Monday, 7 October 2019

JJCP Scandiscovery: Day 13 (Part #3)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..

HARI/TARIKH:
@ KHAMIS, 20 DISEMBER 2018

LOKASI KEJADIAN:
@ KEBAB KUNGEN
@ MYRORNA
@ HARD ROCK CAFE STOCKHOLM


Di lobi masjid bersebelahan dengan pintu masuk utama ada meja disediakan untuk para jemaah yang ingin bersedekah makanan atau apa-apa barangan. Kelihatan ada satu plastik hitam besar berisi roti. Sesiapa yang nak ambil dipersilakan. Teringat masa di Copenhagen Grand Mosque haritu dimana kami dijemput untuk makan bersama. Alhamdulillah, komuniti Islam di sini amat baik dan saling membantu walaupun tak mengenali antara satu sama lain. Kepada yang tak berkemampuan boleh la ambil roti tu untuk makan. Sekali para isteri kami pun ambil juga sebab ada sorang jemaah offer roti tersebut. Ingatkan diorang tolak dengan cara baik. Huhu.. Takpelah, boleh juga dibuat breakfast esok pagi. Roti kat sini bukan macam di Malaysia. Saiznya besar dan gebu. Tapi bila dah sejuk ia menjadi keras. Layankan aje. Hehe..

Cicah dengan kopi panas sedap juga ni.
Seterusnya jam 2.35 petang kami meninggalkan Stockholm Grand Mosque dan teruskan berjalan kaki mencari tempat makan. Perut masing-masing dah mula mainkan lagu keroncong. Mana cukup makan churros je tadi. Di kawasan sekitar masjid memang banyak restoran halal. Pilih je la mana yang berkenan di hati dan poket masing-masing. Hehe.. Antara tips yang berguna, jika nak mencari makanan halal, carilah di sekitar masjid atau mana-mana tempat di mana ramai komuniti Islam. In shaa Allah ada banyak pilihan dan anda tidak akan kelaparan. Hehe..

Cuaca dah mula gelap di luar

@ KEBAB KUNGEN

10 minit berjalan kaki menyusuri jalan besar, akhirnya kami sampai di tempat untuk mengisi perut kami. Nama restoran ni Kebab Kungen. Menu makanan yang dijual sudah tentu kebab dan seangkatan dengannya. Sebab tu saya tak makan kebab bila berada di Malaysia sebab dah prepare untuk makan bila travel ke luar negara. Nanti takut muak pulak sebab selalu makan kebab. Huhu.. Kami masuk ke dalam dan disambut dengan salam oleh pekerja restoran. Kalau breakfast dan lunch dipanggil 'brunch'. Kalau lunch dan dinner pulak disebut apa ye? Saya cari juga dan jumpa orang sebut 'linner' atau 'dunch'. Masa travel je saya selalu 'linner'. Sama ada tak jumpa kedai halal, nak kejar masa atau nak save budget. Mungkin ketiga-tiganya sekali. Hahah..

Walking route: From Stockholm Grand Mosque to Kebab Kungen
Let's linner! Hehe..
Kali ni saya dan wife nak cuba menu yang lain, tapi takut tak kena kat tekak kami. Saya bukannya cerewet sangat pasal makanan. Cuma risau bila ada bahan-bahan tambahan seperti kayu manis atau mana-mana spice yang membuatkan terbantut selera saya untuk makan. Huhu.. Saya pernah sekali makan di restoran tapi tersalah order. Pertama kali nak merasa ayam yang diletakkan sos teriyaki sebagai gravy. Sekali suap je terus hilang selera. Amat jelas saya tak minat dengan sos teriyaki. Huhu.. Lagi sedap makan nasi dengan ikan bilis goreng dan telur mata. Bila di negara orang kenalah pilih betul-betul makanan yang sesuai untuk diri sendiri. Menu yang lagi simple lagi baik dan sedap sebenarnya.

