My Pages

Wednesday, 25 June 2025

JJCP Eurora: Day 10 (Part #3)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..




Jam 2.15 petang kami mula meninggalkan Jokulsarlon dan menuju ke destinasi seterusnya yang tak berapa jauh. Hanya seberang jalan je dari Jokulsarlon di mana lagun tersebut bertemu dengan lautan Atlantik. Cuaca amat baik setakat ni. Harap tiada snowstorm yang berlaku dalam masa terdekat. Nanti tak dapat nak enjoy pemandangan sebab kena duduk dalam kereta. Huhu..

Driving route: From Jokulsarlon to Diamond Beach


@ DIAMOND BEACH

Jika dah sampai Jokulsarlon, sudah pasti Diamond Beach juga akan dilawati sebab dekat je lokasi antara kedua-kedua tempat ni. Diamond beach adalah pantai berpasir hitam yang unik. Pantai ini diberi nama diamond kerana banyak bongkah ais yang berkilau bertaburan di persisiran pantai. Kaki fotografi memang suka tempat ni kerana kontra warna pasir hitam dan bongkah ais yang berkilauan. Kaki travel macam kami ni suka je macam mana pun kontra warna kat sini. Janji dah sampai. Merasai pengalaman melihat dengan mata sendiri jauh lebih indah dari gambar fotografi.

Bongkah ais pelbagai saiz bertaburan kat sini

Bukan setakat di persisiran pantai, kat dalam air pun banyak ais yang terapung dibawa ombak. Memang ajaib sungguh fenomena ini. Itulah kuasa yang maha Esa. Apa sahaja boleh berlaku dengan kehendak-Nya. Namun kita kena ingat jika ais di sini dan kutub utara makin mencair adalah disebabkan oleh pemanasan global yang makin meningkat dan memberikan kesan negatif kepada persekitaran dan ekosistem bumi. Semuanya akibat dari aktiviti manusia. Huhu..

Memang sesuai dengan namanya, Diamond Beach.

Kami berjalan menyusuri tepian pantai melihat bongkah-bongkah ais yang dihanyutkan ombak. Kena pantau si Eirfan bila kat pantai sebab dia suka main air. Ombak di sini agak ganas dan tak dibenarkan untuk aktiviti mandi laut. Hanya 3 warna je yang kelihatan di sekeliling iaitu putih, hitam dan berkilau. Macam gambar monochrome je. Hihi.. Cuaca pulak amat memberi kerjasama untuk kami jalan-jalan di sini. Hari ni dah takde tempat lain lagi nak pergi. Bolehlah layan lama sikit kat sini.

Cantik sungguh bila ada sedikit cahaya matahari di langit.

Masing-masing cari lokasi yang terbaik untuk bergambar kenangan. Ditambah dengan cahaya matahari yang menyinar di celah awan gelap, makin cantik suasana di sekeliling. Lebih setengah jam kami berjalan, kelihatan salji halus mula turun dari langit. Sebelum ia bertambah lebat kami pun mula berjalan ke kereta. Cukup indah pengalaman berada di sini. Saya yakin dan pasti akan ingat sampai bila-bila kenangan ini.

Kenangan terindah keluarga kecil ku di Diamond Beach, Iceland

Tepat jam 3.00 petang kami mula beredar meninggalkan Diamond Beach dengan seribu kenangan. Destinasi seterusnya adalah pulang ke Horgsland Cottages. Sebelum cuaca mula gelap kami singgah di satu self-service petrol station. Angin teramatlah kuatnya sampai nak buka pintu pun susah. Huhu.. Ada cafe di sini tapi lebih baik jangan masuk. Bila masuk mesti ramai pengikut di belakang. Budak-budak ni kalau dah masuk ada je la benda yang diorang nak beli. Walaupun ada pujukan, saya tetap bagitau nak isi minyak je. Hahah.. Saya pilih ISK8,000.00 untuk isian diesel. In shaa Allah cukup untuk sampai ke petrol station berikutnya nanti.

Done isi minyak buat kali kedua di Iceland. Dah terer guna mesin self-service. Hehe..

Setelah semua dah selesai isi minyak kereta masing-masing, jam 3.30 petang kami teruskan perjalanan menuju ke Horgsland Cottages. Cuaca sudah mula senja dan akan gelap gelita sebentar lagi. Kat sini takde lampu jalan. Memang gelap sungguh la. Huhu.. Jam 4.45 petang kami tiba di Horgsland Cottages. Alhamdulillah cuaca tenang sepanjang perjalanan. Tiada snowstorm yang berlaku. Anak-anak request untuk main salji bertemankan cahaya lampu di luar rumah. Masih awal lagi nak berehat. Banyak masa terluang sambil menunggu tibanya malam, walaupun suasana sekarang sudah gelap gelita. Hahah..

