Tuesday, 29 April 2025

JJCP Eurora: Day 10 (Part #1)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..




Jam 8.00 pagi alarm berbunyi. Tidur yang nyenyak dan bertenaga semula untuk aktiviti hari ni. Selesai mandi dan solat saya kejutkan anak-anak. Hari ni kami bakal menyaksikan keajaiban dunia ciptaan Allah. Sedikit kecewa kerana semalam tak dapat nak tengok aurora. Mungkin belum masanya lagi untuk kami lihat. Saya masih yakin akan dapat lihat sebelum kami meninggalkan bumi Iceland. Daripada info yang saya cari, Iceland bukanlah negara yang paling mudah untuk lihat aurora kerana ia terletak di hujung jaringan lingkaran aurora. Kalau nak tengok dengan mudah dan jelas adalah di utara Finland, Sweden dan Norway kerana berada betul-betul di tengah lingkaran aurora. In shaa Allah, ada rezeki dapatlah kami tengok aurora kat sini, walaupun hanya sedikit sahaja penampakannya.


Pagi ni tak perlu nak kemas beg lagi sebab masih bermalam di sini. Jam 9.45 pagi kami ke rumah En Khai untuk bantu sediakan sarapan. Cuaca di luar mendung dan berangin. Sarapan pagi ni adalah bihun goreng dan roti goreng bersalut telur. Sedapnya bila dapat makan bihun goreng panas di pagi hari yang sejuk. Ditambah pula dengan air teh panas. Rasa macam taknak keluar je hari ni. Hahah.. Mana boleh. Rugi kalau duduk je kat rumah tak buat apa-apa. Mesti kena explore sesuatu. Bila travel, setiap hari adalah pengalaman baru dalam hidup.

Indah sungguh breakfast pagi ni. Lazat..

Jam 10.30 pagi kami mula bersiap untuk mulakan perjalanan hari ni. Di luar masih mendung dan salji turun dari langit. Sempat lagi anak-anak bermain dengan salji yang fresh. Aktiviti hari ni tak padat sangat. Boleh la gerak lewat sikit. Bagi peluang diorang main salji. Moment salji turun dari langit adalah yang paling terindah di musim winter. Walaupun jaket basah tetap menikmatinya juga.

Salji satu keajaiban ciptaan Allah. Subhanallah..

Jam 10.45 pagi kami mula masuk ke kereta dan bergerak meninggalkan rumah. Pemandangan monochrome di sepanjang jalan tetap indah. Kami melalui satu kawasan kampung kecil di mana ada air terjun yang agak tinggi di belakangnya. Tak dapat bayangkan bila musim summer mesti cantik kawasan kampung ni. Setiap hari boleh berkelah kat tepi air terjun. Hihi.. Tak dapat bayangkan jika saya tinggal di sini. Mungkin ambil masa yang lama untuk menyesuaikan diri dengan keadaan musim di sini. Bayangkan aje la, realitinya tak mungkin akan berlaku. Tetap sayangkan Malaysia tanah tumpah darahku. Seminggu tak dapat makan nasi lemak dan teh tarik boleh meroyan dibuatnya. Hahah..

Ingat kenangan ni ya anak-anak. Tak semua orang pernah ke Iceland..


@ HAOLDUKVISL GLACIER

Sejam memandu menghayati pemandangan indah di sepanjang perjalanan, jam 11.45 pagi kami berhenti seketika di Haoldukvisl Glacier untuk menikmati pemandangan lapang di sekeliling. Kelihatan Svianfellsjokull glacier di kejauhan. Semalam kami lalu di sini tak nampak apa-apa. Pagi ni barulah nampak semuanya. Di kawasan sekitar adalah lokasi antara glacier terbesar di Iceland. Glacier adalah ketulan ais salji yang tebal dan bergerak perlahan di celah bukit menjadi satu bentuk muka bumi yang baru.

