Saturday, 4 February 2017

JJCP Indonesia (Medan): Day 02 (Part #1)

TARIKH:
18 NOVEMBER 2016

LOKASI KEJADIAN:
PULAU SAMOSIR - REST AREA SIMARJARUNJUNG


Assalamualaikum dan salam sejahtera..

Jam 6.00 pagi kami dah bangun. Nak kejut anak-anak punyalah payah. Letih berendam punya hal la ni. Hihi.. Irfan kata pagi ni kena check-out terus. Tak perlu nak ke hotel semula bila balik dari Pulau Samosir. Boleh terus jalan ke tempat lain, lebih cepat. Kami siapkan beg dan barang-barang. Eiman boleh nak mintak mandi kolam pagi ni. Alahai, datang Medan nak mandi kolam, baik cari hotel kat Malaysia je. Hihi.. Dia tanya hotel lepas ni ada kolam juga ke tak. Saya kata tak pasti lagi, padahal senyap-senyap saya tanya Irfan. Irfan kata ada kolam, lagi besar dari hotel ni. Habislaa..

Dah mandi pun boleh baring lagi si Eiman ni. Huhu..
Elysha amat bersemangat pagi ni
Tepat jam 7.00 pagi kami bersiap untuk keluar dari bilik. Irfan dah tunggu di luar untuk bantu bawakan beg kami ke kereta. Cuaca amat baik pagi ni. Setelah masukkan semua barang dalam kereta, kami ke restoran hotel untuk breakfast. Banyak betul pilihan makanan yang ada dan semuanya nampak sedap-sedap belaka. Daripada nasi goreng, mee goreng dan kuih muih serta buah-buahan, saya rasa macam nak cuba semuanya. Hihi.. Tapi selalunya breakfast bukannya makan banyak sangat. Sebab tu majoriti hotel provide breakfast. Cuba buat free lunch atau dinner, tengok berapa banyak sorang makan. Hihi..

Amik sikit-sikit, dapat rasa semua. Hihi..
Berselera pulak Elysha ni makan
Selesai makan, jam 7.30 pagi kami bersiap untuk keluar dari hotel. Kunci bilik dah bagi kat Irfan. Sementera menunggu Irfan uruskan hal check-out, kami meronda di kawasan hotel. Kami amat berpuas hati dengan servis yang ada di Atsari Hotel. 100% recommend dari saya untuk sesiapa yang datang ke sini. Walaupun takdelah selesa habis seperti hotel 5 bintang, tapi cukuplah untuk memuaskan hati kami. Dapat tidur nyenyak pun dah cukup baik. Hehe.. Walaupun saya tak tau berapa harga bilik semalam sebab dah termasuk dalam pakej, saya yakin takde lah mahal mana pun. Hotel yang berpatutan dan sesuai dengan keselesaannya. Eh, lebih-lebih pulak promo. Hihi..

Terima kasih Irfan kerana beri hotel yang selesa untuk kami
Dari hotel, kami menuju ke jeti untuk naik feri ke Pulau Samosir. Jeti Pelabuhan Tigaraja terletak di hujung jalan Rumah Makan Muslim Nikmat. Disebabkan di jeti takde kawasan letak kereta, Irfan parking di depan rumah makan kerana balik dari pulau nanti kami akan makan tengahari di sini. Kami berjalan menuju ke jeti yang terletak hampir 200 meter di hujung jalan. Kami melalui pasar pagi yang menjual sayur dan daging. Di hujung pasar kelihatan feri yang sudah bersedia untuk bawa kami ke Pulau Samosir.

Walking Route: From Rumah Makan Muslim Nikmat to Pelabuhan Tigaraja
Dah macam trekking pulak. Hihi..
Melalui kawasan pasar pagi
Jom naik feri ke Pulau Samosir
Kami beratur masuk ke dalam feri. Agak oldschool jugak feri ni. Harap sampai dengan selamat ke Pulau Samosir. Huhu.. Tepat jam 8.00 pagi feri mula belayar meninggalkan Pelabuhan Tigaraja. Saya yang memang sedia fobia dengan air agak lega kerana tasik ni tidak berombak. Kalau tak memang duduk kat sebelah pelampung la sepanjang masa. Hihi.. Walaupun Pulau Samosir boleh dilihat dari jeti, tapi pergerakan feri yang perlahan membuatkan perjalanan menjadi agak lama. Ditambah pula dengan lagu disco dangdut yang dimainkan menemani perjalanan kami. Pasang kuat pulak tu. Lagi la rasa tak sabar nak sampai pulau. Huhu..

