Sunday 20 December 2020

JJCP UK V.2: Day 06 (Part #3)

 Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..


HARI/TARIKH:
@ ISNIN, 2 DISEMBER 2019

LOKASI KEJADIAN:
@ EDINBURGH CENTRAL
@ HARD ROCK CAFE EDINBURGH
@ TRAVELODGE KINROSS M90


Hujan renyai menemani kami di sepanjang jalan menuju ke Edinburgh Central. Baru jam 3.40 petang cuaca dah mula nak gelap, ditambah dengan langit yang mendung. Beberapa ketika hujan turun dengan agak lebat. Terpaksalah kami berteduh seketika di High Street sambil mengeluarkan baju hujan masing-masing. Tak sanggup rasanya pakai jaket yang basah dalam keadaan cuaca yang amat sejuk ni. Paling dirisaukan anak-anak. Harap diorang tak demam. Si kecik tu nampak makin teruja bila hujan lebat. Ada hati lagi tu nak bukak stokin dia. Haishh, tak rasa sejuk ke anakku? Huhu..

Cuaca mula gelap, namun pemandangan masih tetap cantik.

I really love Edinburgh! Historic views!


@ EDINBURGH CENTRAL

Ini kali kedua saya melalui High Street, jalan lurus yang agak berbukit terus menuju ke Edinburgh Castle. Masa kali pertama ke sini, banyak jualan dan persembahan dari locals di sepanjang jalan. Meriah sungguh. Cuma kali ni tak dapat nak tengok sebab keadaan cuaca yang tak mengizinkan. Masih teringat lagi ada seorang aktivis memberikan saya flyers tentang 'Save Gaza' masa kami di sini. Banyak poster ditampal di tiang dan dinding. Tak sangka diorang pun support dan menentang keganasan di bumi Gaza ketika itu. Saya percaya tak kira agama apa pun yang dipegang, semuanya inginkan kedamaian dalam hidup. Bumi ni hanya pinjaman, buat apa nak bermusuhan? Tak faham sungguh la. Huhu..

Elysha suka sangat warna pink. So girlish. Hehe..

Dalam kedinginan senja, kami teruskan berjalan meredah hujan yang tak menentu. Sekejap berhenti, lepas tu hujan balik. Renyai dan lebat silih berganti. Sambil menikmati pemandangan bangunan lama di kiri dan kanan jalan, kami singgah di beberapa kedai souvenir mencari sesuatu kenangan yang ingin dibawa balik. Si kecik yang duduk dalam stroller yang ditutup dengan plastik ingatkan dah tidur lena dibuai angin sejuk. Rupanya masih aktif lagi. Takpelah, janji dia duduk diam dalam tu. Hihi..

Dulu kat sini penuh dengan persembahan jalanan

Wajib cuba Scottish Shortbread. Sedap sungguh!..

Keluar je dari kedai souvenir, cuaca senja dah bertukar malam. Hujan masih lagi turun. Kami teruskan berjalan naik bukit hingga ke hujung untuk sampai di pintu masuk Edinburgh Castle. Untuk masuk ke dalam Edinburgh Castle ada bayaran yang dikenakan dan hanya beroperasi sampai jam 4.00 petang di musim winter. Kami bukannya nak masuk pun. Hanya nak jalan-jalan di kawasan persekitaran je. Hihi.. Sampai je di kawasan perkarangan pintu masuk Edinburgh Castle, hujan kembali turun dengan lebatnya beserta angin yang amat kuat. Kami dan pengunjung yang lain terpaksa berteduh di dalam satu kedai berhampiran. Entah berapa lama kami terpaksa berteduh sampai keadaan reda semula. Jangan sampai tengah malam sudah la. Jauh lagi nak menapak ni. Huhu..

Tak berani jalan sorang-sorang kat sini. Creepy..

Edinburgh Castle di waktu malam

Nasib baik kami tak jalan jauh ke pintu Edinburgh Castle tadi. Kalau tak memang tak sempat la nak lari berteduh. Huhu.. Edinburgh Castle adalah antara tourist attraction yang paling famous di sini. Kepada yang berkemampuan dan minat pada sejarah boleh la bayar tiket dan explore at least 2 jam di dalamnya. Kepada yang bajet macam kami ni hanya takat pintu masuk je. Itu pun dah cukup bertuah. Hihi.. Tak sanggup nak bayar GBP53.00 untuk 2 dewasa dan 3 kanak-kanak. Dengan amaun tu boleh cover 2 kali makan kami sekeluarga kat sini. Dah tentu saya pilih makanan dari masuk dalam castle tu. Tengok dari luaran sudah memadai. Hehe..

Ok I'll pass. Outside view only. Hihi..

Alhamdulillah, hanya 10 minit kami berteduh di dalam kedai. Hujan dan angin kuat tadi berhenti secara tiba-tiba. Terus keadaan kembali tenang. Kebarangkalian untuk hujan semula agak tinggi sebab dari petang tadi hujan turun tak menentu. Adalah lebih baik kami cepat-cepat beredar dari sini dan menuju ke destinasi berikutnya iaitu meronda deretan kedai di Princes Street. Kalau hujan turun lagi pun takde masalah sebab banyak kedai yang kami boleh masuk untuk cuci mata. Hehe.. Dengan permukaan jalan yang diturapi dengan blok batu-bata dan keadaan yang agak curam, kami perlahan-lahan menuruni jalan hingga sampai di bawah. Tiada maaf bagimu kalau jatuh tergolek ni. Hahah..

