Tuesday, 11 March 2025

JJCP Eurora: Day 08 (Part #3)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..





@ SELFOSS

Setelah hampir 90 km perjalanan dalam kereta yang mengambil masa 1 jam 30 minit, akhirnya jam 4.10 petang kami sampai di satu pekan yang bernama Selfoss. Sepanjang perjalanan tadi langsung tak lalu mana-mana pekan. Cuaca pun dah mula gelap. Nak tengok pemandangan memang tak nampak apa dah. Maka kami pun carilah supermarket untuk mengisi aktiviti harian kami yang masih panjang lagi. Di sini ada satu supermarket yang popular dan banyak cawangannya di Iceland iaitu Kronan. Kali ni boleh la tengok harga barang yang dijual. Dari info yang saya cari ramai yang kata harga barang kat Iceland mahal. Takkan la semuanya mahal kot. Jom kita semak harga barang kat sini.

Driving route: From Blue Lagoon to Selfoss

Kami masuk ke kawasan parking di Kronan. Alhamdulillah kawasan parking agak luas dan tak banyak kereta. Kami dapat parking berdekatan pintu masuk supermarket. Keluar je dari kereta terus terasa angin yang amat sejuk singgah di muka kami. Dengan pantas kami semua masuk ke dalam supermarket. Anak-anak dah siap ambil satu troli. Macam banyak je barang yang nak dibeli. Huhu.. Takpe, kita tengok dulu barang yang dijual dalam supermarket ni. Kalau nak cari makanan, pastikan ianya halal. Harap-harap adalah makanan halal kat sini. Hihi..

Jom kita cuci mata tengok barang yang ada dalam supermarket ni

Saya mula melihat barang-barang yang saya selalu beli di Malaysia dan cuba bandingkan harganya. Untuk barangan harian seperti sabun, syampu dan deodorant lebih kurang sama je harga dengan di Malaysia. Mungkin tinggi sikit harganya tapi takdelah melampau sangat mahalnya. Produk makanan segera yang berstatus halal juga ada dijual seperti instant noodle. Untuk ayam dan daging mentah saya tak jumpa yang halal. Saya ada terbaca info tentang syarikat pengeluar daging di sini yang mana lembu mereka disembelih cara Islam namun tiada tanda halal pada produk. Boleh semak dalam website company tersebut. Dunia digital sekarang mudah nak cari info. Ada je forum yang membincangkan tentang produk halal di Iceland.

Seronok bila main banding harga. Hahah..

Saya bagi tugasan kat Eirfan, suruh dia cari mana-mana barang yang berstatus halal. Tapi jangan sampai pegang ayam dan daging. Suka dia bila dapat tugasan macam ni, baru rasa diri dia amat penting dan bertanggungjawab. Hahah.. Tak sampai 5 minit dia datang kepada saya, maklumkan dia jumpa daging halal dan ada macam-macam jenis. Terkejut saya. Biar betul budak ni. Dia pun bawa saya ke tempat daging tersebut. Bila saya tengok daging tu, saya tanya dia macam mana tau daging ni halal. Dia kata tengok kat jenama daging tu. Emmm, bila baca jenama memang nampak macam halal. Siap bagitau sama nama dengan kawan dia kat sekolah. Hahah..

Nama melayu tak semestinya halal wahai anakku..

Balik sekolah nanti mesti dia cerita kat kawan dia yang bernama Ali. Hahah.. Jelas sungguh tulisan bacon tu. Kalau awal tadi saya suruh dia letak semua barang halal dalam troli mesti banyak produk Ali ni dia letak. Hihi.. Antara produk daging biri-biri halal di sini ialah dari syarikat KS. Tapi katanya hanya biri-biri je yang halal. Daging lain tak pasti. Pelik pulak bila hanya biri-biri je yang halal. Takkan la dalam satu kilang, hanya biri-biri je yang disembelih? Wallahu 'alam.. Kalau tak yakin adalah lebih baik jangan beli. Di bahagian frozen banyak juga produk ayam yang halal. Jadi takdelah kami makan telur je sepanjang berada di bumi Iceland ni. Boleh juga makan ayam. Cuma nak dapatkan ayam dan daging fresh agak sukar. Frozen pun jadilah, asalkan perut kami sentiasa kenyang. Hehe..

Eirfan jumpa instant noodle halal. Terbaikk..

Hampir 40 minit kami ronda dalam supermarket ni. Banyak juga barang kat dalam troli. Ada je benda yang budak-budak ni amik. Takpelah, bila lagi nak merasa shopping groceries kat Iceland kan. Hihi.. Sementara kami beratur di kaunter bayaran, Eirfan ajak saya main salji kat luar. Masa sampai tadi dia dah tenung salji yang putih gebu kat kawasan parking kereta. Hairan sungguh la dengan budak ni. Langsung tak rasa sejuk ke Eirfan? Orang lain kalau boleh nak cepat-cepat masuk dalam kereta. Huhu.. First time dalam hidup tengok salji. Kita bagilah dia peluang main salji sepuasnya. Saya masa kecik tak pernah pun merasa. Umur 36 tahun baru merasa salji pertama di Korea. Rezeki anak-anak dapat pengalaman hidup yang berharga di usia muda.

