Tuesday 2 July 2024

JJCP Eurora: Day 01 (Part #1)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..




# KUALA LUMPUR INTERNATIONAL AIRPORT

Jam 12.15 tengah malam kami mula turun ke Balai Imigresen untuk semakan passport. Dewasa boleh guna autogate je. Yang bawa anak-anak lebih baik berurusan melalui kaunter. Selesai semak passport, kami ke imbasan kawalan keselamatan. Sebelum beratur saya dah siap-siap letakkan semua barang dan aksesori dalam poket beg. Dalam tray nanti cuma letak beg dan tali pinggang. Kasut selalunya saya tak buka dulu. Kadang-kadang lepas je . Tapi bila alarm berbunyi atau pegawai suruh tanggalkan kasut barulah saya buat. Kasut bertali, memang leceh nak pakai balik. Selesai urusan kawalan keselamatan, kami terus naik aerotrain menuju ke Satellite Terminal Building di mana terletaknya Gate C untuk international flights.


Lengang sungguh. Flight kami je kot yang berlepas pagi ni..


# MALAYSIA AIRLINES MH164

Lebih sejam kami menunggu di tempat duduk berhampiran dengan Gate C12. Tepat jam 2.00 pagi barulah kedengaran pengumuman untuk boarding. Alhamdulillah, flight kami dijangka akan berlepas mengikut waktu. Orang ramai dah mula beratur untuk masuk ke dalam flight. Kami duduk di row 35. Seat layout 2-4-2. Elysha dan Eirfan duduk dengan saya dan wife di bahagian tengah manakala Eimran dan Eiman duduk di seat tepi tingkap. Melihatkan kepada keadaan seat dan cabin, rasanya agak berusia flight ni. Panel putih kelihatan sedikit kekuningan. Tak kisah la baru atau lama, yang penting penerbangan lancar dan tiba dengan selamatnya.

Dah pukul 2.00 pagi tapi masih ceria semuanya

Jam 2.20 pagi setelah semua penumpang dah berada di seat masing-masing, flight kami mula bergerak dari Gate C12 menuju ke landasan. Lepas melihat video taklimat keselamatan, lampu cabin ditutup menandakan flight akan mula berlepas. Tepat jam 2.30 pagi flight MH164 terbang ke ruang udara dengan lancar meninggalkan KLIA. Selamat tinggal bumi Malaysia. Kita jumpa semula tahun depan ya. Macam lama, padahal 18 hari je. Masih tetap sayangkan negara tumpah darahku. Tinggalkan seketika demi mencari pengalaman hidup di bumi milik Allah. Baru nak lelapkan mata, tak sampai sejam di udara, kami dihidangkan dengan makanan ringan iaitu roti dan kacang. Tak pasti sama ada supper ataupun late night snacks. Eirfan awal lagi dah berada di alam mimpi. Yang lain masih berjaga lagi. Takpe, makanan Eirfan abang-abangnya boleh setelkan.

Benda dah hidang depan mata, rugi kalau tak makan..

Selesai isi perut masing-masing, saya cuba untuk tidur sambil mendengar lagu. Dalam flight saya memang lebih suka dengar lagu daripada layan movie. Tertidur sambil dengar lagu adalah sesuatu yang indah. Hahah.. Flight dari Kuala Lumpur ke Doha mengambil masa lebih kurang 7 jam 45 minit. Beza waktu di Doha adalah 5 jam lewat dari Kuala Lumpur. Kami dijangka akan sampai di Doha pada jam 5.10 pagi dan masih lagi bertarikh 29 Disember 2022. Hampir 4 jam perjalanan wife kejut saya. Cabin cerah semula menandakan ada makanan yang akan tiba. Hehe.. Kali ni kami dapat menu breakfast iaitu nasi berlaukkan ayam masak kari serta roti croissant. Sedap juga bila dimakan. Cuma tak dapat nak tambah sebab Eirfan dah bangun.

Alhamdulillah, sedap makanan yang dihidang..

