Monday 27 January 2020

Hobi lama tak habis lagi, dah tambah hobi yang baru..

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..


Habis je trip Scandiscovery dan selesai urusan mengemas semua beg serta kembali dengan kehidupan normal, tetiba saya terdetik untuk mulakan hobi baru. Katanya nak mula bila dah tak collect Starbucks Citymug sebab mug You Are Here Collection dah stop production. Tapi belum official stop lagi dah tambah hobi baru. Tak sabar nampaknya. Huhu.. Sebenarnya ini bukanlah hobi terbaru, tetapi lebih kepada menyusun semula kenangan supaya nampak lebih cantik dan teratur. Sebelum ni duit baki travel saya daripada trip Australia pada 2011 hinggalah yang terbaru ni saya simpan dalam satu kotak. Duit kertas dan syiling semuanya bercampur. Jadi saya terfikir lebih baik wujudkan satu album khas untuk semua duit baki ni sebagai satu koleksi kenangan. Mula-mula saya guna photo album biasa. Nampak tak kemas dan duit syiling tak tau macamana nak letak dalam album tu.

Nampak tak menarik sebab ruang duit tu besar. Huhu..
Tak jadi pakai album biasa, saya tukar kepada album yang lekat macam sticker tu. Bila letak duit kertas nampak kemas tapi duit syiling pulak buat hal. Tak kuat sticker pada album tu. Akhir sekali saya search dalam internet dan jumpa bermacam jenis album khas untuk duit. Masalahnya banyak pulak pilihan dan harga berbeza-beza. Bila tengok dalam Lazada atau Shopee ada yang teramat murah sampai tak masuk akal. Saya tak berapa gemar beli online ni. Takut barang lain yang sampai nanti. Huhu.. Jadi saya tengok kat mudah.my dan jumpa satu iklan menjual money album dan aksesori yang berkaitan. Harga pun boleh tahan berpatutan. Yang paling penting ada kedai untuk saya datang dan tengok dulu.

Jumpa iklan dalam mudah.my
Saya call nombor yang tertera dan bertanya tentang lokasi kedai di Taman Connaught, Cheras. Tengok pada map yang dihantar, bukan kedai alat tulis atau kedai yang seangkatan dengannya, tetapi kedai hardware. Macam tak kena je kedai hardware jual money album. Takkan kena tipu kot. Huhu.. Takpe, saya pergi dan survey dulu jika betul kedai hardware tu ada menjual money album. Kalau salah kira rugi duit minyak dan tol la jawabnya. Hehe.. Tak cuba tak tahu. Harap-harap betul la wujud money album kat situ. Esok saya ke sana sebab kedai buka hari Sabtu hingga jam 6.00 petang.

Ini kedainya yang terletak di Taman Connaught. Money album sejenis hardware ke? Huhu..
Sampai di kedai, saya bertanya pada tuan kedai tentang money album. Malu nak cakap sebenarnya sebab takut iklan dalam mudah tu scam. Tuan kedai tanya mana saya tau tentang money album ada dijual di sini. Saya bagitau la tengok kat mudah.my dan saya yang call semalam. Tuan kedai tu kata memang ada jual money album kat sini. Saya tanya tentang money album serta beberapa aksesori lain. Saya tanya berapa harga dan dia suruh saya refer dalam mudah.my. Money album berserta dengan 10 pcs refill x 3 row berharga RM35.00. Kemudian saya tanya tentang apa kegunaan money sleeve jika dah ada refill tu. Rupanya money sleeve ni untuk bagi extra protection pada duit dan bagi nampak lagi kemas dalam album. Baru faham. Hehe.. Ada banyak saiz untuk money sleeve, ikut pada saiz duit kertas. Setakat ni duit Jepun paling besar yang saya ada. Daripada semua pilihan, saiz 6 boleh muat untuk semua duit saya. Jadi saya beli 2 pack (100 pcs) berharga RM6.00. Coin holder saya beli 2 saiz, 29mm (50 pcs) dan 31.5mm (50 pcs) yang berharga RM6.00. Untuk refill, saya tambah lagi 10 pcs untuk duit kertas (RM2.00/pc) dan 10 pcs untuk duit syiling (RM2.00/pcs). Jadi kesemuanya berharga RM87.00 untuk hobi terbaru saya. Hihi..

Siap beli aksesori sekali. Baru nampak menarik money album saya. Hehe..
Sebelum saya keluar, tuan kedai tanya kalau saya berminat nak beli duit istimewa. Patutlah dia ada jual money album dan aksesori, rupanya dia jual duit special. Semua duit Malaysia bernombor siri yang cantik dan rare dia jual. Takpelah, saya simpan duit yang saya travel je. Nanti bila refill dah habis saya datang lagi ya. Hehe.. Sampai di rumah terus saya mulakan aktiviti menyusun duit dalam album mengikut negara yang saya pergi sejak tahun 2011. Untuk menambah seri album, saya buat label bagi setiap duit dan page separator. Sanggup buat demi hobi terbaru ni. Hehe.. Seharian saya duduk kat meja study mengerjakan album. Akhirnya selepas 7 jam barulah siap semuanya. Puas hati saya. Hihi..

