Saturday, 20 May 2017

JJCP Umrah Ziarah Oman: Day 03 (Part #1)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..

TARIKH:
25 DISEMBER 2016

LOKASI KEJADIAN:
@ JABAL TSUR
@ JABAL RAHMAH


Jam 4.30 pagi saya dah bangun. Bersiap-siap untuk solat Subuh di masjid, dengan harapan sempat masuk ke dalam masjid. Alhamdulillah gate masih buka masa saya sampai. Selesai solat, saya balik ke hotel dan bersedia untuk aktiviti hari ni iaitu melawat sekitar Mekah dan bermiqat untuk menjalani umrah kedua kami. Kain ihram saya bawa dalam beg. Sampai tempat miqat nanti baru salin. Sebelum turun ke lobi hotel, kami breakfast dulu di dewan makan. Saya cuma makan roti dan air teh panas. InsyaAllah cukup untuk beri tenaga sampai waktu makan berikutnya. Selesai makan, jam 7.00 pagi kami turun dan tunggu di lobi hotel. Ada ruang rehat yang agak besar di lobi hotel dan banyak sofa disediakan untuk kami duduk dan menunggu aktiviti bermula.

Lobi hotel masih sunyi masa nak ke masjid
Ruang rehat di lobi hotel
Hari ni juga adalah hari istimewa buat saya. Bukan kerana Krismas tapi hari ni adalah hari lahir mak saya yang ke-69. Dah tentu umrah kali ni menjadi kenangan terindah buat mak saya. Takde sambutan tiup kek bagai, hanya ucapan hari lahir dan moga panjang umur buat mak yang disayangi. Nanti saya belanja mak nasi arab ye. Tak pun belanja shopping kat Bin Dawood. Hihi.. Alhamdulillah, umur dah nak masuk 70an masih lagi sihat walafiat dan bertenaga untuk mengerjakan umrah. Paling mengembirakan adalah apabila saya sendiri dapat bawa mak ke Mekah. Sejak dari tahun lepas lagi mak saya dah pasang niat untuk mengerjakan umrah bersama saya. Terima kasih mak kerana bagi peluang saya bawa mak ke sini. Rasa terharu pun ada. Huhu..

Selamat Hari Lahir buat mak..
Sedang menunggu semua jemaah group kami turun, tetiba ada sorang makcik yang agak berumur masuk ke dalam ruang rehat dan duduk sorang diri. Tengok pada kain telekung yang dipakai, makcik ni adalah jemaah dari Rayhar, bukan Andalusia. Tak pasti pulak saya kalau jemaah Rayhar juga ada yang menginap di hotel ni. Tengok pada iklan-iklan yang ada di dinding lif, takde pun iklan dari Rayhar. Wife saya bertanya pada makcik tu. Rupanya dia sesat dan tak tau kat mana hotel dia. Masa balik dari solat Subuh tadi dia tertinggal dari group. Kami mintak staff Andalusia bantu untuk hubungi pihak Rayhar. Kami juga bantu war-warkan tentang makcik ni dalam group facebook Rayhar. Harap adalah orang Rayhar yang membacanya. Kesian tengok makcik tu terpinga-pinga. Group kami pulak dah nak bersedia untuk mulakan perjalanan. Ada sorang staff Andalusia tunggu bersama makcik ni. Harap cepatlah dapat respon dari Rayhar.

Wife saya post gambar makcik ni dalam group fb Rayhar
Jam 7.15 group kami bergerak ke jalan besar untuk naik bas. Dengan pantas saya naik bas dulu sebab nak duduk depan. Hihi.. Kalau kat kelas atau bilik kuliah masa belajar dulu berebut nak duduk belakang. Bukan apa, duduk depan takut kena jawab soalan. Hahah.. Kamera phone dah standby untuk ambil gambar kenangan di sepanjang perjalanan. Jam 7.30 pagi setelah semua jemaah berada dalam bas, kami memulakan perjalanan menziarahi kota Mekah. Moga banyak pengalaman hidup yang kami dapat pada hari ni, insyaAllah..