Masih ada masa sejam setengah lagi sebelum kami sampai di Doha. Saya cuba untuk sambung tidur sebab banyak aktiviti yang nak dibuat bila transit nanti. Jadi kena pastikan cukup tenaga untuk berjalan. Anak-anak yang tak tidur tu biarkan diorang mengantuk masa transit nanti. Sape suruh tak tidur. Excited sangat sebab dah lama tak naik flight agaknya sampai tak boleh nak tidur. Jam 4.45 pagi waktu Doha, pilot buat pengumuman bahawa flight kami akan mendarat sebentar lagi. 10 minit kemudian flight MH164 telah mendarat dengan selamatnya di Hamad International Airport, Doha. Alhamdulillah, satu perjalanan yang amat lancar. Wife saya kata ada beberapa ketika flight agak bergoyang kerana turbulence. Saya tengah syok tidur, memang tak rasa la. Tapi seatbelt sentiasa dipakai demi keselamatan walaupun sedang bermimpi.

Flight route: From KLIA to Hamad International Airport, Doha


# HAMAD INTERNATIONAL AIRPORT

Selesai urusan kawalan keselamatan di kaunter imigresen, kami berjalan masuk ke dalam terminal. Ini kali kedua saya sampai di Hamad International Airport. Kali pertama adalah pada tahun 2018 masa trip Scandiscovery. Memang besar sungguh airport ni sampaikan ada passenger train menghubungkan setiap terminal. Saya mencari lokasi Doha Transit Tour. Staff airport yang bertugas pun tak membantu. Dia boleh suruh kami terus ke kaunter imigresen untuk keluar dari terminal. Saya pun ikutlah laluan seperti diarahkan. Bila berurusan dengan pegawai di kaunter, terus saya kena marah sebab bukan laluan untuk penumpang transit. First time dapat pengalaman kena maki di waktu Subuh. Orang Qatar memang kasar bila bercakap. Malu sungguh saya sebab banyak mata yang memandang masa saya kena maki. Nampaknya kena tanya staff lain pulak. Yang tadi memang tak boleh pakai. Hampeh.. Sebelum bertanya pada staff yang lain, kami singgah di surau untuk solat Subuh. Bagi jiwa tenang semula lepas kena marah tadi.

Surau yang amat bersih dan selesa

Selesai solat Subuh barulah kami bertanya pada staff airport tentang transit tour. Kali ni barulah betul dia tunjuk lokasi yang sebenar. Kaunter Qatar Tourism terletak di ruang legar utama di antara 2 terminal dan agak tersorok sikit. Kelihatan ramai orang beratur untuk urusan transit tour. Sampai giliran, saya betanyakan tentang transit tour. Nasib baik kami dah booking awal sebab staff bertugas bagitau hanya yang buat booking je boleh join tour. Masa saya cari maklumat tentang transit tour ni, katanya boleh walk-in je dan first come first serve. Rupanya sekarang dah tak boleh sebab terlalu ramai yang berminat dan ambil masa yang panjang untuk urusan walk-in. Lagipun dah takde tour yang free. Semuanya kena bayar dan harga bergantung kepada tour yang dipilih.

Jumpa juga kaunter Qatar Tourism

Saya tunjukkan booking yang dibuat pada staff di kaunter. Dia suruh kami tunggu sebentar sementara dia uruskan peserta yang lain. Mungkin dia nak setting jumlah peserta sebab ada yang cuba jaya untuk join secara walk-in. Untuk tour kami, hanya satu bas je disediakan bagi setiap slot. Jadi maksimum dalam 40-45 peserta je yang boleh join. 15 minit menunggu, akhirnya staff di kaunter panggil nama peserta. Kami diberikan kad seperti pass untuk kami join tour. Lepas semua dah dapat kad, sorang staff bawa kami semua ke kaunter imigresen untuk urusan keluar dari terminal. Bukan kaunter yang saya kena marah tadi ye. Huhu.. Ramai sungguh orang yang beratur. Nasib baik kami diberikan laluan khas untuk transit tour. Tak perlu beratur panjang.