Driving route: From Diamond Beach to Horgsland Cottages

Jam 6.30 petang kak Wan panggil datang rumah dia untuk makan malam. Malam ni menu kami tomyam cendawan dan ayam goreng halia. Memang terbaiklah kak Wan. Kalau kak Wan tak join trip ni, confirm kami sedang melayan asam laksa resepi dari Maggi. Hehe.. Kiranya terjagalah makan minum kami kat sini disebabkan ada kak Wan. Memang salute sama kak Wan, boleh masak dengan pantas walaupun bahan limited. Yang penting amat sedap. Rasa macam makan kat Malaysia je. Hihi..

Pencuci mulut kali ni kuaci. Lepas makan sambung borak-borak. Hehe..


Saya lihat pada apps Aurora. Nampaknya tiada aktiviti aurora di kawasan sekitar. Mungkin langit masih berkabus dengan snowstorm yang berlaku siang tadi. Takde rezeki lagi untuk kami lihat aurora di langit. Masih ada beberapa malam lagi kat sini. Kita cuba malam esok pulak. Perut dah kenyang dan setelah selesai borak panjang tentang aktiviti hari ni dan apa yang akan berlaku esok, jam 8.00 malam masing-masing mula beransur pulang ke rumah. Lepas bersihkan diri, saya mula baring sambil membelek gambar-gambar kenangan. Anak-anak dah masuk bilik masing-masing. Jam 10.00 malam saya dah mula lelapkan mata. Menanti hari esok yang pastinya memberikan pengalaman hidup yang baru buat kami. Moga dipermudahkan urusan.

Wallahu 'alam..





Sunday, 22 June 2025

JJCP Eurora: Day 10 (Part #2)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..




Cuaca mula cerah ketika kami mulakan perjalanan dari Skeidara Bridge Monument. Permukaan jalanraya juga nampak jelas tanpa dilitupi oleh salji. Daripada info yang saya baca dan telah alaminya masa perjalanan ke Blue Lagoon haritu, cuaca di Iceland memang tak boleh nak dijangka. Dalam sekelip mata je daripada cerah terus menjadi gelap. Apa yang paling saya risaukan jika berlaku snowstorm ketika kami dalam perjalanan. Disarankan agar berhenti di bahu jalan kalau tak nampak jalan kerana snowstorm dan jika berlarutan, berkemungkinan besar kami semua akan stranded dalam kereta. Huhu.. Harap tak jadilah situasi sebegini sepanjang kami berada di bumi Iceland. Kalau nak jadi juga biarlah lepas kami bertolak pulang dari sini.

Bangunan hitam tu hotel. Standalone di kaki bukit.

Hampir setengah jam memandu sambil memuji keindahan bumi Allah, cuaca yang cerah tadi sudah mula gelap dan kedengaran angin yang sangat kuat walaupun tingkap kereta tertutup rapat. Kelihatan salji bergerak laju seperti asap putih dari arah bukit menuju ke jalanraya. Terasa sedikit bergegar kereta kami bila merentasi laluan angin salji. Kereta kami paling besar daripada yang lain. Macam mana la agaknya kereta-kereta yang lain. Saya tak nampak jalan di depan. Kereta yang lain di belakang pun tak nampak. Mungkin inilah yang dikatakan snowstorm. Walaupun takut, tapi teruja juga sebab dapat merasa pengalaman baru. Moga snowstorm ni tak berpanjangan.

Dalam sekelip mata, dari nampak bukit terus tak nampak apa-apa. Huhu..

Saya tetap teruskan bawa kereta tapi perlahan je la. Harap kereta yang lain pun teruskan perjalanan juga. Hampir 15 minit kami berada dalam laluan snowstorm, akhirnya keadaan kembali reda. Keadaan sekeliling semuanya dilitupi oleh salji. Jalanraya langsung tak nampak garisan. Alhamdulillah snowstorm tak berpanjangan. Kereta yang lain pun kelihatan di belakang. Apapun kena standby jika snowstorm datang lagi. 10 minit memandu, akhirnya kami sampai di destinasi berikutnya. Barulah nampak kereta orang lain kat sini. Sepanjang jalan tadi rasanya dalam 2-3 kereta je yang berselisih.

