Saturday 3 August 2019

JJCP Scandiscovery: Day 09 (Part #1)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..

HARI/TARIKH:
@ AHAD, 16 DISEMBER 2018

LOKASI KEJADIAN:
@ SVINESUND BRIDGE
@ HOLMENKOLLEN
@ FROGNERSETEREN


God Morgon Stromstad! Jam 6.00 pagi saya dah bangun. Kami mandi dan bersiap. Waktu Subuh di sini jam 6.26 pagi. Selesai solat para isteri menyiapkan breakfast. Hari ni kami bercadang nak bertolak lewat sikit sebab nak tunggu cuaca cerah. Kami teringin nak tengok pemandangan laut dari balkoni belakang rumah ni. Menu breakfast hari ni adalah nasi putih bersama ayam goreng dan sosej. Awal pagi dah makan nasi sebagai bekalan menghadapi kesejukan sekejap lagi. Weather forecast menyatakan semalam salji turun dengan lebatnya di Oslo, tempat yang kami akan terjah pada hari ini. Cuaca sejuk perut memang cepat lapar. Jadi kita breakfast berat siap-siap. Lapar kat Oslo nanti boleh cari makanan halal.

Weather forecast pagi ni di Stromstad
Tukang masak yang dibawa khas dari Malaysia. Hihi..
Penuh meja dengan makanan. Macam dinner pulak. Hehe..
Lama juga kami makan dan melepak sebab nak menunggu siang. Jam 8.45 pagi barulah cuaca mulai terang di luar. Selesai mengemas barang di dapur, kami beramai-ramai keluar ke balkoni untuk melihat pemandangan laut yang dikatakan berada di sempadan Sweden-Norway. Rama mula terbangkan drone dan mengambil beberapa gambar dari udara sebagai kenangan. Yang lain tumpang sekaki bergambar. Bestnya bila ada gadget seperti drone ni. Saya minat tapi takut tak sempat nak melayannya. Hobi sedia ada pun banyak yang tak dapat nak buat. Gitar kat rumah sampai tali berkarat sebab main sekali dan simpan selamanya. Kalau saya beli drone tak tau nak letak kat mana dalam jadual harian. Hihi.. Belum kira kawan-kawan yang racun suruh beli basikal. Motor besar yang ada ni pun dulu weekend ride, sekarang dah jadi monthly ride. Susahnya bila ada banyak hobi ni. Huhu..

Bukit yang hujung tu tanda sempadan Sweden-Norway
Menikmati suasana pagi yang sejuk di Stromstad
Pemandangan sekitar dengan drone

Good Morning Stromstad!

Jam 9.15 pagi kami mula bersiap untuk keluar. Jenuhnya nak mengangkat beg naik tangga pagi ni. Huhu.. Selesai semuanya, sebelum bergerak kami panggil Marie-Louise di rumahnya. Harap dia puas hati dengan keadaan rumahnya yang telah kami kemas pagi tadi. Maklumlah, tengok muka pun macam cerewet orangnya. Nak senyum pun susah. Sebab tu kami tak amik gambar dengan dia. Hihi.. Sama ada dia ikhlas atau terpaksa menerima kami sebagai tetamu rumahnya, kami ucapkan terima kasih banyak-banyak. Rumah dia je yang paling murah dalam radius perjalanan kami, walaupun terpaksa masuk jauh ke dalam kampung. Susah nak cari airbnb kat kawasan sini. Hotel dah tentu takde. Huhu..

Ada galeri kat luar rumah. Hobi bergambar agaknya Marie-Louise ni
Semua dah setel. Kami gerak dulu ye tuan rumah..

@ SVINESUND BRIDGE

Jam 9.20 pagi kami mulakan perjalanan. Saya tak masuk jalan motorway dulu, sebaliknya ikut jalan dalam hingga masuk sempadan kerana kami nak berhenti di jambatan untuk bergambar. Jambatan di motorway tak boleh nak berhenti. Dalam 20 minit perjalanan kami dah sampai di destinasi. Saya parking kereta di penghujung jambatan. Kami beramai-ramai turun dan berjalan hingga ke bahagian tengah jambatan kerana ada satu tanda sempadan di atas jalan yang kami nak bergambar. Saya tengok dalam internet ramai orang bergambar kat atas jambatan ni. Sebab tu lah kami pun nak merasai pengalaman yang sama. Apa yang penting, ianya percuma. Hehe.. Dan secara rasminya saya telah menjejakkan kaki buat pertama kalinya di bumi Norway! Alhamdulillah..