Duit oversea pertama yang saya simpan
Currency paling tinggi setakat ni
Setiap page hanya 3 keping duit je
Duit terbaru. Bahagian depan dan belakang duit
Guna coin holder pada setiap duit syiling
Bahagian depan dan belakang dilabelkan
Walaupun tak berapa kemas dan ada juga duit yang tak tersusun secara simetri, kira berbaloi jugalah habiskan masa untuk menyiapkannya. Dah boleh simpan elok-elok untuk kenangan. Next trip kena pastikan simpan siap-siap duit nominal paling kecik. Nak simpan semua nilai memang tak dapat la. Setakat duit Indonesia Rupiah dan Vietnam Dong boleh lagi sebab nilai tak tinggi sangat. Hehe.. Dengan terbitnya money album ni, secara rasminya saya ada hobi yang baru. Moga bertambah lagi duit dalam album ni dalam masa yang terdekat. Wallahu 'alam..

My money album

JJCP Scandiscovery: Souvenirs & Collectibles Items

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..


Seperti biasa, setiap kali travel saya pasti akan tambah koleksi peribadi saya iaitu t-shirt Hard Rock Cafe dan juga Starbucks Citymug. Tak lupa juga souvenirs untuk diri sendiri dan kawan rapat saya. Nak beli untuk semua kenalan macam tak logik pula. Hehe.. Daripada sumber maklumat kaki travel, memang betul souvenirs untuk kawan-kawan bukanlah perkara wajib beli setiap kali travel. Ia hanya sebagai tanda ikhlas dan kenangan. Itupun bergantung kepada duit lebih yang dibawa. Macam saya yang travel bajet ni faham-fahamlah ye. Nak beli untuk diri sendiri pun kadang-kadang kena fikir 2-3 kali. T-shirt yang bertulisan I Love Denmark dan seangkatan dengannya memang tak beli dah. Macam tak berbaloi jika lihat material baju tu dengan harga yang dijual. Di Scandinavia harga seketul fridge magnet pun boleh tahan mahalnya. Telan air liur dibuatnya bila lihat harga yang tertera. Huhu..

Cantik dipandang. Sebelum beli tanya harga dulu ye. Hihi..

# FRIDGE MAGNETS

Saya lebih gemar beli fridge magnets untuk kenangan saya berbanding key-chain. Dulu beli key-chain selalu sangat tertanggal dan hilang entah ke mana. Kalau fridge magnets selamat sikit sebab ia akan sentiasa melekat. Ada juga yang melekat kuat sampai ada kesan kat dinding bila dicabut. Takpe, biar ia melekat selamanya kat situ. Hehe.. Dulu masa travel 2-3 negara, saya letakkan di pintu peti ais. Bila dah pergi banyak negara jadi tak muat. Letak bawah sangat nanti anak-anak pulak suka cabut. Bila cari jumpa kat celah katil, almari dan mana-mana celah yang ada dalam rumah. Selalunya bila jumpa je mesti dah pecah. Diorang ingat fridge magnets tu salah satu mainan kanak-kanak agaknya. Huhu..

Ini je fridge magnets yang tinggal. Yang lain dah bagi kat kawan-kawan.
Untuk mengelakkan masalah dari hilang dan pecah kerana dicabut oleh ahli keluarga sendiri, jadi saya terpaksa pindahkan semua fridge magnets saya ke tempat yang lebih selamat, iaitu tinggi dari dicapai oleh anak-anak saya yang masih belum dapat terima kenyataan bahawa fridge magnets bukanlah sejenis permainan. Dah besar sikit nanti in shaa Allah diorang faham. Hehe.. Saya beli papan magnet di Ikea dan gantung di sepanjang dinding dapur saya. Jadi setiap kali pergi dapur mesti nampak fridge magnet dan terkenang. Sambil masak dan basuh pinggan pun boleh tersenyum sorang diri. Fridge magnet kena tukar nama kepada wall magnet sebab tak letak kat fridge. Hehe..

Banyak tempat kosong lagi tu. Tanda-tanda kena travel lagi. Hehe..

# STARBUCKS CITYMUG

Pencarian koleksi starbucks citymug diteruskan walaupun design You Are Here Collection dah mula diberhentikan produksinya seperti yang saya baca dalam website. Yang tinggal sekarang ni cuma nak habiskan stok lama. Lepas ni tak tau jika Starbucks akan keluarkan lagi mug yang ada tulisan bandar untuk saya teruskan hobi mengumpul. Andai dah takde lagi saya boleh la bagi souvenir kat kawan-kawan yang memang peminat tegar kopi Starbucks sebagai kenangan. Saya dah boleh mula fikir untuk cari hobi lain pulak. Hihi.. Daripada 5 bandar utama yang saya pergi sepanjang trip, hanya bandar ibu negara je yang masih ada lagi Starbucks citymug. Di Gothenburg bukan citymug yang takde, tapi dengan Starbucks sekali dah tutup. Huhu.. Takpe, cukuplah 4 citymug yang saya berjaya jumpa dan kumpul buat koleksi.

