Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..
TARIKH:
2 JANUARI 2017
LOKASI KEJADIAN:
@ ZIARAH LUAR MADINAH
@ MASJID QUBA
@ LADANG KURMA MAJED
@ MAKAM SYUHADA UHUD
@ PASAR KURMA
Pagi ni saya bangun awal untuk mengerjakan solat sunat dan mengaji sementara menunggu waktu Subuh. Jam 5.20 pagi saya berjalan ke masjid bersama jemaah yang lain. Selesai solat Subuh saya balik ke hotel untuk breakfast dan bersiap. Pagi ni ada program ziarah luar Madinah. Antara aturcara program adalah melawat masjid dan tempat bersejarah yang ada di sekitar Madinah dan ke ladang kurma. Jam 7.15 pagi kami kena berkumpul di lobi hotel. Ustaz Zool dah maklumkan dalam group whatsapp. Jangan lambat, nanti kena tinggal. Hehe..
|
Program kami di Madinah |
Jam 7.00 pagi kami dah ada di lobi hotel menunggu jemaah yang lain. Bila semua jemaah dah ada, Ustaz Zool beri penerangan tentang aktiviti hari ni. Ada banyak masjid bersejarah di sekitar Madinah, tetapi tak kesemuanya kami akan singgah. Hanya lalu dan melihat dari dalam bas je. Kami akan diberi penerangan setiap kali lalu di masjid bersejarah ni. Dapat tengok dan amik gambar dari dalam bas pun dah cukup bersyukur. Alhamdulillah. Jam 7.25 pagi bas yang akan bawa kami dah sedia tunggu di luar hotel. Macam biasa lagi, seat depan jadi pilihan saya. Hihi.. Bila Ustaz Zool kata ada banyak masjid yang kami akan lalu, mesti kena cari view yang jelas. Mana lagi kalau bukan seat paling depan. Powerbank dah standby untuk amik gambar.
|
Dah sedia nak tengok pemandangan Kota Madinah |
@ ZIARAH LUAR MADINAH
Jam 7.35 pagi bas mula bergerak. Cuaca pagi ni amat cerah. Walaupun ada cahaya matahari, suhu agak sejuk juga. Ustaz Zool mula menerangkan laluan perjalanan kami. Bagus juga duduk depan, dapat dengar dengan jelas apa yang ustaz terangkan. Alhamdulillah kami dapat mutawwif yang sempoi macam Ustaz Zool ni. Ramai juga mutawwif Andalusia yang muda belia. Baguslah muda-muda lagi dah banyak kali ke Tanah Suci. Sambil jadi mutawwif boleh la buat umrah dan haji sekali. Kadang-kadang rasa nak apply juga buat part time jadi mutawwif tapi ilmu belum cukup di dada. Huhu.. Setakat ni ilmu Europe dan Asia je yang ada. Itupun baru beberapa negara je yang saya yakin boleh jadi guide. Trip sendirian berhad tanpa guna agen. Mana la tau boleh bukak company travel satu hari nanti. Dah ada yang bertanya tu. Buat masa ni share itinerary je lah ye. Niat nak buat buku travel masih ada, itupun tak tau bila nak start. Huhu..
|
Selamat pagi Kota Madinah Al Munawwarah!.. |
Destinasi pertama kami adalah ke Masjid Quba. Tapi sebelum sampai ke sana kami akan melalui 2 masjid yang juga mempunyai sejarah semasa zaman Rasulullah. Masjid pertama yang kami lihat ialah Masjid Ijabah (dahulunya Masjid Bani Muawiyah) yang terletak tidak jauh dari Masjid An-Nabawi. Di masjid ini 3 doa telah dipanjatkan oleh Rasulullah dan 2 daripadanya dimakbulkan Allah. Doa yang pertama Rasulullah memohon agar Allah tidak membinasakan umatnya dengan kekeringan dan kelaparan. Doa kedua Rasulullah memohon agar umatnya tidak ditenggelamkan. Kedua-duanya dimakbulkan Allah. Cuma doa Rasulullah yang ketiga iaitu agar tiada permusuhan dan fitnah sesama umatnya tidak diperkenankan Allah. Wallahua 'alam..