Kali ni nak pilih menu yang macam mana pulak ye.
Harap makanan berkuah tu sedap dimakan. Sayur takde masalah, saya bedal semuanya. Hihi..
Saya dan wife pilih menu Quzi Lamm, iaitu set nasi berserta kambing dan air yang berharga SEK100.00. Sepinggan dah cukup untuk kami berdua walaupun seharian tak makan. In shaa Allah cukup untuk tampung tenaga sampai breakfast esok pagi. Kalau lapar malam karang boleh je makan roti yang diambil kat masjid tadi. Keras pun keraslah, janji perut kenyang. Hihi.. Lepas order kami tak perlu menunggu sebab semua makanan memang dah siap dimasak. It's 'linner' time for us!..

Simple menu. Big portion. Taste?
Jemput makan semua!..
Alhamdulillah, sedap sungguh kambing yang kami makan. Simple is better. Dah cukup kenyang walaupun berkongsi. Lepas makan kami duduk berborak dulu. Hari masih muda. Tinggal satu tempat je lagi yang kami nak terjah untuk hari ni. Saya google lokasi kedai second hand yang kami pergi di Vasteras semalam. Ada beberapa cawangan kedai yang sama di Stockholm. Nak dijadikan cerita, salah satu cawangan kedai berada berhampiran dengan tempat kami makan ni. Boleh la ambil masa lama sikit untuk belek barang dalam kedai tu. Hihi..

Borak sambil hirup sup yang boleh refill semula. Layann..
Jam 3.30 petang kami mula bersiap untuk ke lokasi seterusnya. Terima kasih Kebab Kungen kerana menyediakan menu makanan yang amat sedap. Saya pasti rekomen pada kawan-kawan yang datang ke Stockholm. Bila difikirkan harga makanan di sini memang mahal berbanding makanan di Malaysia. Tetapi portion makanan yang besar membuatkan ianya berbaloi juga. Kena terima hakikat bahawa makanan halal agak sukar untuk diperolehi di negara seperti ini dan jika ada dah tentu ianya agak mahal. Nak murah boleh masak sendiri dan buat bekal sebelum keluar rumah. Dan yang paling penting adalah jangan cerewet demi menjaga keharmonian rakan-rakan travel yang lain. Sekali cerewet, sampai bila-bila takkan ajak dah. Alhamdulillah diorang ni semua sekepala dengan saya. Mudah nak handle. Hihi..

Thanks Kebab Kungen!. Nice food, nice staff..

@ MYRORNA

Keluar je dari Kebab Kungen, kami berjalan tak sampai 100 meter, lintas jalan dan terus sampai di Myrorna, iaitu kedai menjual barangan second hand seperti di Vasteras semalam. Kalau di Australia ada kedai charity seperti Salvation Army dan Vinnies, di Sweden ianya adalah Myrorna. Masa saya di Australia, banyak barang yang menarik dijual di Vinnies. Seperti kedai bundle di Malaysia di mana jika kita betul-betul 'menyelam', banyak benda menarik dan mungkin berharga yang kita jumpa. Disebabkan malam masih muda, kami ambil peluang untuk menyelam sedalam-dalamnya di Myrorna. Jangan sampai lemas sudah la. Hihi..

Walking route: From Kebab Kungen to Myrorna
Antara barangan second hand yang dijual di Myrorna
Kedai Myrorna di sini tak besar tapi dua tingkat. Antara barang yang menjadi perhatian kami adalah barangan perhiasan. Siang tadi kami lihat kain perhiasan yang dijual di kedai souvenir, harga boleh tahan mahal. Di Myrorna pun ada juga dan harga jauh lebih murah. Maklumlah, nama pun barang terpakai. Tapi barang terpakai di sini bukanlah teruk seperti yang disangka. Sekali lihat macam tak pernah pakai pun. Untung la kalau dapat jumpa dengan barang seperti tu. Sebab tu kena selam lebih dalam lagi. Hehe..

Baju dan buku tak sampai RM10.00 harganya. Leather made in Sweden pun ada..
Setengah jam kami menyelam di Myrorna, dapat jugalah sambar beberapa barang yang berkenan di hati. Hihi.. Jika beli barang kaca, ada bahagian untuk kita wrap kaca tersebut supaya tak pecah, sama seperti di Ikea. Eh, lupa pulak bahawa Ikea memang dari Sweden pun. Hehe.. Jam 4.00 petang setelah berjaya jumpa apa yang dicari, kami teruskan perjalanan menuju ke metro station yang terdekat untuk naik train. Paling dekat dari sini adalah Skanstull T-Bana yang terletak dalam 300 meter dari Myrorna.