Hampir setengah jam juga sangkut kat sini walaupun ada laluan khas

Jam 7.50 pagi barulah kami berjaya sampai di pintu keluar terminal. Kami terpaksa tunggu lagi sampai semua peserta dah selesai urusan di kaunter imigresen. Tepat jam 8.00 pagi barulah kami dibawa keluar dari terminal dan menuju ke kawasan parking di mana bas sudah sedia menunggu. Secara rasminya Qatar termasuk dalam senarai negara yang sudah saya jejaki, walaupun hanya beberapa jam je. Janji dapat keluar dari terminal. Kalau transit dalam airport saya tak masukkan dalam list seperti di Amman pada trip 2019 yang lalu. Kiranya Jordan masih belum dalam list negara yang saya dah jejaki. In shaa Allah satu hari saya akan ke Jordan lagi untuk melawat Petra.

Jom ronda bandar Doha..


Wallahu 'alam..

Monday 1 July 2024

Hari Yang Ditunggu Sudah Tiba..

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..


Rabu, 28 Disember 2022. Setelah hampir 3 tahun tak travel, akhirnya hari yang ditunggu telah tiba. Sejak dari semalam lagi kami dah packing beg. Hari ni masih lagi keluar ke kedai mencari barang-barang keperluan untuk dibawa bersama. Selagi tak bergerak, selagi itulah ada je barang yang dirasakan tak cukup. Memang macam tu pun bila nak travel. Hihi.. Macamlah nak travel naik gunung, padahal gi bandar kot. Ada je kedai yang menjual kalau ada barang yang lupa dibeli. Cuma beli kat sana confirm mahal la harganya. Better cari kat sini siap-siap. Travel bajetlah katakan. Hahah..

Pakaian dan makanan dah sedia..

Lepas Asar kami mempersiapkan kucing kesayangan kami untuk dihantar ke Cat Hotel. Lepas dari PKP kami sekeluarga terasa nak bela seekor kucing. Wife saya pada mulaya tak suka dengan cadangan untuk bela kucing sebab nak uruskan najis dia dan rumah berbau kucing. Tapi anak-anak bagi jaminan untuk uruskan semuanya. Akhirnya wife setuju. Kucing yang menjadi pilihan kami untuk bela adalah berdasarkan ciri-ciri yang kami semua inginkan iaitu kucing jantan, British Short Hair, Scottish Fold dan munchkin. Takkan la nak bela sampai 3-4 ekor. Jadi kami pun carilah dalam internet kalau ada orang jual kucing kacuk yang menepati ciri-ciri kami. Nak dijadikan cerita, ada rupanya kucing yang kami inginkan. Dapat maklumat tengahari, petangnya terus ke Melaka untuk tengok kucing. Kucing baru berusia 2 bulan dan sudah berpisah susu dari ibunya. Kami namakan Bobby sempena nama kucing terakhir yang saya bela masa kecik dulu. First time kami letakkan Bobby di Cat Hotel.

Jangan buat perangai kat Cat Hotel ye Bobby..

Untuk perjalanan pergi, hanya 4 beg besar dan 5 bagpack je yang kami gunakan. Kat sana nanti pasti akan beranak lagi beg kami. Yang penting setiap beg tak melebihi 23 kg dan 7 kg. Kalau lebih sikit pun takde masalah rasanya sebab flight besar seperti Qatar Airways selalunya combine berat semua beg. Cuma kami kena fikirkan juga flight kami ke Iceland nanti naik low-cost aircraft. Mesti diorang akan timbang betul-betul punya. Huhu.. Takpe, in shaa Allah beg kami takkan terlebih berat sebab kami bercadang nak pos beberapa barang kami dari sana nanti.

4 beg besar, 5 backpack & 6 kasut sedia untuk berkhidmat

Kami dah booking kereta yang akan ambil dan bawa kami ke KLIA. Wife saya minta driver datang dalam jam 9.00 malam. Sempat kami solat Isyak dulu dan saya sidai pakaian. Setiap kali travel saya akan pastikan pakaian kotor dibasuh dan disidai siap-siap. Taknak balik nanti pening kepala nak basuh pakaian rumah bercampur dengan pakaian yang dibawa travel. Pakaian seperti jaket tebal dan perlu dry-clean boleh dihantar terus ke dobi. Bila ambil nanti boleh simpan terus dalam bilik stor. Next winter travel baru keluarkan balik. Hihi.. Selesai sidai baju dan solat, kami mula bersiap. Saya pastikan dokumen paling penting iaitu passport dibawa bersama. Walaupun dah masuk dalam beg, tetap cek sekali lagi. Oyster card yang kami pakai masa 2019 pun saya bawa juga. Mana tau masih aktif lagi, mesti ada baki duit dalam tu. Save lagi..