Complete 4 ibu negara Scandinavia yang berjaya dikumpul

# HARD ROCK CAFE

Ini koleksi yang paling banyak saya kumpul setakat ni. Pernah juga terfikir nak kumpul shot glass tapi macam payah je nak cari semula semua Hard Rock yang saya dah pergi. Jadi saya teruskan dengan mengumpul t-shirt je. Kali ni ramai juga kawan-kawan peminat tegar Hard Rock yang memesan sebab bukan senang nak dapat t-shirt dari Scandinavia especially Helsinki. Dah alang-alang saya beli untuk koleksi, apa salahnya belikan untuk kawan-kawan. Nak bagi sebagai souvenir macam sukar je sebab bukan murah harga barangan Hard Rock ni. Once dah mula mengumpul memang susah nak berhenti. Maka terpaksa teruskan jua hobi ini walaupun perit untuk keluarkan duit dalam wallet. Huhu.. Gambar di bawah adalah semua barangan Hard Rock yang saya beli. Tapi untuk saya sehelai je bagi setiap Hard Rock yang dilawati. Yang lain adalah pesanan kawan-kawan. Terima kasih kerana berurusan dengan saya. Hihi..

Hard Rock Cafe Copenhagen. Salah satu merah tu saya punya.
Hard Rock Cafe Helsinki. Saya punya yang bawah kiri tu
Hard Rock Cafe Gothenburg. Hitam itu saya punya.
Hard Rock Cafe Oslo. City Tee warna hitam tu pilihan saya.
Hard Rock Cafe Stockholm. Yang merah itu rare dan saya punya. Hihi..
Bertambah lagi 5 koleksi t-shirt dari Hard Rock, menjadikan kesemuanya 30 Hard Rock Cafe saya dah terjah setakat ni, and it still counting. Setiap kali masa bayar, saya dan wife akan minta jika ada souvenir lain yang boleh kami dapat. Kalau nasib baik dan staff bertugas dalam mood yang ceria, kadang-kadang boleh dapat macam-macam merchandise Hard Rock percuma. Dah beli banyak, takkan la tak dapat free gift. Masa di Singapore dulu saya dapat lebih 30 button batch. Habis semuanya saya bagi kat kawan-kawan sebagai souvenirs. Hehe..

Fridge magnet dan gelas tu pesanan kawan. Yang lain semua free gift. Hihi.. Tq HRC!..
Yang ni free gift paling special kerana staff salah faham. Hehe..
Selesai sudah perkongsian souvenir dan collectible items yang saya dapat di bumi Scandinavia. Bukan material yang menjadi keutamaan, tetapi kenangan dan pengalaman hidup yang diperolehi membuatkan kita lebih memahami akan kehidupan sebagai khalifah di muka bumi milik Allah. Bersyukur dengan apa yang telah dicapai. Ada rezeki saya akan terus berkelana. Moga diberikan kesihatan yang baik. Bukan semua orang suka travel jalan-jalan cari pengalaman ke luar negara walaupun duit simpanan mencecah 6 angka. Minat masing-masing. Alhamdulillah saya minat pada travel kerana dengan berkelana minda saya lebih terbuka luas untuk memahami dunia. Lepas ni nak ke mana pulak agaknya ya? Bergantung pada tiket flight. Mana yang murah dari kebiasaan dan kena pada tarikh kita grab terus. Hihi.. Wallahu 'alam..

Friday 24 January 2020

JJCP Scandiscovery: Post Mortem

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..


Alhamdulillah, setelah terima dan bayar tol Norway pada Ogos 2019, maka berakhirlah secara rasminya trip saya ke bumi Scandinavia. Baru boleh kira keseluruhan kos di sana. Hihi.. Bukan apa, memang ada pembaca yang whatsapp dan emel saya bertanyakan tentang kos travel. Jadi kenalah tunggu sampai selesai semua pembayaran wajib di sana. Penantian selama 8 bulan dengan mengharapkan agar mereka terlupa nampaknya tidak menjadi kenyataan. Bayar tetap kena bayar. Jangan malukan nama Malaysia. Hihi.. Seperti biasa, post mortem tetap kena buat setiap kali selesai trip. Ianya sebagai maklumat tambahan secara ringkas kepada sesiapa yang ingin travel. Walaupun pandangan masing-masing berbeza, sekurangnya dapatlah buat persiapan awal untuk menghadapinya. In shaa Allah..

Kenangan yang takkan dilupakan..