Kat dalam tengah bayar, kat luar tengah main salji..

Selesai urusan pembayaran di Kronan, kami kembali ke kereta. Eirfan boleh sambung main salji kat homestay nanti ya. Sebelum kami meninggalkan Selfoss, kami singgah di petrol station. Di Iceland kebanyakan petrol station hanya ada di kawasan pekan. Sepanjang 90 km perjalanan kami dari Blue Lagoon tadi kami langsung tak jumpa petrol station. Jadi lebih baik isi siap-siap sebab tak pasti dalam perjalanan nanti ada petrol station atau tidak. Naya je kalau minyak habis dan sangkut kat tepi jalan. Huhu.. Untuk isi minyak di Iceland, pertama kena tau dulu jenis minyak untuk kereta. Kereta kami guna diesel. Kebanyakan petrol station kat sini self-service. Debit dan credit card boleh digunakan. Sebelum mula kena pastikan tukar bahasa kepada English. Kemudian pilih nombor pump sebab satu mesin digunakan untuk 2 atau 4 pump number. Salah pilih nombor pump, kereta lain pulak yang diisi nanti. Hahah.. Dah pilih nombor pump, boleh pilih berapa amaun isian yang bermula serendah ISK500.00. Jangan pilih full tank sebab nanti dia hold amaun yang agak tinggi dalam kad kita. Untuk isian pertama kali, saya pilih ISK8000.00. Tak dapat full tank, tapi in shaa Allah cukup untuk perjalanan hingga jumpa next petrol station.

First time isi minyak kat Iceland. Mudah je..

Harga diesel kat sini lebih mahal dari petrol dan ianya sentiasa berubah. Esok mungkin lain harganya. 1 liter diesel berharga ISK336.20 iaitu bersamaan dengan RM11.60. Kalau petrol RON95 pula harganya ISK329.70 seliter. Fuhh, mahal sungguh harga petrol dan diesel kat sini. Bersyukur tinggal di Malaysia. Kita kan negara pengeluar minyak. Hihi.. Terkebil-kebil jugaklah mata bila meter sampai ISK8000.00. Sekali isi RM276.80. Yang ni saya boleh confirm bahawa harga petrol dan diesel di Iceland amatlah mahal. Huhu.. Selesai semuanya isi minyak kereta masing-masing, kami teruskan perjalanan ke homestay. Sejam perjalanan mengharungi jalan yang gelap, kami masuk ke satu simpang dan menghampiri kawasan homestay. Laluan sehala ke arah homestay agak sempit dan salji tebal di atas jalan. Saya risau kalau kereta kami sangkut. Memang boleh rasa tayar licin dan kadang-kadang berat seperti tenggelam dalam salji. Kereta yang lain follow rapat belakang saya. Moga kami selamat sampai di homestay.

Driving route: From Selfoss to Hellisholar Cottages


@ HELLISHOLAR COTTAGES

Jam 6.30 petang kami sampai di bangunan reception untuk ambil kunci homestay. Saya booking 3 buah homestay yang jaraknya agak dekat antara satu sama lain. Staff di reception tunjuk pada map di mana lokasi homestay kami. Setelah ambil kunci, kami teruskan perjalanan menuju ke homestay yang terletak di kawasan berhampiran. 5 minit melalui jalan sehala yang sempit dan salji tebal, akhirnya kami sampai di depan homestay. Di antara ketiga-tiga homestay terdapat kawasan parking yang kurang salji. Saya cuba untuk parking berhampiran dengan homestay kami tapi tak berani sebab salji tebal. Takut kereta sangkut nanti jenuh pulak nak menolak. Huhu..


Ambil kunci kat reception office

Nampaknya anak-anak terpaksa bantu angkat beg dari kereta ke homestay. Saya sekeluarga ambil rumah yang paling hujung. Sebelum angkat beg, kami ke rumah En. Khai dulu untuk supper. Menu malam ni simple je iaitu roti dengan serunding daging yang dibawa dari Malaysia. Cukup sebagai alas perut kami untuk malam ni. Mee segera yang beli tadi boleh makan kat rumah nanti. Bila kenyang barulah boleh tidur dengan senang hati. Hehe..

Jadilah buat alas perut sebelum tidur

Selesai makan, kami bergerak balik ke rumah. Eirfan dah mula geram dengan salji yang tebal kat luar rumah. Saya bagi la peluang dia bermain salji. Baru jam 7.45 malam kot. Masih awal lagi nak tidur. Kagum juga saya dengan budak kecik ni. Memang tak rasa sejuk ke dia ni. Huhu.. Sukahati awak la ye Eirfan. Yang penting jangan demam. Susah dibuatnya nanti.

Mainlah sepuasnya ye anakku. Bila lagi nak merasa kan..