Passport organiser kami. Beg cable pun penting juga..

Jam 8.50 malam sebuah Hyundai Starex berhenti di depan rumah. Anak-anak bantu angkat beg masuk ke dalam kereta. Saya akan buat last check dalam rumah untuk pastikan semua suis ditutup dan dicabut. Pili air di luar pun ditutup. Dulu pernah terjadi tangki air atas rumah pecah sebab overflow. Habis banjir satu rumah. Masa tu nasib baik kami ada kat rumah. Tak dapat bayangkan kalau kejadian tu berlaku masa kami semua takde kat rumah. Lepas kejadian tu, setiap kali keluar rumah walaupun semalam saya tetap tutup air utama. Fobia kot. Huhu.. Saya maklum juga pada jiran sebelah untuk tengokkan rumah semasa ketiadaan kami. Trip kali ni agak lama kami meninggalkan rumah. Maklumlah dah lama tak travel. Balas dendam terus. Hahah..

Ready? Let's jom!

Setelah pastikan semua beg dibawa masuk ke dalam kereta, tepat jam 9.00 malam kami meninggalkan rumah menuju ke KLIA. Dalam perjalanan saya berborak dengan driver. Slow and steady je dia bawa kereta. Nasib baik jalan tak jem. Trafik di highway NKVE tak boleh nak dijangka. Kadang-kadang clear, tapi selalunya waktu lewat petang memang jem sampai la malam. Driver kata beruntungnya saya dapat travel bawa anak-anak ke luar negara. Jawapan standard saya, sementera masih diberikan kekuatan, kesihatan dan rezeki yang baik, in shaa Allah akan travel bersama anak-anak. Jika dulu saya travel berdua dengan wife, kali ni sejak arwah mak tiada, saya akan usahakan juga bawa semua anak-anak sebab takde orang lain yang saya percaya dapat jaga anak saya dengan baik melainkan arwah mak saya.


Car route: From Kota Damansara to KLIA

Jam 10.15 malam kami tiba di KLIA. Tambang yang dikenakan untuk trip dari rumah kami di Kota Damansara ke KLIA adalah RM180.00. Saya sebenarnya teringin nak naik public transport. Dari rumah naik MRT sampai ke KL Sentral dan kemudian naik ERL sampai ke KLIA. Barulah terasa adventure di awal perjalanan. Tapi harga tambang untuk kami sekeluarga lagi mahal daripada sewa kereta. Huhu.. Anak-anak bantu keluarkan semua beg dari kereta. Wife saya dah book siap-siap tarikh untuk driver ambil kami bila balik nanti. Kena bayar lagi RM180.00 lah jawabnya. Apa boleh buat, rumah jauh dari KLIA. Ada rezeki nanti saya beli rumah dekat dengan KLIA ye. Baru senang nak travel. Hahah..

Perjalanan yang lancar dari Kota Damansara ke KLIA

Keadaan agak tenang di dalam terminal. Mungkin tak banyak flight yang berlepas malam ni. Saya hubungi kawan-kawan yang lain untuk bertanyakan keberadaan mereka. Ada yang masih lagi dalam perjalanan. Kami mencari ruang tempat duduk yang kosong untuk dijadikan tempat berkumpul. Jumlah ahli untuk trip kali ni termasuk kami adalah seramai 15 orang. Terdapat perubahan pada bulan lepas di mana seorang tak dapat join kerana masalah kesihatan. Maka terpaksalah burn semua kos yang telah dibayar. Cuma untuk tiket flight mungkin akan dapat refund tapi tak banyak. Itu pun tak tau bila akan dapat. Huhu.. Seorang tak dapat join, tapi ada lagi seorang yang nak ikut dan sanggup bayar harga tiket dan kos-kos yang lain yang agak mahal. Dah dia setuju, kami pun terimalah seadanya dan uruskan semuanya.

Welcome to KLIA. Jom cari kawan-kawan yang lain..