Jalan turun bukit sampai kat tempat cerah tu.

Meriah sungguh suasana kat sana tu

Kami terpaksa ikut laluan pejalan kaki di jalan utama yang agak jauh untuk sampai ke bawah. Tiada laluan pintas kerana kawasan berpagar. 15 minit berjalan dan kami sampai di Princes Street. Kawasan di sini amat happening kerana banyak butik dan kedai yang menarik untuk disinggah. Seperti yang dijangka, hujan kembali turun. Dah sampai sini takde masalah sebab banyak tempat berteduh di setiap blok bangunan. Dalam banyak-banyak kedai dan butik di sini, kedai kasut yang menjadi keutamaan kami untuk cuci mata. Ramai juga kawan yang mintak saya survey harga kasut di sini. Saya sendiri memang tak berminat tentang kasut. Kat rumah pun jarang pakai kasut bila keluar. Pakai selipar atau sandal je lebih selesa. Nak berhenti solat pun mudah. Letih la nak bukak kasut dan stokin selalu. Hehe..

Paling menarik perhatian adalah kasut yang ada wings tu. Comel sangat..

Kasut di sini boleh tahan berpatutan juga harganya bila ada diskaun. Ditambah pulak boleh claim VAT masa nak balik kat airport nanti. Cuma itulah, saya kurang berminat dengan kasut. Daripada gambar yang wife saya share dalam group whatsapp, kami dapat la order beberapa pasang dari kawan-kawan yang berminat. Selesai urusan dalam kedai kasut, kami berjalan ke bahagian blok di belakang mencari lokasi Hard Rock Cafe. Tak susah nak cari sebab saya dah pernah sampai sebelum ni. Masih segar dalam ingatan lokasi Hard Rock Cafe Edinburgh. Staff yang layan kami masa tu pun masih ingat lagi rupa dia sebab peramah orangnya. Manalah tau dia masih kerja kat situ lagi. Dah tentu dia tak ingat kami. Tapi kalau tunjuk gambar mungkin dia kenal rupa dia sendiri 7 tahun yang lalu. Hehe..

Gambar di HRC Edinburgh pada 2012


@ HARD ROCK CAFE EDINBURGH

Tepat jam 5.00 petang kami sampai di Hard Rock Cafe Edinburgh. Keadaan di luar kedai masih sama ketika kami datang pada 2012 yang lalu. Cuma kali ni kami sampai waktu malam. Dulu tepat jam 12.00 tengahari kami berada di sini. Ada beberapa pesanan dari kawan-kawan untuk barangan HRC Edinburgh yang kami nak cari. Untuk diri sendiri tak perlu sebab masih cantik lagi t-shirt HRC Edinburgh saya kat dalam almari. Sayang nak pakai barang koleksi ni. Hihi.. Macam biasa, wife saya share gambar t-shirt dan merchandise dalam group jika ada yang berminat nak kirim. HRC memang ada peminatnya tersendiri. Siapa yang suka buat koleksi pasti amat memahami. Hehe..

Banyak design t-shirt yang terbaru.

Saya rasa HRC dah kurang idea untuk design t-shirt mereka. Kenalah ada design rock concept, baru kena dengan nama Hard Rock. Dulu memang banyak design gitar yang ganas, tapi sekarang banyak yang plain je. Terpaksa tukar nama kepada Soft Rock Cafe la lepas ni. Huhu.. Cuma design city-tee je yang boleh diterima lagi kalau nak lain daripada yang lain. Itupun kebanyakannya warna putih. Harap Hard Rock boleh buat semula design yang ganas macam dulu-dulu. Barulah teruja nak beli dan buat koleksi. Bila pakai pun rasa macam ganas walaupun dalam hati ada taman. Hahah.. Masa nak bayar, saya tunjukkan gambar lama kat staff yang menjaga kaunter. Dia tak kenal pun. Mungkin staff lama tu dah naik pangkat atau dapat kerja yang lebih baik.

Done shopping di HRC Edinburgh

Jam 5.30 petang kami meninggalkan HRC Edinburgh dan berjalan semula ke arah Princes Street. Hujan masih turun lagi. Sekejap lebat, kemudian renyai semula. Kalau di Malaysia dah kira musim tengkujuh macam ni. Bersiap-sedialah tempat-tempat yang banjir tu. UK baru je mengalami banjir besar sebelum kami sampai. Nasib baik keadaan dah reda, walaupun masih ada beberapa tempat lagi yang banjir di sini. Setakat ni alhamdulillah perjalanan kami amat lancar. Risau juga kalau ada jalan yang ditutup dan terpaksa ikut jalan jauh untuk ke destinasi. Moga kelancaran ini berpanjangan sampai la kami pulang nanti. In shaa Allah.. Sampai di Princes Street, kami menunggu di tram station. 5 minit menunggu dalam kehujanan akhirnya tram pun sampai dan bawa kami terus ke Ingliston Park & Ride. Maka tamatlah sudah perjalanan kami mencari pengalaman di bandar Edinburgh yang bersejarah ni.


