Tuesday, 22 August 2017

JJCP Umrah Ziarah Oman: Day 09 (Part #1)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..

TARIKH:
31 DISEMBER 2016

LOKASI KEJADIAN:
WADI QUDAID REST AREA


Seawal jam 4.00 pagi saya dah bangun. Maklumlah, nak mengerjakan solat Subuh terakhir di Masjidil Haram. Harap ianya yang terakhir untuk trip kali ni. InsyaAllah saya akan datang lagi ke sini untuk mengerjakan haji atau umrah kali kedua. Nak tunggu turn dari Tabung Haji rasanya macam tak realisitik sebab mungkin dah arwah waktu tu. Huhu.. Hanya dapat bergantung pada mak saya jika wajib haji kena bawa mahram. Ataupun guna agen lain untuk haji, tapi bayarannya dah tentu tinggi. Ikutlah mana-mana cara pun, asalkan dapat mengerjakan rukun Islam ke-5 sebelum mata ini tertutup buat selamanya. Wallahu a'lam..

Pemandangan biasa setiap kali waktu Subuh
Selesai mengerjakan solat Subuh, saya tunggu sekejap di perkarangan masjid untuk melihat keadaan jemaah di luar. Ada yang keluar dan ada yang nak masuk. Sentiasa penuh. Memang patut Masjidil Haram sedang dalam proses membesarkan lagi kawasan untuk para jemaah. Walaupun pada hakikatnya sebesar mana pun Masjidil Haram tetap penuh setiap masa. Alhamdulillah saya dapat menjadi salah seorang daripada berjuta makmum mengerjakan solat di Masjidil Haram. Kat Malaysia cuma dapat masa solat Jumaat dengan solat sunat Aidilfitri dan Aidiladha je. Itupun masih dapat masuk ke dalam masjid. Jam 6.30 pagi saya dan wife berjalan balik ke hotel untuk breakfast dan berkemas semuanya. Jam 8.00 pagi semua beg dah kena bawak turun ke lobi hotel. Lambat kang kena marah dengan Ustaz Zool. Dah la dia satu bilik dengan saya. Barang dia tak banyak sangat sebab dah selalu datang sini jadi mutawwif. Banyak trip lagi dia boleh shopping. Hehe..

Keadaan jemaah di luar masjid selepas solat Subuh
Dah ada yang mula meniaga di luar hotel. Peluang terakhir ni. Hihi..
Susah nak nampak motor kat sini
Selesai breakfast kami naik ke bilik untuk kemas semua beg. Tinggal sikit je lagi nak packing sebab semalam dah mula mengemas. Semua beg dah tagging dengan masking tape yang bertulis nama masing-masing. Takut masking tape tanggal, kami siap ikat cable-tie berwarna untuk senang cam beg kami. Dah semua pakai beg yang sama dari Andalusia, jenuh nak cari kalau tak tagging. Takut terambil beg orang lain. Huhu.. Sampai di lobi hotel kelihatan banyak beg yang tersusun di tepi lif. Confirm beg dari group jemaah kami sebab hari ni cuma group kami je yang akan keluar dari hotel. Kami pun sambung susunan beg tu jadi lebih panjang. Senang pekerja hotel nak tolong angkat masuk dalam bas nanti.

