Monday 22 April 2024

JJCP UK V2: Shopping, Souvenirs & Collections

 Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..


Bila dah travel tak sah kalau tak membeli sesuatu sebagai tanda kenangan. Walaupun ini kali kedua saya menjejakkan kaki di bumi UK, namun masih tetap ada barangan yang dibeli. Jujurnya memang tak kuat iman bila melihat barangan yang dijual. Rasa macam rugi pulak kalau tak beli. Hihi.. Takut bila sampai Malaysia baru nak rasa menyesal sebab tak beli especially barang yang memang sukar atau tak jumpa di Malaysia. Tambahan pula kali ni banyak lokasi car boot sale yang kami terjah. Memang haruslah membeli seketul dua. Hehe..

Kalau dah harga camni, mana maunya tengok saje kan..

Masa kami sampai di rumah waktu malam haritu, lepas makan kami terus paksa diri untuk tidur. Walaupun tak rasa mengantuk tapi kena tidur juga untuk elakkan jetlag. Tapi jangan la tidur sampai petang baru bangun. Nanti malamnya tak boleh tidur lagi. Huhu.. Alhamdulillah, berjaya juga saya paksa tidur walaupun mata terkebil-kebil memandang siling bilik. Tak sedar jam berapa saya mula tidur, tapi akhirnya terjaga bila alarm berbunyi jam 6.00 pagi. Mata agak pedih sebab baru terasa mengantuk tapi saya teruskan bangun. Bagus juga kalau dapat bertahan sampai malam. Harap tak tertidur di siang hari. Saya kejut anak-anak supaya diorang pun tak tidur lama. Mudah diorang bangun sebab saya bagitau nak punggah barang-barang belian. Masing-masing ada barang tersendiri. Tu yang senang bangun tu. Si kecik tu kita biarkan dia terus lena diulit mimpi.

Satu persatu beg kami punggah dengan penuh sabar

Tak semua barang belian kami punya. Lagi banyak barang yang dipesan kawan-kawan. Alhamdulillah, dapatlah cover sikit kos perjalanan kami dengan hasil jualan ni. Itu yang seronoknya bila shopping di UK pada musim winter sebab harga agak murah berbanding musim summer. Cuma pilihan barang tak banyak la tapi masih berbaloi. Walaupun musim winter waktu siang pendek dan banyak kedai yang tutup awal, tapi sempat je kalau nak shopping. Tak dapat bayangkan kalau musim summer. Silap haribulan bertambah luggage. Hahah.. Ini pun dah memadai. Untuk kawan-kawan ada, untuk diri sendiri pun ada. Bajet pun takdelah tinggi mana pun untuk shopping.

Belum abis lagi beg yang dipunggah dah banyak ni


# FRIDGE MAGNETS & KEY CHAINS

Barang asas yang wajib dibeli. Tapi disebabkan ini trip kali kedua, jadi tak banyak yang kami beli untuk diri sendiri. Nak buat apa beli banyak sebab fridge magnet yang dulu pun masih ada lagi melekat kat dinding rumah. Nanti tak cukup space pulak untuk fridge magnet negara-negara lain yang bakal kami lawati. Setakat ni tak tau lagi nak ke mana, tapi in shaa Allah ada rezeki kami akan travel lagi sekeluarga. Janji kepada anak-anak untuk bermain salji tetap akan cuba ditunaikan.

Untuk diri sendiri dan sahabat. Teksi hitam tu 1 pound je harganya


# PERSONAL SHOPPER

Antara barang yang menjadi pilihan pesanan daripada kawan-kawan adalah barangan dari Kath Kidston sebab kali ni kami terjah terus kilang dia. Wife saya hantar gambar dalam group dan tunggu sejam untuk masuk order. Ramai juga peminat Kath Kidston di kalangan kawan-kawan. Mungkin kerana harga yang amat murah berbanding butik di Malaysia. Selain Kath Kidston, Port Meirion juga menjadi tumpuan pesanan kerana kami terus singgah di kilangnya yang terletak di Stoke. Laju mesej dalam whatsapp dari kawan-kawan yang memesan. Cuma diorang kena tunggu maksimum 3 bulan sebab kami pos dari sana. Sabar menunggu ya kawan-kawan demi pinggan mangkuk Port Meirion. In shaa Allah sempat sampai sebelum hari raya. Hihi..