Driving route: From AirBnb Marie-Louise to Svinesund Bridge
Tanda sempadan atas jambatan yang dah mula pudar
Mengabadikan kenangan atas jambatan ni
Yang tu jambatan atas motorway. Indah sungguh la pemandangan kat sini. SubhanAllah..
Kenangan kami berenam di sini..

Sweden-Norway Borders

Tak tahan dengan kesejukan berada atas jambatan, kami berjalan balik ke kereta. Tepat jam 10.00 pagi kami teruskan perjalanan. Jalanraya di Norway banyak tol. Kesemuanya ada 190 tol yang beroperasi di seluruh Norway dan bilangannya akan bertambah dari semasa ke semasa. Huhu.. Tol di sini majoritinya tiada barrier, hanya menggunakan kamera untuk capture plat kereta. Bagi kereta sewa, caj tol akan dikenakan pada company kereta dan akan dimasukkan dalam bil sewa kereta. Hanya jumlah keseluruhan bil yang akan tertera. Jadi kalau nak tau kadar tol terperinci boleh check kat website viamichelin. Saya malas nak kira secara terperinci kadar bayaran setiap tol yang dilalui. Janji masa return kereta nanti saya bayar je la berapa jumlah keseluruhannya. Hihi..

Baru masuk sempadan Norway dah kena tol yang pertama. Huhu..
Dalam perjalanan menuju ke Oslo, makin lama pemandangan di sekitar bertukar warna dari kehijauan rumput kepada keputihan salji. Memang betul kata Accuweather semalam, salji sudah mula turun dengan lebatnya di Norway. Dari hari pertama trip kami, kali ni barulah merasa suasana salji yang sebenar. Dah tentu suhu juga makin menurun. Cuma saya berharap winter tyre yang kami gunakan ni dapat menjalankan tugasnya dengan baik atas jalanraya yang dipenuhi salji. Risau je kalau tayar takde grip. Huhu.. Pertama kali dalam hidup nak memandu kereta dalam keadaan macam ni. Moga dipermudahkan semua urusan kami di bumi Norway, in shaa Allah..

Jam 10.20 pagi: Dah mula nampak putih sikit
Jam 10.26 pagi: Putih makin menguasai bumi
Jam 11.03 pagi: Putih telah mengusai bumi
Jam 11.25 pagi: No comment. Biar gambar berbicara.. Hehe..

Norwegian motorway

Sampai di Oslo, suasana bertukar sepenuhnya. Salji dah menutupi keseluruhan pemandangan. Kami teruskan perjalanan naik bukit untuk sampai di kawasan yang bernama Holmenkollen. Pada mulanya saya bercadang nak mencari kawasan parking di luar Oslo dan naik train untuk masuk ke bandar. Tetapi saya tukar fikiran untuk ke Holmenkollen kerana beberapa faktor. Pertama, di Holmenkollen juga ada metro station untuk ke bandar. Kedua, pemandangan bandar Oslo dari atas bukit amat cantik untuk dilihat dari sini. Ketiga dan yang paling utama, ada satu permainan yang saya nak cuba di sini yang mana ianya hanya beroperasi bila salji sudah mula menebal di Oslo. Haaa, tengok pada keadaan semasa, macam boleh direalisasikan je faktor yang ketiga ni. Hihi..

Sudah hampir tiba di Holmenkollen. Kereta pun memutih. Hehe..

@ HOLMENKOLLEN

Jam 11.45 pagi kami sampai di Holmenkollen. Di sini ada kawasan parking yang luas. Tengok pada signboard di laluan masuk, kereta boleh parking di sini percuma selama 48 jam. Takdelah kami nak stay sampai 2 hari kat sini. Kira baguslah ada jugak parking free kat negara yang serba mahal ni. Hihi.. Kawasan parking ni adalah untuk pengunjung Ski Jumping. Mungkin hari ni takde acara, sebab tu parking kosong. Ada dalam 10 buah kereta je parking kat sini. Risau pulak tengok kereta yang sikit kat tempat yang luas macam ni. Takpelah, in shaa Allah selamat kereta kami selama berada kat sini sampai balik nanti.