Kami set untuk berkumpul di ruang sebelum menuju ke Anjung Tinjau, dekat dengan McDonalds. 10 minit menunggu akhirnya masing-masing tiba. Trip kali ni disertai oleh kawan-kawan wife saya. Ada yang pernah join trip kami sebelum ni. Yang pertama kali nak jejakkan kaki di bumi Eropah dan merasai cuaca sejuk pun ada. Harap diorang ikutlah pesanan kami dalam persediaan diri untuk ke negara cuaca sejuk dan bersalji. En. Khai, kak Wan dan anaknya Syakir dah pernah join trip kami sebelum ni iaitu Thailand Road Trip 2016 dan Vietcam Trip 2017. Kak Warda dan anaknya Ain selalu travel ke luar negara. Tiga dara pingitan iaitu Anis, Diana dan Hajar pertama kali ke London dan Paris. Sama juga dengan Pali, ahli last minit yang join trip kami. Namun semuanya pertama kali akan menjejakkan kaki di bumi Iceland. Masing-masing akan dapat pengalaman hidup yang baru.

Inilah 15 orang ahli trip kali ni. Meriah!

Sementara menunggu kaunter dibuka untuk kami check-in luggage, masing-masing mencari tempat untuk makan malam. Anak-anak mula ajak makan di beberapa restoran. Susah sangat nak buat keputusan, akhirnya saya suruh anak-anak tapau kat mana-mana restoran yang diorang pilih dan makan bersama-sama kat tempat berkumpul. Bila tengok resit yang diorang tunjuk, boleh tahan juga harga makanan yang diorang pilih. Huhu.. Dah sedia maklum makanan kat KLIA ni mahal. Belum berlepas lagi dah banyak kos yang keluar ni. Takpelah, benda makan kot. Perut lapar nak terbang pun tak seronok. Hihi..

Memang lengang KLIA malam ni. Lengang is tenang..

Info kaunter untuk kami check-in luggage dah keluar pada skrin. Jam 11.15 malam kami bergerak menuju ke lorong H iaitu kaunter Malaysia Airlines. Nampaknya kami akan naik flight MAS untuk KUL - DOH. Qatar Airways dan MAS adalah di bawah Oneworld Alliance dan mereka ada codeshare aggreement. Tak kisah la, janji ada flight untuk kami. Dah lama juga saya tak naik MAS untuk international flight. Mana taknya, harga tiket MAS memang mahal berbanding flight company yang lain. Selalunya saya memang akan check dulu website MAS untuk cari tiket, tapi tak pernah dapat harga yang murah. Kecewa jugalah sebagai rakyat Malaysia tapi tak dapat naik flight Malaysia. Huhu..

Panjang juga barisan. Nasib baik beratur awal..

Tak sampai setengah jam beratur, tiba giliran kami berurusan di kaunter. Staff di kaunter bertanya adakah kami nak check-in dalam satu group sebab boleh combine semua luggage kami. Dah offer, takkan la nak tolak. Hihi.. Saya kumpulkan semua passport dan beri pada staff tersebut sambil susun beg kami untuk diletakkan atas penimbang. Tak perlu risau dengan beg yang melebihi 23 kg sebab kami sendiri hanya bawa 4 beg. Mesti lepas punya. Dalam masa 15 minit urusan kami semua selesai. Baguslah staff yang bertugas ni. Pantas kerja yang dia buat. Macam ni la baru dikatakan pekerja yang berdedikasi. Jarang jumpa anak muda di kaunter check-in yang begitu efisien. Hahah..

Beg pun kena beratur. Check-in done!..

Beg besar semuanya dah check-in. Tinggal bawa backpack je. Saya dah maklum pada semua untuk bawa barang keperluan dalam backpack sebab masa transit kat Doha nanti beg besar tak keluar. Kami hanya akan jumpa balik beg-beg kami masa sampai di Paris nanti. Mana la tau kalau ada yang nak bersihkan diri sebab agak lama juga kami akan transit di Doha. Seperti kebiasaan international flight di KLIA, kami akan berlepas di Gate C12. Kami kena naik aerotrain untuk ke terminal satu lagi di Satellite Terminal Building. Ada banyak masa lagi untuk kami ke sana. Boleh la berjalan dengan penuh ketenangan.


Wallahu 'alam..