Hasil dari Kath Kidston dan Port Meirion

Barang pesanan dari kedai-kedai yang lain pun ada juga yang kami beli seperti di Primark, Harrods, Vans dan banyak lagi. Boleh dikatakan mana-mana kedai yang kami masuk, nampak barang yang rare dan murah kami akan beli. Ada juga barang yang kami beli untuk diri sendiri tapi dibeli oleh kawan-kawan. Mula-mula saja je upload nak tengok jika ada yang berkenan. Rupanya memang ada, banyak pulak tu. Jadi kami jual je kepada yang berminat. In shaa Allah nanti kami boleh beli lagi. Apa pun kita cuba cover kos semaksimum yang boleh. Itu lebih penting untuk kesinambungan kisah travel kami di masa akan datang. Bukan murah sebenarnya kos untuk ke luar negara terutamanya ke bumi Eropah. Jika ada rezeki sikit, kami travel berdua. Jika ada rezeki lebih kami travel sekeluarga. Takde rezeki kami duduk rumah sambil tengok video travel kawan-kawan dan youtube. Apa pun kena percaya dan bersyukur pada rezeki yang Tuhan berikan.

Peminat Lilliput Lane pun ada untuk hiasan dalam rumah

Sambil memunggah, wife susun sekali barang-barang yang dipesan kawan-kawan. Barang lebih yang masih belum terjual wife ambil gambar dan iklankan dalam group whatsapp. Kalau takde yang berminat barulah wife iklan kat media sosial. Buat masa ni kami hanya ambil order kawan-kawan terdekat je. Tak terdaya nak expand pesanan sebab takut tak muat masuk dalam luggage. Kami tak beli extra luggage pun dalam trip kami. Cukuplah sekadar ambil pesanan sahabat terdekat walaupun memang ada keinginan kami untuk jadi personal shopper yang lebih global. In shaa Allah satu hari nanti.

Susun siap-siap untuk beri pada tuannya


# PERSONAL COLLECTIONS: HARD ROCK CAFE

Untuk trip kali ni ada tiga penambahan lokasi Hard Rock Cafe baru yang kami terjah iaitu di Glasgow, Piccadilly Circus dan Oxford Street. Di Oxford Street tiada t-shirt yang tertulis Oxford Street. Jadi hanya bergambar kenangan di dinding luar bersama logo Hard Rock Cafe Oxford Street. Nanti bila dah ada t-shirt yang bertulisan Oxford Street barulah saya beli buat koleksi. Hard Rock Cafe London dan Edinburgh yang kami dah pergi dulu pun kami singgah juga sebab ada pesanan dari kawan-kawan. Hard Rock Hotel London juga saya singgah tapi tak beli t-shirtnya. Ini adalah Hard Rock Hotel kedua yang saya dah lawati selepas Hard Rock Hotel Penang. Rasanya mungkin saya akan kumpul juga koleksi Hard Rock Hotel memandangkan dah makin banyak hotel dibuka di seluruh dunia. Kalau lagi sekali saya berpeluang ke London, saya akan beli juga t-shirt dan shotglass Hard Rock Hotel sebagai koleksi peribadi saya. A total of 33 Hard Rock Cafe & 2 Hard Rock Hotel visited.. and still counting..

T-shirt depan Piccadilly dan Glasgow tu koleksi peribadi saya

Tidak dinafikan trip kali ni banyak barang yang kami bawa balik sebagai kenangan dan jualan kepada kawan-kawan. Sesungguhnya UK menjanjikan pengalaman yang terbaik dalam kehidupan travel kami. Pemandangan yang indah dan barangan yang menarik hati sentiasa membuatkan kami teruja untuk datang lagi ke bumi UK. Banyak lagi yang belum kami explore. In shaa Allah jika diberikan ruang dan peluang kami akan datang lagi. Kawan-kawan yang memesan juga tidak dilupakan. Moga berjumpa lagi di masa akan datang. Thanks UK. Roger and out!


Wallahu 'alam..

No comments:

Post a Comment