Weather forecast di Oslo hari ni.
Driving route: From Svinesund Bridge to Holmenkollen
Tengok pada weather forecast, suhu di Oslo tak sesejuk suhu di Stromstad pagi tadi. Tapi di Oslo punyalah tebal salji. Salji kebiasaannya akan turun bila suhu 0 deg. Tapi angin di kawasan tersebut dan ketiadaan hujan yang turun juga memainkan peranan pada nilai suhu. Jadi, walaupun di Stromstad suhu sampai -4 deg, tapi salji tak turun sebab tiada hujan dan angin laut yang kuat. Di Oslo walaupun 0 deg, tapi hujan yang turun bertukar menjadi butiran salji. Apa-apa pun bersedialah menghadapi sebarang kemungkinan bila travel di musim winter. Yang tak tahan sejuk tu bolehlah standby pakai long john 2-3 lapis. Hehe..

Luas sungguh kawasan parking kat sini
Bila melihatkan keadaan kereta yang diliputi oleh salji, nasib baik saya dah siap-siap beli ice scraper kat LIDL masa hari pertama sewa kereta haritu. Saya dah check, dalam kereta ni tak disediakan ice scraper. Kalau takde ice scraper jenuh juga nak membuang ais dari cermin kereta. Huhu.. Maklumlah, mana pernah berada dalam situasi salji yang super lebat macam ni. Dulu kat UK pernah terjadi ais melekat di cermin kereta waktu pagi, tapi tak tebal sangat. Pasang heater sekejap je hilang ais tu. Kali ni guna heater pun boleh juga, tapi penat la menunggu sampai cermin clear. Agak bijak juga tindakan saya beli ice scraper.. Hehe.. Kami bersiap-siap untuk mulakan perjalanan mencari pengalaman hidup di Oslo. Jangan tertinggal barang yang penting. Malam nanti baru sampai sini balik. Dah selesai bersiap, saya tutup semua beg dengan kain hitam yang saya memang bawa dari Malaysia. Tujuannya taknak bagi orang luar nampak beg-beg kami membuatkan mereka teringin dan teruja untuk mencurinya. Kalau dah nama pencuri tetap pecah juga. Kita buat mana yang termampu. Selain dari tu hanya mampu berdoa dan bertawakal agar selamat barang-barang kami.

Pastikan barang penting dibawa bersama.
Ready to explore Oslo

Arriving Oslo

Kami mulakan perjalanan menuju ke metro station. Metro kat sini dipanggil T-Bane. Sebelum sampai station, kami singgah dulu bergambar di lereng bukit berlatarbelakangkan bandar Oslo. Baik ambil gambar dulu sebab balik nanti dah tentu gelap. Kesejukan yang melampau sudah mula dirasai. Macam manalah orang kat sini boleh hidup dengan keadaan sejuk macam ni. Mungkin kulit diorang dah immune dengan suhu sejuk kot. Maklumlah, sejak lahir lagi dah main salji. Hehe.. Daripada semua, boleh dikatakan saya yang paling kuat menahan sejuk. Tapi sekarang ni saya sendiri tak boleh nak tahan. Diorang lagilah teruk rasanya. Bila depan kamera semuanya pakat control senyum macam takde apa yang berlaku dan kononnya boleh tahan sejuk. Padahal realitinya hanya Tuhan yang tahu. Nak merasa suasana travel time winter? Nah ambil ubat.. Hehe..

Perjalanan menuju ke T-Bane Station
Kita bergambar dulu. Kontrol senyuman dalam kesejukan. Hihi..
Kami menuruni bukit yang bersalji untuk sampai ke T-Bane station. Jalan yang licin menyukarkan pergerakan. Sorang tu pernah ada sejarah silam jatuh terduduk atas salji masa kat Murren, Switzerland. Kesian tengok, tapi tersenyum juga bila teringat kembali. Bukan jatuh kerana tak berhati-hati, tapi asyik melayan phone. Orang dah kata jangan tengok phone dulu, tapi degil nak post time tu juga. Kan dah tercipta sejarah. Kat situ siap ada signboard amaran jalan licin lagi. Nasib baik orang tak ramai masa tu. Sempat la recover seperti tiada apa yang berlaku. Pengalaman hidup juga tu. Kali ni dia tak tengok phone. Nampak jelas pengalaman lalu telah mendewasakan dia. Hehe..

