Saturday 6 July 2024

JJCP Eurora: Day 01 (Part #2)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..





# DISCOVER DOHA CITY TOUR

Cuaca pagi di Doha tak berapa panas tapi bahang terasa dan ditambah dengan debu dari padang pasir. Kami menaiki tour bus yang disediakan. Tiada nombor seat, maka duduklah kami kat mana-mana seat yang available. Sebelum bas mula bergerak, tour guide memperkenalkan diri dan memberi sedikit taklimat tentang tour kami. Hanya sebotol air mineral je yang kami dapat. Jadilah buat hilang dahaga kehangatan bandar Doha. Kalau lapar kejap lagi boleh cari makan. Itupun kalau sempat la. Selalunya tour ni ada masa yang ditetapkan di sesuatu tempat. Tak boleh la nak lepak lama macam travel sendiri. Apa pun kat airport nanti boleh makan sebelum berlepas.

Jom jalan-jalan tengok bandar Doha

Di sepanjang perjalanan tour guide kami berikan penerangan. Kami lalu beberapa lokasi dan stadium yang digunakan masa World Cup hari tu. Di setiap bangunan kelihatan gambar pemain bolasepak terkenal. Banyak hotel-hotel baru dibuka semata-mata untuk World Cup. Tak sangka Qatar dapat jadi tuan rumah. Saya ada tengok juga harga tiket untuk masuk stadium. Memang tak mampu la. Harga yang mahal pun ramai orang beli. Demi World Cup sanggup diorang datang untuk support team. Kalau Malaysia masuk World Cup pun rasanya saya sanggup menabung untuk beli tiket. Tapi itulah.. macam takkan berlaku je dalam kehidupan saya. Mungkin zaman cucu-cicit nanti dapat kot masuk World Cup. Mana tau salah sorang pemain Malaysia nanti dari keturunan saya. Hihi..

Bahang World Cup masih dirasai lagi

# DOHA CORNICHE

20 minit perjalanan, kami sampai di pitstop pertama iaitu Doha Corniche, satu dataran di Doha Bay. Di sini terdapat monumen dan tiang bendera negara yang menyertai World Cup. Setiap kali tamat perlawanan, negara yang kalah akan diturunkan benderanya. Maka yang tinggal adalah bendera France dan Argentina yang bertemu di perlawanan akhir. Sungguh indah pemandangan di sekeliling. Cuaca yang sedikit panas tak terasa kerana angin yang datang dari Teluk Parsi. Kami tak melepaskan peluang untuk bergambar kenangan di replika World Cup yang ada di sini. Peluang terbaik kerana lepas ni mesti diorang akan tukar dengan replika yang lain. Ataupun memang kekal selamanya sebagai tanda Qatar pernah menjadi tuan rumah World Cup. Satu pencapaian yang terbaik tu. Katanya FIFA 'terima' banyak imbuhan dari Qatar untuk menjadi tuan rumah. Sekarang ni politik wang dah mula menular dalam sukan bola sepak. Team yang kaya dah tentu berjaya sebab boleh beli player hebat. Hilang sikit kesenian yang ada dalam bola sepak. Huhu..

Tour bus route: From Hamad International Airport to Doha Corniche

Indah pemandangan di Doha Corniche

Kami hanya diberikan masa 15 minit je di sini untuk melayan pemandangan dan bergambar kenangan. Tour guide dah sedia menunggu di pintu masuk bas. Jam 8.40 pagi bas meneruskan perjalanan ke lokasi yang kedua. Keadaan jalan langsung tak jem walaupun di waktu begini orang mula menuju ke pejabat. Jumlah penduduk Qatar hanya dalam 4 juta orang dan 400 ribu daripadanya berada di Doha. Jauh lebih rendah dari Malaysia yang mempunyai jumlah penduduk seramai 34 juta orang. Walaupun penduduk tak ramai, tapi Qatar termasuk dalam 10 negara yang mempunyai ekonomi paling kukuh di dunia. Apa lagi kalau bukan petroleum yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Qatar. Kerana World Cup diorang sanggup bina stadium dan hotel-hotel mewah. Dah habis World Cup tak tahulah apa yang akan terjadi dengan hotel-hotel ni. Doha bukanlah bandar tumpuan pelancong macam London dan Paris. Mungkin diorang akan robohkan dan bina bangunan lain kot. Salah satu stadium yang digunakan dalam World Cup adalah jenis kontena supaya mudah nak cabut bila dah tak digunakan.

Lepas World Cup murah sikit la kot harga hotel kat sini

@ KATARA CULTURAL VILLAGE

Tepat jam 9.00 pagi kami tiba di lokasi kedua iaitu Katara Cultural Village. Lebih dikenali dengan nama Katara, ia adalah satu kompleks budaya dan komersial Qatar. Amat besar tempat ni. Kat sini ada dewan amphitheater terbuka, opera house, dewan serbaguna, panggung wayang, masjid, pantai dan banyak lagi. Kebanyakan event dan exhibition dibuat di sini. Jika ada peluang transit separuh hari di Doha wajib datang ke sini sebab dah boleh cover majoriti culture di Qatar. Shopping complex pun ada, tapi tak sempat la kami nak singgah cuci mata. Kita kena ikut arahan tour guide. Kami hanya diberi masa setengah jam je untuk meronda kat sini. Tour guide pun satu. Tempat besar kot. Bagilah sejam ke, barulah puas hati. Tour berbayar ni. Kalau free, dia bawak ronda duduk dalam bas sepanjang trip pun takpe. Hahah..