Walking route: From Myrorna to Skanstull T-Bana
Menunggu train sampai di Skanstull T-Bana
Jam 4.10 petang train sampai di platform. Kami nak ke Odenplan T-Bana. Untuk ke sana kami boleh naik mana-mana train Green Line (T17, T18 dan T19), mana yang sampai dulu. Keadaan dalam train tak sesak sangat walaupun sekarang waktu orang balik kerja. Mungkin diorang lepak minum dulu dengan kawan-kawan sekerja sebelum balik rumah. Kalau di Denmark ada tradisi minum santai yang dinamakan Hygge, di Sweden ianya dipanggil Fika. Kononnya dengan minum petang bersama rakan-rakan dapat hilangkan stress bekerja. Bagus juga sebenarnya tradisi ni. Kira samalah maksudnya dengan mengeteh atau mengopi di Malaysia. Cuma bezanya kita boleh layan sampai tengah malam sambil tengok bola kat kedai mamak. Restoran 24-jam kan. Hehe..

Metro route: LineT17/T18/T19 from Skanstull to Odenplan
Peak hour pun masih ada tempat duduk kosong lagi
Jam 4.20 petang kami dah sampai di Odenplan T-Bana. Sebelum ke destinasi tujuan, saya bertanya yang lain jika boleh singgah satu lagi cawangan Myrorna di sini. Masih banyak masa lagi sebelum balik homestay. Manalah tau Myrorna kat sini lebih banyak pilihan. Diorang ikut je mana saya bawak. Janji dapat berjalan katanya. Hihi.. Dari Odenplan T-Bana, kami lintas jalan dan menyusuri deretan blok bangunan hingga sampai di Myrorna. Masa untuk menyelam buat kali kedua. Nampaknya saya dah mula meminati Myrorna. Benda boleh dapat murah, buat apa beli yang mahal. Hehe..

Walking route: From Odenplan T-Bana to Myrorna
Myrorna kat sini lagi banyak barang yang menarik. Pilih mana yang betul-betul berkenan di hati je. Nak beli banyak sangat takut tak muat nak isi dalam beg. Teringat saya cerita kawan yang pergi UK, dia borong barang kat kedai charity sebab murah. Last day sebelum balik Malaysia banyak barang dah tak muat nak masuk dalam beg. Akhirnya dia sedekah kat pekerja hotel tu. Haha.. Itulah akibat nafsu membeli yang tak tertahan. Asal murah je beli tanpa fikir saiz beg yang dibawa. Bagus juga apa yang kawan saya buat. Sekurangnya dia dah menderma pada kedai charity tu. Hihi..

Layan menyelam lagi.. Seronok betul dapat belek barang kat Myrorna ni. Hehe..
Jam 5.00 petang, setelah dapat apa yang dicari, kami teruskan perjalanan ke destinasi berikutnya. Keluar je dari kedai terus saya nampak apa yang saya teringin sangat nak tengok bila berada di Sweden. Daripada info yang saya cari ketika persediaan ke Scandinavia, saya ada terbaca tentang stroller yang ditinggalkan di luar kedai. Bukan hanya stroller, tapi dengan baby sekali dalam stroller tu. Biar betul tinggalkan baby dalam keadaan sejuk macam ni. Tanpa pengawasan pulak tu. Huhu.. Mengikut kepercayaan dan tradisi di Sweden, tinggalkan anak dalam stroller ketika musim sejuk adalah baik untuk kesihatan dan memberikan masa yang lebih panjang untuk baby tidur. Mungkin tradisi tu betul sebab takde isu pun tentang kesihatan baby yang ditinggalkan dalam stroller di luar kedai. Apa yang membuatkan saya lebih kagum ialah keberanian ibubapa yang tinggalkan anak tanpa sesiapa menjaganya. Tak takut ke kalau ada orang culik anak? Huhu.. Dan mungkin juga tradisi di sini tiada orang yang culik anak dalam stroller. Hebat sungguh..