Walking route: From Holmenkollen Parking to Holmenkollen Station
Sampai sudah di Holmenkollen Station
Nak naik T-Bane kenalah beli tiket. Mesin tiket ada di setiap metro, train dan tram station. Bus station yang besar juga ada. Mesin tiket kat sini ada pilihan English, jadi tak perlu nak belajar bahasa Norway. Hehe.. Disebabkan kami akan berada di sini sampai malam, kami beli 24-hours ticket yang berharga NOK105.00/person. Agak mudah kalau beli tiket 24-hours sebab tak perlu nak pilih 4 Zone yang ada dalam senarai. Kalau mengikut map, Holmenkollen Station berada di Zone 3 dan kami akan ke Zone 4 lepas ni. Pusat bandar Oslo berada di Zone 1. Tiket yang dah dibeli kena validate dulu. Tap pada panel di sebelah mesin tiket untuk mula aktifkannya. Lepas tu tiket dah boleh simpan dalam wallet untuk standby jika ada officer buat spotcheck dalam train.

Mesin tiket dan panel hijau untuk activate tiket yang dibeli
Rupa bahagian depan dan belakang tiket

How to buy 24-hours ticket @ Oslo

10 minit menunggu dalam kesejukan, jam 12.20 tengahari train sampai. Kami naik dan train bergerak hingga ke station yang paling hujung dan terletak di puncak bukit iaitu Frognerseteren Station. Kelihatan ramai juga orang di dalam train dengan pakaian dan alatan ski. Diorang nak layan ski kat lereng bukit la tu. Pemandangan di sepanjang perjalanan dalam train amat mengujakan. Kami dapat lihat keseluruhan bandar Oslo kerana train ni lalu di lereng bukit. Indah sungguh bumi ciptaan Allah. Walaupun ada yang tak appreciate dengan view masa winter sebab kebanyakannya putih dan pokok pun tinggal ranting, tapi saya tetap suka. Dah macam berada kat tempat fairy tales. Tetiba teringat cerita Frozen. Siap hafal jalan cerita. Mana taknya, anak asyik ulang cerita tu sampai boleh hafal lagu dan jalan cerita. Kita sebagai ibubapa layankan aje la, walaupun dah naik muak dengar lagu yang sama berulang kali. Hahah..

Suasana dalam train menuju ke Frognerseteren Station
Bandar Oslo berada di bawah tu

Oslo metro view


@ FROGNERSETEREN

Jam 12.30 tengahari, setelah melepasi 4 station, akhirnya kami sampai di Frognerseteren Station, hentian metro paling tinggi di Oslo. Keluar je dari train tak nampak benda lain melainkan putih semuanya. Sejuk jangan cakap la. Huhu.. Nak tengok signboard pun tak nampak sebab dah ditutupi oleh salji. Kami ikut orang ramai yang sudah tentu pergi tempat yang sama dengan kami. Kami kena turun bukit untuk sampai ke destinasi. Ada yang turun dengan sledge masing-masing. Kami yang takde sledge ni kenalah pelan-pelan menuruni bukit bersalji. Ingat kesan sejarah lalu ye. Hehe..

T-Bane route: From Holmenkollen Station to Frognerseteren Station
Fuhh.. Tebal sungguh salji kat sini sampai tak nampak signboard
Seronoknya tengok diorang naik sledge
Sebenarnya inilah tujuan sebenar saya ke sini, iaitu nak cuba sledge toboggan ride. Nampaknya ia beroperasi hari ni. Harap masih ada lagi sledge untuk kami sewa. Wife saya taknak naik sebab dia takut. Mudah je nak pujuk dia. Yang lain semua setuju, takkan dia nak tunggu sorang-sorang kat atas. Lagilah amat menakutkan bila suami tiada di sisi. Hihi.. Takpe, kita turun dulu bukit ni sambil berbincang. Nak taknak dia mesti kena naik juga untuk dapatkan pengalaman bermain sledge atas salji. Bila lagi nak merasa. Pengalaman main ski dah ada masa trip ke Korea dulu. Kali ni kita try naik sledge pulak. Tengok macam mana perginya, laju ke sangkut juga. Hehe.. Apa-apa pun pengalaman hidup baru bermain sledge bakal dirasai. Moga selamat semuanya. Wallahu 'alam..


Arriving Frognerseteren



No comments:

Post a Comment