Tuesday, 11 March 2025

JJCP Eurora: Day 08 (Part #3)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..





@ SELFOSS

Setelah hampir 90 km perjalanan dalam kereta yang mengambil masa 1 jam 30 minit, akhirnya jam 4.10 petang kami sampai di satu pekan yang bernama Selfoss. Sepanjang perjalanan tadi langsung tak lalu mana-mana pekan. Cuaca pun dah mula gelap. Nak tengok pemandangan memang tak nampak apa dah. Maka kami pun carilah supermarket untuk mengisi aktiviti harian kami yang masih panjang lagi. Di sini ada satu supermarket yang popular dan banyak cawangannya di Iceland iaitu Kronan. Kali ni boleh la tengok harga barang yang dijual. Dari info yang saya cari ramai yang kata harga barang kat Iceland mahal. Takkan la semuanya mahal kot. Jom kita semak harga barang kat sini.

Driving route: From Blue Lagoon to Selfoss

Kami masuk ke kawasan parking di Kronan. Alhamdulillah kawasan parking agak luas dan tak banyak kereta. Kami dapat parking berdekatan pintu masuk supermarket. Keluar je dari kereta terus terasa angin yang amat sejuk singgah di muka kami. Dengan pantas kami semua masuk ke dalam supermarket. Anak-anak dah siap ambil satu troli. Macam banyak je barang yang nak dibeli. Huhu.. Takpe, kita tengok dulu barang yang dijual dalam supermarket ni. Kalau nak cari makanan, pastikan ianya halal. Harap-harap adalah makanan halal kat sini. Hihi..

Jom kita cuci mata tengok barang yang ada dalam supermarket ni

Saya mula melihat barang-barang yang saya selalu beli di Malaysia dan cuba bandingkan harganya. Untuk barangan harian seperti sabun, syampu dan deodorant lebih kurang sama je harga dengan di Malaysia. Mungkin tinggi sikit harganya tapi takdelah melampau sangat mahalnya. Produk makanan segera yang berstatus halal juga ada dijual seperti instant noodle. Untuk ayam dan daging mentah saya tak jumpa yang halal. Saya ada terbaca info tentang syarikat pengeluar daging di sini yang mana lembu mereka disembelih cara Islam namun tiada tanda halal pada produk. Boleh semak dalam website company tersebut. Dunia digital sekarang mudah nak cari info. Ada je forum yang membincangkan tentang produk halal di Iceland.

Seronok bila main banding harga. Hahah..

Saya bagi tugasan kat Eirfan, suruh dia cari mana-mana barang yang berstatus halal. Tapi jangan sampai pegang ayam dan daging. Suka dia bila dapat tugasan macam ni, baru rasa diri dia amat penting dan bertanggungjawab. Hahah.. Tak sampai 5 minit dia datang kepada saya, maklumkan dia jumpa daging halal dan ada macam-macam jenis. Terkejut saya. Biar betul budak ni. Dia pun bawa saya ke tempat daging tersebut. Bila saya tengok daging tu, saya tanya dia macam mana tau daging ni halal. Dia kata tengok kat jenama daging tu. Emmm, bila baca jenama memang nampak macam halal. Siap bagitau sama nama dengan kawan dia kat sekolah. Hahah..

Nama melayu tak semestinya halal wahai anakku..

Balik sekolah nanti mesti dia cerita kat kawan dia yang bernama Ali. Hahah.. Jelas sungguh tulisan bacon tu. Kalau awal tadi saya suruh dia letak semua barang halal dalam troli mesti banyak produk Ali ni dia letak. Hihi.. Antara produk daging biri-biri halal di sini ialah dari syarikat KS. Tapi katanya hanya biri-biri je yang halal. Daging lain tak pasti. Pelik pulak bila hanya biri-biri je yang halal. Takkan la dalam satu kilang, hanya biri-biri je yang disembelih? Wallahu 'alam.. Kalau tak yakin adalah lebih baik jangan beli. Di bahagian frozen banyak juga produk ayam yang halal. Jadi takdelah kami makan telur je sepanjang berada di bumi Iceland ni. Boleh juga makan ayam. Cuma nak dapatkan ayam dan daging fresh agak sukar. Frozen pun jadilah, asalkan perut kami sentiasa kenyang. Hehe..

Eirfan jumpa instant noodle halal. Terbaikk..

Hampir 40 minit kami ronda dalam supermarket ni. Banyak juga barang kat dalam troli. Ada je benda yang budak-budak ni amik. Takpelah, bila lagi nak merasa shopping groceries kat Iceland kan. Hihi.. Sementara kami beratur di kaunter bayaran, Eirfan ajak saya main salji kat luar. Masa sampai tadi dia dah tenung salji yang putih gebu kat kawasan parking kereta. Hairan sungguh la dengan budak ni. Langsung tak rasa sejuk ke Eirfan? Orang lain kalau boleh nak cepat-cepat masuk dalam kereta. Huhu.. First time dalam hidup tengok salji. Kita bagilah dia peluang main salji sepuasnya. Saya masa kecik tak pernah pun merasa. Umur 36 tahun baru merasa salji pertama di Korea. Rezeki anak-anak dapat pengalaman hidup yang berharga di usia muda.

Kat dalam tengah bayar, kat luar tengah main salji..