Tour bus route: From Doha Corniche to Katara Cultural Village

Tak dapat nak cover keseluruhan tempat. Jadilah buat kenangan..

Jam 9.35 pagi kami semua dah ada dalam bas. Barang souvenir tanda dah sampai Qatar masih belum jumpa lagi. Saya bertanya pada tour guide. Katanya lokasi lepas ni ada banyak kedai yang menjual souvenir seperti kain dan perfume. Saya hanya perlu fridge magnet je buat koleksi negara yang dah dijejaki. Setelah semua penumpang dah berada dalam bas, kami teruskan perjalanan ke lokasi terakhir tour kami. Harap-harap lama lah dia bagi masa sebab dalam iklan katanya tour kami berdurasi 3 jam. Kalau 3 jam termasuk perjalanan memang singkat la tour kami ni. Huhu..

Menuju ke lokasi terakhir kami

# SOUQ WAQIF

15 minit berada dalam bas, akhirnya jam 10.00 pagi kami sampai di destinasi lawatan terakhir iaitu Souq Waqif. Tour guide maklum tempat ni wajib singgah untuk sesiapa yang datang ke Doha kerana banyak benda yang boleh dicari di sini. Lebih kurang macam bazar la. Bas kami berhenti di kawasan yang penuh dengan unta. Teruja sungguh anak-anak sebab pertama kali dalam hidup diorang dapat melihat unta di depan mata. Sebelum ni tengok gambar dan video kat youtube je. Eirfan teringin nak sentuh unta tapi tak dapat sebab semua unta tengah melepak jauh dari pagar. Dapat tengok live pun jadilah ya anak-anak. Ada rezeki kita sekeluarga pergi umrah atau negara timur tengah satu hari nanti, ayah akan pastikan bawa korang ke tempat yang boleh tunggang unta. In shaa Allah..

Tour bus route: From Katara Cultural Village to Souq Waqif

Unta pun pakai baju tau. Hehe..

Kami dibawa berjalan oleh tour guide menuju ke satu kedai menjual burung. Bukan sebarang burung tapi khas untuk burung falcon. Orang Qatar menjadikan burung falcon sebagai haiwan peliharaan dan simbolik kekayaan mereka. Falcon adalah dalam famili burung helang namun mempunyai ciri-ciri yang membezakan antara falcon, eagle dan hawk. Unik dan kayangan sungguh hobi orang Qatar ni. Duit banyak sampai tak tau buat apa, dibelanya burung falcon. Hahah.. Apa yang membuatkan ia lagi unik adalah terdapat hospital khas untuk burung falcon kat sini. Selain merawat burung yang sakit, nak pasang bulu baru yang tercabut pun boleh. Macam kedai aksesori pulak ye. Hehe..

Lain macam hobi golongan kayangan kat sini

Seterusnya kami dibawa menuju ke bazar Souq Waqif. Kat sini barulah nampak ramai pengunjung. Macam-macam barang yang dijual kat sini. Tour guide beri masa 20 minit untuk kami berjalan mencari souvenir dan berkumpul semula di depan balai polis pada jam 10.45 pagi. Saya mencari souvenir dan singgah sekejap di kedai makan. Teringin juga nak cuba makanan tradisi Qatar tapi macam tak sempat sebab ramai yang beratur. Duit Qatari Riyal yang saya dah tukar kena guna juga dan simpan beberapa keping dalam album sebagai kenangan. Bila ikut tour macam ni lah keadaannya. Terpaksa ikut masa yang telah ditetapkan. Kalau tau macam ni keadaan kat Souq Waqif, dah lama saya habiskan masa yang banyak kat sini. Apa boleh buat, sebagai pengikut tour guide kenalah akur dengan tentatif perjalanan.

Besar juga Souq Waqif ni

Memang tak cukup masa 20 minit yang diberikan untuk jalan-jalan di Souq Waqif. Nak cuba makanan tradisi Qatar pun tak sempat. Huhu.. Takpelah, yang penting souvenir berupa fridge magnet saya dah beli sebagai kenangan dan tanda sudah menjejakkan kaki di bumi Qatar. Rasanya saya takkan buat trip semata-mata untuk ke Qatar. Cukuplah dapat merasa separuh hari transit untuk pengalaman hidup baru. Next trip kalau ada transit di negara timur tengah yang lain boleh buat lagi half-day trip. Masa naik Oman Air pergi umrah pada 2016 dulu dapat transit di Muscat. Tahun 2019 naik Royal Jordanian transit di Amman tapi tak sempat keluar. In shaa Allah akan ada lagi peluang untuk transit dan jejakkan kaki di negara timur tengah. Emirates dan Etihad kami belum pernah naik. Mungkin satu hari nanti dapat jejakkan kaki di bumi UAE pulak. Teringin nak tengok Burj Khalifah.

Tamat dah 20 minit. Tak sempat nak tengok karpet. Hahah..

Bas bawa kami pulang semula ke airport. Jam 11.10 pagi kami tiba di pintu masuk terminal. Maka tamatlah sudah trip Discover Doha City Tour. Dapatlah kami merasa ke tempat-tempat menarik di Doha. 3 jam yang penuh dengan pengalaman hidup yang baru buat kami semua. Kami mengucapkan terima kasih kepada tour guide yang membawa kami jalan-jalan di sini. Walaupun seketika, namun pengalaman berharga di Qatar tetap menjadi ingatan dan kenangan selamanya.

Tour bus route: From Souq Waqif to Hamad International Airport


Wallahu 'alam..

No comments:

Post a Comment