Akhirnya si kecik tewas. Lena dia tidur..

Tram route: From Princes Street Station to Ingliston Park & Ride Station

Jam 6.15 petang kami sampai semula di Ingliston Park & Ride. Kami terpaksa berjalan laju meredah hujan untuk sampai ke kereta. Kami bersiap-siap untuk mulakan perjalanan ke destinasi terakhir pada hari ni iaitu menuju ke Travelodge Kinross M90. Anak-anak dah mula lena sebaik sahaja kereta bergerak. Memang penat perjalanan hari ni. Ditambah pulak dengan hujan sepanjang hari di Edinburgh. Huhu.. Apa-apa pun satu pengalaman yang berharga diorang dapat hari ni. Jauh perjalanan luas pemandangan dan lebih pengalaman hidup. Daripada parking di Ingliston Park & Ride, saya memandu menuju ke highway M90 dan melalui Queensferry Crossing Bridge.

Bila lah hujan nak berhenti ni? Huhu..

Jam 7.10 malam kami sampai di Rest Area di mana terletaknya Travelodge Kinross M90. Apa yang saya suka tentang travelodge di sini adalah kebanyakan lokasinya terletak di Rest Area. Stesen minyak pasti ada untuk top-up petrol. Starbucks juga kadang-kadang ada. Kalau bernasib baik, banyak kedai lain yang ada di Rest Area. Boleh la cuci mata hilangkan kebosanan kalau sampai awal di travelodge. Jalan kaki je dari bilik. Untuk Rest Area di sini, selain stesen minyak ada juga beberapa kedai yang beroperasi. Sebelum ke travelodge, saya singgah kat kedai Mark & Spencer Food. Sedang elok anak-anak tengah dibuai mimpi, saya dan wife masuk ke dalam M&S Food mencari jajan dan air sebagai bekalan untuk perjalanan esok. Kalau anak-anak ikut lagi banyak yang kena beli. Strategi kena ada. Hihi..

Driving route: From Ingliston Park & Ride to Travelodge Kinross M90

Banyaknya pilihan jajan. Jangan salah beli ya..


@ TRAVELODGE KINROSS M90

Selesai membeli di M&S Food, saya terus memandu ke kawasan parking di depan Travelodge Kinross M90. Anak-anak yang baru dikejutkan terus bantu keluarkan beg dan bawa masuk ke dalam lobi sementara saya uruskan check-in di kaunter. Kali ni kami dapat 2 bilik yang agak berjauhan tapi masih lagi di tingkat bawah. Selesai urusan check-in, kami terus ke bilik bernombor 10. Dalam bilik ada 2 katil single tambahan. Pandai-pandai la anak-anak pilih nak tidur mana ya. Yang penting satu katil single untuk driver. Hehe.. Anak-anak request nak makan sebab tak puas makan sedap kat Edinburgh tadi. Amat dialu-alukan untuk habiskan ration yang dibawa. Hihi..

Travelodge Kinross M90 @ GBP21.00/night

Alhamdulillah selesa untuk kami sekeluarga

Selesai bersihkan diri dan solat, saya baring di katil hujung sambil menyusun perancangan aktiviti untuk esok hari. Anak-anak masih makan lagi. Apa pun lepas makan jangan lupa mandi dan solat. Baru selesa tidur nanti. Takdelah mengigau tengah malam. Berdengkur itu pasti sebab penat. Hihi.. Lokasi travelodge ni adalah yang paling utara kami sampai untuk trip kali ni. Esok dah mula turun ke selatan semula. Tak sempat nak ke utara lagi hingga Fort William. Padahal masa trip 2012 lagi saya teringin nak memandu sampai ke utara Scotland. Tapi bila saya susun itinerary, memang tak sempat nak cover sebab banyak tempat yang saya nak singgah especially di England. Kalau diberi masa 3 minggu travel mungkin saya akan sampai jua di utara Scotland. Bukan setakat Fort William, sampai Inverness pun boleh. Hehe.. In shaa Allah jika ada rezeki dan kesempatan, kaki ni akan jejaki jua satu hari nanti.

Jajan yang dibeli di M&S Food tadi. Popadom pun ada tau. Hihi..

Jam 10.00 malam mata mula terasa berat. Kalau di rumah, pukul 10.00 malam baru nak buat macam-macam kerja. Hehe.. Penat sangat aktiviti hari ni. Anak-anak masih melayan cerita kartun kat tv. Jangan berjaga lewat sangat ye. Kena tidur juga sebab esok banyak perkara yang nak dibuat. Mungkin lebih penat dari hari ni. Moga dipermudahkan urusan kami sekeluarga mencari pengalaman hidup di bumi Allah yang luas ini. Pengalaman yang pasti takkan dilupakan.


Wallahu 'alam..