Rumah kami berdindingkan kayu. Suhu di dalam rumah agak panas dan selesa. Terdapat 2 bilik dan 6 katil single. Semua dapat katil masing-masing ya. Fasiliti seperti barang dapur agak lengkap dan tiada masalah kalau nak masak atau panaskan makanan. Makan roti dengan serunding tadi dah cukup kenyang, jadi tak perlu nak masak apa-apa untuk malam ni. Cuma anak-anak nak masak air untuk makan mee segera yang dibeli tadi. Banyak masa untuk kami berehat. Wifi pun ada disediakan. Saya suka dengan rumah ni. Boleh rekomen pada sesiapa yang datang ke Iceland untuk menginap di sini.

Rumah tak besar tapi cosy.. Selesa untuk kami sekeluarga

Setelah bersihkan diri dan berehat di ruang tamu, saya jenguk ke luar tingkap untuk melihat langit jika nampak aurora. Tengok pada apps nampaknya tiada aktiviti aurora di kawasan sekitar. Belum ada rezeki lagi nak tengok aurora di hari kedua. Takpe, in shaa Allah akan dapat tengok juga sebelum kami meninggalkan bumi Iceland. Dapat tengok sikit pun jadilah buat kenangan dalam hidup. Jam 11.00 malam anak-anak yang melayan handphone masing-masing dah mula tidur. Saya pun masuk ke bilik dan bersedia untuk tidur. Selesai aktiviti hari kedua kami di Iceland. Esok ada banyak aktiviti yang nak dibuat. Moga dipermudahkan urusan kami sepanjang berada di sini.


Wallahu 'alam..






Sunday, 16 February 2025

JJCP Eurora: Day 08 (Part #2)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..




Dari Gardur Old Lighthouse, kami memandu ikut jalan ke Hafnir dan terus ke destinasi berikutnya, iaitu Bridge Between Continents. Perjalanan sejauh 33 km mengambil masa 45 minit dan kami tiba di lokasi kejadian jam 12.40 tengahari. Sampai je di kawasan parking, satu kejadian yang tak diingini telah berlaku. Kereta En. Khai sangkut di bahu jalan yang penuh dengan salji masa selisih dengan kereta lain. Jalan agak sempit dan kami tak tau bahawa bahu jalan tu rendah sebab ditutupi oleh salji. Snow chain pulak takde. Nak cari kayu pun susah untuk hold tayar agar bergerak naik ke atas jalan. Huhu..

Tayar sangkut di bahu jalan yang penuh dengan salji

Nasib baik kami ramai. Boleh bantu tolak kereta naik ke atas jalan walaupun agak sukar. Dalam juga tayar kereta terbenam dalam salji. Kebetulan ada 2 orang pengunjung turut membantu. Alhamdulillah, 10 minit tenaga dikerah akhirnya kereta berjaya naik ke atas jalan. Sampai di parking En. Khai tengok ada kesan calar di tepi kereta. Tak mungkin masa sangkut tadi berlanggar dengan batu atau benda lain. Saya cek pada kertas pre-inspection, rupanya calar tersebut memang dah dinyatakan masa kami ambil kereta semalam. Lega rasanya. Risau je kalau kena bayar penalti. Huhu..

Driving route: From Gardur Lighthouse to Bridge Between Continents


@ BRIDGE BETWEEN CONTINENTS

Dari kawasan parking, kami berjalan ke arah jambatan yang memisahkan antara 2 benua. Ada la beberapa orang yang jatuh sebab jalan yang amat licin. Hehe.. Bridge Between Continents adalah rekahan plat tectonic yang wujud dan memisahkan antara benua Eropah dan Amerika Utara. Jambatan yang dibina adalah sebagai simbol kepada hubungan antara kedua-dua benua. Kiranya kami dah berjaya jejakkan kaki di benua Amerika Utara. Di bawah jambatan nampak seperti laluan sungai tapi tiada air yang mengalir. Hanya tanda rekahan yang berlaku pada plat tektonik. Mungkin masa summer ada air yang mengalir kat sini.

Bridge between Europe & North America

Nampaknya ada pengunjung dah mula letak padlock kat atas jambatan. Dah banyak tempat saya jumpa orang letak padlock atas jambatan. Kononnya padlock tu sebagai love lock, simbol cinta abadi pasangan dan kuncinya akan dibuang di bawah jambatan. Di Paris, pihak perbandaran terpaksa buang dan gantikan tebing jambatan yang baru sebab terlalu banyak padlock hingga menyebabkan ianya hampir roboh. Bukan hanya membahayakan dan mencacatkan pemandangan, tapi mencemarkan sungai dengan kunci padlock tersebut. Masa trip saya ke Seoul pada 2014, saya ada juga letak satu padlock. Tapi kunci saya tak buang. Tak ingat kat mana saya simpan kunci dia. Hahah.. Yang pastinya padlock yang saya letak tu bukan atas jambatan. Rasanya kat atas N-Seoul Tower, memang ada tempat khas untuk letak padlock seperti bentuk pokok krismas. Hihi..

Kenangan dengan padlock. Hahah..

