Wednesday, 25 November 2026

JJCP Eurora: Day 11 (Part #1)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..




Jam 7.30 pagi saya dah bangun. Alarm belum sempat berbunyi lagi dah terjaga. Malam tadi antara malam yang paling enak saya tidur. Cukup puas dapat tidur lama kali ni. Hilang segala penat memandu dan jalan-jalan semalam. Cuma cuaca sejuk je yang takkan hilang. Huhu.. Selesai mandi dan solat, saya kejutkan anak-anak. Lauk semalam yang ditapau dari rumah En. Khai kami jadikan sarapan pagi ni dan ditambah dengan jajan yang dibawa. Apa lagi kalau bukan mee segera. Anak-anak memang macam tu la, suka sangat makan mee segera. Rasanya budak zaman diorang ni memang gila makan mee segera. Tambah pula sekarang ni ada macam-macam jenis dan flavour. Paling favourite made in Korea laa. Yang pastinya halal ya. Memandangkan tengah travel, anak-anak dibenarkan makan mee segera. Kat rumah wajib dicatu. Kena sorok mee segera. Kalau tak, hari-hari diorang mengadapnya. Selalu jugak berlaku di mana saya beli 5 pek, lepas 3-4 hari nak makan memang dah takde. Huhu.. Selesai makan, ubat-ubatan jangan lupa dimakan. Bila dah berumur ni, ubat seperti fish oil, multivitamin dan probiotik amat membantu dalam memberikan tenaga tambahan. Bertenaga sampai ke hotel atau apartment berikutnya sudah memadai. Rasanya kalau tak makan ubat, mungkin tengah hari atau awal petang dah mula penat. Selesai breakfast kami mula mengemas beg.

Dua beg kecil tapi besar sumbangannya bila travel

Tepat jam 9.30 pagi, semua beg dah dimasukkan dalam kereta. Selepas pastikan tiada barang yang tertinggal di dalam rumah, kami mulakan perjalanan. Cuaca baru mula nak cerah. Kelihatan lori penyodok salji berada di atas jalan. Kalau lori ni takde memang susah nak pastikan keadaan sebenar jalan raya dan bahu jalan. Bayangkan la semuanya putih, silap haribulan kereta boleh termasuk kat bahu jalan. Dibuatnya bahu jalan rendah, sangkut la dibuatnya macam yang terjadi kat kereta En Khai haritu. Nak bawa laju pun tak berani walaupun pakai tayar winter. Sebab tu tak boleh nak susun jadual harian yang padat dengan aktiviti. Takut tak sempat sampai sebab cuaca siang yang pendek.



@ SKOGAFOSS

Hampir 2 jam memandu dengan kelajuan yang sederhana sambil menikmati pemandangan indah, jam 11.20 pagi kami tiba di Skogafoss, antara destinasi yang wajib singgah iaitu salah satu air terjun yang cantik di kawasan south coast Iceland. Kalau tengok dalam gambar di internet, air terjun ni teramatlah cantiknya sebab dikelilingi oleh pokok dan daun hijau. Tapi musim winter tak dapatlah view macam tu. Yang pastinya air terjun tetap mengalir, cuma sekelilingnya warna putih. Apa pun tetap kena singgah juga, tak kira musim apa pun sebab air terjun ini tetap menarik untuk dilawati.

Driving route: From Horgsland Cottages to Skogafoss

Agak jauh juga jarak antara kawasan parking kereta dengan air terjun Skogafoss. Maka terpaksalah jalan kaki perlahan-lahan di atas permukaan jalan yang penuh dengan salji yang sudah mengeras. Salji bila dah keras lagi licin jadinya. Huhu.. En Khai dan Kak Wan dah prepare siap-siap tali spike yang boleh diikat pada kasut supaya senang berjalan atas salji. Kami yang tak bawak ni kenalah jalan perlahan dengan penuh hati-hati. Kadang-kadang ada insiden menari jugaklah, hampir jatuh. Hahah.. Gigih jugalah jalan sampai ke air terjun. Bila lagi nak datang ke bumi Iceland ni. Kalau inilah kali pertama dan terakhir, maka jadikan ia sebagai kenangan terindah dalam hidup.

Dari jauh nampak macam takde orang. Dah dekat ramai rupanya tourist kat sini

20 minit juga kami berjalan kaki untuk sampai ke spot paling hampir dengan air terjun Skogafoss. Tak boleh sampai terlalu dekat sebab percikan air terjun. Dah la sejuk, ditambah dengan basah lagi tak selesa. Dapat berdiri dan melihat dengan mata sendiri air terjun ini sudah cukup memberikan pengalaman dan kenangan terbaik dalam hidup. Seperti yang saya maklum, dapat sampai di bumi Iceland ini sudah cukup bersyukur. Tak semua tourist pernah sampai ke sini kerana kos yang agak tinggi. Alhamdulillah rezeki anak-anak saya dapat bawa semuanya sekali.

Kenangan buat keluarga kecil saya.. juga sahabat-sahabat travel..

15 minit menikmati air terjun yang turun tanpa henti, kami mula berpatah semula ke arah kereta. Saya perasan ada tandas di kawasan parking tadi. Cuaca sejuk ni memang selalu ke tandas. Asal jumpa lebih baik masuk. Kalau tak masuk, tak tau kat mana lagi boleh berhenti. Anak bongsu saya si Eirfan tu lagilah kerap bocor. Dalam kereta tadi dah tanya bila nak sampai sebab nak ke tandas. Tapi bila nampak air terjun, laju pulak dia berjalan. Tak rasa nak kencing dah ke? Huhu.. Pelik sungguh la budak sorang ni. Abang dan kakaknya cukup jeles dengan dia. Masih kecil lagi tapi banyak negara dah sampai. Rezeki dia nak buat macam mana. Saya dan wife pun sejak dia lahir alhamdulillah diberikan rezeki yang sedikit lebih. Maka semua anak-anak dapat menikmatinya. Namun satu hari nanti bila masing-masing dah mula sambung belajar dan berkerjaya, tinggal la saya berdua dengan wife. Masa tu diorang pulak la yang sponsor percutian ayah dan ami. Hehe..

ISK200.00 untuk masuk toilet. Huhu..

Di Iceland bukan setakat petrol/diesel dan makanan mahal, masuk toilet pun mahal. ISK200.00 lebih kurang RM7.00 tu. Haduii.. Sebab tu tak ramai tourist yang datang ke sini especially kaki shopping. Apa je yang boleh dibeli kat sini. Shopping complex pun takde. Hihi.. Nak buat souvenir boleh la beli tin yang berisi udara Iceland. Udara pun diorang jual ye. Hehe.. Nanti kita cari tin tu masa kat Reykjavik. Selesai dengan urusan masing-masing yang berharga RM7.00, kami menuju ke kereta untuk teruskan perjalanan. Kelihatan kereta makin banyak daripada masa kami sampai tadi. Mujur kami sampai awal. Setelah semuanya dah bersedia dalam kereta masing-masing, jam 12.15 tengahari kami mulakan perjalanan meninggalkan Skogafoss dengan seribu satu kenangan.


Wallahu 'alam..

No comments:

Post a Comment