Ferry Route: From Pelabuhan Tigaraja to Pelabuhan Pariwisata
Jom belayar ke Pulau Samosir

@ PULAU SAMOSIR

Jam 8.30 pagi kami sampai di jeti Pulau Samosir. Kami bersiap untuk turun ke jeti. Rupanya bukan jeti ni yang kami kena turun. Irfan kata ada satu lagi jeti yang sepatutnya kami turun. Menunggu la kami sampai semua penumpang lain turun, baru feri bergerak semula ke jeti satu lagi. Nasib baik jeti yang kedua dekat je. Tak sampai 5 minit dah sampai. Nama jeti ni Pelabuhan Pariwisata, dibina khas untuk para pelancong yang datang ke Pulau Samosir sebab dari jeti dah nampak gerai menjual pakaian dan souvenir di sepanjang jalan. Standby wallet aje lah kalau ada yang berkenan. Huhu..

Welcome to Pulau Samosir
Peta Pulau Samosir
Bila tengok peta Pulau Samosir, rupanya ada akses kenderaan darat untuk datang ke pulau ni iaitu terletak di sebelah barat pulau. Tapi daripada Parapat nak ke sana ambil masa lebih 4 jam. Kena pusing separuh Danau Toba. Huhu.. Lebih baik naik feri je walaupun pergerakan feri perlahan. Setengah jam dah sampai Pulau Samosir. Hihi.. Kami berjalan menyusuri gerai jualan. Anak-anak dah mula geram tengok key-chain dan rantai yang banyak tergantung di setiap gerai. Diorang ni memang pantang kalau masuk mana-mana kedai. Mesti ada benda yang diorang nak. Even masuk kedai jual pakaian wanita pun ada benda yang diorang nak. Jangan macam-macam la anak-anakku. Haduii.. Baru lalu satu gerai dah nak beli. Kita survey dulu semua gerai yang ada. Mana tau ada key-chain yang lagi cantik kat gerai lain dan dapat tawar lebih murah. Jangan risau, mesti beli punya key-chain dan fridge magnet. Itu adalah barang wajib kalau ke luar negara. Hihi..

Walking Route @ Pulau Samosir
Masih awal pagi, ada gerai yang belum buka
Irfan beri kami masa sejam untuk jalan-jalan di sini. Jam 9.45 pagi kami kena berada semula di Pelabuhan Pariwisata. Sebelum beredar, Irfan sempat bagi tips untuk membeli di sini. Katanya barang-barang di sini boleh ditawar. Cuma janganlah tawar sampai harga tak masuk akal. Penjual kat sini boleh tahan juga skill pujukan dan rayuan dengan pelanggan. Hehe.. Kami berjalan hingga sampai ke satu simpang jalan raya, kemudian sambung lagi ke deretan gerai di seberang melalui jalan yang agak berbukit menuju ke Muzium Batak.

Sampai di simpang jalan
Sambung ikut sini pulak
Lebih kurang sama pakaian yang dijual di semua gerai. Harga je lain-lain. Huhu..
Selain dari gerai jualan, di sini juga ada tempat lawatan bersejarah seperti Makam Raja Sidabutar, Muzium Batak dan juga pertunjukan Sigale-gale. Kami sampai di depan pintu masuk ke tempat pertunjukan tarian batak, sigale-gale. Malangnya takde pertunjukan masa tu. Time patah balik nanti kita tengok kalau ada. Kami teruskan perjalanan hingga sampai di depan pintu masuk Makam Raja Sidabutar. Kami hanya bergambar di luar je sebab takut terjadi apa-apa kat baby kami Eirfan. Baby selalunya nampak benda-benda halus ni. Takut menangis tak berhenti tengah malam nanti. Huhu.. Depan pintu masuk pun dah cukup untuk diambil gambar kenangan.

Takde pertunjukan pulak sekarang ni
Depan pintu masuk Makam Raja Sidabutar
Kami berjalan hingga ke hujung gerai di mana terletaknya Muzium Batak. Hanya kami je yang ada kat sini. Takde pulak pelancong lain. Padahal masa kat kawasan gerai tadi ramai juga pelancong. Takut pulak nak masuk dalam rumah Muzium Batak ni. Amik gambar kat luar aje lah. Hehe.. Sambil tu tunggu juga kalau ada pelancong yang nak masuk ke dalam Muzium ni. 10 minit menunggu masih takde pelancong yang datang. Kami pun patah balik ke arah gerai jualan. Dari tadi kami tak beli apa-apa, hanya survey harga. Kali ni dah dapat tau mana gerai yang bagi harga murah. Dan yang penting gerai tu tuannya tak memaksa kami. Barulah best nak tengok pakaian dan souvenir. Rimas juga bila ada tuan gerai yang memujuk dan merayu tanpa henti. Huhu..