# KOS

Kos wajib keseluruhan saya di sana dikira bermula dari naik kereta Hakim ke KLIA sampailah dia hantar semula ke rumah di hari terakhir. Tiket flight, sewa kereta, diesel dan perbelanjaan makanan di sana juga dah dikira sekali. Jumlah keseluruhan untuk seorang adalah:


Agak-agak berbaloi tak kos wajib sebanyak ni untuk trip selama 18 hari? Tepuk dada tanya selera masing-masing ye. Pada saya ianya amat cukup berbaloi. Rasanya takkan dapat kos macam ni jika pergi dengan mana-mana travel agent. Cuma trip saya tak masuk tempat-tempat yang berbayar, kecuali tempat yang wajib untuk dilawati dan paling rare. Kos ini boleh lagi dikurangkan jika makanan dimasak dan dibawa bekal setiap hari. Faktor harga tiket flight juga boleh mempengaruhi kos. Tak dapat saya bayangkan dengan kos sebanyak ni saya dapat naik flight return dari KL ke Copenhagen dan dari Copenhagen ke Helsinki. Dapat naik Qatar, Norwegian dan Scandinavian Airlines. Fuhh, cukup berbaloi.

Tq Qatar, Norwegian dan Scandinavian Airlines

# KEPUASAN

Maunya tak puas? Trip 18 hari tuu. Hehe.. Ini adalah pengalaman travel saya yang paling terbaik setakat ni. Dengan cuaca yang super sejuk dan memandu dalam keadaan jalan yang penuh salji dan amat mencabar menjadikan trip ni amat memuaskan hati saya. Boleh dikatakan banyak pengalaman hidup baru yang saya dapat selama 18 hari berkelana di bumi Scandinavia ni. Perjalanan dalam flight amat lancar, kereta dalam keadaan yang terbaik sepanjang penyewaan dan yang paling best adalah pemandangan bumi Allah yang amat cantik dan sangat mengujakan. Total mileage saya bawa kereta adalah sejauh 3540 km. Walaupun tidak sejauh saya memandu ketika trip ke Western Europe dulu (4501 km), tetapi tak terkira berapa banyak kali saya ucapkan Subhanallah setiap kali melihat pemandangan cantik di sana. Dapat pula kawan-kawan travel yang sekepala, lagi seronok dan puas hati. Sebab tu kena pastikan betul-betul ciri travel partner yang kita nak bawa, sebab ada orang tak appreciate sangat dengan pemandangan kerana shopping lebih memuaskan hati. Hehe..

Shopping kat mana-mana pun boleh, tapi pemandangan macam ni memang takde di Malaysia

# TERKILAN

Sebenarnya takde apa pun yang membuatkan saya terkilan. Semua yang dirancang berjalan dengan baik. Saya dapat merasa semua yang saya inginkan ketika di sana. Saya tak mencari aurora kerana memang saya tak berniat pun masa menyediakan itinerary. Walaupun saya hanya perlu memandu beberapa jam ke utara Norway untuk melihatnya, tapi saya dah set untuk melihat aurora masa trip ke Iceland nanti sebagai pelengkap menjejakkan kaki di semua negara Scandinavia. Tarikh belum ada lagi, tapi niat tu tetap ada. Hihi.. Ada peluang dan kesempatan serta masih diberi kesihatan yang baik, in shaa Allah saya akan sampai jua di Iceland.

Misi utama ke Stegastein Viewpoint telah berjaya direalisasikan

# RAKYAT

Secara keseluruhan memang betul seperti yang dikatakan dalam laporan UN di mana semua negara Scandinavia mendapat ranking Top-10 kategori World's Happiness Countries. Kami rasa amat tenang dan selamat sepanjang berada di sana. Bila ditanya mereka akan cuba bantu dengan senyuman. Nasib baik diorang gunakan English dalam perbualan. Senang sikit nak bertanya dan bercakap. Hihi.. Setiap kali travel yang membuatkan saya paling risau jika kami akan sentiasa dipandang sebab bukan locals. Maklumlah muka Asia pekat kami tak boleh nak ubah dah. Hihi.. Tapi di sini diorang takde pun nak pandang-pandang, ibarat seperti kami juga adalah locals. Komuniti Muslim di sana juga bagus. Setiap kali kami masuk ke dalam masjid mesti akan ada jemaah yang memberi salam dan menegur kami. Ditambah pula kali ni first time kami gunakan AirBnb dan menyewa homestay. Tuan rumah yang kami jumpa semuanya amat friendly kecuali rumah terakhir di Copenhagen yang agak meragukan. Hehe..

Semua negara Scandinavia berada di Top-10

# SHOPPING

Scandinavia bukanlah negara yang sesuai untuk bershopping berbanding UK dan US serta negara Asia yang lain seperti Vietnam dan juga Indonesia. Tak dinafikan harga barang di sana amatlah mahal dan pilihan pun kurang. Nak beli t-shirt sehelai bertulisan I Love Denmark pun kena fikir dan congak duit baki yang ada. Walaupun di sana boleh claim tax refund tapi nilainya berubah-ubah mengikut kedai. Ada kedai yang kena beli sampai beratus-ratus baru boleh claim. Ada juga yang langsung tak boleh claim walaupun beli sampai beribu. Huhu.. Kami tak sempat nak claim di kaunter masa balik haritu dan kena masukkan dalam peti surat. Seperti yang dijangka, hanya separuh je yang kami dapat claim. Yang lain cuma penat menulis je. Huhu.. Sebab tu saya tak gemar kalau claim tax refund melalui pos. Lebih baik beratur di kaunter dan berurusan terus dengan pegawai. Masa tu juga boleh tau berapa banyak yang kami dapat claim. Benda dah berlaku, terima je lah berapa amaun pun yang diberi. Huhu..

