Monday 10 June 2024

Preparation #5: Last Touch-up Sebelum Terbang

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..


Semua urusan penting yang melibatkan booking awal dah selesai. Sekarang tinggal nak uruskan perkara sampingan yang dikira penting juga agar travel dalam keadaan yang tenang nanti. Ada benda yang boleh diuruskan ketika dah sampai sana. Tapi adalah lebih baik selesaikan sebelum travel. Trip ke Paris dan London mungkin tiada masalah sebab saya dah pernah sampai sebelum ni. Cuma Iceland je yang kena study lebih sikit sebab pertama kali. Apa yang saya tau Iceland antara negara kos tinggi. Banyak website meletakkan Iceland di antara 10 negara yang mempunyai cost living yang tertinggi di dunia. Jadi lebih baik beli siap-siap barang keperluan sebelum travel ke sana.

Iceland sentiasa berada dalam Top 10 negara paling mahal


#SIMCARD

Dulu saya pernah guna pocket wifi yang disewa di KLIA sebab anak-anak masih kecil. Sekarang ni bila umur diorang dah meningkat dan masing-masing dah ada phone sendiri kecuali si kecil tu, memang tak cukup la nak guna pocket wifi untuk 5 users. Lagipun antara kekurangan pocket wifi pada saya adalah range wifi tersebut. Kalau salah sorang berjauhan confirm takde line. Jadi untuk trip kali ni saya beli terus simcard untuk setiap sorang. Kat mana lagi nak beli kalau bukan shopee. Ada banyak pilihan simcard yang dijual mengikut kuota, negara dan hari pengaktifan. Harga pun berbeza. Saya beli 5 travel prepaid simcard daripada Three UK berkuota 10GB dan aktif selama 28 hari yang berharga RM53.99 setiap satu. Jumlah kesemuanya RM269.95. Boleh cover 70 negara termasuk UK, France dan Iceland. Cukup la kot 10GB untuk trip kali ni. Nak layan movie dan main game sila download siap-siap ye.

5 simcard berkuota 10GB setiap satu


#TRAVEL INSURANCE

Sudah lama kerajaan memansuhkan insurans ke luar negara untuk penjawat awam. Jadi kami terpaksa beli family travel insurance, sama seperti trip sebelum ni. Cuma nilai bayaran menjadi lebih tinggi akibat post-covid. Kena ambil juga pakej insurans yang cover covid. Mana lah tau masa travel nanti tetiba covid menyerang semula. Harap-harap jangan la. Tak sanggup nak kuarantin lama kat luar negara. Huhu.. Jadi, lebih baik ambil insurans yang cover covid sekali. Walaupun tak tau apa yang di cover, tapi jika berlaku nanti boleh la claim apa yang patut. Tahun 2019 kami bayar RM274.50 pada Etiqa Takaful untuk cover trip kami. Kali ni kami ambil yang sama juga, cuma bayarannya menjadi RM653.61. Lebih dari 2 kali ganda tu. Haduii.. Apa boleh buat, demi keselamatan kami sekeluarga.

Masih setia kepada Etiqa Takaful


#MEDICAL

Ubat-ubatan jangan dilupakan. Malaysia antara negara yang menjual ubat murah berbanding negara Eropah. Setakat ubat seperti demam, sakit perut, sakit kepala dan sakit sendi serta vitamin harian lebih baik dibeli siap-siap. Selain daripada ubat-ubatan asas, kali ni kami ke klinik untuk dapatkan suntikan vaksin influenza bagi menguatkan antibodi kami. Antara sebab utama kami ambil vaksin adalah kerana kami akan ke Iceland. Saya tak dapat nak jangka bagaimana keadaan cuaca di sana nanti. Walaupun badan saya boleh bertahan dan hanya pakai light jacket untuk cuaca sekitar 5-10 darjah celcius di Paris dan London, tapi di Iceland belum tau lagi. Untuk mengelakkan sebarang kejadian tak diingini berlaku terhadap kesihatan kami dan juga sebagai langkah berjaga-jaga terhadap covid, maka kami pun ambil vaksin ni. Wife saya cari beberapa klinik yang menawarkan suntikan vaksin influenza sebab harganya berbeza-beza. Akhirnya jumpa klinik yang terletak di bangunan bersebelahan pejabat dia yang menawarkan harga RM65.00/person. Terus kami book tarikh untuk appointment. Jumlah vaksin untuk kami sekeluarga ialah RM390.00.

