Saturday, 20 May 2017

JJCP Umrah Ziarah Oman: Day 03 (Part #2)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..

TARIKH:
25 DISEMBER 2016

LOKASI KEJADIAN:
@ MINA
@ MASJID JA'RANAH


@ MINA

Perjalanan dari Jabal Rahmah ke Mina mengambil masa hanya sekitar 15 minit. Kami melihat banyak khemah berbumbung putih didirikan di kawasan penempatan jemaah haji. Khemah di sini dibahagikan kepada jemaah ikut negara sebab saya ada ternampak papan tanda jemaah dari negara-negara Islam. Baguslah bila dikumpulkan jemaah ikut negara masing-masing. Sekurangnya ada bantuan jika berlaku kemalangan atau kesulitan ketika mengerjakan haji. Nak cerita banyak pun saya tak berapa arif sebab belum mengerjakan haji lagi. Sampai masanya insyaAllah boleh faham perjalanan haji keseluruhannya. Zaman dulu masa jemaah haji naik kapal untuk datang ke sini, keadaannya berbeza dengan sekarang. Kerajaan Arab Saudi dah banyak upgrade kawasan penempatan ni untuk kemudahan dan keselesaan jemaah haji. Alhamdulillah..

Bus Route: From Jabal Rahmah to Mina
Perjalanan menuju ke Mina
Penempatan jemaah haji di Padang Arafah
Kami tak turun di Mina. Hanya melihat pemandangan dari dalam bas. Seterusnya kami ke Masjid Ja'ranah untuk bermiqat. Dalam perjalanan kami dapat lihat Jabal Nur di mana Gua Hira' berada di puncaknya. Dalam jadual program, kami diberi pilihan untuk mendaki Jabal Nur dan melawat Gua Hira'. Sesiapa yang berminat boleh buat bayaran 25.00SAR seorang. Esok malam dijangka akan ke Jabal Nur bersama jemaah dari group lain. Kami berbincang dulu sama ada nak pergi atau tak. Dari jauh boleh nampak ada orang tengah mendaki Jabal Nur. Cuaca panas terik pun ada yang sanggup mendaki. Nasib baik jadual kami waktu malam. Tetap letih juga tapi mungkin tak seteruk mendaki waktu siang. Hihi.. Walaupun cuaca agak sejuk hujung tahun ni, waktu siang tetap panas dan berdebu.

Pemandangan Jabal Nur dari dalam bas

@ MASJID JA'RANAH

Jam 9.40 pagi kami sampai di Masjid Ja'ranah. Masjid ini terletak kira-kira 24 km dari Masjidil Haram dan menjadi salah satu tempat untuk bermiqat. Rasulullah SAW pernah bermiqat di sini setelah pulang dari peperangan Hunain. Masjid ini adalah tempat miqat yang paling tinggi darjatnya dan nama masjid ini datangnya dari seorang wanita bernama Ji'ranah yang setia menjaga dan membersihkan masjid tersebut. Kelihatan banyak bas dan jemaah umrah yang sudah sedia berpakaian ihram. Kami turun dari bas dan menuju ke masjid untuk salin pakaian ihram serta solat sunat. Maka bermulalah umrah kali kedua kami di sini. Moga dipermudahkan urusan umrah kami, insyaAllah..

Bus Route: From Mina to Masjid Ja'ranah
Miqat di Masjid Ja'ranah
Masuk ke dalam masjid untuk berihram
Selesai salin pakaian ihram, jam 10.20 pagi bas bergerak menuju ke Masjidil Haram untuk kami mengerjakan umrah kali kedua. Selesai ibadah umrah dan solat Zohor, kami balik ke hotel untuk makan tengahari dan berehat sebentar di bilik sebelum ke masjid semula untuk solat Asar. Di bilik saya bertanyakan pada Ustaz Zool tentang lawatan ke ladang Unta dan kilang Al-Quran di Madinah. Nampaknya takde rezeki untuk kami melihat Unta dengan lebih dekat kerana larangan dari kerajaan Arab Saudi masih berkuatkuasa berikutan serangan Virus Sindrom Pernafasan Asia Barat - Virus Korona (MersCoV) pada 2014. Takpelah, dapat tengok unta tepi jalan masa dalam bas pun dah memadai. Huhu.. Untuk ke kilang Al-Quran di Madinah pulak, hanya ada masa-masa tertentu je boleh lawat. Tengok lah rezeki kami masa ke Madinah nanti. Kepada yang nak waqaf Al-Quran di Masjidil Haram dan Masjid An-Nabawi, hanya Al-Quran yang dicetak di kilang ini je yang boleh diwaqafkan. Kalau tengok di kedai tepi jalan, memang ramai peniaga yang menjual Al-Quran. Kena hati-hati apabila beli Al-Quran untuk diwaqafkan. Walaupun boleh je letak Al-Quran kat rak dalam masjid masa solat, nanti pekerja masjid akan amik juga sebab bukan yang asli dari kilang. Huhu..