Kita amik gambar kat luar muzium aje. Hihi..
Antara gerai yang kami masuk. Takut pulak tengok patung banyak macam ni. Huhu..
Jam 9.20 pagi setelah selesai urusan di gerai, kami berjalan balik ke jeti. Nampaknya masih takde pertunjukan tarian sigale-gale. Takde rezeki nak tengok. Sebelum sampai di jeti, kami masuk ke satu lorong kerana ternampak satu kumpulan pelancong sedang bergambar dengan berpakaian costume. Rasanya costume sigale-gale kot. Tapi takde pulak ditulis berapa bayaran untuk mengenakan pakaian tu. Saya bertanya pada tuan yang menjaga pakaian. Dia kata bayaran seikhlas hati je. Itu yang payah tu sebab saya ni kadang-kadang terlebih ikhlas. Hihi.. Takdelah, kadang-kadang bila ikhlas ni tak tau cukup ke tak duit yang diberi. Mungkin terlalu sikit atau terlebih banyak. Susah betul la dalam keadaan dilema macam ni. Hahah..

Lain macam bengkok tangan patung ni.
Selesai bergambar, saya pun letak la IDR30,000.00 di dalam bekas yang disediakan. Rasanya cukup kot dengan bilangan costume yang kami pakai. Kami terus berjalan ke jeti. Kelihatan Irfan sudah menunggu di gerai tepi jeti tetapi feri masih belum sampai lagi. Group yang berempat tu pun masih belum nampak lagi. Sambil menunggu feri sampai kami berjalan di sekitar jeti dan bergambar.

Jadilah sejam jalan-jalan di Pulau Samosir ni..
Jam 9.45 pagi feri pun sampai. Setelah semua penumpang masuk, tepat jam 10.00 pagi feri bergerak meninggalkan Pulau Samosir menuju semula ke Pelabuhan Tigaraja. Selamat tinggal Pulau Samosir. Walaupun cuma sejam tapi cukup untuk beri pengalaman hidup yang bermakna buat kami. Ada pulak abang penjual spek mata naik sekali feri ni. Anak-anak pun belek la, apa lagi. Dah duduk dalam feri, nak lari mana lagi. Pantang tengok mak dan ayah dia pakai spek, semuanya nak ikut. Rasanya dah banyak kali sebelum ni beli spek mata hitam. Ntah kemana perginya spek lama. Selalunya bila kemas rumah, time vacuum baru jumpa kat bawah katil atau sofa. Huhu.. Nampaknya spek kali ni juga kan berada di tempat yang sama dalam beberapa hari lagi, percayalah. Huhu..

Wahai abang spek, kenapa laa kau naik sekali feri ni. Huhu..
Abis satu family pakai spek
Nasib baik takde saiz untuk si kecik ni. Hihi..
Cuaca mendung mengiringi kami balik ke Pelabuhan Tigaraja
Kali ni lagi perlahan feri ni bergerak. Jam 10.45 pagi baru kami sampai di Pelabuhan Tigaraja. Setelah semua naik ke jeti, kami berjalan ke arah kereta yang terletak di Rumah Makan Muslim Nikmat. Irfan kata lepas ni perjalanan agak jauh, jadi baik makan tengahari terus walaupun baru jam 11.00 pagi. Kami ikut je perancangan dari Irfan. Jam 11.00 pagi kami dah berada di Rumah Makan Muslim Nikmat. Kali ke-4 dalam masa dua hari kami makan masakan minang. Harap malam ni dapat makanan lain pulak. Huhu.. Kat KL saya langsung tak pernah makan di restoran minang sebab banyak option lain yang lebih sedap. Hihi..

Hati-hati naik ke atas jeti
Teringat Trocadero di Paris. Hehe..
Sampai sudah. Jom lunch..
Kali kedua makan di sini. Duduk meja yang sama. Hihi..
Hujan renyai turun ketika kami sedang makan. Selesai makan, kami bersiap untuk mulakan perjalanan. Destinasi seterusnya adalah ke Berastagi, satu kawasan yang terletak di tanah tinggi, ala Cameron Highlands. Jarak dari Danau Toba ke sana dalam 130 km, namun sepanjang masa melalui jalan bengkang-bengkok dan sempit. Saya dah mula risau dengan anak-anak saya especially Eiman dan Elysha. Diorang ni memang tak tahan kalau jalan macam tu. Mesti muntah punya. Paling risau Elysha sebab dia kalau nak muntah tak bagitau, main luah aje. Tu yang wife saya tension. Bukan apa, benda lain kemain petah dia bercakap, tapi part muntah je dia senyap. Huhu.. Saya mintak diorang ni tidur sebab takdelah rasa pening sangat. Tapi mana pernah nak dengar. Jadi saya suruh dia standby pegang plastik. Itu je lah harapan yang ada. Huhu..