Walaupun ada cahaya matahari tapi cuaca amat sejuk. Saya yang pakai selapis longjohn dan jaket tebal pun masih rasa sejuk. Nak buka glove pun sekejap je boleh bertahan. Tengok pada weather forecast, cuaca akan makin sejuk dalam beberapa hari mendatang. Saya yang boleh dikatakan tahan sejuk pun rasa menggigil, macam mana pula yang lain. Harap diorang dah prepare pakaian yang sesuai untuk adapt cuaca yang super sejuk di sini. Itulah, kenapa ya saya suka travel masa winter. Dah la waktu siang pendek, pemandangan pun putih je. Seperti yang saya maklum sebelum ni, setahun hidup dalam cuaca khatulistiwa yang panas dan hujan, apa salahnya dalam seminggu dua layan cuaca sejuk yang pasti takkan merasa di Malaysia. Menggigil pun tetap enjoy. Hehe..

Abadikan kenangan di sini. Saujana mata memandang..

Jam 1.10 petang kami mula bergerak meninggalkan Bridge Between Continents. Kira ok lah dapat jejak kaki seminit dua di benua Amerika Utara. Hehe.. Ada 2 jam lebih je lagi sebelum cuaca mula gelap. Dari sini kami memandu sejauh 34 km untuk sampai ke destinasi berikutnya. Dalam perjalanan cuaca tidak menentu. Tiba-tiba je kabus jadi tebal dan tak nampak jalan di depan. Dalam beberapa minit pemandangan clear semula. Memang betul la seperti yang saya baca. Cuaca kat Iceland ni tak menentu. Sekejap je cuaca boleh berubah. Huhu..

Cerah, lepas tu tiba-tiba berkabus. Seminit kemudian cerah balik..


@ BLUE LAGOON

Jam 1.45 petang kami sampai di Blue Lagoon. Setengah jam pemanduan sejauh 34 km yang agak adventure dengan perubahan cuaca yang mendadak. Yang penting semua 4 kenderaan follow rapat antara satu sama lain. Saya sentiasa tengok cermin belakang, in case ada yang tertinggal jauh. Manalah tau jika kejadian tayar sangkut berlaku lagi. Sebagai satu group kita kena sentiasa alert bersama. Kawasan parking di Blue Lagoon amat besar menandakan tempat ni adalah antara tumpuan utama pelancong. Banyak juga kereta kat sini dan kami parking agak jauh dari pintu masuk.

Driving route: From Bridge Between Continents to Blue Lagoon

Siapa orang kaya yang naik helikopter tu?

Kami berjalan masuk ke dalam Blue Lagoon. Kami takde niat pun nak mandi air panas kat sini. Cuma nak tengok kawasan sekitar. Blue Lagoon adalah antara geothermal spa yang terbaik di dunia dan destinasi wajib bagi pengunjung ke Iceland. National Geographic telah menyenaraikan Blue Lagoon sebagai salah satu daripada 25 keajaiban dunia. Suhu air panas sekitar 37-40 darjah celcius dan klorin tidak diperlukan untuk membersihkan air di sini. Saya ada melihat video pengunjung mandi di sini sambil cuci muka dengan lumpur semulajadi. Bila bawa anak-anak macam sukar nak berendam kat sini. Tapi kalau saya berdua dengan wife pun mungkin tak masuk kot. Ada etika pemakaian. Kalau private pool mungkin boleh. Hihi.. Kita ambil feel je kat sini ya.

Bergambar di signboard itu wajib tanda hadir. Hahah..

Untuk masuk ke lagun utama yang besar tu kena bayar. Admission fee bermula dari RM310.00/person mengikut pakej. Boleh tahan mahal juga. Jadi kami hanya masuk ke tempat jualan barangan dan souvenir. Di bahagian luar pun boleh tengok kolam air panas, cuma tak boleh berendam la. Ada yang kena angkut dengan security nanti. Hahah.. Harga barangan yang dijual juga agak mahal. Maka kami hanya window shopping je melihat pakaian dan produk asli yang dihasilkan di sini.

Seronoknya window shopping sebab tak keluar duit. Hehe..

Habis meronda di dalam kedai, kami keluar dan jalan-jalan melihat kolam air panas yang sentiasa berasap. Agak kuat bau sulfur yang dihasilkan. Eirfan ada cubaan nak pegang air panas. Budak ni memang sukar dijangka la. Ada je benda pelik yang dia nak buat. Huhu.. Kena extra pantau dia ni. Telepas pandang nanti ada la benda tak terjangka yang dia buat. Kutip batu dan baling dalam kolam tu memang berlaku la. Apapun rezeki dia seawal umur 2 bulan dah ada pasport dan keluar negara. Sekarang dah umur 6 tahun banyak negara yang dia dah pergi. Anak-anak adalah pemberi rezeki yang tidak terhingga. Saya bersyukur dapat bawa satu family jalan-jalan melihat dunia. Moga rezeki kami sentiasa bertambah.