Selamba je tinggalkan baby kat luar macam ni. Huhu..
Bukti dari kenyataan yang saya baca dah ada depan mata. Memang betul ada baby tengah sedap tidur dalam stroller tu. Cuma saya tak berani nak curi-curi ambil gambar. Takut tengah nak snap ada orang lain nampak, kang terus kena tangkap. Undang-undang di sini jangan main-main. Salah parking kat tempat OKU terus kena saman. Berhenti kenderaan kat bahu jalan walaupun ada pemandu tetap kena saman. Di Malaysia masih boleh bincang lagi. Parking kat tempat OKU pun boleh mengamuk dan ambil video viral salahkan pegawai penguatkuasa. Hebat tak mentaliti orang Malaysia? Istilah berani kerana benar dah tak boleh dipakai kerana dah tentu salah pun masih tetap nak tegakkan kebenaran. Huhu..

Tunggu sampai lampu lintas menyala dulu ye.

@ HARD ROCK CAFE STOCKHOLM

15 minit berjalan kaki dari Myrorna, akhirnya kami sampai di destinasi terakhir kami untuk hari ini dan juga Hard Rock Cafe terakhir untuk trip kali ni. Hard Rock Cafe Stockholm menjadi HRC ke-30 yang kami dah lawati. Kami terus masuk ke dalam untuk melihat barangan yang dijual di Rock Shop. Ramai juga kawan-kawan yang pesan t-shirt HRC Stockholm. Pesanan orang jangan dilupakan. Kira amanah juga tu kalau dah bagi duit. Yang kirim dengan air liur boleh view gambar kenangan je. Hehe..

Walking route: From Myrorna to Hard Rock Cafe Stockholm
Kami tak bawa dadah dan senjata nuklear. Mercun bola pun takde. Hehe..
Agak besar Rock Shop di sini. Pilihan design pun banyak. Seperti biasa, saya akan mencari design yang masih belum ada dalam koleksi saya. Masa tengah belek ni pun masih ada lagi kawan yang whatsapp untuk memesan design yang diorang berkenan. Dah alang-alang di sini apa salahnya belikan untuk kawan-kawan. Lagipun susah nak dapat peluang berada di bumi Stockholm ni. Huhu.. Haritu ada kawan travel ke US. Dia tanya saya nak pesan tak HRC di sana sebab dia tau saya ni antara peminat koleksi HRC. Tapi saya tak pesan pun. Saya hanya pesan HRC yang saya dah lawati je. US saya belum sampai lagi. Hihi..

Pilihan design untuk lelaki dan wanita
Design untuk kanak-kanak dan merchandise lain. Sweater itu amat cantik. Hihi..
Rama mula excited memilih design yang ada. Nampaknya dia memang dah mula minat dengan HRC. Dia kata sayalah penyebab utama dia terjebak dalam kancah HRC ni. Haha.. Takpe bro, benda boleh beli buat koleksi, buat apa cuci mata je. Hihi.. Hampir sejam kami kat dalam Rock Shop ni. Tak boleh duduk lama-lama, nanti ada je benda lain yang nak dibeli. Sebelum buat bayaran, saya pastikan semua pesanan dari kawan-kawan dah diselesaikan dulu. Untuk saya hanya sehelai t-shirt sebagai tambahan koleksi dan tanda sudah menjejakkan kaki di HRC Stockholm. Saya check dengan cashier, di sini boleh dapat tax-refund. Terbaiklah..

HRC Stockholm koleksi terbaru saya
Selesai urusan pembayaran dan pengisian borang tax-refund, jam 6.00 petang kami meninggalkan HRC Stockholm. Dengan ini berakhirlah misi pencarian HRC untuk trip Scandinavia kali ni. Jumlah keseluruhan dah 30 HRC saya lawati. Entah sampai bila lagi saya nak mengumpul. Apabila sampai masanya untuk berhenti mengumpul, akan keluarlah iklan di online marketplace dan juga carboot yang berhampiran. Hihi.. Boleh dikatakan separuh t-shirt HRC yang saya dah beli sebelum ni belum pernah pakai lagi. Beli dan terus simpan dalam almari. Rasa sayang pulak nak pakai. Hihi..