Info tawaf wada' untuk group kami
Selamat tinggal bilik 705 Hera Hotel!..
Sayu rasanya bila nak tinggalkan bilik 705 yang kami tidur selama 8 malam. Kira lama la jugak. Huhu.. Sambil menunggu jemaah lain yang belum turun lagi, saya ambil peluang untuk ambil gambar buat kali terakhir sebab lepas buat tawaf wada' dah tak boleh nak bergambar. Kena ikut pantang larang selepas tawaf wada'. Tawaf wada' wajib dilakukan kecuali kepada jemaah yang uzur dan beberapa sebab yang lain. Saya yang sihat walafiat ni dah tentu la kena buat. Kalau tak buat tawaf wada' ataupun tak ikut pantang larangnya, bukan hanya berdosa malah kena bayar dam. Jadi kenalah buat ikut tatacara yang betul. Ada beberapa pengecualian dalam pantang larang selepas tawaf wada'. Sebaiknya selepas tawaf kena terus naik bas dan tinggalkan Mekah sebab maksud tawaf wada' adalah tawaf perpisahan. Nak membeli belah atau baring sambil tengok tv di hotel dah tentu tak boleh. Tapi seperti ustaz terangkan, kalau selipar hilang boleh la beli. Atau tetiba sakit perut, bolehla balik ke hotel untuk buang apa yang patut tapi jangan berlengah. Kira kes darurat la tu.

Beg dah selamat disusun di lobi hotel
Jam 10.30 pagi kami bergerak ke Masjidil Haram untuk mengerjakan tawaf wada'. Selesai tawaf kami pulang semula ke hotel. Sedih rasanya apabila nak meninggalkan Rumah Allah. Moga diberikan rezeki dan kesihatan yang baik untuk saya datang semula ke sini lagi satu hari nanti, insyaAllah. Sampai hotel bukannya boleh baring atau tidur di bilik. Jadi kami semua berkumpul di lobi hotel dan mengerjakan solat fardhu di surau hotel ketika masuknya waktu Zohor. Selesai solat Zohor, kami menunggu bas sampai. Jam 1.30 petang Ustaz Zool bagitau bas dah ada di jalan besar. Beg kami diangkat oleh pekerja hotel. Kami yang terawal naik ke dalam bas. Seperti biasa, seat paling depan menjadi pilihan. Barulah nampak jelas suasana pemandangan sekitar dalam perjalanan kami menuju ke Madinah. Hihi.. Disebabkan semua jemaah group kami cepat masuk ke dalam bas, jam 1.45 petang bas dah mulakan perjalanan menuju ke Madinah. Selamat tinggal Makkah Al Mukarramah. Moga berjumpa lagi di lain masa, insyaAllah..

Anggaran jarak dan masa perjalanan dari Mekah ke Madinah
Jam 3.15 petang Ustaz Zool maklumkan bahawa bas dah berada melebihi 2 marhalah jaraknya dari Mekah. Maka selesailah pantang larang tawaf wada'. Boleh la sambung amik gambar. Bas melalui highway di tengah padang pasir yang luas di kiri dan kanan jalan. Sekali sekala nampak sekumpulan unta tengah berehat di bawah terik matahari. Unta dah biasa dengan cuaca panas. Takde masalah berjemur di padang pasir yang bahang dan berdebu. Hihi.. Ustaz Zool juga maklumkan bahawa bas akan berhenti di kawasan rehat di depan untuk makan dan solat. Saya bertanya pada Ustaz Zool apa nama kawasan rehat tu untuk catatan saya. Ustaz Zool bagitau kawasan rehat tu terletak di Wadi Qudaid. Jadi saya andaikan nama kawasan rehat tu ialah Wadi Qudaid Rest Area. Entah betul ke tidak nama dia. Kira betul la tu. Hihi.. Wallahu a'lam..

Pemandangan di sepanjang perjalanan
Duduk depan baru dapat clear view keadaan highway kat sini
Our driver. Ustaz Zool speaking Arab dengan dia

@ WADI QUDAID REST AREA

Hampir dua jam setengah perjalanan, akhirnya kami sampai di Wadi Qudaid Rest Area. Kawasan rehat kat sini amat lapang dan berada di tengah padang pasir. Selain stesyen minyak, kelihatan masjid, kedai, cafe dan restoran dimana kami akan makan di situ. Kedai tayar pun ada. Rasanya mungkin banyak bas atau kenderaan lain yang lalu kat highway ni tayar pecah sebab panas. Sebab tu la ada kedai tayar kat rest area kot. Ketika kami sampai hanya ada satu bas lain di tempat parking. Lepas tu ada lagi 2 bas sampai membawa jemaah umrah. Sebelum kami masuk ke dalam restoran, kami ke masjid untuk mengerjakan solat Asar. Selesai solat kami menuju ke restoran. Ada satu je restoran kat rest area ni. Ustaz Zool uruskan set makanan untuk group kami. Menu makanan kami adalah nasi Arab bersama ikan talapia dan ayam goreng yang diletakkan dalam talam dan beralaskan plastik. Ikut style Arab, satu meja dalam 4-5 orang makan bersama dalam satu talam.