Dapat juga duduk seat paling depan. Hehe..
Driver dan Ustaz Zool ada kat bawah
Di sepanjang perjalanan kami melihat pemandangan sekitar dan bangunan yang kebanyakannya berwarna perang. Bayangkan pada zaman Rasulullah SAW dulu, kawasan ini hanya dikelilingi oleh bukit serta batu bata dan padang pasir yang luas. Demi menyebarkan Islam baginda sanggup meredah segala kepayahan dalam hidup. Di akhir zaman sekarang ni, banyak bangunan tinggi di Mekah. Tengok saja hotel yang didirikan di sekeliling Masjidil Haram. Bukan calang-calang umat yang boleh menginap kat situ. Golongan rakyat marhaein yang terpaksa bajet untuk datang ke sini terpaksa lah duduk di hotel yang jauh sikit dari masjid. Huhu.. Bilangan bintang pada hotel bukanlah penentu kepada umrah yang mabrur. Saya masih ingat lagi ada satu artikel menyatakan jika buat umrah 7 kali, pahalanya sama seperti buat haji. Tak ada hadis atau nas yang menyokong kenyataan tu. Manusia akhir zaman ni memang suka buat cerita dongeng. Tambah sekarang dah ada facebook. Lagi lah galak nak share dan viral info yang belum tentu sahih. Huhu..

Pemandangan dari dalam bas

@ JABAL TSUR

Dalam 20 minit perjalanan, kami singgah sebentar di tepi jalan untuk melihat Jabal Tsur dari jauh. Tak sempat kalau nak daki sampai puncak. Walaupun nampak macam tak tinggi, tapi Jabal Tsur hanya dikelilingi oleh batu besar dan tanah berpasir. Pasti amik masa yang banyak untuk mendaki sampai ke puncak. Dapat tengok dari bawah pun sudah bersyukur. Jabal Tsur menjadi saksi kepada sejarah perjuangan Rasulullah SAW dalam menyebarkan Islam. Di atas puncak terdapat Gua Tsur dimana di dalam gua inilah Rasulullah SAW bersama sahabatnya Abu Bakar RA melindungi diri dari serangan kaum kafir Quraisy. Keadaan di pintu gua yang mempunyai sarang labah-labah serta sarang burung dan pokok yang terkulai membuatkan kafir Quraisy tidak merasakan ada manusia di dalam gua tu.

Bus Route: From Hera Hotel to Jabal Tsur View
Itulah dia Jabal Tsur
Melihat Jabal Tsur dari jauh bersama my birthday mom
Mengabadikan kenangan berlatarbelakangkan Jabal Tsur yang bersejarah
Selesai bergambar dan melihat Jabal Tsur dari kejauhan, jam 7.50 pagi kami teruskan perjalanan. Destinasi seterusnya adalah melawat Jabal Rahmah yang terletak di Padang Arafah. Dalam perjalanan kelihatan banyak masjid yang cantik binaannya. Kebanyakan masjid di sini ada sejarahnya. Nanti kami akan dibawa melawat dan melihat masjid yang terkenal di Mekah dan Madinah yang menjadi saksi bersejarah pada zaman Rasullullah SAW. Dalam jadual aktiviti yang diberi oleh Andalusia, ada dinyatakan tentang lawatan ke Kilang Al-Quran dan juga Ladang Unta. Tetapi sejak kebelakangan ni agak sukar untuk melawat kedua-dua tempat ni atas dasar keselamatan dari kerajaan Arab Saudi. Ustaz Zool kata kalau ada rezeki insyaAllah kami akan dibawa melawat ke tempat ni. Kilang Al-Quran hanya jemaah lelaki je yang boleh masuk. Kita tengok apa keputusannya nanti.

Masya Allah.. Cantik sungguh la masjid yang ada kat sini.
10 minit perjalanan, kami masuk ke kawasan Arafah, iaitu padang pasir yang luas terbentang. Untuk para haji, wukuf di Arafah adalah salah satu rukun haji yang bermaksud berhenti seketika bagi mengingati peristiwa Nabi Adam AS dan Hawa diturunkan ke bumi. Jemaah umrah datang ke sini adalah bertujuan untuk ziarah dan merasai suasana di Padang Arafah yang panas terik bagi memberi peringatan awal kepada manusia tentang Padang Masyar ketika hari pengadilan nanti yang pasti akan tiba. Ketika itu semua manusia tak kira darjat atau pangkat akan berkumpul untuk menerima pengadilan. Nak cerita panjang rasanya semua umat Islam dah tau. Takut juga kalau salah fakta sebab ilmu di dada belum cukup lagi. Setakat cari info dalam google masih belum mencukupi. Kena belajar dengan para ilmuan atau mendengar kuliah agama untuk fahami dengan lebih mendalam.