Kat luar pun ada kolam air panas yang besar

Jam 2.30 petang kami dah berada di kawasan parking. Cukup la lawatan kami selama 45 minit di Blue Lagoon. Satu pengalaman hidup yang takkan kami lupakan walaupun tak dapat nak berendam dalam kolam. Ada sejam lagi sebelum cuaca mula gelap. Setelah semuanya dah bersedia dalam kereta masing-masing, kami mulakan perjalanan meninggalkan Blue Lagoon. Nak singgah untuk tengok pemandangan mungkin dah tak sempat. Hanya dapat layan pemandangan dari dalam kereta je menuju ke destinasi seterusnya. Perjalanan kali ni agak jauh dan dijangka sampai nanti cuaca dah mula gelap. Moga sampai dengan selamatnya.

Cuaca dah mula senja. Sekejap je waktu siang kat sini.

Wallahu 'alam..

JJCP Eurora: Day 08 (Part #1)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..





Jam 8.00 pagi saya dan wife terjaga dari tidur. Bukan kerana tak sedar bunyi alarm, tapi memang kami set alarm jam 8.00 pagi sebab waktu Subuh di Iceland hari ni jam 8.23 pagi. Waktu siang di sini amat pendek. Jam 8.30 pagi mula terang, kemudian jam 3.30 petang dah senja. Huhu.. Jadi tak banyak pun tempat yang boleh explore dalam masa sehari. Kena setting timing dengan betul untuk ke lokasi yang dituju. Maknanya di Iceland kami akan banyak masa di homestay. Kalau keluar pun jika dapat alert tentang lokasi aurora yang berdekatan.


Saya kejut anak-anak di bilik sebelah. Semuanya mudah bangun sebab tak sabar nak main salji kat luar. Kami bersiap dan mula check-out dari rumah. Kak Wan dah sediakan breakfast. Selepas pastikan tiada barang yang tertinggal, jam 10.00 pagi kami mula keluar dari rumah dan bawa masuk beg ke dalam kereta. Cuaca agak sejuk dan sedikit berangin. Selesai letak beg dalam kereta, kami masuk ke rumah di apartment utama untuk breakfast bersama dengan yang lain. Eirfan taknak makan, kenyang katanya. Saje je tu. Padahal nak main salji kat luar. Masuk makan dulu ye. Dalam perjalanan nanti susah nak jumpa kedai. Lepas makan boleh sambung main salji.

Suasana jam 10.00 pagi di sini. Belum cerah lagi. Huhu..

Selesai breakfast, kami bersiap-siap untuk mulakan perjalanan hari ni. Tak boleh terlalu lewat sebab takut tak sempat nak sampai lokasi yang dituju. Tak guna bila dah gelap baru sampai. Satu pemandangan pun tak nampak nanti. Hahah.. Jam 10.45 pagi masing-masing dah mula bawa keluar beg dan masukkan ke dalam kereta. Macam biasa, satu beg kami tumpang dalam kereta kak Warda. Sebelum bergerak kami bergambar kenangan di kawasan sekitar. Putihnya salji pagi ni. Subhanallah, indahnya bumi ciptaan yang Maha Esa.

Inilah rumah kami bermalam. Yang ada signboard tu apartment utama

Sebelum mulakan perjalanan, saya set dulu gps pada phone dan pasang camera untuk capture video perjalanan kami. Destinasi pertama kami adalah Gardur Old Lighthouse. Dah alang-alang berada di hujung Keflavik, kami singgah la kejap untuk lihat pemandangan laut di sini. Macam mana agaknya keadaan laut Iceland Sea. Rasanya trip kali ni adalah lokasi paling utara dalam peta dunia saya pernah sampai. Masa trip ke Scandinavia pada 2018, paling utara yang saya sampai adalah jalan di antara Ringebu dan Atna melalui Rondane National Park di Norway. Bila semua dah berada dalam kereta, jam 11.30 pagi kami meninggalkan Gardur Apartments.

Let's go to the first destination today..


@ GARDUR OLD LIGHTHOUSE

Jalanraya dipenuhi dengan salji sampai tak nampak line jalan. Huhu.. Kereta kami tak disediakan rantai untuk tayar. Staff di Blue Car Rental semalam maklum di Iceland tak banyak jalan berbukit dan jika salji terlalu tebal, jalanraya akan ditutup. Jadi tak perlu nak pakai snow chain. Winter tyre yang ada paku untuk grip sudah memadai katanya. Apa pun saya dan kawan-kawan yang drive kena extra hati-hati takut kereta oversteer sebab jalan yang licin. Tak sampai 10 minit memandu akhirnya kami sampai di penghujung jalan di utara Keflavik.

Driving route: From Gardur Apartments to Old Lighthouse

Di sini ada 2 lighthouse. Old Lighthouse yang dibina pada 1897 terletak di paling hujung menghadap laut dan New Lighthouse yang dibina 1944 terletak di kawasan lapang. Dengan ketinggian 28 meter, New Lighthouse ini adalah yang tertinggi di Iceland. Saya tak larat nak jalan ke arah kedua-dua lighthouse ni. Saya minta anak-anak je jalan untuk ambil gambar rumah api dengan lebih dekat. Dari jauh dapat tengok pun dah cukup buat saya kagum dengan keindahan kawasan di sini. Hanya kami je yang berada kat sini membuatkan lagi cantik gambar kenangan yang diambil.