Done suntik vaksin influenza


#RATIONS

Macam biasa, bila bawa anak-anak kenalah prepare ration. Makin mereka membesar, maka makin banyaklah ration yang perlu dibawa. Ini juga salah satu cara untuk save duit walaupun sudah dijangka kat sana nanti pasti diorang membeli belah juga. At least dapat save sikit pun dah cukup. Tujuan utama bawa ration ni adalah untuk breakfast dan makan waktu malam di bilik hotel. Selalunya saya akan bawa juga makan di luar sekurangnya sekali sehari. Itu tak termasuk beli snacks kat Tesco, Lidl, Poundland dan seangkatan dengannya. Makanan seperti mi segera, Bubur Knorr, Sup Campbell dan Tuna Spread serta Kopi O dan Milo 3-in-1 adalah ration yang wajib dibawa. Untuk makanan berat, saya masih memilih Kart's Rice Bowls. Dah cuba makanan travel jenama lain, tapi hanya Kart's je yang perut kami boleh terima. Tak sedap mana pun, tapi yang penting boleh dimakan sampai habis. Hahah.. Selesai beli rations berjumlah RM302.93. Cukup la kot. Kalau tak cukup boleh beli kat Tesco sana nanti. Itu yang anak-anak suka tu..

Pastikan semua habis disana ya


#WINTER APPARELS

Dah banyak kali kami travel musim sejuk. Jaket tebal yang lama masih ada lagi. Ada juga yang kami jual semula dengan harga yang murah. Beli pun kat bundle, takkan nak jual mahal pulak kan. Hihi.. Jaket yang menjadi favourite confirm la tak jual dan menjadi pakaian utama ketika travel nanti. Untuk anak-anak kena cari juga sebab ada yang dah tak muat. Maklumlah semuanya membesar seperti juara. Hahah.. Kat mana lagi nak cari kalau bukan di JBR Bundle, antara kedai bundle yang menjadi pilihan kami untuk mencari pakaian winter. Apa yang membuatkan saya suka kedai ni adalah susunan pakaian dia amat teratur. Lagi best boleh mintak diskaun walaupun harga pakaian dah sedia murah. Cuma biasalah bila di kedai bundle ni kenalah pandai 'menyelam'. Selak satu persatu, mungkin ada yang menarik perhatian.

Seronok 'menyelam' kat sini. Barang tersusun rapi.


#PERMOHONAN KE LUAR NEGARA

Kepada penjawat awam jangan buat hal ye keluar negara tanpa kebenaran. Even ke Hatyai sekalipun mesti kena minta kebenaran. Bukan susah pun, hanya isi borang dan isikan beberapa perkara tentang negara yang nak dilawati. Jika berlaku perkara yang tak diingini di luar negara, sekurangnya majikan tahu di mana kita berada. Walaupun travel tak guna duit rakyat dan insurans pun kena bayar sendiri, namun pemakluman ke luar negara wajib kena buat. Setakat ni saya tak pernah lagi buat report tentang masalah yang berlaku di luar negara. Tapi saya ada terima info mengatakan insurans dah tak cover oleh kerajaan sebab ada penjawat awam yang salah guna, di mana takde apa yang berlaku tapi buat claim. Tak pasti macam mana diorang boleh buat false report. Memang tak patut la buat macam tu. Huhu..

Alhamdulillah lulus. Barulah hati tenang nak travel.


#MONEY CHANGER

Zaman sekarang semua transaksi menggunakan sistem cashless. Namun kena ada juga la cash sikit untuk hal-hal tak terjangka. Money changer yang paling popular iaitu di Mid Valley menjadi pilihan. Beberapa hari sebelum berlepas, saya ke Mid Valley. Seperti biasa, punyalah ramai orang yang beratur. Saya pun pelik juga kenapa kat Mid Valley ni terlalu ramai orang tukar duit, padahal banyak je money changer kat tempat lain. Bila disemak nilai tukaran, memang betul money changer di sini menawarkan harga yang sedikit murah berbanding yang lain. Cuma kalau setakat nak tukar seribu dua je takde kesan pun sebenarnya. Saya boleh je cari money changer yang dekat dengan rumah dan tak ramai orang. Tapi saya tetap ke Mid Valley sebab inilah alasan untuk saya ambil peluang jalan-jalan sambil tukar duit. Kalau bukan kerana tukar duit, memang tak pergi la saya ke Mid Valley. Hihi.. Satu lagi kelebihan money changer di Mid Valley ni adalah banyak jenis matawang yang available seperti Omani Riyal dan Emirates Dirham. Kalau ke negara yang jarang orang pergi, boleh la bertanya kat money changer Mid Valley ya.

Ada 3 money changer kat sini. Bersebelahan pulak tu.