Ini je tax refund yang saya dapat. Yang lain melepas begitu saja. Huhu..

# KESELAMATAN

Selain dari negara yang happy, Scandinavia juga selamat kepada pengunjung dan pelancong. Tak perlu risau jika berada di bandar hingga tengah malam melainkan seorang diri. Kalau boleh jauhkan diri dari kawasan pub sebab ramai orang mabuk. Takut nanti berlaku kejadian yang tak diingini. Crime ada di mana-mana. Alhamdulillah masa kami di sana semua tempat berada dalam keadaan yang stabil. Walaupun nampak tenang, tapi saya tetap juga letakkan wallet di poket depan. Kena sentiasa alert sebab aktiviti pickpocket tak dapat dijangka. Kejadian rusuhan atau kes rompak dan bunuh juga jarang berlaku di sana. Tapi tetap kena hati-hati. Mungkin ketika saya di sana, saya berada in the right place at the right time. Antara perkara yang merisaukan saya ialah berkaitan agama. Saya ada terbaca tentang sekumpulan minoriti yang agak fanatik menentang Muslim di sana. Walaupun ianya isu biasa di negara Eropah, alhamdulillah kami dapat solat dengan aman di semua masjid yang kami pergi.

Malam terakhir kami stay sampai lewat malam di bandar Copenhagen. Tenang semuanya..

# KESELURUHAN

Secara keseluruhannya, negara Scandinavia amat unik pada saya. Lain macam penangannya. Lama juga la saya dan wife nak move-on sebab selalu teringat kenangan di sana. Hihi.. It's a wonderful countries. Memang tak ramai yang pernah menjejakkan kaki di sana. Kepada yang belum pergi lagi, anda amat digalakkan untuk merasai pengalaman di sana especially masa musim winter. Kali ni bukan biasa-biasa tahap kesejukannya. Saya yang boleh dikatakan berkulit tebal pun tak tahan sejuk walaupun dah pakai sepasang pakaian winter yang lengkap. Huhu.. Bukan nak riak, tapi setakat cuaca dan suhu belum sampai paras negatif saya boleh lagi pakai light jacket tanpa longjohn. Sebenarnya saya rimas nak pakai tebal-tebal ni. Tapi di Scandinavia kalau boleh nak pakai 2 lapis longjohn. Sejuk tak terkata. Nak buka glove untuk ambil gambar pun sekejap je boleh tahan. Huhu.. Scandinavia menjanjikan satu pengalaman hidup yang terindah. Saya pasti akan ingat sampai bila-bila. Terima kasih kepada Fa, Abg Fikri, Rama dan Sue kerana sudi join trip saya. Harap tak menyesal ye. Hehe.. Tak lupa juga pada my lovely wife yang sentiasa setia menjadi co-driver dan tukang kejut saya dari tidur. Hihi..

Thank you Scandinavia!..
Selesai sudah penceritaan saya tentang Scandinavia. Harap dapat dijadikan panduan berguna kepada sesiapa yang nak travel ke sana. Seronok sebenarnya bila dapat kongsikan pengalaman kepada pembaca. So, bila next trip? Banyak lagi wishlist yang belum tertunai ni. In shaa Allah, ada peluang dan kesempatan maka akan adalah rancangan berikutnya. Stay tuned!.. Wallahu 'alam..

Thank you guys kerana join trip saya.. Korang memang ohsemm..

MY POINT OF VIEWS

Only based from my own experience, where I went and what I do. It does not represent the whole country


# DENMARK

@ LOCALS: 9/10
    - Mind your own business. Amat friendly dan membantu.

@ LANGUAGE: 9/10
    - Takde masalah sebab semua boleh speaking. Mudah nak faham.

@ SCENERY: 8.5/10
    - Cantik dan sejuk mata memandang. Banyak tanah lapang sebab takde gunung.

@ CLEANLINESS: 9/10
    - Susah nak jumpa sampah. Buang ikut kategori sampah ye.

@ PUBLIC TOILET: 7/10
    - Bersih. Rating rendah sebab susah nak jumpa bila diperlukan ketika kecemasan.

@ PUBLIC TRANSPORT: 8/10
    - First time naik public transport tanpa perlu validate ticket.

@ ACCOMODATION: 9/10
    - Best rupanya tidur kat homestay. Macam-macam facilities boleh guna.

@ ISLAMIC: 6/10
    - As usual. Golongan minoriti, lokasi masjid pun limited.

@ HALAL FOODS: 6/10
    - Banyak kedai menjual barangan halal di sini. Kedai makan pun banyak juga.

@ CURRENCY: 7/10
    - Guna Danish Krone. Nampak macam rendah nilainya, tapi harga barang tinggi.

@ SHOPPING: 5/10
    - Tak sesuai kecuali kedai 2nd hand. Baik pergi UK kalau betul-betul nak shopping.