Bus Route: From Masjid Ja'ranah to Masjidil Haram
Sentiasa update dengan jadual program
Selesai solat Asar, kami berjalan di sekitar masjid. Saya nampak ramai betul orang tengah beratur kat beberapa kedai makan di tepi masjid. Saya disapa oleh seorang pekerja kedai makan tersebut. Dia bertanyakan jika saya dapat memberi sedekah supaya mereka dapat sediakan makanan. Rupanya yang ramai tu adalah fakir miskin yang beratur untuk amik makanan. Jemaah yang berkemampuan boleh beri sedekah kepada kedai tu. Saya juga nampak ada jemaah yang memberikan sedekah kepada pekerja yang membersihkan masjid. Pekerja ni akan berdiri beramai-ramai di laluan jemaah keluar dari masjid. Ada rezeki maka dapatlah sedekah dari jemaah yang lalu di situ. Yang bagusnya pekerja ni takde pun menghulur tangan dan memaksa jemaah. Kita patut berterima kasih pada mereka kerana sentiasa menjaga dan membersihkan Masjidil Haram tak kira waktu.

Fakir miskin sedang beratur mengambil makanan
Kami terlewat masuk ke dalam masjid untuk solat Maghrib. Hanya gate untuk naik ke bahagian bumbung je yang masih buka. Dapatlah saya merasa solat di bahagian atas Masjidil Haram. Disebabkan bumbung kawasan terbuka, maka kami solat beralaskan lantai marmar yang sejuk. Terfikir juga saya bila solat di Masjidil Haram menghadap kiblat, di manakah letaknya kedudukan imam ketika solat? Makmum perlu berada di belakang imam sedangkan di sini semua makmum mengelilingi dan menghadap kiblat. Jawapan yang saya dapat ialah kedudukan imam di Masjidil Haram berubah-ubah, tidak seperti di masjid lain yang dah tetap kedudukannya. Di Masjidil Haram, imam berada pada kedudukan paling dekat dengan Kaabah, dan makmum masih berada di belakangnya mengikut pusingan pada tawaf. Jika keadaan tak ramai, imam akan berada di kawasan tawaf. Bagi kedudukan muadzin yang melaungkan azan pula terletak di tingkat 2 dalam bilik berkaca menghadap kiblat. Wallahualam. Apa yang pasti, saya menjadi makmum di belakang imam.

Keadaan di bumbung masjid selepas solat Isyak
Selesai solat Isyak, saya menunggu wife dan mak saya di tempat biasa. Saya dah niat nak bawa mak makan nasi arab sempena hari jadi dia. Kami terus masuk ke dalam Abraj Al-Bait dan mencari restoran yang mempunyai banyak meja yang kami jumpa semalam. Kami order nasi arab bersama kari kambing dan roti paratha. Alhamdulillah, sedap juga kari kambing ni. Yang paling best adalah dapat bawa mak makan bersama. Selalunya bila saya balik kampung, mak akan masak makanan special untuk anak-anaknya. Setiap anak ada menu favourite masing-masing dan sudah tentu mak lebih mengetahui. Tak sah meja makan kalau tak penuh dengan lauk. Memang itulah rutin harian mak. Sampaikan saya nak ajak mak makan kat luar pun dia menolak. Huhu.. Masakan dari air tangan mak, menu nasi lauk telur goreng dengan kicap je pun dah kira paling sedap di dunia. Telur goreng dan kicap di restoran mewah pun kalah teruk. Hihi..

Menara jam di waktu malam
Malam ni kita belanja mak nasi arab. Hehe..
Habis makan, jam 9.30 malam kami berjalan balik ke hotel. Sebelum naik ke bilik kami singgah di dewan makan untuk minum teh o panas. Restoran kat sini kebanyakannya menjual air tin dan juga jus buah. Air panas seperti teh dan kopi pun ada tapi agak mahal harganya. Baik minum kat hotel je. Minumlah berapa banyak gelas pun. Jangan membazir sudah. Hihi.. Jam 10.30 malam saya dah ada di bilik. Kalau tak ngantuk lagi boleh la buat benda yang berfaedah seperti baca Al-Quran atau tafsirannya. Bangun awal pagi pulak boleh dirikan solat sunat tahajjud. Macam-macam amalan yang boleh dilakukan sebelum dan selepas tidur. Tambahan pula dah ada di Tanah Haram. Amat rugi kalau tak laksanakannya. Wallahualam..

No comments:

Post a Comment