Driving route: From Horgsland Cottages to Haoldukvisl Glacier

Bergambar itu wajib walaupun sejuk menggigil

Sekali sekala angin bertiup kencang menambah kesejukan. Kawasan kat sini lapang dan takde tempat untuk berteduh. Bertahan je lah demi mengabadikan kenangan dengan bergambar sepuasnya. Seronok bila tengok anak-anak teruja. Tak sangka saya dan wife dapat bawa diorang semua bila memikirkan kos setiap seorang untuk sampai ke sini. Alhamdulillah diberikan rezeki untuk diorang semua merasai pengalaman hidup yang terbaik. Masih teringat kata-kata arwah mak tentang rezeki. Sentiasa bersedekah kerana dalam rezeki kita ada rezeki orang lain. Once you give you will get back. Sedikit anda memberi, pulangannya pasti berganda-ganda. Mungkin bukan dalam bentuk duit atau harta, tapi kesihatan yang baik dan kehidupan yang tenang. Thanks for the nasihat mak. Saya akan ingat selamanya..

Kasi posing satu kali. Background memang terbaik..

Tepat jam 12.00 tengahari kami sambung perjalanan ke pitstop berikutnya. Saya kagum sungguh dengan muka bumi Iceland ni. Banyak kawasan yang lapang dan deretan gunung-ganang di satu bahagian. Tak banyak pokok seperti di kawasan khatulistiwa. Kalau tengah memandu tetiba snowstorm datang, terpaksalah duduk diam dalam kereta dan berdoa hingga keadaan reda. Cuaca di Iceland memang tak menentu. Semalam weather forecast maklum akan berlakunya snowstorm di kawasan ni. Cuma tak tau kat belah mana dan bila ia berlaku. Harap kami semua tak menempuhnya.

Driving route: From Haoldukvisl Glacier to Skeidara Bridge Monument


@ SKEIDARA BRIDGE MONUMENT

10 minit memandu, kami singgah lagi di satu tempat yang bernama Skeidara Bridge Monument. Apa yang dapat dilihat di sini hanyalah cebisan besi jambatan sebagai ingatan tentang kejadian letusan gunung berapi pada 1996 yang menyebabkan banjir glacier yang besar di sini. Skeidara Bridge adalah jambatan terpanjang di Iceland ketika itu. Semasa kejadian letusan gunung berapi, bongkah ais yang besar hanyut dan memusnahkan jambatan ini. Penduduk Iceland menamakan fenomena alam ini sebagai Jokulhlaup.

Ini je cebisan besi jambatan yang tinggal untuk kenangan

Apabila membaca sejarah jambatan ini dibina, ada ilmu baru yang saya dapat. Skeidara Bridge dibina bertujuan untuk menahan aliran glacier dan air banjir. Namun tak disangka begitu besar glacier yang mengalir ketika letusan gunung berapi berlaku. Ini menunjukkan bahawa sehebat mana ciptaan manusia, tapi alam semulajadi tetap menang. Sebab itu apabila berlakunya natural disaster, manusia hanya dapat berdoa dan bertahan agar kemusnahan yang berlaku tidak besar. Tapi tetap musnah juga walaupun minima. Siapalah manusia kalau nak dibandingkan dengan kekuatan alam semulajadi. Kuasa Allah itu nyata dan tidak terbatas.

Pemandangan kat sini juga amat cantik. Breathtaking view..

15 minit berada di sini sudah cukup untuk saya memahami tentang monumen dan menikmati keindahan sekeliling. Kami teruskan perjalanan ke destinasi berikutnya yang pasti lebih menarik. Cuaca sudah mula cerah dan kelihatan sedikit cahaya matahari yang menyinari bumi. Empat kenderaan kami bergerak dengan kelajuan yang santai dan seiring. Jalan kat sini tak perlu risau kalau tertinggal jauh sebab pasti akan jumpa semula. Setakat ni tak nampak lagi traffic light atau jalan jem. Nanti bila sampai hari kejadian di bandar Reykjavik mungkin akan jumpa traffic light dan kereta yang banyak. Masa tu harap-harap takdelah kereta kami yang menyimpang jauh.


Wallahu 'alam..