|
Inilah dia Masjid Ijabah |
Keadaan jalanraya menuju ke Masjid Quba agak jem dengan orang yang nak pergi kerja pagi ni. Tapi takdelah seteruk jem di Jalan Genting Klang. Huhu.. Dah lama saya tak lalu jalan tu. Bayangkan la naik motor pun boleh jem sebab terlalu banyak motor yang ikut jalan tu. Inikan pulak naik kereta. Nasib baiklah saya ni suka naik motor. Rasa macam buang masa je naik kereta redah jem hari-hari semata-mata nak pergi kerja. Kalau outstation tu lain la kan. Saya pernah kena tegur dengan bos sebab naik motor pergi pemantauan ke sekolah. Bukan apa, selain bantu kurangkan jem kat KL, dapat juga sampai cepat ke destinasi. Tak boleh rupanya walaupun motor saya lagi mahal dari kebanyakan kereta biasa. Huhu.. Ok, sambung cerita jem kat Madinah.. Memang inilah suasananya jika berada kat mana-mana bandar besar dalam dunia ni. Layan jem sambil dengar lagu Dewa: Hadapi Dengan Senyuman. Hehe..
|
Jem di Madinah |
|
Sempat petik buah kurma nih. Hihi.. |
Sebelum sampai di Masjid Quba, kami melalui satu lagi masjid yang bersejarah iaitu Masjid Jum'ah. Di masjid inilah berlakunya peristiwa bersejarah yang hingga kini umat Islam melakukannya iaitu solat Jumaat. Rasulullah pertama kali menyampaikan khutbah Jumaat di masjid ini. Sebelum itu Rasulullah berada selama 4 hari di Quba untuk mendirikan masjid. Selesai pembinaan Masjid Quba, Rasulullah berhijrah ke Madinah dan singgah di Masjid Jum'ah yang terletak di wilayah Wadi Ranuna untuk mengerjakan solat Jumaat yang pertama kali dalam sejarah Islam. Ketika itu Masjid Jum'ah hanya didirikan dengan pecahan batuan. Struktur lama dirobohkan dan masjid baru yang besar dan cantik dibina seperti yang kami lihat pada hari ni.
|
Masjid Jum'ah tersergam indah |
@ MASJID QUBA
Tepat jam 8.00 pagi bas kami sampai di seberang jalan Masjid Quba. Subhanallah, amat cantik binaan masjid ni. Masjid Quba adalah masjid pertama yang didirikan oleh Rasulullah ketika hijrah Baginda ke Madinah. Rasulullah sendiri meletakkan batu tanda kiblat pada masjid ini. Masjid ini juga dikenali sebagai Masjid Taqwa kerana ianya dibangunkan atas dasar taqwa dan disebut dalam Al-Quran. Walaupun tiada kewajipan untuk menziarah masjid ini kepada jemaah umrah dan haji, namun ianya sentiasa diziarahi. Menurut hadis, barangsiapa yang bersuci dirumahnya, kemudian pergi ke Masjid Quba dan solat didalamnya, maka diberinya pahala seperti pahala umrah. Sebab tu Ustaz Zool minta kami siap berwuduk di hotel pagi tadi. Wallahu 'alam..
|
Bus Route: From Hotel to Masjid Ijabah, Masjid Jum'ah and Masjid Quba |
|
Masjid Quba |
|
Berjalan ke pintu masuk masjid |
|
Ruang solat di dalam Masjid Quba |
Selesai mengerjakan solat sunat dhuha, saya ambil peluang untuk melihat kawasan di sekitar masjid. Rasa bersyukur kerana diberi peluang untuk menziarahi dan solat sunat di dalam Masjid Quba. Sesungguhnya tersentuh jiwa bila dapat menjejakkan kaki di tempat yang mempunyai sejarah penting Islam ketika zaman Rasulullah. Ia menunjukkan betapa hebatnya usaha Rasulullah dan para sahabatnya dalam menyebarkan Islam di bumi Allah. Namun saya masih terkesan dengan penerangan Ustaz Zool tadi tentang 3 doa yang dipanjatkan oleh Rasulullah semasa di Masjid Ijabah. Doa ketiga yang dimohon Baginda tidak diperkenankan oleh Allah. Zaman sekarang dah nampak ianya berlaku. Permusuhan dan fitnah sesama umat Islam dah makin banyak terjadi. Huhu.. Sesungguhnya janji Allah itu pasti..