Old and New Lighthouse at Gardur

Keadaan air laut surut sekarang ni dan jauh ke tengah. Katanya ombak laut kat sini agak ganas juga. Mungkin masa air pasang ia naik sampai ke tebing. Takpe, banyak lagi pantai dan laut yang akan kami explore di sini. Bukan laut je, air terjun pun banyak yang akan kami singgah. Itupun bergantung pada masa siang. Kalau lama sangat kat satu-satu lokasi, memang tak sempat la nak explore semua tempat yang saya sudah senaraikan dalam itinerary. Mana-mana yang sempat kita singgah, tak perlu rushing pun. Janji enjoy dengan pemandangan di sini.

Ada budak request nak main air laut. Jangan mengada ye. Hahah..

15 minit berada di sini sudah cukup memberikan satu pengalaman baru buat kami. Selesai bergambar kenangan, kami mula bergerak untuk menuju ke destinasi berikutnya. Jalanraya agak lengang. Setiap kali selisih dengan kenderaan lain, saya akan perlahan sebab ada jalan yang agak sempit. 3 kereta yang lain follow rapat belakang kami. Kat sini susah nak nampak traffic light. Jadi takde isu kalau tertinggal sebab sangkut kat traffic light. Di bandar Reykjavik nanti ada banyak traffic light.

Hati-hati jalan licin kat sini

Wallahu 'alam..

Saturday, 15 February 2025

JJCP Eurora: Day 07 (Part #3)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..




Kami sampai di salah satu pintu keluar airport. Cuaca di luar sudah gelap. Daripada info yang saya baca, bangunan Blue Car Rental boleh nampak dari sini jika tiada kabus tebal. Kelihatan bangunan yang ada signboard biru. Itulah dia Blue Car Rental. Anak-anak dah mula teruja bila nampak salji tebal di atas jalan. Dah berhari-hari korang berzikir tanpa henti bila agaknya dapat tengok salji kan. Hah, inilah dia salji live depan mata. Main la sepuasnya seminggu ni ye. Cuaca sejuk tapi tak berangin sangat. Masih boleh bertahan dengan jaket tebal yang dipakai. Buat masa ni la. Hahah..

Bangunan ada signboard biru tu adalah Blue Car Rental

Kami akan sewa 4 buah kereta. Jadi hanya driver je yang jalan kaki ke sana. Tapi anak-anak nak ikut juga. Sambil jalan ke sana boleh main sepak salji katanya. Huhu.. Pertama kali untuk diorang merasa pengalaman hidup jumpa salji, saya layankan aje. Kami jalan merentasi kawasan parking kereta dan hotel. Tebal sungguh salji kat sini. Banyak kereta yang dipenuhi salji. Macam manalah agaknya kehidupan kami selama seminggu di sini. Berharap sangat janganlah berlaku perkara yang tak diingini. Paling risau jika jalan ditutup dan kedatangan snowstorm yang kuat. Takut juga tengok video snowstorm yang berlaku kat sini. Semua kereta sangkut kat tepi jalan. Langsung tak boleh bergerak. Huhu.. Weather, please be nice to us..

Walking route: From Keflavik Airport to Blue Car Rental


@ BLUE CAR RENTAL

Tak sampai 10 minit berjalan, jam 7.45 malam kami sampai di Blue Car Rental. Kelihatan banyak kereta di bahagian tepi dan belakang bangunan. Di bahagian depan ada juga tapi rasanya kereta yang baru return sebab nampak kotor. Takkan la diorang nak bagi kereta yang kotor masa pick-up. Teruk sangat kalau camtu. Huhu.. Memang first and last la saya sewa kereta kat company ni. Blue Car Rental adalah family business company. Sebab tu tak pernah dengar company ni di negara lain. Tapi masa saya google tentang company ni, macam ada bisnes kat beberapa negara Europe. Mungkin cawangan baru kot. Bisnes baru nak berkembang agaknya.

Besar juga bangunan dia

Kami masuk ikut pintu yang bertanda 'Rental Pick-Up'. Kelihatan hanya 2 orang je pelanggan yang sedang berurusan di kaunter. Mesti diorang ni naik flight sama dengan kami tadi. 5 minit menunggu akhirnya sampai giliran kami berurusan di kaunter. Setelah menunjukkan dokumen berkaitan, staff key-in maklumat dalam sistem. Sebelum kunci kereta diserahkan, kami diberi sedikit penerangan tentang terms & condition sewa kereta sambil memberikan kami beberapa helai kertas mengenai condition kereta yang kami akan guna. Prosedur standard bila sewa kereta, kena check dulu keadaan fizikal dalaman dan luaran kereta. Jika ada calar atau kemek kat body kereta atau seat koyak dan ia tidak dinyatakan pada kertas inspection, kena maklumkan pada staff sebelum kita mula bawa kereta. Kalau dah gerak, 10 minit lepas tu patah balik dan maklumkan, memang tak valid la. Mesti diorang claim calar berlaku dalam masa 10 minit tu.