@ WEATHER: 8.5/10
    - Rating tinggi kerana saya suka winter. Best layan sejuk seminggu dua dalam setahun.

@ REPEAT: 8/10
    - Likely to repeat. Best layan suasana dan pemandangan kat sini.

@ OVERALL: 8.5/10
    - Nice country, nice people.


# FINLAND

@ LOCALS: 8/10
    - Penduduk tak ramai. Muka nampak garang tapi agak friendly bila berborak.

@ LANGUAGE: 9/10
    - English speaking. Senang nak faham.

@ SCENERY: 7.5/10
    - Bandar Helsinki biasa je. Kalau nak cantik kena pergi Lapland.

@ CLEANLINESS: 9/10
    - Sentiasa bersih walaupun hujan.

@ PUBLIC TOILET: 7/10
    - Bersih. Juga sukar nak cari sebab limited.

@ PUBLIC TRANSPORT: 8/10
    - Mudah faham cara naik dan turun ke destinasi tujuan.

@ ACCOMODATION: 7/10
    - Sukar nak cari harga homestay yang berpatutan.

@ ISLAMIC: 6/10
    - Ada masjid di tengah bandar. Susah nak jumpa muslim di sini.

@ HALAL FOODS: 6/10
    - Kedai barangan halal dan kedai makan agak limited.

@ CURRENCY: 6/10
    - Guna Euro. Boleh tahan mahal harga barang kat sini.

@ SHOPPING: 5/10
    - Tak sesuai dan tak banyak pilihan.

@ WEATHER: 8.5/10
    - Sejuk yang masih boleh diampunkan lagi.

@ REPEAT: 8/10
    - Mungkin, tapi ke tempat lain seperti Lapland. Helsinki tak menarik sangat.

@ OVERALL: 8.5/10
    - Bandar Helsinki kurang penduduk. Tenang sepanjang masa.



# NORWAY

@ LOCALS: 8/10
    - Penduduk di bandar Oslo tak ramai. Quite friendly orangnya.

@ LANGUAGE: 9/10
    - English. Mudah faham.

@ SCENERY: 7.5/10
    - Holmenkollen dan Flam view menarik. Stegastein Viewpoint amat superb.

@ CLEANLINESS: 9/10
    - Bersih tanpa sampah.

@ PUBLIC TOILET: 7/10
    - Sukar nak cari public toilet bila memerlukan. Bersih.

@ PUBLIC TRANSPORT: 8/10
    - Amat mudah naik train di bandar Oslo.

@ ACCOMODATION: 7/10
    - Untuk harga yang berpatutan kena cari di luar bandar Oslo.

@ ISLAMIC: 6/10
    - Di bandar ada masjid. Tapi di kawasan pedalaman memang takde.

@ HALAL FOODS: 6/10
    - Sama, kat kawasan kampung seperti Flam takde makanan halal.

@ CURRENCY: 6/10
    - Norwegian Krone. Boleh tahan mahal juga harga barang kat sini.

@ SHOPPING: 5/10
    - Tak banyak yang menarik. Better ke UK kalau misi utama untuk shopping.

@ WEATHER: 9/10
    - Musim winter teramatlah sejuknya. Cuaca paling sejuk -16deg.

@ REPEAT: 8/10
    - Mungkin, tapi akan ke utara Norway untuk lihat aurora jika berkesempatan.

@ OVERALL: 8.5/10
    - Bandar Oslo suram seperti Helsinki. Tapi kawasan kampung amat cantik.



# SWEDEN

@ LOCALS: 8/10
    - Penduduk agak padat di Gothenburg dan Stockholm. Friendly juga.

@ LANGUAGE: 9/10
    - Thank God it's English.

@ SCENERY: 8/10
    - Bandar Stockholm paling cantik daripada semua bandar yang saya pergi.

@ CLEANLINESS: 9/10
    - Bersih. Kena masukkan jenis sampah ikut tong kalau taknak kena kompaun.

@ PUBLIC TOILET: 7/10
    - Public toilet agak limited. Agak sukar untuk mencarinya.

@ PUBLIC TRANSPORT: 8/10
    - User friendly. Semua tempat menarik accessible by train and tram.

@ ACCOMODATION: 7/10
    - Kena cari outskirt untuk harga yang masuk akal. AirBnb is the best option.

@ ISLAMIC: 7/10
    - Banyak masjid di bandar dan juga kawasan kampung.

@ HALAL FOODS: 7/10
    - Paling mudah nak cari dari semua negara Scandinavia.

@ CURRENCY: 6/10
    - Swedish Krona. Sama seperti negara jirannya.

@ SHOPPING: 6/10
    - Untuk souvenir, di Stockholm paling murah berbanding bandar yang lain.

@ WEATHER: 9/10
    - Love the weather. Suram dan sejuk.

@ REPEAT: 8/10
    - Mungkin, sebab banyak tempat menarik yang boleh explore di Sweden.

@ OVERALL: 8.5.5/10
    - Bandar Stockholm quite happening. Banyak tempat menarik untuk dilawati.

Saturday 18 January 2020

JJCP Scandiscovery: Surat tol Norway sudah sampai..