|
Ayat Al-Quran dan Hadis berkenaan Masjid Quba |
Jam 8.30 pagi kami berkumpul semula di bas dan menunggu jemaah yang masih berada di perkarangan masjid melihat gerai jualan kurma. Antara kurma yang popular dan paling saya suka sudah tentu kurma Ajwa. Kalau beli kat KL kemain tinggi harganya. Makan masa buka puasa pun kena catu. Sekali makan 2 biji je sebab takut cepat habis. Huhu.. Bila dah habis nak beli lagi kena fikir panjang sebab mahal. Dah alang-alang kat Madinah ni, sampai pasar kurma nanti kita tengok banyak mana boleh borong. Dah tentu harga kat sini tak semahal di Malaysia. Caj import bawak naik atas kapal terbang yang buat harga mahal katanya. Hihi..
|
Rangup betul kurma sejuk ni |
@ LADANG KURMA MAJED
Bas meninggalkan Masjid Quba menuju ke ladang kurma. Excited juga sebab sebelum ni tak pernah tengok pokok kurma depan mata. Huhu.. Tak sampai 10 minit perjalanan, kami tiba di Ladang Kurma Majed. Ruang parking amat luas tanda bas pelancong banyak datang ke sini walaupun setakat ni hanya bas kami je yang ada. Hihi.. Baru jam 8.40 pagi. Kejap lagi penuh la parking kat sini kot. Baik masuk dulu sementara orang tak ramai lagi. Masuk je pintu utama terus nampak pekerja kedai yang agak ramai menjual macam-macam jenis kurma. Kalau dah kat sini ada jual kurma, kenapa nak ke pasar kurma lagi lepas ni. Mungkin harga kat sini mahal berbanding di pasar kurma agaknya. Walaupun mahal tapi tetap murah dari di KL. Takpe, kat pasar kurma nanti baru saya beli, insyaAllah..
|
Bus Route: From Masjid Quba to Ladang Kurma Majed |
|
Ladang kurma di tengah padang pasir |
|
Jom masuk jumpa Majed. Hehe.. |
|
Macam-macam jenis kurma ada kat sini |
Kami keluar ikut pintu belakang untuk ke ladang kurma. Walaupun tak berapa besar ladangnya, tapi jadilah untuk saya dapat pengalaman pertama kali dalam hidup melihat dan memegang pokok kurma. Sekali imbas anak pokok kurma macam pokok kelapa sawit. Kurma memang hidup subur di bumi Arab. Buah kurma adalah salah satu makanan yang dulunya saya langsung tak makan. Puncanya kerana pertama kali makan dapat kurma yang tak sedap. Lama juga saya tak makan sampailah saya makan kurma yang paling sedap iaitu Ajwa. Selain buah kurma, bubur lambuk, rebung, ikan pekasam dan laksam pun sama juga ceritanya. First time makan yang tak sedap terus jadi fobia. Umur dah meningkat hujung remaja ni bila makan balik barulah tau rupanya sedap semua makanan ni. Masih mengaku remaja lagi tu. Hihi.. Itulah sifat saya, bila dah fobia tu langsung taknak makan dah. Amik masa bertahun juga nak recover fobia saya ni. Huhu.. Paling saya ingat peristiwa makan bubur lambuk. Cerita zaman sekolah. Masa bulan puasa, dapat bubur lambuk free. Buka puasa je makan dan terasa masam sangat. Terus muntah dan rasa nak demam. Sekarang baru makan balik. Hampir 25 tahun fobia tu. Huhu.. Dan sampai sekarang bila buka puasa kat rumah mak di kampung, kalau mak buat bubur lambuk mesti dia akan masak benda lain untuk saya sebab tau yang saya tak makan bubur lambuk. Mengada-ngada kan.. Hehe..