Berhenti isi minyak dulu
Boleh ceria pulak dia. Suruh baring dan tidur tak nak. Huhu..
Jam 11.45 pagi, setelah Irfan selesai isi minyak kami mulakan perjalanan meninggalkan Parapat dan Danau Toba. Satu kenangan yang tidak akan dilupakan, merasai pengalaman berada di tasik terbesar di Indonesia dan Asia Tenggara. Semenjak dari kecil saya mendengar cerita tentang Danau Toba ni. Umur dah masuk 38 tahun baru merasa lihat sendiri keindahannya. Alhamdulillah masih diberikan kekuatan dan kesempatan dariNya. Entah bila akan ke sini lagi. Ikut pada prinsip travel saya rasanya dah takkan datang ke sini. Banyak lagi destinasi di Indonesia yang belum pergi seperti Acheh, Jogjakarta, Surabaya, Lombok dan Bali. Mungkin Bali akan menjadi destinasi di Indonesia seterusnya kerana ada Hard Rock Cafe di situ. Hehe..

Perjalanan meninggalkan Parapat dan Danau Toba
Perjalanan kami menyusuri jalan di tebing Danau Toba. Sekali sekala akan kelihatan pemandangan tasik di depan mata. Hujan mula turun di pertengahan jalan. Sedang melayan perasan jalan yang sempit dan bengkang-bengkok, seperti yang telah dijangka Elysha muntah di lantai kereta walaupun tangan masih memegang plastik. Tak berjaya muntah masuk ke dalam plastik tersebut. Huhu.. Semua makanan dari lunch tadi bertakung atas lantai. Saya minta Irfan berhentikan kereta di bahu jalan. Nasib baik hujan pun dah mula berhenti tapi cuaca masih mendung. Macam bagi peluang untuk kami selesaikan urusan cuci muntah. Huhu.. Terpaksa punggah beg untuk amik pakaian Elysha yang baru.

Jalan sempit, bengkang-bengkok dan hujan.. All-in-one package plus bau muntah. Hihi..
Kena tarbiyah dengan mummy. Diam je laa..
Rasanya baru 10 minit lalu jalan bengkang-bengkok dah muntah. Saya mohon maaf pada Irfan kerana habis kereta dia ada kesan muntah di lantai. Irfan kata takde masalah sebab dia pun ada anak kecil yang sebaya dengan anak saya dan kejadian muntah selalu berlaku. Harap betul la statement dia tu, ataupun saja je nak amik hati saya. Huhu.. Takpe, last day nanti saya ingat nak bagi upah kat dia bawa kereta ke doorsmeer. Wow, penggunaan bahasa yang betul. Hehe.. Selesai semuanya, jam 12.20 tengahari kami teruskan perjalanan. Harap takde lagi isu muntah lepas ni. Hihi.. Kena perhatikan Eiman pulak. Dia diam je dari tadi. Macam pening je kepala tu. Tolong la tidur. Bukannya boleh buat apa pun kalau berjaga. Huhu..

Danau Toba masih menemani kami di sepanjang perjalanan
Cuaca agak tak menentu. Mendung sepanjang jalan dan kadang-kadang hujan turun dengan lebatnya. Kelihatan kebun pokok kopi di sepanjang perjalanan. Kopi Mandheling dan Arabica adalah kopi yang terbaik ditanam di kawasan Danau Toba. Kebetulan hujan berhenti, Irfan berhenti kejap untuk bagi peluang kami melihat pokok kopi yang ditanam di tepi jalan. Bagi peluang anak-anak tengok pokok kopi. Kanak-kanak bandar sekarang lebih kepada gadjet je. Zaman sekarang ni nak tengok kerbau pun kena pergi zoo. Saya teringat lagi masa Eimran kecik dia betul-betul terkejut bila tengok lembu live tepi pagar rumah neneknya di kampung. Menjerit-jerit dia teruja. Hihi.. Bersyukur kerana saya masih ada kampung lagi..