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..


Alhamdulillah selesai sudah penceritaan saya mengenai trip Scandinavia yang paling mengujakan dalam hidup saya. Tak sangka sebenarnya saya sudah jejakkan kaki di bumi Scandinavia. Dengan living cost yang tinggi di sana, dapat juga saya manage budget bermula dari persiapan hinggalah sampai ke penghujungnya. Nak kira kos keseluruhan tak boleh lagi sebab ada satu lagi kos yang belum diketahui iaitu caj tol di Norway. Pihak Europcar kata diorang akan emelkan jumlah keseluruhan kos tol yang kami lalu di Norway. Saya pun tunggu la dengan harapan tak dapat apa-apa emel dari sana. Hehe.. Akhirnya pada 8 Ogos 2019, di waktu petang yang panas terik, bukan emel yang saya dapat, tapi surat yang sampai. Tengok pada surat, kenapa dari Sweden, bukan Norway? Pelik betul lah. Tapi yang pastinya ini adalah surat tentang caj tol di Norway. Belum bukak pun dah boleh tau. Kena bayar juga akhirnya. Huhu..

First time dapat surat dari Sweden. Hehe..
Dengan harapan agar bayaran yang dikenakan tak tinggi, saya buka surat tersebut. Jumlah yang saya kena bayar adalah USD23.56. Yang kelakarnya saya kena tol kat Norway, surat yang sampai dari Sweden, company tol dari UK, bayaran dalam USD, dan alamat rumah saya di Singapore. Fuhh, banyak negara yang terlibat ni. Kelakar atau tidak, tol tetap kena bayar juga. Huhu.. Saya buka website seperti yang tertera dalam surat untuk membuat pembayaran dengan kad kredit.

Alamat salah pun boleh sampai juga. Kat mana Peyaling Jaya ye? Hehe..
Saya tak pasti apa akan berlaku kalau saya ignore surat ni. Tapi amat tidak bertanggungjawab jika saya tak bayar. Dah lalu jalan yang ada tol, kenalah bayar. Saya pun bukalah website www.epcplc.com dan ikut arahan yang tertera. Mula-mula pilih payment, lepas tu masukkan invoice number dan vehicle registration yang ditulis pada surat. Kemudian keluar nilai yang perlu saya bayar, sama seperti dalam surat. Jenis bayaran boleh tukar ke matawang lain. Saya check USD23.56 bersamaan dengan NOK192.00. Kemudian saya kena isi particular kad kredit dan terus buat pembayaran. Akhir sekali akan keluar notifications mengatakan pembayaran saya telah berjaya. Alhamdulillah..

Step 1: Pilih Payment..
Step 2: Masukkan invoice number dan plate number yang ada pada surat
Step 3: Isi alamat emel. Nak tukar jenis matawang pun boleh.
Step 4: Masukkan particular kad kredit dan tekan pay
Step 5: Pastikan keluar payment confirmation.
Step 6: Details sebelum keluar dari website. Kemudian shut down computer. Hihi..
Selesai sudah urusan terakhir untuk trip Scandiscovery. Nasib baik jumlah bayaran tak tinggi sangat jika dibahagikan dengan 6 orang. Sorang cuma bayar RM17.10 je untuk kos tol di Norway. Nilai yang boleh diterima akal jika nak dibandingkan dengan pengalaman memandu yang saya dapat dan pemandangan yang cantik di Norway. Lama sungguh la surat ni sampai. 8 bulan menunggu baru tiba. Surat ni ikut naik kapal agaknya. Kenapalah surat ni tak tenggelam ke, atau terhantar kat Singapore seperti dalam alamat. Hehe.. Lega sebenarnya bila dah bayar. Sekarang barulah boleh kira kos keseluruhan dan post mortem untuk trip Scandiscovery ni. Target kos wajib di bawah RM8,000.00/person mungkin menjadi kenyataan. Wallahu 'alam..

Sunday 12 January 2020

JJCP Scandiscovery: Day 18 (Part #3)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..

HARI/TARIKH:
@ SELASA, 25 DISEMBER 2018

LOKASI KEJADIAN:
@ KUALA LUMPUR INT' AIRPORT


Saya pegang jaket yang dibawa sambil berjalan masuk ke dalam terminal. Tamat sudah tugas jaket saya ni. Tunggu next trip jalan-jalan musim sejuk baru ia berfungsi semula. Balik ni dah boleh hantar dobi dan simpan elok-elok dalam almari. Terima kasih sebab amat membantu masa saya dalam kesejukan di Scandinavia. Selalunya saya boleh tahan pakai light jacket je. Longjohn pun tak pakai. Tapi kali ni memang betul-betul tak boleh tahan. Lain macam sejuknya. Satu pengalaman hidup yang baru buat saya. Alhamdulillah..