|
Panjangnya duri dia |
|
Memori cinta di bawah pohon kurma. Hahah.. |
|
Kenangan dah tua baru tengok pokok kurma live depan mata. Huhu.. |
Setengah jam kami berada kat sini. Jam 9.10 pagi kami keluar dari Ladang Kurma Majed untuk ke destinasi seterusnya iaitu Makam Syuhada Uhud. Ladang kurma tinggal menjadi kenangan. Tak dapat pergi ladang unta, dapat ke ladang kurma pun jadilah. Pengalaman hidup ada di mana-mana. Apa boleh buat, dah takde rezeki nak tengok unta kerana faktor kesihatan. Mungkin ada hikmahnya di situ. Wallahu 'alam.. Kat parking ada pulak orang menjual buah oren dan delima. Warna buah oren dan saiznya yang kecil menarik perhatian kami. Kat pasar kurma mungkin takde jual. Baik beli kalau dah teringin sangat nak rasa buah oren Arab. Hihi..
|
Pergi ladang kurma tapi beli oren. Macam tak kena je. Hihi.. |
Dalam bas, Ustaz Zool menerangkan tentang satu masjid yang amat bersejarah ketika berlakunya peperangan Khandaq (Ahzab) di zaman Rasulullah. Masjid tersebut ialah Masjid Tujuh (Al-Sab'ah) yang bermaksud tujuh masjid didirikan sebagai kubu semasa peperangan tersebut. Namun pada hari ini hanya satu masjid sahaja yang berfungsi iaitu Masjid Fatah. Di masjid inilah Rasulullah memanjatkan doa selama tiga hari berturut-turut memohon bantuan dari Allah untuk menghapuskan musuh yang mengepung Baginda dan para sahabat. Di hari ketiga Allah telah menghantar angin kencang lalu merosakkan khemah serta peralatan perang musuh sehingga memaksa mereka berundur.
|
Melihat Masjid Fatah dari dalam bas |
Seterusnya kami melalui satu lagi masjid yang mempunyai sejarah kepada umat Islam iaitu Masjid Qiblatain. Inilah satu-satunya masjid yang mempunyai 2 arah kiblat pada zaman Rasulullah. Pada awalnya masjid ini berkiblatkan Masjid Al-Aqsa yang terletak di Palestin. Kemudian pada suatu hari, ketika Rasulullah menjadi imam solat Zohor, Baginda telah menerima wahyu untuk menukar arah kiblat ke Masjidil Haram di Mekah. Waktu tu baru selesai rakaat kedua, dan Rasulullah terus mengubah arah 180 darjah menghadap Masjidil Haram. Para jemaah juga berpusing mengikut arah imam tanpa memberhentikan solat. Sejak dari kejadian itu, kiblat bagi umat Islam hanya ada satu je iaitu menghadap Kaabah di Masjidil Haram. Peristiwa ini membuatkan kaum Yahudi dan Nasrani mempermainkan umat Islam kerana mengubah arah kiblat. Namun disebaliknya mereka khuatir kerana dengan perubahan kiblat ini menandakan ada perbezaan di antara umat Islam dengan kaum Yahudi dan Nasrani. Khusyuk saya mendengar penerangan dari Ustaz Zool tapi bas hanya lalu je di tepi Masjid Qiblatain. Tetap bersyukur kerana dapat juga kami melihatnya di depan mata walau hanya seketika. Alhamdulillah..
|
Pemandangan Masjid Qiblatain |
@ MAKAM SYUHADA UHUD
Jam 9.30 pagi kami sampai di kawasan Makam Syuhada Uhud. Peperangan Uhud adalah antara peristiwa penting dalam sejarah Islam di mana perang ini tercetus kerana kaum kafir Quraisy ingin membalas dendam terhadap kaum Muslimin di atas kekalahan mereka ketika Perang Badar. Nama perang ini diambil dari lokasi peperangan yang dikelilingi oleh Jabal Uhud. Dalam peperangan ini, kaum muslimin hanya dalam 1000 orang menentang musuh dari kaum Quraisy yang seramai 3000 orang. Daripada 1000 orang, 300 orang telah tarik diri kerana termakan hasutan. Jadi tinggal la 700 orang untuk berperang dengan musuh yang lebih 4 kali ganda ramainya. Huhu..