Antara damage sedia ada pada body kereta yang dinyatakan

Beberapa damage sedia ada dinyatakan pada kertas. Setelah kunci kereta diberikan, kami keluar dan cari kereta di bahagian belakang bangunan. Takde pun staff yang ikut kami ke kereta. Dah la gelap kat sini, nasib baik saya ada bawa torch light. Saya cek keseluruhan body kereta, dalaman dan luaran. Mana atau ada calar yang tak dinyatakan. Selalunya company sewa kereta suka buat hal dengan customer. Nanti diorang claim ada calar baru dan customer kena bayar. Mudah nak buat duit dengan cara ni. Huhu.. Teringat saya masa first time sewa kereta di London pada 2012. Masa tu ada customer kena bayar penalti sebab ada calar sikit pada kereta. Masa tu saya ambil insurans yang paling murah je. Nasib baik tak jadi apa-apa yang tak diingini.

Done checking. Takde damage yang lain. Good to go..

Seperti yang dijangka, model kereta yang kita order mesti akan dapat yang lain. Order Nissan X-Trail, dapat Kia Sorento. Sebab tu dalam website ada dinyatakan model kereta dan perkataan 'similar' bermaksud kereta lain yang sama kelas dan saiz. Kadang-kadang transmission pun boleh berubah. Nasib baik dapat automatik seperti yang dipilih. Kalau dapat manual kena mintak refund sebab harga sewa kereta manual lebih murah selalunya. Warna kereta pun antara strategi company sewa kereta. Warna putih lagi senang nak detect calar. Hahah.. Fuel level pun kena cek juga sebab masa return nanti kena pastikan level yang sama. Same-to-same fuel policy. Mileage masa ambil adalah 79807km dan petrol boleh pergi sejauh 595km. Masa return nanti boleh kira berapa jauh saya drive selama seminggu di bumi Iceland. First time saya akan memandu Kia Sorento. Sebelum bergerak kena pastikan dulu kedudukan switch dan button yang akan digunakan. Takdelah menggelabah mencari bila drive nanti. Hahah.. 

Petrol dalam 7/8 seperti yang dinyatakan

Hampir sejam juga kami di Blue Car Rental. Saya mula memandu keluar dari kawasan pick-up. Tiga kereta yang lain follow di belakang. Saya pusing seround dua dulu di area parking airport untuk sesuaikan diri dengan pemanduan. Bukan selalu pakai kereta left-hand drive ni. Tambah pulak kawasan penuh salji. Pengalaman memandu semasa trip Scandiscovery pada 2018 dulu akan dijadikan rujukan. Lebih kurang sama je keadaannya. Setelah agak mesra dan selesa dengan cara pemanduan, barulah saya ke airport untuk pick-up yang lain. Selesai masukkan beg dan semua dah berada dalam kereta, jam 8.45 malam kami mula bergerak meninggalkan Keflavik International Airport. Sebelum check-in, kami akan ke kedai runcit dulu untuk cari makan malam kami. Saya dah tagging satu grocery store yang buka 24 jam.

Driving route: From Blue Car Rental to grocery store

Kebanyakan kedai di Iceland tutup sekitar jam 6.00 petang. Paling lewat pun sampai 8.00 malam. Kedai yang buka 24 jam pun hanya di kawasan bandar. Kat kawasan pedalaman memang takde lah yang buka malam. Untuk arah pemanduan, saya guna google maps pada phone extra yang saya sentiasa bawa bila ada trip yang sewa kereta. Waze boleh guna juga di sini, tapi google maps lebih reliable. Walaupun dalam pakej sewa kereta diberikan GPS percuma, tapi saya lebih selesa guna phone sendiri sebab senang nak guna. Line internet takde masalah sebab dalam pakej diberikan sekali pocket wifi. Tak sampai 10 minit memandu akhirnya kami sampai di kedai runcit 24 jam. Jom tengok harga barang runcit kat Iceland.

Macam mana nak sebut nama kedai ni

Ejaan huruf di Iceland agak pelik. Tak tau camna nak menyebutnya. Hahah.. Tapi nasib baik la signboard jalan ada dalam english. Saya install juga apps yang boleh ambil gambar dan translate kepada english. Mudah untuk refer in case ada signboard atau mana-mana perkataan yang tak faham maksudnya. Kami masuk ke dalam kedai runcit. Kedai tak berapa besar tapi banyak juga barang keperluan harian yang dijual. Harga boleh dijangkakan agak mahal di sini. Selalunya kedai 24 jam ni harganya mahal sikit berbanding supermarket harian. Namun tetap ada orang yang beli sebab dah takde option lain di waktu malam. Kedai lain semuanya tutup. Strategi bisnes juga tu.

Ada juga makanan halal kat sini. Pening jap tengok harga dia..

Perkara paling best bila masuk supermarket kat luar negara adalah jumpa makanan yang berstatus halal. Untuk halal frozen food brand Tuk Tuk yang saya jumpa, harga paling murah adalah ISK919.00 bersamaan dengan RM31.80. Mak aii, mahalnya harga dia. Huhu.. Esok lusa kita cuba tengok harga kat supermarket besar. Anak-anak mula minta beli jajan. Tengok harga snek kat sini pun pening juga tapi takdelah semahal makanan dalam kotak ni. Snek pun kena tengok betul-betul, jangan beli yang ada perisa ayam atau daging pulak. Keropok kentang atau roti plain boleh je. Vegan food pun ok juga. Tak boleh lama dalam kedai ni. Nanti makin bertambah barang yang diambil. Huhu..