Flight route: From Hamad Int' Airport to Kuala Lumpur Int' Airport

@ KUALA LUMPUR INT' AIRPORT

Masuk je dalam terminal kami terus berjalan menuju ke kaunter imigresen dan seterusnya ke baggage claim area. Kami menunggu beg keluar di belt F. Semua beg dah dapat kecuali beg besar saya. Dah 2 kali beg yang sama lalu atas belting tapi beg saya tak kelihatan. Sampaikan dah keluar info last bag pun masih takde lagi. Saya rasa tak sedap hati. Sorang staff airport tegur saya dan maklumkan tentang beg saya. Dia kata pihak airport terima mesej dari Copenhagen Airport mengatakan bahawa ada satu beg tertinggal di sana. Katanya beg saya salah masuk lane masa check-in. Pelik juga macamana boleh salah sebab rasanya hanya flight kami je yang tinggal untuk berlepas di airport semalam. Takkan boleh masuk salah lane pulak. This is not good. Dalam beg tu semua barang yang baru kami beli. Kalau hilang habislah semua kenangan kami kat sana. Huhu..

Menunggu beg yang masih belum kelihatan
Staff tu bawa saya masuk ke dalam bilik Post Aviation untuk buat laporan dan isi borang. Dia kata beg kami akan dibawa naik oleh flight esok pagi dan dijangka sampai sini hari berikutnya. Tak kisahlah, janji saya dapat semula beg saya dan yang penting ianya dalam keadaan yang sempurna. Once sampai KLIA, runner akan hantar terus ke rumah saya. Nasib baik, ingatkan kena datang sini balik untuk collect. Jauh juga rumah saya nak ke sini. Huhu.. Selesai isi butiran yang diperlukan dalam borang, saya keluar dan maklumkan pada wife saya. Kami berdoa je lah agar beg kami selamat sampai di sini. Macamana Qatar Airways boleh silap ni. Saya minta wife buat aduan kat website Qatar Airways. Manalah tau boleh dapat tiket flight percuma sebagai gantirugi beg tertinggal. Tak salah mencuba. Hehe..

Salinan borang. Kena tunjuk sebagai bukti masa diorang hantar beg nanti
Nampaknya pengakhiran yang kurang seronok. Baru je cadang nak kumbah beg esok pagi sebab lusa dah kena pergi mesyuarat di sekolah. Nampaknya kena tunggu weekend ni la baru boleh susun hasil belian di sana. Huhu.. Sampai masanya untuk kami berpisah. Terima kasih kepada Rama, Sue, Fa dan Abg Fikri kerana sudi join trip kami. Korang memang travel partner yang paling ngam. Semua perkara mudah dan berjalan dengan lancar. Maaf jika ada kekurangan sepanjang trip. In shaa Allah next trip kami akan jemput lagi. Kawan-kawan yang lain pun saya ajak juga, tapi macam dah boleh agak jawapan yang akan diterima. Bukan apa, mulanya semangat berkobar-kobar nak ikut. Bila dah jumpa tiket dan tarikh yang sesuai, tak jadi pulak. Saya amat memahami. Hehe..

Last picture of us. Masa untuk berpisah..
Tepat jam 11.00 malam kami bersalaman dan bergerak mengikut haluan masing-masing balik ke pangkal jalan. Scandiscovery trip sudah sampai ke penghujungnya. Namun masih ada satu lagi yang belum selesai iaitu charge untuk tol di Norway. Saya kena tunggu email dari pihak sana. Entah bila la akan dapat. Kalau tak dapat langsung pun bagus juga. Hihi.. Dalam flight tadi cadangnya nak makan dulu sebelum balik. Tapi disebabkan bengang beg kami sangkut, hilang kejap mood nak makan. Huhu.. Wife awal lagi dah call Hakim runner untuk ambil kami. Kami singgah kejap di kiosk hotlink untuk return pocket wifi. Saya tanya tentang deposit refund. Staff bertugas tunjukkan nombor telefon yang dilekatkan pada meja kaunter. Tanpa buang masa saya terus call tapi tak berangkat. Saya whatsapp untuk maklumkan yang saya dah return pocket wifi. Risau juga kalau diorang claim saya hantar lewat.

Apa la salahnya print info ni. Baru la nampak cantik. Hehe..
Jam 11.20 malam Hakim pun sampai dan bawa kami balik ke Kota Damansara. Sebelum sampai rumah, saya ajak Hakim makan sekejap di restoran berhampiran rumah. Dapat jugalah makan tomyam seafood kurang pedas dan teh ais sebagai pengubat rindu. Hihi.. Lepas makan barulah kami dihantar balik ke rumah. Terima kasih Hakim kerana sudi hantar dan ambil kami di KLIA. Bagus dia ni jadi runner. Banyak dah barang yang wife saya mintak dia uruskan. Kami bersihkan diri dan paksa diri untuk tidur walaupun mata tak mengantuk. Tak sabar nak jumpa anak-anak yang akan sampai esok bersama opahnya. Berakhirlah sudah perjalanan Scandiscovery trip yang penuh dengan dugaan dan kenangan yang amat terindah buat kami. Moga penceritaan saya ni dapat dijadikan sebagai sumber panduan kepada yang ingin travel ke bumi Scandinavia. Wallahu 'alam..

- END OF THE JOURNEY -