|
Bus Route: From Ladang Kurma Majed to Masjid Tujuh, Masjid Qiblatain and Makam Syuhada Uhud |
|
Bukit Uhud yang mengelilingi kawasan |
Walaupun hanya tinggal 700 orang, Rasulullah tetap mengetuai peperangan menentang musuh. Pasukan pemanah telah diarahkan oleh Rasulullah untuk sentiasa kekal berada di satu bukit yang bernama Jabal Rumah walau apa pun yang terjadi. Tapi selepas pihak musuh lari dan meninggalkan harta sebagai umpan, ramai pemanah turun dari bukit untuk mengutip harta tersebut. Akibat tak mendengar arahan Rasulullah, tentera Quraisy yang diketuai oleh Khalid bin Al-Walid telah membuat serangan balas ketika tentera muslimin leka berebut harta. Huhu.. peristiwa ni jelas menunjukkan bahawa harta dan kekayaan boleh membutakan hati manusia hingga sanggup ingkar arahan. Kenapalah tak ikut cakap Rasulullah. Bila melihatkan ramai tentera Muslimin yang mati, jadi mereka pun menganggap Rasulullah juga terkorban, padahal Baginda masih hidup lagi dan dijaga oleh para sahabat yang masih hidup. Pada ketika inilah ada sumber menyatakan Rasulullah telah membunuh satu-satunya manusia sepanjang hidupnya iaitu Ubai bin Khalaf yang ingin membunuh Rasulullah secara serang hendap. Tetapi ada juga sumber yang menyatakan Ubai bin Khalaf tidak mati ketika itu dan berlari semula ke kawasan musuh untuk menyelamatkan diri. Namun setelah habis peperangan di mana kaum Muslimin diisytihar kalah, Ubai bin Khalaf mati tanpa sebab ketika dalam perjalanan menuju ke Mekah. Wallahu 'alam..
|
Kedudukan Jabal Uhud dan Jabal Rumah di Makam Syuhada Uhud |
|
Inilah Jabal Rumah, lokasi pemanah yang diarahkan oleh Rasulullah |
Peristiwa Perang Uhud telah memberi pengajaran kepada kita tentang betapa pentingnya taat dan patuh kepada perintah Allah dan Rasul-Nya. Harta punya pasal sampai lupa diri. Itulah yang selalu terjadi kepada manusia akhir zaman sekarang ni. Adik-beradik pun boleh bergaduh besar hanya kerana berebut harta. Huhu.. Satu masjid telah didirikan di kawasan ni iaitu Masjid Sayed Al Syuhada yang didirikan bersebelahan dengan makan para syuhada Uhud. Ada pasar jualan di perkarangan masjid. Kami berjalan ke arah pagar makam untuk melihat dengan lebih dekat makam syuhada yang terkorban dalam peperangan Uhud.
|
Banyak juga gerai jualan kat sini |
|
Papan tanda peringatan kepada pelawat |
|
Melihat makam dari luar pagar |
|
Ustaz Zool sedang bagi penerangan |
Hampir 45 minit kami berada di sini. Seronok berborak dengan Ustaz Zool dan jemaah yang lain. Sebenarnya penerangan tentang makam syuhada sekejap je. Yang membuatkan lama adalah soalan lain tentang tanah Arab. Yang paling menarik perhatian adalah penerangan tentang Mazhab, Syiah dan Wahabi di sini. Sebelum ni saya cuma tau sikit je. Bila dah diterangkan panjang lebar barulah faham. Sebab tu saya ada terbaca tentang rancangan kerajaan Arab Saudi untuk memindahkan makam Rasulullah dari Masjid An-Nabawi ke tempat yang lain supaya umat Islam tak melawatinya kerana merasakan ianya adalah perbuatan yang syirik. Selain tu, banyak lagilah benda lain yang ditanyakan oleh jemaah sampai tak sedar yang kami dah agak lama berada kat sini. Sebelum menuju ke bas, kami ronda dulu melihat gerai jualan.