Bus Route: From Hera Hotel to Wadi Qudaid Rest Area
Pemandangan di sekitar Wadi Qudaid Rest Area
Satu-satunya restoran yang ada kat sini
Hidangan nasi Arab dalam talam untuk makan berjemaah
MasyaAllah, teramatlah sedapnya nasi Arab kat restoran ni. Rasa macam tak cukup satu talam. Huhu.. Selalunya benda yang sedap memang tak banyak. Nafsu semata-mata. Tapi memang betul sedap sampaikan rasa macam nak bungkus makan kat Madinah bila sampai nanti. Hihi.. Takpelah, takut sejuk jadi tak sedap pulak. Kat Madinah belum tau lagi macamana menu makanan kat hotel kami. Jadi cukuplah makanan tadi untuk alas perut kami sampai ke Madinah nanti, insyaAllah.. Selesai makan kami berehat di luar restoran dan menunggu masa untuk naik bas semula. Rasa macam tak sedap hati je bila tengok penutup enjin bas di belakang terbuka. Nampaknya betul seperti yang disangka, bas kami rosak rupanya. Huhu.. Ustaz Zool berbincang dengan driver bas untuk dapatkan penjelasan. Ustaz Zool maklumkan bas rosak dan amik masa untuk repair. Ada satu bas lain dalam perjalanan ke sini untuk bawa kami ke Madinah. Tak pasti kat mana lokasi bas tu sekarang ni. Kalau baru gerak dari Mekah maknanya kena tunggu lebih 2 jam la nampaknya. Huhu.. Dugaan di padang pasir namanya ni. Sabar separuh dari iman. Alhamdulillah group kami semuanya sempoi belaka. Takde yang melenting marah sebab bas rosak. Benda dah nak jadi, apa boleh buat. Bukannya kita tau pun bila bas tu nak rosak. Di kesempatan ni saya berjalan melihat-lihat kedai yang ada kat sini sambil menunggu masuknya waktu Maghrib. Melayan suasana petang di padang pasir Arab. Pengalaman hidup juga tu. Hihi..

Makin ceria bila perut kenyang. Hihi..
Kejadian yang tak diingini. Apa boleh buat..
Kebetulan ada satu bas yang bawa jemaah dalam 10 orang. Ustaz Zool berbincang dengan mutawwif yang bawa group tu kalau boleh kami seramai 28 orang ni tumpang bas untuk ke Madinah. Mutawwif tu bertanyakan pada jemaah dia. Nasib kurang baik apabila diorang tak setuju untuk tumpangkan kami. Katanya diorang bayar mahal untuk pakej umrah demi keselesaan. Setiap sorang guna 4 seat agaknya dalam bas tu. Huhu.. Dah la takde sorang pun dari jemaah tu berborak dengan kami. Ingatkan masa kat UK je saya pernah jumpa orang Malaysia yang tak bertegur. Rupanya kat Arab ni pun ada. Nampaknya terpaksa jugalah kami tunggu bas yang dikatakan on-the-way tu. Maka 28 orang jemaah masing-masing berlegar-legar di rest area melayan perasaan sambil menikmati suasana matahari terbenam di padang pasir. Harap bas yang datang kejap lagi dalam keadaan yang baik. Wallahu a'lam..

Tak tau apa nak buat, kita layan je la penjual ni..
Sekali pakai 3 cincin terus. Hehe..

No comments:

Post a Comment