Sampai giliran, saya tukar 3 jenis matawang. Kadar tukaran semuanya naik berbanding masa saya uruskan booking dulu. Tapi selalunya memang kadar tinggi sikit bila tukar di money changer berbanding kadar semasa online. Tuan kedai pun nak untung juga kan. Hihi.. Untuk Pound Sterling (GBP1.00 = RM5.43), Euro (EUR1.00 = RM4.725) dan Qatari Riyal (QAR1.00 = RM1.19). Duit Icelandic Krona takde kat sini. Saya dah bertanya pada beberapa money changer yang popular di tempat lain, semuanya takde. Nanti masa kat London sebelum terbang ke Iceland saya akan buat tukaran kat money changer di sana. Hajat nak tukar sikit je, sebab teringin nak tengok duit Icelandic Krona. Boleh simpan sekeping dua dalam album buat koleksi peribadi dan kenangan.

First time pegang duit Qatari Riyal


#ICELAND APPS

Pertama kali nak menjejakkan kaki di bumi Iceland, saya mencari beberapa apps yang diharapkan dapat membantu saya di sana nanti. Daripada puluhan apps berkaitan Iceland, saya hanya install 4 je yang dirasakan sesuai iaitu weather forecast, driving condition, aurora dan night camera. Saya purchase satu apps iaitu aurora sebab nak upgrade ke pro version. Tak mahal pun, cuma USD3.99 je iaitu bersamaan dengan RM17.35. Saya upgrade sebab nak dapatkan info lebih tepat mengenai aurora. Memang antara tujuan utama ke Iceland untuk memburu aurora. Harap dapat tengok aurora di depan mata, in shaa Allah. Untuk apps yang lain semuanya saya download free version. Apps NightCap dikatakan dapat capture gambar waktu gelap dengan cantik. Entah la. Saya try macam takde kesan pun. Nanti saya suruh anak belajar macam mana nak guna apps ni. Hehe..

Apps untuk Iceland. Moga dapat membantu di sana nanti.


#AKSESORI TAMBAHAN

Setiap kali travel akan ada perkara yang boleh ditambahbaik. Untuk trip kali ni saya bawa beberapa aksesori baru yang dirasakan perlu. Antaranya gam kuat dan set menjahit. Dulu pernah terjadi tapak kasut tercabut ketika berjalan dan jaket yang koyak terkena bucu tajam di kerusi. Nak cari gam kuat dan alat menjahit kat sana bukannya mudah. Kalau kat sini senang je cari kat Mr. DIY. Jadi lebih baik bawa siap-siap. Bukannya makan space dalam beg pun benda ni. Trip kali ni juga saya bawa drone cap ayam. Hihi.. Teringat masa trip 2018 kawan saya Rama bawa drone ambil video kat Scandinavia. Memang cantik video yang dia buat. Cuma drone yang saya akan bawa ni takdelah hebat sangat sampai boleh naik tinggi. Janji dapat buat video satu family cukup la. Untuk kawal drone, saya minta anak study cara penggunaannya. Budak zaman sekarang cepat faham benda-benda macam ni. Saya memang lambat faham. Faktor umur. Hahah..

Benda kecil tapi berguna ketika travel

Tarikh travel makin dekat. Group whatsapp travel dah create lebih awal lagi untuk masing-masing berbincang tentang persediaan dan barang yang perlu dibawa. Ada di antara ahli travel kami yang pertama kali nak jejakkan kaki di bumi Eropah. Jadi macam-macam la soalan yang ditanya. Mana yang saya boleh jawab saya akan explain dengan detail. Beg travel dah dikeluarkan dari stor. Setiap sorang akan bawa satu beg besar dan satu bagpack. Si kecil Eirfan dah berumur 6 tahun. Dia pun kena bawa sendiri beg besar dan backpack. Hihi.. Rugi kalau beg tak diisi dengan berat yang maksimum. Mana-mana beg yang paling ringan kita bagi Eirfan bawa. Dia pun tak sabar nak tarik beg. Siap praktis tarik dalam rumah dan bawa naik turun tangga. Mana tau nanti ada lif dan eskalator yang rosak ke. Hahah.. Untuk packing beg memang wife saya yang uruskan. Dia amat pakar menyusun barang masuk dalam beg dan memastikan berat beg yang paling optimum. Sebut je nak baju, dia tau kat mana lokasi baju tu dalam beg yang mana satu. Hehe..

Pakaian divakum untuk memberi lebih ruang dalam beg

Rasanya dah cukup lengkap persiapan yang dibuat. Pengalaman travel yang lalu mengajar saya agar lebih bersedia untuk trip-trip mendatang. Beginilah cara saya bila travel secara sendirian berhad. Semuanya diuruskan sendiri sambil dibantu oleh wife dan anak-anak. Penat tapi menyeronokkan. Perkara macam ni yang membuatkan kami lebih menghargai setiap sen yang dikeluarkan untuk travel. Saya bukanlah pakar dalam dunia travel, tapi saya ada ilmu yang berguna untuk dikongsi bersama. Dah ready semua? Jom travel!


Wallahu 'alam..





No comments:

Post a Comment