|
Sebelum naik bas kita beli coklat dulu |
|
Pantang nampak aiskrim kat sini. Huhu.. |
|
Kelihatan susunan batu bertulis Allah di puncak Uhud |
Jam 10.30 pagi bas mula bergerak menuju ke destinasi terakhir untuk aktiviti hari ini, iaitu ke pasar kurma yang terletak berdekatan dengan Masjid An-Nabawi. Dalam bas saya masih lagi memikirkan tentang perbincangan tadi. Rasanya banyak maklumat baru yang saya dapat tentang isu dan sejarah Islam terutamanya Wahabi dan Syiah. Macamana boleh wujud puak Wahabi ni ye. Kalau semua umat Islam di dunia hanya berpandukan kepada satu je kan bagus. Patutlah bila saya plan untuk travel ke negara bukan Islam, bila cari senarai masjid atau tempat solat mesti terbahagi kepada beberapa group seperti Sunni, Wahabi dan lain-lain untuk masjid yang tersenarai. Balik Malaysia nanti saya nak cari semua maklumat di internet. Harap berjumpa apa yang dicari dan yang masih kabur selama ni. Nak percaya bulat-bulat dari internet pun tak boleh juga. Kena dapatkan maklumat dari banyak sumber, barulah boleh disahkan betul ataupun tidak. Wallahu 'alam..
|
Melayan pemandangan dalam perjalanan menuju ke pasar kurma |
@ PASAR KURMA
Jam 10.45 pagi kami tiba di pasar kurma. Turun je dari bas, ramai pekerja dari kedai-kedai yang ada datang approach kami. Kami masuk ke dalam kedai No. 95. Ustaz Zool minta kami ke kedai ni. Mungkin sebab dia selalu datang ke sini dan kenal dengan tuan kedai. Saya pun malas nak pergi kedai lain sebab dah tentu jual kurma yang sama. Harga pun tak beza banyak rasanya. Yang penting lagi murah di Malaysia. Hihi.. Sama seperti di Ladang Kurma tadi, macam-macam pilihan jenis kurma dijual di sini. Kurma Ajwa sudah tentu jadi pilihan saya walaupun agak mahal dari kurma yang lain. Saya cuba semua kurma, memang kurma Ajwa yang paling saya suka. Jadi tak perlu la nak beli kurma yang lain. Mesti tak makan punya bila balik Malaysia nanti. Huhu.. Selain kurma, saya beli juga biji jintan hitam yang lebih dikenali sebagai habbatus-sauda yang menjadi makanan sunnah Rasulullah. Banyak khasiat dan kebaikan makan habbatus-sauda ni. Selain campur dalam masakan dan minuman, nak makan terus pun boleh. Harap dapat dijadikan amalan harian. Vitamin pun kadang-kadang lupa nak makan. Maklumlah, umur dah hujung remaja. Hihi..
|
Bus Route: From Makam Syuhada Uhud to Pasar Kurma |
|
Selamat Datng ke kedai No. 95. Hihi.. |
|
Dah try semuanya tapi kurma Ajwa juga yang sedap |
Selesai beli kurma secukupnya untuk kami sekeluarga dan kawan-kawan di Malaysia, jam 11.10 pagi bas bergerak pulang ke hotel. Sampai di hotel jam 11.20 pagi. Maka tamatlah aktiviti menziarahi luar Madinah pada hari ni. Lepas ni aktiviti bebas untuk semua jemaah. Kepada jemaah yang nak jalan-jalan luar Madinah boleh la naik teksi. Saya cadang nak jalan-jalan di sekitar hotel je sebab banyak masa akan digunakan untuk ke masjid. Inilah peluang untuk saya duduk dan beribadah selama mungkin di Masjid An-Nabawi sebelum pulang ke Malaysia. Ada banyak lagi tempat di sekitar hotel dan masjid yang kami belum pergi. Moga diberikan masa yang cukup untuk kami mencari pengalaman di sini. Wallahu 'alam..
|
Lalu terowong balik ke hotel |
No comments:
Post a Comment