Driving route: From Skeidara Bridge Monument to Jokulsarlon


@ JOKULSARLON

Jam 1.20 petang kami tiba dengan selamatnya di Jokulsarlon. Kehadiran kami disambut oleh salji yang mula turun dari langit. Jokulsarlon adalah tasik atau lagun yang paling terkenal dan ikonik di Iceland. Jika travel ke south Iceland wajib singgah di sini untuk melihat salah satu keajaiban dan kekuasaan yang maha Esa di mana bongkah ais yang banyak dan bersaiz besar hanyut melalui lagun ini ke arah Lautan Atlantik. Kagum juga bila suhu yang amat sejuk masih ada air yang mengalir.

Keajaiban yang dapat dilihat di depan mata. Subhanallah..

Perkhidmatan boat tour ada disediakan di sini untuk merasai pengalaman atas bot di lagun ini. Harga untuk dewasa bermula dari RM230.00 seorang mengikut pakej. Takpelah, kami ambil pengalaman dari tebing aje. Hehe.. Itupun dah cukup kagum dan puas hati dengan pemandangan sekitar. Anak-anak mula berlari-lari kerana kawasan yang agak lapang. Ada yang baring buat snow angel la, main baling bola salji la. Saya biarkan aje, asalkan diorang bahagia. Mana nak dapat pengalaman macam ni. Pengalaman hidup yang berharga dan tak ternilai.

Salji baru turun. Makin putih keadaan sekeliling.


Bila cuaca sejuk, mulalah terasa lapar. Ada beberapa gerai ala foodtruck yang beroperasi. Kami mencari menu yang boleh dimakan. Anak-anak dah nampak salah satu gerai menjual crepe. Satu gerai lagi menjual lobster roll. Meja makan ada disediakan tapi open-air la. Nasib baik cuaca tak berangin. Kalau berangin memang tak sanggup nak duduk. Huhu.. Saya beli 3 nutella & banana crepe yang berharga ISK1,700.00 setiap satu dan 3 air hot chocolate dan coffee yang berharga ISK350.00 setiap satu. Mahalnya.. Emmm, this is Iceland maa.. Kak Warda yang baik hati belanja kami lobster roll. Sedap sungguh. Terima kasih kak Warda. Ada rezeki belanja lagi ye. Hehe..

Walaupun hot chocolate nampak cair, tapi cuaca sejuk punya pasal kita layan juga

Lain macam rasanya bila makan sambil dihujani salji halus yang turun dari langit. Pengalaman hidup juga tu. Hihi.. Seronoknya bila tengok acara makan berjemaah sampai terlupa kos makanan yang dibayar. Pejam mata je. Sekali seumur hidup makan crepe kat Jokulsarlon ni. Dalam hati ada juga keinginan nak datang lagi ke bumi Iceland ni. Tapi bukan musim winter la. Dapat masa summer atau spring dengan cuaca yang dingin dan sesuai dengan light jacket pun best juga. Dapat ronda pusing Iceland sampai ke utara. Impian je tu. Tapi mana la tau jadi kenyataan. Dapat sampai di Iceland ni pun rasa macam tak percaya. Siap bawa satu family lagi. Alhamdulillah rezeki anak-anak.

Happy family & friends. Alahai bersuap pulak budak Eirfan ni ye..

Lepas makan ada lagi yang sambung main baling salji. Kasi betul-betul puas ye. Jam 2.10 petang kami mula bersiap untuk ke destinasi seterusnya. Memang terbaiklah crepe dan lobster roll. Owner gerai pun amat peramah orangnya. Dia sebagai rakyat Iceland juga berbangga orang dari Malaysia pun boleh sampai ke sini. Kami pun bangga sebenarnya sebab dapat menjejakkan kaki di sini. Secara peribadi, saya memang teringin untuk sampai ke sini bagi melengkapkan negara Scandinavia yang telah dilawati. Juga sebagai personal record dan mileage dalam menambah jumlah negara yang sudah saya jejaki. Bumi Allah itu luas. Berkelanalah dan lihat keajaiban dunia ciptaan-Nya.

Jokulsarlon akan menjadi kenangan yang terindah buat kami.

Sebelum masuk ke dalam kereta, kami sempat lagi melihat keadaan sekeliling Jokulsarlon buat kali terakhir. Rasa macam nak duduk lama lagi, namun masa amat terhad kerana waktu siang yang pendek. Dapat singgah melawat 2-3 lokasi dalam sehari dah kira terbaik memandangkan jarak antara lokasi agak jauh. Jadi kenalah setting masa sebaiknya agar sampai tepat seperti yang dijadualkan. Dah gelap memang takde apa yang dapat dilihat. Setakat ni semua yang dirancang mengikut jadual itinerary. Hanya cuaca buruk je yang mungkin menjejaskan perjalanan. Moga dijauhkan perkara-perkara yang tak diingini berlaku ke atas kami.


Wallahu 'alam..