Selesai urusan pembayaran di Kronan, kami kembali ke kereta. Eirfan boleh sambung main salji kat homestay nanti ya. Sebelum kami meninggalkan Selfoss, kami singgah di petrol station. Di Iceland kebanyakan petrol station hanya ada di kawasan pekan. Sepanjang 90 km perjalanan kami dari Blue Lagoon tadi kami langsung tak jumpa petrol station. Jadi lebih baik isi siap-siap sebab tak pasti dalam perjalanan nanti ada petrol station atau tidak. Naya je kalau minyak habis dan sangkut kat tepi jalan. Huhu.. Untuk isi minyak di Iceland, pertama kena tau dulu jenis minyak untuk kereta. Kereta kami guna diesel. Kebanyakan petrol station kat sini self-service. Debit dan credit card boleh digunakan. Sebelum mula kena pastikan tukar bahasa kepada English. Kemudian pilih nombor pump sebab satu mesin digunakan untuk 2 atau 4 pump number. Salah pilih nombor pump, kereta lain pulak yang diisi nanti. Hahah.. Dah pilih nombor pump, boleh pilih berapa amaun isian yang bermula serendah ISK500.00. Jangan pilih full tank sebab nanti dia hold amaun yang agak tinggi dalam kad kita. Untuk isian pertama kali, saya pilih ISK8000.00. Tak dapat full tank, tapi in shaa Allah cukup untuk perjalanan hingga jumpa next petrol station.

First time isi minyak kat Iceland. Mudah je..

Harga diesel kat sini lebih mahal dari petrol dan ianya sentiasa berubah. Esok mungkin lain harganya. 1 liter diesel berharga ISK336.20 iaitu bersamaan dengan RM11.60. Kalau petrol RON95 pula harganya ISK329.70 seliter. Fuhh, mahal sungguh harga petrol dan diesel kat sini. Bersyukur tinggal di Malaysia. Kita kan negara pengeluar minyak. Hihi.. Terkebil-kebil jugaklah mata bila meter sampai ISK8000.00. Sekali isi RM276.80. Yang ni saya boleh confirm bahawa harga petrol dan diesel di Iceland amatlah mahal. Huhu.. Selesai semuanya isi minyak kereta masing-masing, kami teruskan perjalanan ke homestay. Sejam perjalanan mengharungi jalan yang gelap, kami masuk ke satu simpang dan menghampiri kawasan homestay. Laluan sehala ke arah homestay agak sempit dan salji tebal di atas jalan. Saya risau kalau kereta kami sangkut. Memang boleh rasa tayar licin dan kadang-kadang berat seperti tenggelam dalam salji. Kereta yang lain follow rapat belakang saya. Moga kami selamat sampai di homestay.

Driving route: From Selfoss to Hellisholar Cottages


@ HELLISHOLAR COTTAGES

Jam 6.30 petang kami sampai di bangunan reception untuk ambil kunci homestay. Saya booking 3 buah homestay yang jaraknya agak dekat antara satu sama lain. Staff di reception tunjuk pada map di mana lokasi homestay kami. Setelah ambil kunci, kami teruskan perjalanan menuju ke homestay yang terletak di kawasan berhampiran. 5 minit melalui jalan sehala yang sempit dan salji tebal, akhirnya kami sampai di depan homestay. Di antara ketiga-tiga homestay terdapat kawasan parking yang kurang salji. Saya cuba untuk parking berhampiran dengan homestay kami tapi tak berani sebab salji tebal. Takut kereta sangkut nanti jenuh pulak nak menolak. Huhu..


Ambil kunci kat reception office

Nampaknya anak-anak terpaksa bantu angkat beg dari kereta ke homestay. Saya sekeluarga ambil rumah yang paling hujung. Sebelum angkat beg, kami ke rumah En. Khai dulu untuk supper. Menu malam ni simple je iaitu roti dengan serunding daging yang dibawa dari Malaysia. Cukup sebagai alas perut kami untuk malam ni. Mee segera yang beli tadi boleh makan kat rumah nanti. Bila kenyang barulah boleh tidur dengan senang hati. Hehe..

Jadilah buat alas perut sebelum tidur

Selesai makan, kami bergerak balik ke rumah. Eirfan dah mula geram dengan salji yang tebal kat luar rumah. Saya bagi la peluang dia bermain salji. Baru jam 7.45 malam kot. Masih awal lagi nak tidur. Kagum juga saya dengan budak kecik ni. Memang tak rasa sejuk ke dia ni. Huhu.. Sukahati awak la ye Eirfan. Yang penting jangan demam. Susah dibuatnya nanti.

Mainlah sepuasnya ye anakku. Bila lagi nak merasa kan..

Rumah kami berdindingkan kayu. Suhu di dalam rumah agak panas dan selesa. Terdapat 2 bilik dan 6 katil single. Semua dapat katil masing-masing ya. Fasiliti seperti barang dapur agak lengkap dan tiada masalah kalau nak masak atau panaskan makanan. Makan roti dengan serunding tadi dah cukup kenyang, jadi tak perlu nak masak apa-apa untuk malam ni. Cuma anak-anak nak masak air untuk makan mee segera yang dibeli tadi. Banyak masa untuk kami berehat. Wifi pun ada disediakan. Saya suka dengan rumah ni. Boleh rekomen pada sesiapa yang datang ke Iceland untuk menginap di sini.

Rumah tak besar tapi cosy.. Selesa untuk kami sekeluarga

Setelah bersihkan diri dan berehat di ruang tamu, saya jenguk ke luar tingkap untuk melihat langit jika nampak aurora. Tengok pada apps nampaknya tiada aktiviti aurora di kawasan sekitar. Belum ada rezeki lagi nak tengok aurora di hari kedua. Takpe, in shaa Allah akan dapat tengok juga sebelum kami meninggalkan bumi Iceland. Dapat tengok sikit pun jadilah buat kenangan dalam hidup. Jam 11.00 malam anak-anak yang melayan handphone masing-masing dah mula tidur. Saya pun masuk ke bilik dan bersedia untuk tidur. Selesai aktiviti hari kedua kami di Iceland. Esok ada banyak aktiviti yang nak dibuat. Moga dipermudahkan urusan kami sepanjang berada di sini.


Wallahu 'alam..