Anak-anak, ini adalah pokok kopi. Err, saya pun first time tengok camna rupa pokok kopi. Hehe..
Jam 12.50 tengahari, sekali lagi kejadian muntah berlaku tanpa diduga. Ingatkan Eiman, rupanya Elysha lagi. Haduii.. Hujan masih lebat, sukar untuk berhenti tepi jalan. Agak dah reda Irfan berhenti di tepi jalan dan aktiviti yang sama seperti tadi berlaku semula. Huhu.. Set baju baru lagi. Eiman yang dah sedia pening tak tahan dengan bau muntah. Keluar dari kereta dia pun muntah juga. Kira ok la muntah macam tu, tak perlu tukar baju. Nak buat camna, anak-anak jenis tak tahan jalan banyak corner. Kepala pun jadi pusing. Rasanya masa saya kecik dulu tak muntah pun bila naik jalan Tapah ke Cameron Highlands. Tak pernah lagi tanya wife saya, macam mana keadaannya dulu. Mungkinkah? Hihi..

Ada orang tahan bau muntah. Hehe..
Kali ke-2 dalam masa tak sampai sejam. Huhu..
Selesai semuanya, masuk je kereta hujan turun dengan amat lebatnya. Sampai tak nampak jalan di depan. Kalau berlaku kali ketiga time hujan lebat macam ni, maknanya masing-masing pakat tahan nafas je lah ye. Hihi.. Irfan nak bawa kami singgah di ladang teh berdekatan, tetapi disebabkan hujan lebat maka kami amik keputusan untuk teruskan perjalanan. Setakat ladang teh tu takpe lagi. Boleh pergi Cameron Highlands bila cuti weekend. Banyak kali dah bawak anak-anak ke sana. Siap panjat bukit ladang teh sampai puncak lagi. Kiranya anak-anak dah pernah tengok bagaimana rupa pokok teh. Jangan hanya suka minum teh o ais je tanpa melihat dari mana datangnya teh itu. Hehe..

This is super lebat..
Jam 1.10 petang hujan dah mula reda. Kami melalui satu kawasan bukit yang amat cantik pemandangannya. Kami singgah sekejap untuk bergambar. Boleh nampak keseluruhan Danau Toba dari atas bukit ni. Kelihatan juga satu gerai di bawah bukit di mana orang lelaki lepak minum bersama kawan-kawan. Dari sumber yang saya baca, orang Batak hanya perempuan yang bekerja especially di ladang dan kebun. Para lelaki tak bekerja, hanya duduk berborak kosong di warung kopi menunggu isteri habis kerja. Entah betul ke tak. Teruk benar kalau begitu keadaannya. Saya cuba bayangkan diri saya tak bekerja dan duduk melepak sambil tunggu wife balik kerja. Lain macam je rasanya. Huhu.. Sama ada ini adalah tradisi turun temurun orang Batak, saya kurang pasti. Sesungguhnya budaya Batak amat berbeza dengan budaya lain di Indonesia.

Amat cantik view Danau Toba dari atas bukit ni

@ REST AREA SIMARJARUNJUNG
     Tiga Runggu, Purba, Simalungun 21163 Sumatera Utara

Cuaca sejuk di luar membuatkan kami terpaksa mencari kawasan rehat untuk pengurusan diri. 10 minit kemudian kami singgah di Rest Area Simarjarunjung yang terletak di wilayah Simalungun. Tempat ni menjadi hentian utama bagi bas pelancong yang ingin ke Berastagi dari Parapat. Di sini ada hotel, cafe dan juga tandas awam. Kawasan persekitaran pun amat menarik kerana tempat ni terletak di kawasan lereng bukit. Cuaca sejuk jangan cakap la. Dah la baru lepas hujan, lagi lah bertambah sejuk. Tapi tak perlu jaket pun. Pernah alami suasana lebih sejuk dari ni. Hihi..

Driving Route: From Rumah Makan Muslim Nikmat to Rest Area Simarjarunjung
Dah 2 kali muntah baru nak tidur. Huhu..
Suasana amat tenang di sini. View pun cantik..
Setelah semua urusan selesai, jam 1.45 petang kami sambung perjalanan menuju ke Berastagi. Sejak dari mula perjalanan di Parapat, kami langsung tak nampak cahaya matahari. Bagus juga tu. Sekurangnya takde la panas sangat cuaca kat luar. Eiman dan Elysha masih tidur lagi. Biarkan aje. Irfan kata lepas ni dah takde jalan bengkang-bengkok dah. Harap diorang bangun masa tu. Hihi.. Saya pun cuba untuk tidur, tapi bila tengok pemandangan di tepi Danau Toba ni membuatkan rasa rugi pulak kalau tidur. Layan perasaan sambil memegang kamera DSLR. Wallahualam..

Melayan perasaan melihat pemandangan sekitar..

*KOS WAJIB UNTUK SEKELUARGA:
  - COSTUMES   : RM9.90
  - JUMLAH        : RM9.90

No comments:

Post a Comment