This is my hobby, this is my collections
Kami meneruskan berjalan kaki menuju ke Tekniska Hogskolan T-Bana. Saje je cari metro station yang lain walaupun Odenplan T-Bana lebih dekat. Nak juga melawat sebanyak mungkin metro station di sini. Sampai masa untuk kami pulang ke homestay. Cukuplah aktiviti pada hari ini. Lagipun waktu malam di sini takde apa yang menarik untuk dibuat selain melihat lampu yang berwarna warni sempena Krismas yang bakal tiba. Semua dah mula kepenatan sebab banyak berjalan hari ni. Huhu.. Sampai homestay nanti kami nak berehat sepuasnya sebab esok kami akan meronda lagi di Stockholm sebelum menuju ke homestay berikutnya.

Weather forecast @ Stockholm
Walking route: From HRC Stockholm to Tekniska Hogskolan T-Bana
Rekaan artis di dalam Tekniska Hogskolan T-Bana
Jam 6.40 petang train sampai di terminal. Kami naik Red Line T14. Perjalanan hanya mengambil masa 10 minit untuk sampai di Slussen T-Bana. Sampai je di Slussen kami terus ke terminal bas yang kami turun awal pagi tadi. Kelihatan ramai orang baru balik kerja beratur menunggu bas untuk ke destinasi masing-masing. Lewat juga diorang ni keluar pejabat ye. Lupa, mungkin diorang ber'fika' dulu dengan kawan-kawan tadi. Nak bagi hilang stress di tempat kerja katanya. Hihi.. Banyak platform bas di sini. Kami menunggu bas bernombor 401 menuju ke Alta yang terletak di Platform F. Nak dijadikan cerita, barisan kami yang paling panjang beratur. Huhu.. Mungkin bas sampai lewat kot.

Metro route: Line T14 from Tekniska Hogskolan to Slussen
Katarinahissen dan Stomatol Sign di waktu malam
Punyalah panjang sampai kena start beratur dari Platform E. Huhu..
10 minit beratur dalam kesejukan angin malam, akhirnya tepat jam 7.00 malam bas 401 menuju ke Alta pun sampai di Platform F. Nampaknya terpaksa berdiri dalam bas bila melihat barisan yang panjang. Huhu.. Terasa macam di Jepun pulak bila masing-masing beratur dengan berhemah memberi laluan untuk penumpang dalam bas turun dahulu dan masuk ikut barisan. Tak perlu nak rushing atau potong que. Siapa yang beratur dulu dialah yang naik dulu. Senang je konsep dia. Yang penting mentaliti perlu diubah dulu. Hihi..

Jom naik bas awam balik ke homestay
Nasib baik kami berenam dapat naik bas. Kalau dah penuh kami kena tunggu lagi setengah jam untuk bas berikutnya. Huhu.. Mau menggigil kaki berdiri lama. Bas mula bergerak meninggalkan terminal. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 15 minit untuk sampai ke Dammtorp Bus Stop yang terletak di atas sedikit dari bus stop pagi tadi supaya kami boleh jalan turun bukit menuju ke homestay. Hehe.. Letih sangat dah nak menapak naik bukit. Jangan terlepas bus stop sudah la. Lagi jauh kena jalan nanti. Huhu..

Bus route: From Slussen Station to Dammtorp Bus Stop
Tepat jam 7.20 malam kami dah sampai di homestay. Malam masih muda tapi kami semua dah kepenatan. Huhu.. Selepas bersihkan diri, kami menikmati maggi sebagai menu dinner kami. Memang sedap sungguh la makan maggi dalam cuaca sejuk macam ni. Sebungkus pun rasa tak cukup. Hihi.. Selesai makan kami berehat sambil tengok tv yang tak pasti apa ceritanya sebab takde subtitle. Kami berborak dan berbincang tentang aktiviti esok hari. Jam 9.30 malam kami dah masuk ke bilik masing-masing. Masa untuk mendapatkan kualiti tidur yang sempurna. Esok dah tentu lagi memenatkan sebab pagi sambung jalan-jalan di Stockholm, kemudian petang kena drive menuju ke homestay berikutnya. Walau penat macamana sekalipun, kenangan terindah pasti akan dikecapi dan diingati sampai bila-bila. Wallahu 'alam..

Maggi + Teh o panas (cuaca sejuk) = Nikmatnya...
Jumlah penggunaan kaki hari ni




No comments:

Post a comment