Pemandangan di Padang Arafah

@ JABAL RAHMAH

Di tengah padang yang luas kelihatan satu bukit batu yang dipanggil Gunung/Bukit Arafah ataupun Jabal Rahmah. Kami antara bas yang terawal sampai di sini. Ustaz Zool suruh kami ingat rupa bas kami kerana kejap lagi akan bas lain akan memenuhi kawasan ni membawa pelawat. Takut tak jumpa atau tersalah naik bas. Hihi.. Kami berjalan hingga ke kaki bukit. Ada beberapa penjual dah mulakan perniagaan. Tengok dari bawah nampak macam susah nak daki sebab ada banyak batuan yang besar. Rasanya dah ada tangga untuk naik sampai ke atas. Mungkin ada kat sebelah sana. Taknak buang masa pusing keliling mencari tangga, kami ikut orang ramai daki ikut batuan besar tu. Mak saya dah tentu tak dapat nak naik. Jadi mak saya tunggu di bawah je sebab dari bawah pun boleh nampak batu tanda di puncak bukit. Dengan perlahan dan berhati-hati kami naik ke atas ikut laluan berpasir dan panjat di celahan batuan besar.

Bus Route: From Jabal Tsur View to Jabal Rahmah
Dari bawah boleh nampak batu tanda di puncak
Walaupun dulu saya selalu daki gunung, kali ni risau juga terjatuh sebab pakai selipar. Nampak macam tak tinggi, tapi amik masa 15 minit jugak la untuk sampai ke puncak. Huhu.. Ramai juga pelawat di atas ni. Pada batu tanda tersebut ada tulisan menyatakan apa yang Rasullullah SAW lakukan bila berada di Jabal Rahmah dan larangan dari pelawat untuk melakukan perkara yang syirik dan menyesatkan. Antaranya menulis nama pasangan pada dinding batu tanda tersebut. Dikatakan orang bujang yang berdoa kat sini akan mudah termakbul dan cepat mendapat jodoh kerana sejarahnya di sini adalah tempat pertemuan pertama Nabi Adam AS dan Hawa setelah lama berpisah di bumi. Bukan setakat menulis nama je, malah saya sendiri tengok ada yang mencium dan seolah-olah memuja batu tanda ni. Lagi menakutkan bila ada yang bersolat. Walaupun papan tanda peringatan larangan dah diletakkan, tapi tak diendahkan juga. Itu belum kira lagi kenyataan yang mengatakan tidak sah haji dan umrah kalau tak daki bukit ni. Itulah sebabnya perlu belajar dengan seseorang yang ada ilmu agama daripada mengharapkan google semata-mata. Huhu.. Moga dijauhkan perkara dan perlakuan yang menyesatkan.

Di puncak Jabal Rahmah
Papan tanda peringatan
Kesan contengan dan ada yang menciumnya. Huhu..
Alhamdulillah, kami dapat menjejakkan kaki di puncak Jabal Rahmah
Jam 8.40 pagi kami turun dari puncak Jabal Rahmah. Kali ni kami turun ikut tangga batu, tak ikut jalan yang sama masa mendaki tadi. Dalam prinsip pergunungan saya, naik lebih mudah dari turun. Walaupun naik lebih meletihkan, tapi masa turun lagi bahaya. Lutut boleh sakit sebab tekanan. Silap haribulan boleh jatuh tergolek kalau salah pijak. Jadi untuk keselamatan, kita turun ikut tangga. Hihi.. Sampai di bawah kami terpaksa tawaf keliling bukit untuk balik ke tempat mendaki tadi dimana mak saya menunggu. Bas dah makin banyak parking di tepi jalan. Patutlah Ustaz Zool suruh cam bas kami tadi. Kadang-kadang kita rasa macam tak logik kalau salah bas. Tapi di Mekah dan Madinah macam-macam perkara yang tak dijangka boleh berlaku. Jadi janganlah takbur atau cakap perkara yang tak sepatutnya bila berada di sini. Takut dapat balasan on-the-spot je. Huhu..

Tangga batu untuk mudahkan pendakian ke Jabal Rahmah
Bergambar dulu sebelum menuju ke bas
Tepat jam 9.00 pagi setelah semua jemaah group kami dah ada dalam bas, kami sambung perjalanan menuju ke destinasi berikutnya. Kami akan dibawa melihat perkampungan haji yang terletak di Mina. Sekurangnya dapatlah kami tengok bagaimana suasana dan keadaan ketika mengerjakan haji nanti. Tengok pada giliran haji rasanya masih lama lagi. Entah masih hidup ke tak waktu tu. Rukun Islam ke-5 mesti dilakukan sebelum mata tertutup buat selamanya. Moga diberikan kesihatan yang baik kepada kami sehingga sampai waktunya. Wallahualam..

Tidak syak lagi, inilah bas kami. Hihi..

No comments:

Post a Comment