Harga barang dalam troli tu RM123.20. Emmm..

Memang pening bila memikirkan jumlah harga jajan, air dan buah tinggi macam tu. Air mineral tu sekali je la beli ya. Botol dia jangan buang. Boleh refill dengan air paip kat homestay sebab di Iceland air paip boleh diminum. Yakin atau tak kena minum juga demi kesejahteraan pengurusan kewangan sepanjang berada di sini. Hahah.. Selesai urusan di kedai runcit, kami mula bergerak menuju ke homestay. Beberapa hari sebelum, saya terima mesej daripada tuan rumah mengatakan kami akan diberi rumah yang lain. Asalnya saya booking 3 buah rumah di apartment utama. Tapi disebabkan ada 'orang penting' yang datang tarikh yang sama, maka kami diberi 2 buah rumah sahaja. Sebuah rumah yang banyak bilik di apartment utama dan sebuah lagi di luar. Takpelah, janji ada tempat tidur malam ni.

Driving route: From grocery store to Gardur Apartments


@ GARDUR APARTMENTS

Untuk malam pertama saya cari homestay yang dekat dengan airport sebab kami tiba waktu malam. Tak berani ambil kereta terus drive jauh. Homestay yang menjadi pilihan adalah Gardur Apartments yang terletak di bahagian paling utara Keflavik, hampir dengan rumah api. Dalam mesej, saya telah diberikan maklumat tentang kod pintu dan penggunaan barangan dalam rumah. Rumah di luar saya sekeluarga akan guna. Kami masuk ke apartment utama dulu sebab Kak Wan nak masak untuk dinner. Boleh tahan besar juga rumah ni. Ada 4 bilik, ruang tamu dan dapur.

Rumah di apartment utama

Masuk rumah, kak Wan terus ke dapur dan mula memasak. Yang lain mula mengangkat beg dan masuk ke bilik masing-masing. Anak-anak bantu angkat sekali sebab kena bawa naik tangga. Tak tinggi pun tangganya. Beg kami masih dalam kereta. Lepas makan nanti bila nak ke rumah baru bawa sekali. Kereta Kia Sorento kami 7-seater. Untuk kami sekeluarga naik memang tak muat la semua beg dimasukkan sekali sebab satu seat je boleh diturunkan. Kami bawa 5 beg besar. 3 beg muat di dalam dan 1 beg di roof box. 1 beg lagi kami tumpang dalam kereta kak Warda sebab dia hanya berdua dengan Ain. Tak sampai setengah jam duduk dan berborak, kak Wan dah selesai masak. Pantas sungguh la. Kalau setakat goreng ayam je biasalah setengah jam. Sekali bihun goreng yang dia masak dan cukup untuk kami semua. Memang terbaik la kak Wan.

Pali pulak hebat bancuh teh tarik. Mantap..

Alhamdulillah kenyang semuanya. Kami mana ada lunch hari ni. Itu yang masing-amsing super lapar tu. Terima kasih kak Wan kerana masak bihun yang amat sedap. Saya kalau buat bihun, nak sediakan bahan pun dah setengah jam. Bila masak belum tentu cantik struktur bihun. Selalunya putus-putus dan boleh makan dengan sudu je. Hahah.. Pali pulak terer bancuh air sebab dia ada kedai makan di Ampang. Sedang elok la dalam trip ni ada pakar dalam penyediaan makanan. Kami yang lain tumpang sekaki, bantu habiskan mana yang patut. Hehe.. Di mana ada Eimran, maka tiada pembaziran akan berlaku. Jam 11.00 malam barulah kami masuk rumah di luar. Jenuh nak tarik beg dalam salji tebal. Huhu.. Rumah kami ada 2 bilik dan muat untuk kami sekeluarga sebab ada katil double decker. Sedang elok diorang berempat dalam satu bilik. Setelah bersihkan diri, jam 11.30 malam anak-anak dah mula masuk bilik dan tidur.

Comel rumah kami. Selesa sangat.

Saya pulak tak boleh tidur. Sambil tengok tv saya jenguk juga kat luar. Mana tau kalau aurora munculkan diri malam ni. Kebarangkalian untuk nampak aurora adalah tinggi jika kawasan sekitar gelap dan langit cerah. Saya refer pada apps, takde aktiviti aurora pada malam ni. Takpe, ada seminggu untuk kami cari aurora. Memang inilah antara agenda utama saya ke sini. Tak dapat yang besar, dapat tengok sikit ia bergerak di langit pun sudah cukup sebagai syarat berkelana di bumi Iceland. Sebelum jam 12.00 tengah malam saya dah masuk bilik dan tidur. Esok kami mula meronda di Iceland dengan kereta sewa. Pasti banyak pengalaman hidup baru yang bakal tercipta.

Apps ni akan bekerja sepanjang 7 hari di sini

Wallahu 'alam..