewa tiada salji yang turun. Maka saya dan wife pun tidur sekali. Tamat sudah perjalanan harian terakhir kami di bumi London. Moga dipermudahkan urusan kami pada esok hari.

Kasi pack semuanya..


Wallahu 'alam..